Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 46

Jadilah Berani kerana Yehuwa ialah Penolongmu!

Jadilah Berani kerana Yehuwa ialah Penolongmu!

Aku sama sekali tidak akan meninggalkan engkau, dan Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau.”​IBR. 13:5.

LAGU 55 Jangan Takut akan Mereka!

PENGENALAN *

1. Apakah yang dapat melegakan hati kita semasa kita berasa bahawa kita sedang berdepan dengan masalah seorang diri? (Mazmur 118:5-7)

PERNAHKAH anda berasa bahawa anda berdepan dengan masalah seorang diri dan tiada sesiapa pun yang membantu anda? Banyak orang berasa begitu, termasuk hamba-hamba Yehuwa yang setia. (1 Raj. 19:14) Jika anda berasa begitu, ingatlah bahawa Yehuwa telah berjanji, “Aku sama sekali tidak akan meninggalkan engkau, dan Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau.” Maka kita dapat berkata dengan yakin, “Yehuwa ialah penolongku; aku tidak akan berasa takut.” (Ibr. 13:5, 6) Kata-kata ini ditulis oleh Paulus kepada orang Kristian di Yudea sekitar tahun 61 M. Kata-katanya mengingatkan kita tentang apa yang tercatat di Mazmur 118:5-7.​—Baca.

2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini, dan mengapa?

2 Seperti penulis mazmur, Paulus sendiri pernah merasai bagaimana Yehuwa menolongnya. Misalnya, lebih daripada dua tahun sebelum dia menulis suratnya kepada orang Kristian yang berbangsa Ibrani, Paulus terselamat daripada ribut yang dahsyat semasa menaiki kapal. (Kis. 27:4, 15, 20) Yehuwa telah menolong Paulus sepanjang perjalanan itu. Sebenarnya, sebelum perjalanan itu pun Yehuwa telah menolongnya dalam pelbagai cara. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tiga cara Yehuwa menolong Paulus, iaitu melalui Yesus dan para malaikat, orang yang berkuasa, dan rakan seiman. Dengan mengkaji beberapa peristiwa dalam kehidupan Paulus, kita akan bertambah yakin bahawa Tuhan juga pasti menjawab doa kita semasa kita berseru meminta tolong.

BANTUAN DARIPADA YESUS DAN MALAIKAT

3. Apakah yang mungkin difikirkan Paulus, dan mengapa?

3 Paulus memerlukan pertolongan. Sekitar tahun 56 M, kumpulan perusuh mengheretnya keluar dari Rumah Tuhan di Yerusalem dan cuba membunuhnya. Keesokan harinya, dia hampir dibunuh oleh musuh-musuhnya semasa dia dibawa menghadap Majlis Orang Yahudi. (Kis. 21:30-32; 22:30; 23:6-10) Ketika itu, Paulus mungkin berfikir, “Berapa lama lagi saya mampu bertahan?”

4. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan Yesus untuk menolong Paulus?

4 Apakah bantuan yang diterima Paulus? Pada malam Paulus ditangkap, Yesus berdiri di sisinya dan berkata, “Tabahkanlah hatimu! Sepertimana kamu telah memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang aku di Yerusalem, kamu juga mesti memberikan kesaksian tentang aku di Roma.” (Kis. 23:11) Yesus memuji Paulus kerana memberikan kesaksian di Yerusalem. Kemudian, dia berjanji bahawa Paulus akan tiba di Roma dengan selamat dan terus memberikan kesaksian tentangnya. Galakan yang diberikan tepat pada masanya itu pasti membuat Paulus berasa selamat seperti seorang budak kecil dalam dakapan bapanya.

Semasa ribut yang dahsyat di laut, satu malaikat memberikan jaminan kepada Paulus bahawa semua orang di atas kapal akan terselamat (Lihat perenggan 5)

5. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan malaikat untuk menolong Paulus? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

5 Dua tahun selepas peristiwa di Yerusalem, Paulus menghadapi cabaran yang lain. Semasa dia menaiki kapal ke Italia, kapal yang dinaikinya dilanda ribut. Ribut itu begitu dahsyat sehingga anak-anak kapal dan penumpang menyangka mereka akan mati. Namun Paulus tidak takut. Mengapa? Dia memberitahu mereka, “Malam tadi, malaikat daripada Tuhan, iaitu Tuhan yang memiliki aku dan yang aku sembah, berdiri di sisiku dan berkata, ‘Janganlah takut, Paulus. Kamu mesti berdiri di hadapan Kaisar. Lihatlah! Oleh sebab kebaikan hati Tuhan, semua orang yang belayar dengan kamu akan diselamatkan.’” Dengan menggunakan satu malaikat, Yehuwa mengulangi jaminan yang diberikan-Nya kepada Paulus melalui Yesus, dan seperti yang dijanjikan-Nya, Paulus tiba di Roma dengan selamat.​—Kis. 27:20-25; 28:16.

