Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 48

Pandanglah ke Masa Depan!

Pandanglah ke Masa Depan!

Pandanglah ke hadapan; janganlah menoleh ke kiri atau ke kanan.AMS. 4:25.

LAGU 77 Cahaya Bersinar dari Kegelapan

PENGENALAN *

1-2. Bagaimanakah kita dapat mengikut nasihat di Amsal 4:25? Berikan contoh.

BAYANGKAN beberapa situasi berikut: Seorang saudari yang lanjut usia memikirkan kenangan manis pada zaman mudanya. Walaupun kehidupannya lebih mencabar sekarang, dia masih berkhidmat kepada Yehuwa dengan sedaya upaya. (1 Kor. 15:58) Setiap hari, dia membayangkan masanya apabila dia hidup bersama orang yang dikasihi di dunia baharu. Seorang lagi saudari masih ingat bagaimana seorang rakan seiman melukai perasaannya, tetapi dia tidak lagi marah dengan rakan seimannya itu. (Kol. 3:13) Seorang saudara masih ingat tentang kesilapannya pada masa lalu, tetapi dia berfokus untuk tetap setia kepada Yehuwa.​—Mzm. 51:10.

2 Apakah persamaan mereka bertiga? Mereka semua masih ingat akan apa yang berlaku pada masa lalu, tetapi mereka tidak terlalu berfokus kepada masa silam mereka. Sebaliknya, mereka ‘memandang ke hadapan’ dan bertumpu kepada masa depan.​—Baca Amsal 4:25.

3. Mengapakah begitu penting untuk memandang ke masa depan?

3 Mengapakah begitu penting untuk memandang ke masa depan? Jika seseorang asyik menoleh ke belakang, dia tidak dapat berjalan lurus. Begitu juga, jika kita asyik mengenang masa silam, kita tidak dapat terus berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuhnya.​—Luk. 9:62.

4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tiga jerat yang dapat membuat kita terlalu berfokus kepada masa silam: (1) Nostalgia, (2) rasa marah, dan (3) rasa bersalah yang melampau. Kita akan melihat bagaimana prinsip Bible dapat membantu kita agar tidak berfokus kepada “perkara yang di belakang,” tetapi berusaha dengan gigih untuk mencapai “perkara yang di hadapan.”​—Flp. 3:13.

JERAT NOSTALGIA

Apakah yang mungkin menghalang kita daripada memandang ke masa depan? (Lihat perenggan 5, 9, 13) *

5. Apakah amaran yang diberikan di Pengkhutbah 7:10?

5 Baca Pengkhutbah 7:10. Perhatikan bahawa ayat ini tidak menyatakan kita tidak patut bertanya, “Mengapakah keadaan dahulu baik?” Sebaliknya, ayat ini menyatakan, “Janganlah bertanya, ‘Mengapakah keadaan dahulu lebih baik daripada sekarang?’” Kenangan manis memang kurniaan Yehuwa. Namun, kita harus berhati-hati agar tidak membandingkan keadaan sekarang dengan keadaan dahulu dan menganggap segala-galanya dalam hidup kita sekarang lebih teruk daripada dahulu.

Apakah kesilapan yang dilakukan oleh orang Israel setelah meninggalkan Mesir? (Lihat perenggan 6)

6. Mengapakah tidak bijak untuk asyik berfikir bahawa kehidupan pada masa lalu lebih baik? Berikan contoh.

6 Mengapakah tidak bijak untuk bernostalgia, atau asyik berfikir bahawa kehidupan pada masa lalu lebih baik? Jika kita berbuat demikian, kita mungkin hanya ingat akan peristiwa manis dan melupakan kesusahan yang pernah kita hadapi. Fikirkan contoh orang Israel kuno. Tidak lama selepas meninggalkan Mesir, mereka mula merindui makanan di situ dan berkata, “Kita masih ingat akan ikan yang biasa kita makan di Mesir tanpa membayar apa-apa. Kita juga ingat akan timun, tembikai, bawang perai, bawang merah, dan bawang putih di sana!” (Bil. 11:5) Namun, benarkah mereka memakan semua itu “tanpa membayar apa-apa”? Tidak. Semasa di Mesir, mereka menjadi hamba dan dilayan dengan buruk. (Kel. 1:13, 14; 3:6-9) Tetapi mereka lupa sama sekali betapa susahnya kehidupan mereka di Mesir dan ingin kembali ke situ. Mereka bertumpu kepada “kenangan manis” di Mesir dan lupa akan hal-hal baik yang baru dilakukan Yehuwa untuk mereka. Sikap mereka membuat Yehuwa sangat marah.​—Bil. 11:10.

