Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 47

Sudikah Anda Terus Dibetulkan?

Sudikah Anda Terus Dibetulkan?

Akhirnya saudara-saudara, teruslah bersukacita, teruslah membetulkan fikiran kamu.”​2 KOR. 13:11.

LAGU 54 “Inilah Jalannya”

PENGENALAN *

1. Menurut Matius 7:13, 14, apakah perjalanan yang sedang kita tempuhi?

KITA semua berada dalam suatu perjalanan. Destinasi kita ialah dunia baharu yang diperintah oleh Tuhan kita yang pengasih. Untuk sampai ke destinasi itu, kita perlu berusaha setiap hari kerana Yesus berkata bahawa jalan yang menuju kehidupan itu sempit dan ada kalanya susah diikut. (Baca Matius 7:13, 14.) Tambahan lagi, kita tidak sempurna dan cenderung tersimpang daripada jalan itu.​—Gal. 6:1.

2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini? (Lihat juga kotak “ Kerendahan Hati Membantu Kita Tetap Berada di Jalan yang Sempit.”)

2 Untuk tetap berada di jalan sempit yang menuju kehidupan, kita mesti sudi membetulkan fikiran, sikap, dan kelakuan kita. Rasul Paulus menggalakkan orang Kristian di Korintus agar ‘terus membetulkan fikiran’ mereka. (2 Kor. 13:11) Nasihatnya juga sesuai untuk kita dewasa ini. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana Bible dapat membantu kita membuat perubahan. Kemudian, kita akan melihat bagaimana sahabat yang matang dapat membantu kita terus berada di jalan yang menuju kehidupan. Kita juga akan membincangkan hal-hal yang mungkin membuat kita berasa susah untuk mengikut arahan daripada organisasi Yehuwa. Kita akan melihat bagaimana sikap rendah hati akan membantu kita membuat perubahan dan tetap bersukacita semasa berkhidmat kepada Yehuwa.

IZINKAN FIRMAN TUHAN MEMBETULKAN ANDA

3. Bagaimanakah Firman Tuhan dapat membantu kita?

3 Tidak mudah untuk memeriksa fikiran dan perasaan kita, kerana hati kita licik dan mungkin mengelirukan kita. (Yer. 17:9) Kita juga mungkin menipu diri dengan “pemikiran yang salah.” (Yak. 1:22) Oleh itu, kita mesti menggunakan Firman Tuhan untuk memeriksa diri sendiri. Firman Tuhan bagaikan mesin X-ray yang dapat menyingkapkan “fikiran dan niat hati” kita yang terpendam. (Ibr. 4:12, 13) Namun, untuk meraih manfaat daripada nasihat Bible atau daripada orang yang dilantik oleh Tuhan, kita mesti bersikap rendah hati.

4. Apakah yang menunjukkan bahawa Raja Saul menjadi sombong?

4 Kisah Raja Saul menunjukkan apa yang akan berlaku jika kita tidak rendah hati. Saul menjadi begitu sombong sehingga dia menipu diri dan menganggap bahawa dia tidak perlu membetulkan fikiran dan kelakuannya. (Mzm. 36:1, 2; Hab. 2:4) Sebagai contoh, Yehuwa telah memberinya arahan yang jelas tentang apa yang perlu dilakukannya selepas mengalahkan orang Amalek, tetapi Saul tidak mematuhi arahan itu. Sebaliknya, apabila Nabi Samuel menegurnya, Saul mencuba membela diri. Dia meremehkan kesalahannya dan menyalahkan orang lain. (1 Sam. 15:13-24) Sebenarnya, itu bukanlah kali pertama Saul berbuat demikian. (1 Sam. 13:10-14) Oleh sebab Saul menjadi sombong, dia enggan membetulkan fikirannya. Akibatnya, Yehuwa menegurnya dan menolaknya sebagai raja.

5. Apakah yang perlu kita lakukan supaya tidak menjadi seperti Saul?

5 Kita tidak ingin menjadi seperti Saul. Oleh itu, kita perlu menanya diri soalan-soalan berikut: “Semasa membaca nasihat dalam Firman Tuhan, adakah saya cenderung membela diri? Adakah saya cuba meremehkan kesalahan saya? Adakah saya menyalahkan orang lain atas perbuatan saya?” Jika kita menjawab “ya” kepada mana-mana soalan tadi, kita mesti membetulkan fikiran dan sikap kita. Jika tidak, kita mungkin menjadi begitu sombong sehingga Yehuwa menolak kita sebagai sahabat-Nya.​—Yak. 4:6.