6. Apakah janji Yesus yang dapat menguatkan kita? Mengapa?

6 Apakah bantuan yang kita terima? Yesus akan memberi kita sokongan sebagaimana dia memberi Paulus sokongan. Contohnya, Yesus berjanji kepada semua pengikutnya, “Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga penghujung sistem ini.” (Mat. 28:20) Janji ini dapat menguatkan kita, kerana kita semua menghadapi waktu yang mencabar. Misalnya, semasa orang yang kita kasihi meninggal, kita mungkin akan bersedih untuk bertahun-tahun lamanya. Yang lain perlu bergelut dengan masalah yang disebabkan oleh usia tua. Ada pula yang mengalami masalah kemurungan. Meskipun begitu, kita mendapat kekuatan untuk bertabah kerana kita tahu bahawa Yesus “sentiasa” menyertai kita, bahkan pada detik yang paling gelap dalam kehidupan kita.​—Mat. 11:28-30.

Para malaikat memberi kita sokongan dan membimbing kita semasa kita menginjil (Lihat perenggan 7)

7. Menurut Wahyu 14:6, bagaimanakah Yehuwa menolong kita dewasa ini?

7 Firman Tuhan meyakinkan kita bahawa Yehuwa akan menolong kita menerusi malaikat-Nya. (Ibr. 1:7, 14) Contohnya, para malaikat memberi kita sokongan dan membimbing kita semasa kita menginjil kepada orang daripada ‘setiap bangsa, suku, dan bahasa.’​—Mat. 24:13, 14; baca Wahyu 14:6.

BANTUAN DARIPADA ORANG YANG BERKUASA

8. Bagaimanakah Yehuwa menolong Paulus menerusi seorang ketua pasukan tentera?

8 Apakah bantuan yang diterima Paulus? Pada tahun 56 M, Yesus berjanji kepada Paulus bahawa Paulus akan tiba di Roma. Namun, sesetengah orang Yahudi di Yerusalem merancang untuk melancarkan serangan hendap dan membunuh Paulus. Tetapi Klaudius Lisias, iaitu ketua pasukan tentera Roma, mendengar tentang hal itu. Maka dia segera mengarahkan agar sepasukan askar membawa Paulus ke Kaisarea yang terletak kira-kira 105 km dari Yerusalem. Setibanya di situ, Gabenor Feliks memerintahkan supaya Paulus “ditahan di istana Herodes.” Dengan itu, Paulus dilindungi daripada orang yang ingin membunuhnya.​—Kis. 23:12-35.

9. Bagaimanakah Gabenor Festus membantu Paulus?

9 Dua tahun kemudian, Festus menggantikan Felix sebagai gabenor. Ketika itu, Paulus masih ditahan di Kaisarea. Orang Yahudi merayu kepada Festus supaya menghantar Paulus ke Yerusalem untuk diadili, tetapi Festus menolak permintaan mereka. Barangkali dia sedar bahawa mereka sudah “merancang untuk melancarkan serangan hendap terhadap Paulus dan membunuhnya semasa dia dalam perjalanan ke situ.”​—Kis. 24:27–25:5.

10. Apakah reaksi Gabenor Festus semasa Paulus minta diadili oleh Kaisar?

10 Kemudian, Paulus diadili di Kaisarea. Namun, Festus ingin “mengambil hati orang Yahudi,” jadi dia bertanya kepada Paulus, “Mahukah kamu pergi ke Yerusalem dan dihakimi di hadapanku?” Paulus tahu bahawa dia mungkin dibunuh di Yerusalem. Dia juga tahu apa yang perlu dilakukannya supaya dia dapat tiba di Roma dengan selamat dan meneruskan kerja penyebaran. Maka dia menjawab, “Aku minta diadili oleh Kaisar!” Setelah bercakap dengan para penasihatnya, Festus berkata kepada Paulus, “Kamu minta diadili oleh Kaisar, maka kamu akan pergi kepada Kaisar.” Keputusan Festus telah menyelamatkan Paulus. Tidak lama selepas itu, Paulus berada di Roma, jauh daripada orang Yahudi yang ingin mengambil nyawanya.​—Kis. 25:6-12.

11. Apakah kata-kata Yesaya yang mungkin direnungkan oleh Paulus?

11 Sementara menunggu untuk bertolak ke Italia, Paulus mungkin telah merenungkan amaran Nabi Yesaya kepada para penentang Yehuwa, “Buatlah rancangan kamu, tetapi semuanya akan gagal! Apa sahaja yang kamu katakan tidak akan berjaya, kerana Tuhan menyertai kami!” (Yes. 8:10) Paulus tahu bahawa Tuhan akan menolongnya, dan hal itu pasti menguatkannya untuk menghadapi cubaan pada kemudian hari.

