Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Saya Mencari Kehidupan yang Bermakna

Saya Mencari Kehidupan yang Bermakna

SEMASA berlayar di tengah Laut Mediterranean, saya terkejut ketika mendapati bahawa perahu layar saya mengalami kebocoran dan sedang dipenuhi air. Kemudian, apabila ribut melanda, saya sangat takut. Jadi, buat kali pertama setelah bertahun-tahun lamanya, saya berdoa kepada Tuhan. Mengapakah saya berada di tengah laut? Biar saya ceritakan apa yang berlaku sebelum itu.

Semasa saya berumur tujuh tahun, saya dan keluarga saya tinggal di Brazil

Saya lahir di Belanda pada tahun 1948. Tahun berikutnya, keluarga saya berpindah ke São Paulo, Brazil. Ibu bapa saya sangat aktif dalam gereja, dan kami selalu membaca Bible bersama-sama selepas makan malam. Pada tahun 1959, kami berhijrah ke Amerika Syarikat dan menetap di Massachusetts.

Bapa bekerja keras untuk menyara keluarga kami yang mempunyai lapan orang. Dia pernah bekerja sebagai jurujual, pekerja pembinaan jalan, dan wakil jualan untuk syarikat penerbangan antarabangsa. Kami semua sangat gembira semasa dia bekerja untuk syarikat penerbangan kerana kami dapat melancong ke banyak tempat.

Semasa sekolah menengah, saya sering fikir, “Apa yang akan saya buat selepas tamat sekolah?” Ada kawan saya yang ingin pergi ke universiti, manakala yang lain ingin menyertai tentera. Saya tidak suka bergaduh, apatah lagi berperang. Jadi, saya memilih untuk pergi ke universiti kerana tidak mahu menyertai tentera. Namun, jauh dalam sudut hati saya, saya ingin melakukan sesuatu untuk membantu orang, kerana saya fikir itu akan memberi saya hidup yang bermakna.

KEHIDUPAN DI UNIVERSITI

Selama bertahun-tahun, saya mencari makna kehidupan

Di universiti, saya memilih bidang antropologi, kerana saya berminat tentang asal usul kehidupan. Para pensyarah mengajar kami tentang evolusi dan ingin kami menerimanya sebagai fakta. Namun, saya mendapati bahawa sesetengah penjelasan mereka tidak masuk akal dan tidak berdasarkan bukti yang kukuh.

Dalam kelas, kami tidak diajar prinsip tentang apa yang baik dan buruk. Sebaliknya, kami diberitahu bahawa kami bebas melakukan apa-apa sahaja asalkan kami mendapat keputusan yang cemerlang. Saya berasa seronok semasa berparti dengan kawan-kawan dan mengambil dadah, tetapi rasa seronok itu tidak kekal. Jadi saya tertanya-tanya, “Adakah hidup ini ada tujuan?”

Kemudian, saya berpindah ke bandar Boston dan memasuki sebuah universiti di situ. Untuk membayar yuran, saya bekerja semasa cuti, dan itulah masanya saya berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa buat kali pertama. Seorang rakan sekerja memberitahu saya tentang nubuat “tujuh waktu” di Daniel bab empat dan menjelaskan bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir. (Dan. 4:13-17) Tidak lama kemudian, saya sedar bahawa jika saya terus membincangkan Bible bersamanya dan mempercayai ajaran Bible, saya perlu mengubah gaya hidup saya. Jadi saya cuba mengelak daripada berjumpa dengan rakan sekerja itu.

Di universiti, saya mengambil kursus yang akan mempersiapkan saya untuk kerja sukarela di Amerika Selatan. Saya sangka menyertai misi kemanusiaan akan memberi saya hidup yang bermakna, tetapi kemudian saya sedar itu pun tidak membawa makna dalam kehidupan. Saya rasa kecewa lalu meninggalkan universiti pada akhir semester.

MENCARI KEHIDUPAN YANG BERMAKNA DI NEGARA ASING

Pada Mei 1970, saya berpindah ke Amsterdam, Belanda, untuk bekerja bagi syarikat penerbangan yang pernah mengupah bapa saya. Kerja itu membolehkan saya melawat banyak negara di Afrika, Amerika Utara, Amerika Selatan, Asia, dan Eropah. Di mana sahaja saya lawat, saya nampak banyak masalah yang besar, dan tiada orang yang mempunyai penyelesaiannya. Sekali lagi, saya berhasrat untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi orang lain. Jadi, saya kembali ke Amerika Syarikat dan pergi ke universiti yang sama di Boston.