7. Apakah yang membantu seorang saudari mengelakkan jerat nostalgia?

7 Bagaimanakah kita dapat mengelakkan jerat nostalgia? Perhatikan pengalaman seorang saudari yang mula berkhidmat di Bethel Brooklyn pada tahun 1945. Beberapa tahun kemudian, dia berkahwin dengan seorang saudara di Bethel, dan mereka terus berkhidmat di Bethel selama bertahun-tahun. Namun, pada tahun 1976, suaminya jatuh sakit. Apabila suaminya sedar bahawa dia akan meninggal tidak lama lagi, dia memberinya nasihat untuk membantunya bertabah selepas menjadi balu. Suaminya berkata, “Banyak pasangan tidak bahagia, tetapi perkahwinan kita bahagia.” Suaminya menambah, “Detik manis yang kita nikmati bersama akan tetap di ingatanmu, tetapi jangan terlalu bertumpu kepadanya. Seraya masa berlalu, kesedihanmu akan berkurang. Janganlah tawar hati dan mengasihani diri. Sebaliknya, bersyukurlah atas berkat dan kenangan indah yang kita nikmati semasa berkhidmat kepada Yehuwa. . . . Kenangan ialah kurniaan Tuhan.” Tidakkah anda setuju bahawa nasihat itu memang bijak?

8. Apakah manfaat yang diraih saudari kita kerana tidak asyik bertumpu kepada masa lalu?

8 Saudari kita telah mengikut nasihat suaminya dan terus berkhidmat kepada Yehuwa dengan setia sehingga dia meninggal pada usia 92 tahun. Beberapa tahun sebelum kematiannya, dia berkata, “Mengenang kembali masa 63 tahun yang saya luangkan dalam khidmat sepenuh masa, saya benar-benar berasa bahagia.” Mengapa? Dia menjelaskan, “Kita dapat hidup bahagia kerana kita mempunyai persaudaraan Kristian dan harapan untuk hidup di bumi firdaus bersama saudara saudari dan menyembah Yehuwa, Pencipta Agung kita, satu-satunya Tuhan yang benar, buat selama-lamanya.” * Saudari kita memang teladan yang baik kerana tetap memandang ke masa depan!

JERAT RASA MARAH

9. Menurut Imamat 19:18, bilakah kita mungkin berasa susah untuk memaafkan orang yang menyakiti hati kita?

9 Baca Imamat 19:18. Sering kali, kita berasa susah untuk memaafkan seseorang yang menyakiti hati kita, terutamanya jika orang itu ialah rakan seiman, kawan karib, atau saudara-mara kita. Contohnya, seorang saudari telah dituduh mencuri duit. Kemudian saudari yang menuduhnya meminta maaf, namun dia masih marah dan asyik berfikir tentang peristiwa tersebut. Pernahkah anda berasa begitu? Biarpun kita tidak menghadapi situasi yang sama, kemungkinan besar kita pernah berasa marah dan berfikir bahawa kita tidak mungkin dapat memaafkan orang yang menyakiti hati kita.

10. Apakah yang dapat membantu kita supaya tidak terus berasa marah?

10 Apakah yang dapat membantu kita supaya tidak terus berasa marah? Kita perlu ingat bahawa Yehuwa melihat segala-galanya, termasuk ketidakadilan yang kita alami. (Ibr. 4:13) Dia berasa sedih semasa melihat kita menderita. (Yes. 63:9) Selain itu, Yehuwa berjanji bahawa Dia akan menghilangkan semua kesakitan yang kita rasai kerana dilayan dengan tidak adil.​—Why. 21:3, 4.

11. Apakah manfaatnya jika kita memaafkan orang lain?

11 Kita juga perlu ingat bahawa apabila kita memaafkan orang lain, kita sendiri pun akan meraih manfaat. Itulah yang disedari oleh saudari yang dituduh itu. Dia kemudiannya dapat memaafkan saudari yang menuduhnya kerana sedar bahawa apabila kita memaafkan orang lain, Yehuwa pun akan mengampuni kita. (Mat. 6:14) Dia tahu bahawa apa yang dilakukan rakan seimannya itu memang salah, tetapi dia memilih untuk memaafkannya dan tidak lagi marah terhadapnya. Hasilnya, dia lebih gembira dan dapat bertumpu kepada khidmatnya kepada Yehuwa.

