Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 46

Pasangan yang Baru Berkahwin—Utamakanlah Khidmat kepada Yehuwa!

Pasangan yang Baru Berkahwin—Utamakanlah Khidmat kepada Yehuwa!

“Ya Yehuwa, Engkaulah kekuatanku . . . Aku percaya kepada-Mu.”​—MZM. 28:7.

LAGU 131 ‘Mereka Telah Disatukan oleh Tuhan’

PENGENALAN *

1-2. (a) Mengapakah pasangan yang baru berkahwin patut percaya kepada Yehuwa? (Mazmur 37:3, 4) (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

ADAKAH anda bakal berkahwin atau baru berkahwin? Jika ya, anda tentu ingin hidup bahagia bersama orang yang anda cintai. Namun, dalam alam perkahwinan, anda akan menghadapi cabaran, dan anda perlu membuat banyak keputusan yang penting. Cara anda menangani masalah dan membuat keputusan akan menentukan sama ada perkahwinan anda akan bahagia atau tidak. Jika anda bergantung pada Yehuwa, anda dapat membuat keputusan yang bijak. Hasilnya, perkahwinan anda akan menjadi lebih kukuh dan bahagia. Namun, jika anda tidak mengambil kira fikiran Tuhan semasa membuat keputusan, kemungkinan besar anda akan menghadapi banyak masalah. Akibatnya, hubungan anda dengan pasangan anda akan menjadi renggang, dan perkahwinan anda tidak akan bahagia.​—Baca Mazmur 37:3, 4.

2 Walaupun rencana ini disediakan khas untuk pasangan yang baru berkahwin, cabaran-cabaran yang disebut dalam rencana ini juga dihadapi oleh pasangan yang sudah lama berkahwin. Kita akan mengkaji beberapa contoh lelaki dan wanita yang setia dalam Bible dan membincangkan bagaimana kita dapat menerapkan pengajarannya dalam kehidupan kita, termasuk dalam perkahwinan. Kita juga akan belajar daripada contoh-contoh pasangan pada zaman moden.

APAKAH CABARAN YANG MUNGKIN DIHADAPI PASANGAN YANG BAHARU?

Apakah sesetengah keputusan yang mungkin menghalang pasangan yang baru berkahwin daripada meluaskan khidmat kepada Yehuwa? (Lihat perenggan 3-4)

3-4. Apakah cabaran-cabaran yang mungkin dihadapi oleh pasangan yang baru berkahwin?

3 Sesetengah orang mungkin menggalakkan pasangan yang baru berkahwin untuk menjalani kehidupan seperti kebanyakan pasangan lain. Contohnya, ibu bapa dan saudara-mara mereka mungkin mendesak mereka agar cepat-cepat mempunyai anak. Sahabat dan ahli keluarga yang berniat baik pula mungkin menggesa mereka untuk membeli rumah dan menghiasinya dengan barang-barang yang cantik supaya mereka dapat hidup selesa.

4 Oleh itu, jika sepasang suami isteri tidak berhati-hati, mereka mungkin membuat keputusan yang menyebabkan mereka berhutang keliling pinggang. Akibatnya, mereka perlu bekerja untuk masa yang panjang sehingga tiada masa untuk pembelajaran peribadi, penyembahan keluarga, dan kerja penyebaran. Mereka juga mungkin tidak dapat menghadiri perjumpaan kerana perlu bekerja lebih masa supaya mendapat lebih banyak wang atau supaya tidak kehilangan kerja. Hal ini boleh membuat mereka kehilangan peluang untuk meluaskan khidmat kepada Yehuwa.

5. Apakah yang anda pelajari daripada contoh Klaus dan Marisa?

5 Terdapat banyak contoh yang menunjukkan bahawa mengejar harta benda tidak membawa kebahagiaan. Perhatikan contoh Klaus dan Marisa. * Selepas berkahwin, mereka berdua bekerja sepenuh masa agar dapat hidup mewah. Namun, mereka tidak bahagia. Klaus mengaku, “Kami ada banyak wang dan harta, tetapi kami tiada matlamat rohani. Secara jujur, kami sangat stres kerana ada banyak hal yang perlu diurus dalam hidup kami.” Seperti mereka, anda mungkin pernah mengejar harta benda tetapi tidak berasa puas. Jika begitu, janganlah tawar hati. Contoh baik orang lain dapat membantu anda membuat perubahan yang diperlukan. Sekarang, mari kita lihat apa yang dapat dipelajari para suami daripada contoh Raja Yehosafat.