6. Apakah perbezaan antara Raja Saul dengan Raja Daud?

6 Perhatikan perbezaan antara Raja Saul dengan penggantinya, iaitu Raja Daud. Daud sangat “suka akan hukum Yehuwa.” (Mzm. 1:1-3) Dia tahu bahawa Yehuwa menyelamatkan orang yang rendah hati tetapi melawan orang yang angkuh. (2 Sam. 22:28) Oleh itu, Daud mengizinkan hukum Tuhan membetulkan fikirannya. Dia menulis, “Ya Yehuwa, aku akan memuji-Mu, kerana Engkau menasihati aku; pada waktu malam, fikiranku yang terpendam membimbing aku.”​—Mzm. 16:7.

FIRMAN TUHAN

Firman Tuhan akan memberi kita amaran apabila kita mula tersimpang. Jika kita rendah hati, kita akan mengizinkan Firman Tuhan membetulkan fikiran kita yang salah (Lihat perenggan 7)

7. Apakah yang akan kita lakukan jika kita rendah hati?

7 Jika kita rendah hati, kita akan mengizinkan Firman Tuhan membetulkan fikiran kita yang salah sebelum fikiran itu menjadi tindakan. Apabila kita mula tersimpang daripada haluan yang benar, Firman Tuhan akan memberi kita amaran dan seolah-olah berkata kepada kita, “Inilah jalannya. Ikutlah jalan ini!” (Yes. 30:21) Kita akan mendapat banyak manfaat jika kita mendengarkan nasihat Yehuwa. (Yes. 48:17) Misalnya, kita tidak akan berasa malu kerana perlu ditegur oleh orang lain. Selain itu, apabila kita sedar bahawa Yehuwa melayan kita seperti anak-Nya yang disayangi, kita akan lebih menghampiri-Nya.​—Ibr. 12:7.

8. Seperti yang dinyatakan di Yakobus 1:22-25, bagaimanakah Firman Tuhan dapat menjadi seperti cermin?

8 Kebanyakan antara kita akan melihat cermin sebelum keluar dari rumah setiap pagi. Dengan itu, kita dapat memeriksa penampilan kita dan membuat perubahan yang diperlukan sebelum dilihat orang lain. Firman Tuhan bagaikan cermin yang dapat menunjukkan fikiran dan sikap kita yang perlu dibetulkan. (Baca Yakobus 1:22-25.) Jadi, kita perlu membaca dan merenungkannya setiap hari. Ramai orang juga mendapati bahawa membaca ayat harian setiap pagi sebelum keluar dari rumah sangat bermanfaat. Dengan itu, mereka dapat memikirkan apa yang dibaca dan berusaha menerapkan nasihat Bible sepanjang hari. Ya, kita mesti mengkaji dan merenungkan Firman Tuhan setiap hari. Langkah yang asas ini amat penting untuk membantu kita tetap berada di jalan sempit yang menuju kehidupan.

DENGARLAH NASIHAT SAHABAT YANG MATANG

SAHABAT YANG MATANG

Rakan seiman yang matang mungkin memberi kita peringatan. Adakah kita bersyukur kerana sahabat kita memberanikan diri untuk menegur kita? (Lihat perenggan 9)

9. Bilakah sahabat kita mungkin perlu menegur kita?

9 Pernahkah anda hampir menyimpang daripada haluan yang benar? (Mzm. 73:2, 3) Jika seorang sahabat yang matang memberanikan diri untuk menegur anda, adakah anda mendengar dan mengikut nasihatnya? Jika ya, anda sudah mengambil tindakan yang betul, dan anda tentu amat berterima kasih kepada sahabat itu.​—Ams. 1:5.

10. Apakah sepatutnya reaksi anda semasa ditegur oleh sahabat anda?

10 Bible mengingatkan kita, “Teguran yang diberikan oleh sahabat yang setia mungkin menyakitkan.” (Ams. 27:6) Apakah maksudnya? Bayangkan anda ingin menyeberangi jalan yang sibuk. Tetapi anda asyik memandang telefon anda dan terus berjalan tanpa melihat ke kiri dan ke kanan. Ketika itu, sahabat anda menarik lengan anda dengan begitu kuat sehingga lengan anda lebam. Namun, oleh sebab dia bertindak dengan cepat, anda tidak dilanggar kereta. Jika lengan anda terasa sakit selama berhari-hari selepas itu, adakah anda akan marah dengan sahabat itu? Sudah tentu tidak! Sebaliknya, anda pasti berterima kasih kepadanya kerana dia menyelamatkan anda. Begitu juga, jika seorang sahabat mengingatkan anda bahawa kata-kata atau tindakan anda tidak selaras dengan prinsip Tuhan, anda mungkin berasa sakit hati pada mulanya. Namun, ingatlah bahawa hanya orang bodoh yang akan tersinggung semasa dinasihati. (Pkh. 7:9) Jadi, daripada naik marah, bersyukurlah kerana sahabat anda memberanikan diri untuk menegur anda.