Tidak lama selepas kembali ke universiti, saya mendapati bahawa soalan-soalan saya tentang kehidupan masih belum terjawab. Saya rasa buntu, jadi saya meminta nasihat daripada profesor antropologi saya. Saya terkejut semasa dia berkata, “Jadi, buat apa kamu teruskan kajian? Berhenti sajalah!” Betul cakapnya. Maka saya meninggalkan universiti dan tidak kembali lagi.

Hidup saya masih tidak bermakna, jadi saya memilih untuk bergaul dengan orang daripada generasi flower-power. Kumpulan ini ingin bebas daripada peraturan masyarakat dan kononnya mementingkan kasih dan kedamaian. Dari Boston, saya dan beberapa orang kawan mengembara di Amerika Syarikat sehinggalah kami tiba di Acapulco, Mexico. Kami hidup bersama golongan hipi, yang menolak kebiasaan-kebiasaan masyarakat dan nampaknya bebas daripada kerisauan. Tetapi saya kemudiannya mendapati bahawa cara hidup mereka pun tidak bermakna dan tidak membawa kebahagiaan yang kekal. Bukan itu sahaja, mereka juga tidak jujur dan tidak setia.

MENCARI KEHIDUPAN YANG BERMAKNA DI PERAHU LAYAR

Bersama seorang kawan, saya mencari pulau yang cantik

Sekitar masa itu, saya terfikir tentang impian zaman kanak-kanak saya. Saya ingin belayar, bukan sebagai anak kapal, tetapi sebagai kapten. Maksudnya, saya perlu memiliki perahu layar sendiri. Tom, seorang kawan saya, juga mempunyai impian yang sama, jadi kami memutuskan untuk belayar mengelilingi dunia bersama-sama. Saya ingin mencari sebuah pulau tropika yang cantik, yang bebas daripada peraturan masyarakat.

Saya dan Tom pergi ke Arenys de Mar, berdekatan Barcelona, Sepanyol. Di situ, kami membeli sebuah perahu layar jenis kayu yang panjangnya 9.4 meter, yang bernama Llygra. Kami membina semula perahu itu agar lebih selamat untuk belayar di laut. Destinasi kami ialah Seychelles di Lautan Hindi, tetapi memandangkan kami tidak tergesa-gesa untuk sampai di situ, kami mengeluarkan enjin perahu dan menggunakan ruang yang ada untuk menyimpan air minuman. Kami juga memasang dua batang pendayung yang panjangnya lima meter agar dapat mengemudi perahu di pelabuhan yang kecil. Akhirnya, kami pun bertolak. Kami merancang untuk belayar menyusuri pantai barat Afrika sehingga ke Cape of Good Hope di Afrika Selatan, dan menuju ke Seychelles. Semasa belayar, kami menggunakan sekstan, iaitu sejenis alat navigasi yang ringkas, dan melihat bintang, carta bintang, dan buku lain, untuk mengetahui hala tuju kami. Saya sangat kagum kerana kami selalu dapat mengira kedudukan kami dengan tepat.

Tidak lama selepas itu, kami mendapati bahawa perahu kami tidak selamat untuk belayar di laut. Perahu kami ada kebocoran, dan setiap jam, kira-kira 22 liter air akan memasukinya! Seperti yang disebut di awal rencana ini, saya menjadi sangat takut semasa ribut melanda. Buat kali pertama selepas bertahun-tahun lamanya, saya berdoa kepada Tuhan dan berjanji bahawa jika kami terselamat, saya mahu mengenali-Nya. Apabila ribut itu reda, saya menunaikan janji saya.

Selepas itu, saya mula membaca Bible sambil menikmati alam semula jadi di tengah Laut Mediterranean. Saya berasa sangat gembira semasa dikelilingi ikan terbang, ikan lumba-lumba, dan laut yang terbentang luas. Pada waktu malam, saya memandang galaksi Bima Sakti yang mengagumkan, dan saya semakin percaya bahawa Tuhan yang mengambil berat tentang manusia memang wujud.