SEPERTI RAJA YEHOSAFAT, PERCAYALAH KEPADA YEHUWA

6. Bagaimanakah Raja Yehosafat mematuhi nasihat di Amsal 3:5, 6 semasa berdepan dengan cabaran yang besar?

6 Para suami, pernahkah anda berasa bahawa tanggungjawab anda terlalu berat? Jika ya, contoh Raja Yehosafat dapat membantu anda. Selaku raja, dia perlu menjaga semua rakyatnya. Bagaimanakah Yehosafat memikul tanggungjawab yang begitu berat? Dia melakukan apa yang dia mampu untuk melindungi rakyatnya. Contohnya, dia menguatkan pertahanan kota-kota di Yehuda dan mengumpulkan lebih daripada 1,160,000 orang askar. (2 Taw. 17:12-19) Kemudian, satu angkatan tentera besar, yang terdiri daripada orang Ammon, orang Moab, dan orang daripada kawasan pergunungan Seir, hendak menyerangnya, keluarganya, dan rakyatnya. (2 Taw. 20:1, 2) Apakah yang dilakukan Yehosafat ketika berdepan dengan cabaran itu? Dia meminta kekuatan dan bantuan daripada Yehuwa. Tindakannya selaras dengan nasihat di Amsal 3:5, 6. (Baca.) Doa Yehosafat yang tercatat di 2 Tawarikh 20:5-12, menunjukkan bahawa dia amat rendah hati dan bergantung pada Bapanya yang di syurga. Bagaimanakah Yehuwa menjawab doa Yehosafat?

7. Bagaimanakah Yehuwa menjawab doa Yehosafat?

7 Melalui seorang lelaki Lewi yang bernama Yahaziel, Yehuwa memberitahu Yehosafat, “Ambillah tempat kamu masing-masing, berdirilah dengan tegak, dan lihatlah bagaimana Yehuwa menyelamatkan kamu.” (2 Taw. 20:13-17) Orang biasanya tidak akan berbuat demikian semasa berperang! Namun, perintah itu bukan daripada manusia tetapi daripada Yehuwa. Oleh sebab Yehosafat percaya sepenuhnya kepada Tuhannya, dia melakukan apa yang disuruh. Semasa dia dan rakyatnya pergi ke medan perang, barisan hadapan tenteranya tidak terdiri daripada askar-askar yang paling perkasa, tetapi para penyanyi yang tidak bersenjata. Meskipun begitu, Yehuwa telah menunaikan janji-Nya kepada Yehosafat dan mengalahkan seluruh pasukan tentera musuh.​—2 Taw. 20:18-23.

Pasangan yang baru berkahwin dapat mengutamakan Yehuwa dalam kehidupan mereka jika mereka berdoa dan mengkaji Firman-Nya (Lihat perenggan 8, 10)

8. Apakah yang dapat dipelajari para suami daripada Yehosafat?

8 Para suami, apakah yang dapat anda pelajari daripada contoh Yehosafat? Anda bertanggungjawab untuk menjaga keluarga anda, maka anda bekerja keras agar dapat melindungi dan menyara kehidupan mereka. Semasa berdepan dengan cabaran, anda mungkin berasa bahawa anda mampu menanganinya. Namun, lawanlah kecenderungan untuk bergantung pada kekuatan diri sendiri. Sebaliknya, mintalah bantuan Yehuwa dalam doa peribadi anda, dan berdoalah dengan bersungguh-sungguh bersama isteri anda. Selain itu, carilah nasihat Yehuwa dengan mengkaji Bible dan bahan bacaan Bible, dan terapkanlah nasihat yang anda jumpa. Apabila anda membuat keputusan yang selaras dengan nasihat Bible, orang lain mungkin tidak setuju dengan perbuatan anda dan berkata bahawa anda bodoh. Ada juga yang mungkin memberitahu anda bahawa wang dan harta ialah perlindungan yang terbaik untuk keluarga anda. Namun, ingatlah contoh Yehosafat. Dia percaya kepada Yehuwa dan membuktikan kepercayaannya menerusi perbuatannya. Sebagaimana Yehuwa tidak meninggalkan Yehosafat, Dia juga tidak akan meninggalkan anda. (Mzm. 37:28; Ibr. 13:5) Sekarang, mari kita membincangkan bagaimana pasangan suami isteri dapat menikmati kehidupan yang bahagia.