11. Apakah yang mungkin menyebabkan seseorang menolak nasihat yang baik daripada seorang sahabat yang pengasih?

11 Apakah yang mungkin menyebabkan seseorang menolak nasihat yang baik daripada seorang sahabat yang pengasih? Kesombongan. Orang yang sombong suka orang lain “menggeletek telinga mereka,” dan mereka ‘tidak mahu mendengar kebenaran.’ (2 Tim. 4:3, 4) Mereka berfikir bahawa mereka lebih bijak dan lebih penting daripada orang lain dan tidak memerlukan nasihat daripada sesiapa pun. Namun, Rasul Paulus menulis, “Jika seseorang menyangka bahawa dirinya penting, padahal tidak, dia sedang menipu dirinya sendiri.” (Gal. 6:3) Raja Salomo juga menulis, “Anak muda yang miskin tetapi bijak lebih baik daripada raja tua yang bodoh dan yang tidak mahu mendengarkan amaran.”​—Pkh. 4:13.

12. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kisah Petrus yang tercatat di Galatia 2:11-14?

12 Perhatikan teladan Rasul Petrus semasa Rasul Paulus menegurnya. (Baca Galatia 2:11-14.) Dia boleh naik marah terhadap Paulus kerana menegurnya dengan keras di hadapan orang ramai. Namun Petrus tidak berbuat demikian. Dia bertindak dengan bijak kerana dia menerima nasihat Paulus dan tidak menaruh dendam terhadapnya. Pada kemudian hari, dia bahkan menggelar Paulus sebagai ‘saudara yang dikasihi.’​—2 Ptr. 3:15.

13. Apakah yang perlu kita fikirkan sebelum memberikan nasihat?

13 Jika anda berasa bahawa anda perlu menegur sahabat anda, apakah hal-hal yang perlu anda ingat? Sebelum berjumpa dengannya, tanyalah diri, “Adakah saya bersikap terlalu alim?” Orang yang bersikap sedemikian menganggap dirinya “terlampau baik” dan menghakimi orang lain menurut pandangannya, bukan menurut prinsip Yehuwa. (Pkh. 7:16) Orang sebegini biasanya tidak berbelas kasihan terhadap orang lain. Setelah anda memikirkan soalan itu dan berasa bahawa anda masih perlu menasihati sahabat anda, nyatakan masalahnya dengan jelas, dan gunakan soalan yang sesuai untuk membantunya sedar akan kesilapannya. Selain itu, pastikan nasihat anda berdasarkan Bible, dan ingatlah bahawa sahabat anda bertanggungjawab kepada Yehuwa, bukan kepada anda. (Rm. 14:10) Semasa memberikan nasihat, bergantunglah pada Firman Tuhan dan tirulah belas kasihan Yesus. (Ams. 3:5; Mat. 12:20) Hal ini penting kerana Yehuwa akan melayan kita sebagaimana kita melayan orang lain.​—Yak. 2:13.

IKUTLAH ARAHAN DARIPADA ORGANISASI TUHAN

ORGANISASI TUHAN

Organisasi Tuhan menyediakan bahan bacaan, video, dan perjumpaan, untuk mengajar kita cara menerapkan nasihat Bible. Ada kalanya, Badan Pimpinan membuat penyesuaian setelah menilai semula aturan yang dibuat untuk menjalankan kerja penyebaran (Lihat perenggan 14)

14. Apakah yang disediakan oleh organisasi Tuhan untuk kita?

14 Yehuwa menggunakan bahagian organisasi-Nya yang di bumi untuk membimbing kita di jalan yang menuju kehidupan. Organisasi Tuhan menyediakan video, bahan bacaan, dan perjumpaan, untuk mengajar kita cara menerapkan nasihat Bible. Maklumat yang disediakan oleh organisasi Tuhan dapat dipercayai kerana semuanya berdasarkan Bible. Semasa membuat keputusan tentang cara yang terbaik untuk melakukan kerja penyebaran, Badan Pimpinan bergantung pada bimbingan kuasa suci Tuhan. Namun, dari masa ke masa, Badan Pimpinan juga menilai semula keputusan yang telah dibuat. Mengapa? “Keadaan dunia ini sedang berubah,” jadi organisasi Tuhan mesti membuat penyesuaian menurut perkembangan semasa.​—1 Kor. 7:31.