JERAT RASA BERSALAH YANG MELAMPAU

12. Apakah yang kita pelajari daripada 1 Yohanes 3:19, 20?

12 Baca 1 Yohanes 3:19, 20. Kita semua pernah berasa bersalah. Ada yang berasa bersalah kerana hal yang dilakukan mereka sebelum mempelajari kebenaran. Yang lain pula berasa bersalah kerana kesilapan yang dilakukan mereka selepas dibaptis. (Rm. 3:23) Kita memang mahu melakukan apa yang betul, tetapi “kita semua sering berbuat silap.” (Yak. 3:2; Rm. 7:21-23) Walaupun kita tidak suka perasaan bersalah, sebenarnya perasaan itu ada manfaatnya. Perasaan bersalah dapat mendorong kita untuk membuat perubahan dan bertekad agar tidak mengulangi kesilapan kita.​—Ibr. 12:12, 13.

13. Mengapakah kita mesti berusaha mengelakkan jerat perasaan bersalah yang melampau?

13 Namun, jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin dibebani rasa bersalah yang melampau. Kita mungkin terus berasa bersalah biarpun kita sudah bertaubat dan Yehuwa sudah menunjukkan bahawa Dia telah mengampuni kita. Apakah bahaya perasaan sebegini? (Mzm. 31:10; 38:3, 4) Perhatikan contoh seorang saudari yang dibelenggu rasa bersalah atas dosanya pada masa lalu. Dia berkata, “Saya fikir tiada gunanya saya bekerja keras untuk Yehuwa, kerana saya mungkin tidak akan diselamatkan.” Kita mungkin mempunyai perasaan yang sama, tetapi kita mesti berusaha mengelakkan jerat perasaan bersalah yang melampau. Mengapa? Jika kita putus asa terhadap diri sendiri padahal Yehuwa tidak putus asa terhadap kita, Syaitan pasti sangat gembira!​—Bandingkan 2 Korintus 2:5-7, 11.

14. Mengapakah kita dapat yakin bahawa Yehuwa tidak putus asa terhadap kita?

14 Namun, kita mungkin tertanya-tanya, “Mengapakah saya dapat yakin bahawa Yehuwa tidak putus asa terhadap saya?” Sebenarnya, jika anda menanyakan soalan ini, hal itu menunjukkan bahawa Yehuwa sudi mengampuni anda. Sebuah rencana Menara Pengawal puluhan tahun yang lalu menyatakan, “Kita mungkin tersandung berkali-kali kerana tabiat buruk yang sama, yang sudah berurat berakar dalam diri kita sebelum kita mula menyembah Tuhan. . . . Namun, janganlah putus asa atau menyimpulkan bahawa anda telah melakukan dosa yang tidak akan diampunkan oleh Yehuwa. Ingatlah bahawa Syaitanlah yang ingin anda berfikir begitu. Sebenarnya, jika anda berasa sedih dan kecewa terhadap diri sendiri, hal itu membuktikan bahawa anda masih ada harapan. Maka teruslah bersikap rendah hati dan teruslah berdoa agar Tuhan mengampuni anda, membantu anda, dan memberi anda hati nurani yang bersih. Teruslah meminta bantuan Yehuwa sebagaimana seorang kanak-kanak terus meminta bantuan bapanya untuk masalah yang sama. Yehuwa pasti membantu anda kerana Dia penuh dengan kebaikan hati yang unggul.”

15-16. Apakah perasaan sesetengah orang apabila mereka sedar bahawa Yehuwa tidak putus asa terhadap mereka?

15 Ramai antara umat Yehuwa berasa lega apabila sedar bahawa Yehuwa tidak putus asa terhadap mereka. Contohnya, beberapa tahun yang lalu, seorang saudara tersentuh semasa membaca satu pengalaman dalam siri rencana “Bible Mengubah Hidup.” Saudari yang disebut dalam rencana itu mengakui bahawa disebabkan hal buruk yang pernah terjadi dalam kehidupannya, dia berasa susah untuk percaya bahawa Yehuwa mengasihinya. Bahkan bertahun-tahun selepas dibaptis, dia masih berasa begitu. Namun, apabila saudari itu merenungkan korban tebusan, pandangannya mula berubah. *