SEPERTI NABI YESAYA DAN ISTERINYA, UTAMAKANLAH KHIDMAT KEPADA YEHUWA

9. Apakah yang kita tahu tentang Nabi Yesaya dan isterinya?

9 Nabi Yesaya dan isterinya mengutamakan khidmat kepada Yehuwa. Yesaya ialah seorang nabi, dan isterinya juga mempunyai tugasan daripada Yehuwa, kerana dia dipanggil “nabi wanita.” (Yes. 8:1-4) Pasangan suami isteri ini menjadikan ibadat Yehuwa sebagai hal yang terpenting dalam kehidupan mereka. Mereka sesungguhnya teladan yang baik untuk suami isteri hari ini!

10. Mengapakah suami isteri yang mengkaji nubuat Bible akan lebih bertekad untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan sedaya upaya?

10 Seperti Yesaya dan isterinya, suami isteri dewasa ini dapat berkhidmat kepada Yehuwa dengan sedaya upaya. Untuk mendorong mereka berbuat demikian, mereka boleh mengkaji nubuat Bible dan melihat bagaimana nubuat Bible selalu menjadi kenyataan. Hal ini akan membantu mereka lebih mempercayai Yehuwa dan bertambah yakin bahawa nubuat Bible pasti berlaku. * (Tit. 1:2) Selain itu, mereka boleh merenungkan apa yang dapat mereka lakukan agar nubuat Bible tertentu menjadi kenyataan. Misalnya, Yesus telah menubuatkan bahawa berita baik akan disebarkan ke seluruh bumi sebelum akhir tiba. (Mat. 24:14) Apabila mereka merenungkan nubuat ini, mereka akan terdorong untuk menginjil dengan bersemangat agar nubuat ini menjadi kenyataan. Ya, dengan mengkaji nubuat Bible, sepasang suami isteri akan lebih bertekad untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan sedaya upaya.

SEPERTI PRISKILA DAN AKWILA, UTAMAKANLAH KERAJAAN TUHAN

11. Apakah yang dapat dilakukan oleh Priskila dan Akwila? Mengapakah mereka dapat melakukan semua itu?

11 Suami isteri yang muda dapat belajar sesuatu daripada Priskila dan Akwila, sepasang suami isteri Yahudi yang tinggal di kota Roma. Setelah mendengar berita baik tentang Yesus, mereka menjadi orang Kristian, dan hidup mereka tentu agak selesa. Namun, perubahan yang tidak diduga berlaku semasa Maharaja Klaudius mengarahkan semua orang Yahudi untuk meninggalkan Roma. Bayangkan, Akwila dan Priskila perlu meninggalkan tempat tinggal mereka, mencari rumah yang baharu, dan memulakan bisnes membuat khemah di tempat yang baharu. Meskipun begitu, mereka tetap mengutamakan Kerajaan Tuhan. Hasilnya, selepas berpindah ke Korintus, Akwila dan Priskila dapat membantu sidang di situ dan bekerja bersama Paulus untuk menguatkan saudara saudari mereka. Kemudian, mereka juga dapat berpindah ke pekan-pekan lain yang memerlukan bantuan. (Kis. 18:18-21; Rm. 16:3-5) Mereka pasti menikmati kehidupan yang sangat bermakna!