Seperti yang dilakukan-Nya pada masa lampau, Yehuwa dapat menggerakkan orang yang berkuasa untuk melindungi umat-Nya dewasa ini (Lihat perenggan 12)

12. Bagaimanakah Yulius melayan Paulus? Apakah yang mungkin disedari Paulus?

12 Pada tahun 58 M, Paulus bertolak ke Italia. Memandangkan dia seorang tahanan, dia diawasi oleh Yulius, seorang pegawai tentera Roma. Sebagai pegawai, Yulius memiliki kuasa untuk membantu atau menindas Paulus. Bagaimanakah dia menggunakan kuasanya? Bible menyatakan bahawa pada keesokan harinya, semasa mereka berlabuh, “Yulius melayan Paulus dengan baik. Dia membenarkan Paulus untuk pergi kepada sahabat-sahabatnya.” Pada kemudian hari, Yulius bahkan menyelamatkan nyawa Paulus. Bagaimana? Semasa askar-askar ingin membunuh semua tahanan di atas kapal, Yulius menghalang mereka kerana “dia mahu menyelamatkan Paulus.” Kemungkinan besar, Paulus sedar bahawa Yehuwa menggunakan pegawai yang baik hati ini untuk menolong dan melindunginya.​—Kis. 27:1-3, 42-44.

Lihat perenggan 13

13. Bagaimanakah Yehuwa mungkin menggunakan orang yang berkuasa?

13 Apakah bantuan yang kita terima? Yehuwa dapat menggunakan kuasa suci-Nya untuk menggerakkan orang yang berkuasa supaya mereka bertindak menurut kehendak-Nya. Raja Salomo menulis, “Hati raja bagaikan air sungai yang mengalir. Yehuwa dapat menentukan alirannya ke mana sahaja yang diinginkan-Nya.” (Ams. 21:1) Apakah maksud kata-kata ini? Kita dapat menggali parit untuk mengubah aliran sungai mengikut kehendak kita. Begitu juga, Yehuwa dapat menggunakan kuasa suci-Nya untuk mempengaruhi fikiran para penguasa supaya mereka bertindak menurut kehendak-Nya. Dengan demikian, mereka akan membuat keputusan yang bermanfaat untuk umat-Nya.​—Bandingkan Ezra 7:21, 25, 26.

14. Menurut Kisah 12:5, kita boleh berdoa bagi siapa?

14 Apakah yang dapat kita lakukan? Kita boleh berdoa ‘demi raja-raja dan demi semua yang berkedudukan tinggi’ semasa mereka perlu membuat keputusan yang akan mempengaruhi kehidupan dan kegiatan rohani kita. (1 Tim. 2:1, 2; Neh. 1:11) Kita juga boleh berdoa dengan bersungguh-sungguh bagi saudara saudari yang dipenjarakan, seperti yang dilakukan oleh orang Kristian abad pertama. (Baca Kisah 12:5; Ibr. 13:3) Selain itu, kita boleh berdoa agar Yehuwa mempengaruhi fikiran para pengawal penjara yang mengawasi saudara saudari kita. Kita boleh merayu Yehuwa agar menggerakkan mereka untuk menjadi seperti Yulius dan melayan saudara saudari kita dengan baik.​—Kis. 27:3.

BANTUAN DARIPADA RAKAN SEIMAN

15-16. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan Aristarkhus dan Lukas untuk menolong Paulus?

15 Apakah bantuan yang diterima Paulus? Sepanjang perjalanannya ke Roma, Yehuwa berulang kali menolong Paulus menerusi rakan seimannya. Perhatikan beberapa contoh.

16 Dua orang rakan Paulus, iaitu Aristarkhus dan Lukas, telah mempertaruhkan nyawa untuk mengikut Paulus ke Roma. * Mereka rela berbuat demikian walaupun Bible tidak menyatakan bahawa Yesus memberi mereka jaminan bahawa mereka akan tiba di Roma dengan selamat. Mereka hanya mengetahui bahawa mereka akan terselamat semasa kapal yang dinaiki mereka dilanda ribut. Maka, Paulus tentu amat bersyukur kepada Yehuwa semasa Aristarkhus dan Lukas menaiki kapal bersamanya di Kaisarea. Yehuwa sememangnya telah menolong Paulus menerusi dua orang rakan seimannya yang berani itu.​—Kis. 27:1, 2, 20-25.

17. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan orang Kristian lain untuk menolong Paulus?