16 Bagaimanakah pengalaman saudari itu membantu saudara tersebut? Saudara itu menulis, “Semasa muda, saya bergelut dengan masalah ketagihan bahan lucah. Baru-baru ini, saya mula melihat bahan lucah lagi. Saya sudah meminta bantuan penatua, dan mereka meyakinkan saya bahawa Tuhan mengasihi saya dan berbelas kasihan terhadap saya. Saya sudah beransur-ansur mengatasi masalah saya, tetapi ada masanya saya masih berasa tidak berguna dan berfikir Yehuwa tidak mungkin mengasihi saya. Pengalaman saudari ini benar-benar membantu saya. Sekarang, saya sedar bahawa jika saya berfikir Tuhan tidak mungkin mengampuni saya, saya seolah-olah sedang berkata bahawa tebusan Anak-Nya tidak cukup untuk menutupi dosa saya. Saya menyimpan keratan rencana ini supaya saya dapat membaca dan merenungkannya apabila saya berasa tidak berguna.”

17. Bagaimanakah Rasul Paulus mengelakkan jerat perasaan bersalah yang melampau?

17 Pengalaman sebegini mengingatkan kita tentang Rasul Paulus. Sebelum menjadi orang Kristian, dia pernah melakukan banyak dosa yang serius. Paulus masih ingat akan perbuatannya dahulu, tetapi dia tidak asyik berfikir tentangnya. (1 Tim. 1:12-15) Dia memandang tebusan sebagai kurniaan yang diberikan oleh Tuhan kepadanya supaya dosanya diampunkan. (Gal. 2:20) Dengan itu, Paulus berjaya mengelakkan jerat perasaan bersalah yang melampau dan berfokus untuk memberikan yang terbaik kepada Yehuwa.

PANDANGLAH KE MASA DEPAN!

Semoga kita berusaha sedaya upaya agar berpeluang hidup di dunia baharu! (Lihat perenggan 18-19) *

18. Apakah yang telah kita pelajari dalam rencana ini?

18 Apakah yang kita pelajari daripada tiga jerat yang disebut dalam rencana ini? (1) Kenangan manis memang kurniaan Yehuwa, tetapi tidak kira betapa baiknya kehidupan kita pada masa lalu, kehidupan di dunia baharu pada masa depan pasti jauh lebih baik. (2) Orang lain mungkin menyakiti hati kita, tetapi jika kita memilih untuk memaafkan mereka, kita dapat berfokus kepada khidmat kita kepada Yehuwa. (3) Rasa bersalah yang melampau dapat menghalang kita daripada menyembah Yehuwa dengan sukacita. Maka, seperti Paulus, kita harus percaya bahawa Yehuwa sudah mengampuni kita.

19. Bagaimanakah kita tahu bahawa semasa di dunia baharu, kita tidak akan mengenang lagi hal-hal yang menyedihkan?

19 Kita mempunyai harapan untuk hidup kekal di dunia baharu Tuhan. Pada masa itu, kita tidak akan mengenang lagi hal-hal yang menyedihkan kerana Bible menyatakan, “Perkara-perkara yang lama tidak akan terlintas dalam fikiran lagi.” (Yes. 65:17) Fikirkan hal ini: Ada antara kita yang sudah lama berkhidmat kepada Yehuwa dan kini sudah lanjut usia, tetapi di dunia baharu, kita akan menjadi muda semula. (Ayb. 33:25) Maka, marilah kita bertekad untuk tidak berfokus kepada masa lalu. Sebaliknya, marilah kita memandang ke masa depan dan berusaha sedaya upaya agar berpeluang hidup di dunia baharu!

LAGU 142 Berpegang Teguh pada Harapan Kita

^ per. 5 Memang ada kebaikannya untuk mengenang masa silam. Tetapi jika kita terlampau bertumpu kepada masa silam, kita mungkin tidak dapat berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuhnya sekarang dan tidak dapat berfokus kepada janji Yehuwa untuk masa depan. Rencana ini akan membincangkan tiga jerat yang dapat membuat kita terlampau bertumpu kepada masa silam. Kita juga akan membincangkan prinsip Bible dan contoh zaman moden yang dapat membantu kita mengelakkan semua jerat itu.

^ per. 8 Lihat Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 1 Julai 2004, ms. 23-29.

^ per. 15 Lihat Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 1 Ogos 2011, ms. 20-21.

^ per. 57 KETERANGAN GAMBAR: Nostalgia, rasa marah, dan rasa bersalah yang melampau, bagaikan beban berat yang dapat menghalang kita daripada terus maju di jalan yang menuju kehidupan.

^ per. 64 KETERANGAN GAMBAR: Setelah melepaskan beban itu, kita akan berasa lega dan bahagia, dan kita akan mendapat kekuatan baharu untuk memandang ke hadapan.