12. Mengapakah sepasang suami isteri patut menetapkan matlamat rohani?

12 Suami isteri dapat meniru teladan Priskila dan Akwila dengan mengutamakan Kerajaan Tuhan. Sebelum berkahwin, mereka patut berbincang tentang matlamat hidup mereka. Jika mereka menetapkan matlamat rohani bersama-sama dan berusaha mencapainya, mereka akan mempunyai lebih banyak peluang untuk merasai bimbingan kuasa suci Yehuwa dalam kehidupan mereka. (Pkh. 4:9, 12) Perhatikan contoh Russell dan Elizabeth. Russell berkata, “Semasa berdating, kami sudah bincang tentang matlamat rohani kami.” Elizabeth menambah, “Kami bincang hal itu supaya apabila kami perlu membuat apa-apa keputusan pada kemudian hari, kami akan memastikan keputusan kami tidak menghalang kami daripada mencapai matlamat rohani kami.” Russell dan Elizabeth telah berpindah ke Micronesia untuk berkhidmat di tempat yang memerlukan lebih banyak penyiar.

Pasangan yang baru berkahwin dapat mengutamakan Yehuwa dalam kehidupan mereka jika mereka menetapkan matlamat rohani (Lihat perenggan 13)

13. Menurut Mazmur 28:7, apakah hasilnya apabila kita percaya kepada Yehuwa?

13 Seperti Russell dan Elizabeth, banyak pasangan suami isteri memilih untuk hidup sederhana agar mereka dapat menggunakan lebih banyak masa untuk menginjil dan mengajar orang. Apabila suami isteri menetapkan matlamat rohani dan berusaha mencapainya, mereka akan meraih hasil yang baik. Mereka akan melihat bagaimana Yehuwa menjaga mereka, mereka akan semakin percaya kepada Yehuwa, dan mereka akan benar-benar bahagia.​—Baca Mazmur 28:7.

SEPERTI RASUL PETRUS DAN ISTERINYA, YAKINLAH PADA JANJI-JANJI YEHUWA

14. Bagaimanakah Rasul Petrus dan isterinya menunjukkan bahawa mereka mempercayai janji di Matius 6:25, 31-34?

14 Suami isteri juga boleh belajar daripada teladan Petrus dan isterinya. Kira-kira enam bulan sehingga setahun selepas berjumpa dengan Petrus buat kali pertama, Yesus telah menjemput Petrus untuk menginjil sepenuh masa bersamanya. Pada masa itu, Petrus bekerja sebagai nelayan untuk menyara keluarganya. Jadi, sebelum membuat keputusan yang penting itu, dia perlu mengambil kira keperluan keluarganya. (Luk. 5:1-11) Dia telah membuat keputusan yang bijak untuk mengikut Yesus, dan kita juga boleh percaya bahawa isteri Petrus menyokong keputusannya. Bible menyatakan bahawa selepas Yesus dibangkitkan, isteri Petrus pernah mengikut Petrus untuk menginjil dan melawat sidang. (1 Kor. 9:5) Isteri Petrus pasti seorang saudari Kristian yang baik, kerana Petrus dapat memberikan nasihat secara terbuka kepada suami isteri Kristian. (1 Ptr. 3:1-7) Jelaslah, Petrus dan isterinya mempercayai janji Yehuwa bahawa Dia pasti menjaga mereka jika mereka mengutamakan Kerajaan-Nya.​—Baca Matius 6:25, 31-34.

15. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Tiago dan Esther?

15 Jika anda sudah berkahwin untuk beberapa tahun, bagaimanakah anda dapat terus memupuk keinginan untuk meluaskan khidmat anda? Salah satu cara adalah dengan membaca pengalaman pasangan-pasangan lain, contohnya pengalaman dalam siri rencana “Mereka Rela Berkhidmat.” Rencana sebegini telah membantu Tiago dan Esther, sepasang suami isteri dari Brazil, untuk memupuk keinginan yang kuat untuk berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan. Tiago menjelaskan, “Semasa kami membaca pengalaman tentang bagaimana Yehuwa membantu hamba-hamba-Nya pada zaman moden, kami pun mahu merasai bimbingan dan jagaan Yehuwa.” Tiago dan Esther telah berpindah ke Paraguay dan berkhidmat dalam kawasan penyebaran bahasa Portugis sejak tahun 2014. Esther berkata, “Ayat kegemaran kami ialah Efesus 3:20. Sudah banyak kali kami melihat kata-kata itu menjadi kenyataan semasa berkhidmat kepada Yehuwa.” Dalam ayat itu, Paulus memberitahu orang Kristian di Efesus bahawa Yehuwa akan memberi kita jauh lebih banyak daripada apa yang kita minta. Yehuwa tidak pernah gagal menunaikan janji itu!