15. Apakah cabaran yang dihadapi sebilangan penyiar?

15 Semasa organisasi Tuhan memberikan penjelasan baharu tentang suatu ajaran Bible atau arahan baharu dalam soal moral, memang senang bagi kita untuk menerima dan mengikutnya. Namun, bagaimana pula reaksi kita apabila organisasi Tuhan membuat perubahan yang mempengaruhi kehidupan kita? Misalnya, baru-baru ini, kos untuk membina dan menyelenggarakan tempat ibadat kita telah meningkat secara mendadak. Maka Badan Pimpinan mengarahkan agar Dewan Perjumpaan dikongsi oleh sebanyak sidang yang mungkin. Oleh itu, banyak sidang telah digabungkan, dan sebilangan Dewan Perjumpaan telah dijual. Wang yang diperoleh digunakan untuk membina Dewan Perjumpaan di tempat yang paling memerlukannya. Perubahan sebegini mungkin mencabar bagi sesetengah orang, kerana mereka mungkin perlu membuat perjalanan yang lebih jauh untuk menghadiri perjumpaan. Selain itu, apabila sebuah Dewan Perjumpaan dijual, saudara saudari yang bekerja keras untuk membina dan menyelenggarakannya mungkin berasa bahawa masa dan tenaga yang telah dicurahkan mereka sia-sia sahaja. Namun, mereka semua harus dipuji kerana tetap menerima dan mematuhi arahan yang diberikan oleh organisasi Tuhan.

16. Bagaimanakah nasihat di Kolose 3:23, 24 dapat membantu kita tetap bersukacita?

16 Kita akan tetap bersukacita jika kita ingat bahawa kita sedang bekerja untuk Yehuwa dan bahawa Dia sedang membimbing organisasi-Nya. (Baca Kolose 3:23, 24.) Semasa kita memberikan sumbangan untuk menyokong organisasi Tuhan, kita boleh merenungkan teladan Raja Daud. Setelah memberikan sumbangan yang besar untuk membina Rumah Tuhan, dia berkata, “Siapalah aku dan rakyatku ini, sehingga Engkau mengurniakan peluang kepada kami untuk memberikan sumbangan kepada-Mu? Segala sesuatu berasal daripada-Mu, dan apa yang kami berikan kepada-Mu ialah kepunyaan-Mu juga.” (1 Taw. 29:14) Biarpun apa yang kita berikan kepada Yehuwa semuanya berasal daripada-Nya juga, Yehuwa menghargai masa, tenaga, dan wang yang kita berikan untuk melakukan kehendak-Nya.​—2 Kor. 9:7.

TETAP BERADA DI JALAN YANG SEMPIT

17. Jika anda mendapati bahawa anda perlu membuat perubahan, mengapakah anda tidak patut tawar hati?

17 Yehuwa tahu bahawa kita tidak sempurna dan tidak akan mengharapkan kesempurnaan daripada kita. Tetapi, untuk tetap berada di jalan sempit yang menuju kehidupan, kita semua mesti mengikut jejak Yesus dengan teliti. (1 Ptr. 2:21) Jika anda mendapati bahawa anda perlu membuat perubahan, janganlah tawar hati. Sebenarnya, hal itu ialah tanda yang baik kerana menunjukkan bahawa anda peka terhadap bimbingan Yehuwa.

18. Apakah yang perlu kita lakukan agar dapat sampai di destinasi kita?

18 Semoga kita semua bertumpu kepada masa depan dan sudi membetulkan fikiran, sikap, dan kelakuan kita. (Ams. 4:25; Luk. 9:62) Marilah kita terus bersikap rendah hati, ‘terus bersukacita, dan terus membetulkan fikiran kita.’ (2 Kor. 13:11) Jika kita berbuat demikian, “Tuhan yang penuh dengan kasih dan kedamaian akan menyertai [kita] semua.” Hasilnya, kita bukan sahaja akan tiba di destinasi kita, tetapi juga akan bersukacita sepanjang perjalanan kita.

LAGU 34 Berjalan di Haluan yang Benar

^ per. 5 Kita mungkin berasa susah untuk mengubah fikiran, sikap, dan kelakuan kita. Rencana ini akan menjelaskan sebabnya kita semua perlu membuat perubahan dan bagaimana kita dapat tetap bersukacita semasa membuat perubahan.

^ per. 76 KETERANGAN GAMBAR: Semasa saudara yang lebih muda menceritakan apa yang berlaku setelah dia membuat keputusan yang kurang bijak, saudara yang lebih tua (di sebelah kanan) mendengar dengan teliti dan memikirkan jika dia perlu memberikan nasihat.