17 Sepanjang perjalanannya, Paulus menerima banyak bantuan daripada rakan seimannya. Misalnya, semasa mereka berlabuh di Sidon, Yulius membenarkan Paulus “pergi kepada sahabat-sahabatnya supaya mereka dapat menjaganya.” Kemudian, semasa di kota Putioli, Paulus dan rakan-rakannya ‘berjumpa dengan saudara-saudara dan didesak untuk tinggal dengan mereka selama tujuh hari.’ Seraya orang Kristian di kota-kota itu menjaga keperluan Paulus dan rakan-rakannya, mereka tentu bersukacita semasa Paulus menceritakan pengalamannya yang menggalakkan. (Bandingkan Kisah 15:2, 3.) Setelah menikmati pergaulan yang membina, Paulus dan rakan-rakannya meneruskan perjalanan mereka.​—Kis. 27:3; 28:13, 14.

Seperti yang dilakukan-Nya terhadap Paulus, Yehuwa dapat menolong kita menerusi rakan seiman (Lihat perenggan 18)

18. Mengapakah Paulus mengucapkan syukur kepada Tuhan?

18 Dalam perjalanannya ke Roma, Paulus tentu teringat kata-katanya dalam suratnya kepada orang Kristian di situ tiga tahun sebelum itu: “Sudah lama aku sangat ingin datang kepada kamu.” (Rm. 15:23) Namun, dia tidak menduga bahawa dia akan datang ke situ sebagai tahanan. Oleh itu, dia pasti sangat digalakkan semasa saudara-saudara dari Roma datang untuk menemuinya. Bible menyatakan, “Apabila Paulus melihat mereka, dia mengucapkan syukur kepada Tuhan dan menjadi lebih tabah.” (Kis. 28:15) Paulus mengucapkan syukur kepada Tuhan semasa melihat saudara-saudaranya kerana dia sedar bahawa Yehuwa menolongnya menerusi rakan seimannya.

Lihat perenggan 19

19. Seperti yang dinyatakan di 1 Petrus 4:10, bagaimanakah Yehuwa mungkin menggunakan kita untuk membantu rakan seiman yang memerlukan pertolongan?

19 Apakah yang dapat kita lakukan? Adakah anda mengenali rakan seiman di sidang anda yang jatuh sakit, kehilangan orang yang dikasihi, atau menghadapi cabaran lain? Jika ada rakan seiman yang memerlukan bantuan, kita boleh memohon agar Yehuwa membantu kita mengatakan atau melakukan sesuatu untuk menolong mereka. Barangkali, kata-kata dan perbuatan kita yang penuh kasih dapat menggalakkan mereka dan menguatkan keyakinan mereka terhadap janji Yehuwa: “Aku sama sekali tidak akan meninggalkan engkau, dan Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau.” (Baca 1 Petrus 4:10.) * Kita pasti amat bersukacita jika berpeluang memberikan bantuan dalam cara sebegini!

20. Mengapakah kita dapat berkata dengan yakin bahawa Yehuwa ialah penolong kita?

20 Seperti Paulus dan rakan-rakannya, kita mungkin menghadapi pelbagai cabaran dalam hidup. Namun, kita dapat bertabah kerana Yehuwa menyertai kita dan akan menolong kita menerusi Yesus dan para malaikat. Selain itu, jika selaras dengan kehendak-Nya, Yehuwa dapat menggunakan orang yang berkuasa untuk menolong kita. Tambahan lagi, seperti yang kita sendiri mungkin pernah alami, Yehuwa dapat menggunakan kuasa suci-Nya untuk menggerakkan rakan seiman untuk membantu kita. Maka, seperti Paulus, kita mempunyai sebab yang kukuh untuk berkata dengan yakin, “Yehuwa ialah penolongku; aku tidak akan berasa takut. Apakah yang dapat dilakukan manusia terhadapku?”​—Ibr. 13:6.

LAGU 38 Dia Akan Menguatkanmu

^ per. 5 Rencana ini akan membincangkan tiga cara Yehuwa membantu Rasul Paulus menghadapi cabaran. Setelah melihat bagaimana Yehuwa menolong para hamba-Nya pada masa lampau, kita akan bertambah yakin bahawa Yehuwa juga pasti membantu kita semasa kita menghadapi cabaran hidup.

^ per. 16 Sebelum itu pun Aristarkhus dan Lukas sudah menjadi rakan seperjalanan Paulus. Mereka juga tetap bersama Paulus sepanjang masa dia dipenjarakan di Roma.​—Kis. 16:10-12; 20:4; Kol. 4:10, 14.

^ per. 19 Lihat Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 15 Januari 2009, ms. 13-14, per. 5-9.