Beberapa minggu kemudian, kami tiba di pelabuhan di Alicante, Sepanyol. Kami cuba menjual perahu layar kami agar dapat membeli perahu layar yang lebih baik, tetapi agak susah untuk mencari pembeli sebab perahu layar kami jenis yang lama, tiada enjin, dan bocor. Sementara menunggu, saya mempunyai banyak masa untuk membaca Bible.

Apabila saya semakin kerap membaca Bible, saya semakin sedar bahawa Bible merupakan pedoman untuk berjaya dalam hidup. Saya sangat kagum kerana Bible jelas menyatakan bahawa kita harus hidup murni dan bermoral. Namun, saya juga tertanya-tanya mengapa terdapat ramai orang, termasuk saya, yang mengaku diri Kristian tetapi tidak hidup menurut ajaran Bible.

Saya bertekad untuk mengubah kehidupan saya, jadi saya berhenti mengambil dadah. Pada masa yang sama, saya berfikir bahawa pasti ada orang lain yang hidup menurut prinsip moral Bible, dan saya ingin menemui mereka. Jadi, buat kali kedua, saya berdoa kepada Tuhan. Saya meminta-Nya membantu saya mencari mereka.

MENCARI AGAMA YANG BENAR

Saya bercadang untuk mengkaji setiap agama satu demi satu sehingga saya menemui agama yang benar. Semasa berjalan di Alicante, saya nampak banyak rumah ibadat, tetapi kebanyakannya mempunyai patung berhala. Jadi, saya menyimpulkan bahawa semua itu bukan agama yang benar.

Satu petang hari Ahad, saya berada di atas sebuah bukit berdekatan pelabuhan dan membaca Yakobus 2:1-5. Ayat itu menyatakan bahawa kita tidak patut memberikan layanan istimewa kepada seseorang hanya kerana dia kaya. Dalam perjalanan pulang ke perahu layar, saya lalu di sebuah bangunan yang nampaknya merupakan tempat ibadat. Di atas pintu masuknya terdapat tanda: “Dewan Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa.”

Saya fikir, “Saya mahu uji kumpulan ini. Tengok macam mana mereka layan saya.” Jadi saya melangkah masuk ke Dewan Perjumpaan tanpa memakai kasut, dengan janggut yang panjang, dan dengan seluar jean yang koyak rabak. Atendan di situ menjemput saya untuk duduk di sebelah seorang wanita tua yang baik hati. Wanita itu membantu saya mencari ayat-ayat Bible yang disebut oleh penceramah. Selepas perjumpaan, saya berasa terkejut kerana banyak orang datang untuk bersalam dengan saya. Seorang lelaki bahkan menjemput saya ke rumahnya untuk berbincang tentang Bible. Namun, saya belum membaca habis seluruh Bible, jadi saya berkata kepadanya, “Saya akan beritahu kamu bila saya sudah bersedia.” Tetapi sejak itu, saya mula menghadiri semua perjumpaan.

Beberapa minggu kemudian, saya pergi ke rumah lelaki itu, dan dia menjawab soalan-soalan saya tentang Bible. Seminggu selepas itu, dia memberi saya sebuah beg berisi pakaian yang elok. Dia memberitahu saya bahawa tuan punya pakaian itu dipenjarakan kerana mentaati perintah Bible untuk mengasihi satu sama lain dan tidak belajar berperang. (Yes. 2:4; Yoh. 13:34, 35) Akhirnya, saya menjumpai apa yang saya cari selama ini: Sekumpulan orang yang hidup menurut prinsip moral Bible! Saya tidak lagi ingin mencari pulau yang cantik, tetapi saya ingin mengkaji Bible dengan lebih mendalam. Maka saya pulang ke Belanda.

MENCARI KERJA

Saya mengambil masa empat hari untuk sampai di kota Groningen di Belanda. Di situ, saya perlu mencari kerja untuk menyara hidup. Semasa memohon pekerjaan di sebuah kedai pertukangan kayu, saya disuruh menuliskan agama saya pada borang permohonan. Jadi saya menulis, “Saksi-Saksi Yehuwa.” Apabila pemilik kedai itu melihat borang saya, raut wajahnya berubah. “Saya akan hubungi kamu nanti,” katanya. Tetapi dia langsung tidak menghubungi saya.