Pasangan yang baru berkahwin dapat mengutamakan Yehuwa dalam kehidupan mereka jika mereka meminta nasihat daripada orang Kristian yang matang (Lihat perenggan 16)

16. Semasa mempertimbangkan matlamat hidup mereka, pasangan yang muda dapat meminta nasihat siapa?

16 Pasangan yang muda, anda dapat meraih manfaat daripada pengalaman saudara saudari yang telah bergantung pada Yehuwa. Sesetengah pasangan telah menyertai khidmat sepenuh masa selama puluhan tahun. Jadi, mintalah nasihat mereka semasa anda perlu mempertimbangkan matlamat hidup anda. Hal ini merupakan satu lagi cara untuk menunjukkan bahawa anda percaya kepada Yehuwa. (Ams. 22:17, 19) Anda juga boleh meminta bantuan para penatua agar dapat menetapkan dan mencapai matlamat rohani.

17. Apakah yang berlaku kepada Klaus dan Marisa? Apakah yang kita pelajari daripada pengalaman mereka?

17 Ada kalanya, kita mungkin sudah memutuskan untuk meluaskan khidmat dalam cara tertentu, tetapi Yehuwa mungkin membuka jalan yang lain bagi kita pula. Fikirkan lagi contoh Klaus dan Marisa, yang disebut di awal rencana ini. Selepas berkahwin untuk tiga tahun, mereka meninggalkan rumah mereka dan menyertai kerja pembinaan di pejabat cawangan Finland secara sukarela. Namun, mereka kemudiannya diberitahu bahawa mereka hanya boleh tinggal di situ selama enam bulan. Pada mulanya, mereka berasa kecewa. Tetapi tidak lama selepas itu, mereka dijemput untuk mengikut kelas bahasa Arab. Kini, mereka berkhidmat dengan gembira di negara lain dalam kawasan penyebaran bahasa Arab. Mengenang kembali apa yang berlaku, Marisa mengaku, “Bila kita perlu keluar dari zon selesa dan serahkan segala-galanya dalam tangan Yehuwa, kita memang akan rasa takut. Tapi saya sudah lihat bagaimana Yehuwa sentiasa bantu kita dalam cara yang tidak disangkakan. Pengalaman ini telah menguatkan keyakinan saya kepada Yehuwa.” Contoh Klaus dan Marisa menunjukkan bahawa jika kita percaya sepenuhnya kepada Yehuwa, Dia pasti memberkati kita.

18. Apakah yang dapat membantu suami isteri untuk terus percaya kepada Yehuwa?

18 Perkahwinan ialah kurniaan Yehuwa. (Mat. 19:5, 6) Dia ingin suami isteri menikmati kurniaan itu. (Ams. 5:18) Jadi, pasangan yang muda, periksalah bagaimana anda sedang menggunakan kehidupan anda. Adakah anda berusaha sedaya upaya untuk menunjukkan bahawa anda menghargai segala kurniaan Yehuwa? Untuk membantu anda berbuat demikian, berdoalah kepada Yehuwa dan carilah prinsip Bible yang sesuai dengan keadaan anda. Kemudian, ikutlah nasihat yang anda terima daripada Yehuwa. Jika anda mengutamakan khidmat kepada Yehuwa dalam perkahwinan anda, kehidupan anda pasti bahagia dan bermakna!

LAGU 132 Kini Kita Sudah Bersatu

^ per. 5 Sesetengah keputusan yang kita buat akan menentukan seberapa banyak masa dan tenaga yang kita ada untuk berkhidmat kepada Yehuwa. Pasangan yang baru berkahwin perlu membuat banyak keputusan yang akan mempengaruhi seluruh kehidupan mereka. Rencana ini akan membantu mereka membuat keputusan yang bijak supaya mereka menikmati kehidupan yang bahagia dan bermakna.

^ per. 5 Sesetengah nama telah diubah.