Kemudian, saya mencari kerja di kedai pertukangan kayu lain. Semasa pemilik kedai itu meminta diploma dan surat pengesahan pekerja, saya menjelaskan bahawa saya pernah membaiki perahu layar jenis kayu. Saya tidak sangka dia akan berkata, “Baiklah, kamu boleh mula bekerja petang ini, tapi ada satu syarat: Jangan buat hal dalam kedai saya, sebab saya seorang Saksi-Saksi Yehuwa dan saya hidup menurut prinsip Bible.” Dengan mata yang terbeliak, saya menjawab, “Saya pun Saksi!” Melihat rambut dan janggut saya yang panjang, dia berkata, “Kalau begitu, saya akan belajar Bible dengan kamu!” Saya segera menerima tawarannya. Sekarang, barulah saya tahu mengapa pemilik kedai yang pertama tidak menghubungi saya. Rupa-rupanya Yehuwa telah mengabulkan doa saya. (Mzm. 37:4) Saya bekerja di kedai saudara itu dan belajar Bible dengannya selama setahun. Kemudian saya dibaptis pada Januari 1974.

AKHIRNYA, SAYA JUMPA HIDUP YANG BERMAKNA!

Sebulan selepas dibaptis, saya mula merintis, dan kerja itu memberi saya kepuasan yang besar. Bulan berikutnya, saya berpindah ke Amsterdam untuk menyertai kumpulan bahasa Sepanyol yang baru ditubuhkan. Alangkah gembiranya saya kerana dapat mengadakan pembelajaran Bible dalam bahasa Sepanyol dan Portugis! Pada Mei 1975, saya dilantik sebagai perintis khas.

Suatu hari, Saudari Ineke, seorang perintis khas, datang ke perjumpaan bahasa Sepanyol kami untuk memperkenalkan pelajar Biblenya dari Bolivia. Selepas itu, saya dan Ineke ingin lebih mengenali satu sama lain, jadi kami saling menulis surat. Setelah mengetahui bahawa kami mempunyai matlamat yang sama, kami berkahwin pada tahun 1976 dan terus berkhidmat sebagai perintis khas sehingga tahun 1982. Selepas itu, kami dijemput untuk menghadiri kelas ke-73 Sekolah Gilead dan ditugaskan ke Afrika Timur. Kami berkhidmat selama lima tahun di Mombasa, Kenya, dan pada tahun 1987, kami ditugaskan ke Tanzania setelah kerja penyebaran di situ tidak lagi diharamkan. Kami tinggal di Tanzania selama 26 tahun lalu kembali ke Kenya.

Saya dan isteri sangat bersukacita kerana dapat mengajar orang di Afrika Timur tentang kebenaran

Hidup kami benar-benar bermakna kerana dapat membantu orang yang berhati jujur mempelajari kebenaran Bible. Misalnya, pelajar Bible saya yang pertama di Mombasa merupakan seorang lelaki yang ditemui semasa kesaksian awam. Apabila saya menawarkan dua naskah majalah kepadanya, dia berkata, “Selepas saya baca ini, apa yang harus saya buat?” Minggu seterusnya, kami memulakan pembelajaran Bible dengan menggunakan buku You Can Live Forever in Paradise on Earth yang baru dikeluarkan dalam bahasa Swahili. Setahun kemudian, lelaki itu dibaptis dan menjadi perintis biasa. Setakat ini, dia dan isterinya telah membantu hampir 100 orang untuk membaktikan diri dan dibaptis.

Saya dan Ineke telah merasai bagaimana Yehuwa memberkati umat-Nya dan mengurniai mereka kehidupan yang penuh makna

Kali pertama saya memahami tujuan hidup saya, saya berasa seperti saudagar dalam perumpamaan Yesus yang sanggup melepaskan segala-galanya untuk membeli sebutir mutiara yang bermutu tinggi. (Mat. 13:45, 46) Jadi, saya berhasrat menghabiskan seumur hidup saya untuk membantu orang lain menemui kehidupan yang bermakna. Daripada pengalaman kami sendiri, saya dan isteri saya telah merasai bagaimana Yehuwa memberkati umat-Nya dan mengurniai mereka kehidupan yang penuh makna.