Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 47

Seberapa Kuatkah Iman Anda?

Seberapa Kuatkah Iman Anda?

“Janganlah susah hati. Berimanlah kepada Tuhan.”​YOH. 14:1.

LAGU 119 Kita Mesti Memiliki Iman

PENGENALAN *

1. Apakah pertanyaan yang mungkin kita fikirkan?

PERNAHKAH anda berasa takut semasa memikirkan peristiwa-peristiwa yang bakal berlaku, seperti pembinasaan agama palsu, serangan Gog dari Magog, dan perang Armagedon? Adakah anda kadangkala tertanya-tanya, “Apabila hal-hal yang menakutkan itu berlaku, dapatkah saya tetap setia kepada Tuhan?” Jika pertanyaan ini pernah terlintas dalam fikiran anda, kata-kata Yesus dalam ayat tema rencana ini akan menguatkan anda. Yesus memberitahu murid-muridnya, “Janganlah susah hati. Berimanlah kepada Tuhan.” (Yoh. 14:1) Ya, iman yang kuat akan membantu kita menghadapi masa depan dengan yakin dan berani.

2. Bagaimanakah kita dapat menguatkan iman kita? Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Jika kita memperhatikan reaksi kita semasa iman kita diuji sekarang, kita dapat menguatkan iman kita untuk menghadapi cubaan pada masa depan. Hal ini demikian kerana cubaan yang melanda kita sekarang dapat menunjukkan titik-titik kelemahan dalam iman kita yang perlu dibaiki. Jadi, setiap cubaan yang kita harungi sekarang dapat menguatkan iman kita untuk menghadapi ujian pada masa depan. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan empat situasi yang dihadapi oleh murid-murid Yesus, yang menunjukkan bahawa mereka memerlukan lebih banyak iman. Kemudian, kita akan melihat bagaimana kita mungkin menghadapi situasi yang sama pada zaman ini dan bagaimana situasi sebegini dapat membantu kita bersiap sedia untuk menghadapi cabaran pada masa depan.

BERIMAN BAHAWA TUHAN AKAN MENJAGA KEPERLUAN FIZIKAL KITA

Kita mungkin menghadapi masalah kewangan, tetapi iman akan membantu kita tetap berfokus kepada Kerajaan Tuhan (Lihat perenggan 3-6)

3. Apakah kebenaran yang ditegaskan oleh Yesus di Matius 6:30, 33?

3 Seorang ketua keluarga memang ingin menyediakan makanan, pakaian, dan tempat tinggal, untuk isteri dan anak-anaknya. Namun, hal ini mencabar pada masa sekarang. Sesetengah rakan seiman kita telah kehilangan kerja, dan mereka tidak dapat mencari kerja yang baharu walaupun sudah puas mencari. Yang lain pula perlu menolak tawaran kerja yang tidak sesuai bagi orang Kristian. Semasa menghadapi situasi sebegini, kita perlu iman yang kuat bahawa Yehuwa akan memastikan agar kita dapat menjaga keperluan fizikal keluarga kita. Yesus telah menegaskan kebenaran ini dalam Ceramah Di Atas Gunung. (Baca Matius 6:30, 33.) Jika kita yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa tidak akan meninggalkan kita, kita akan tetap berfokus kepada Kerajaan Tuhan biarpun kita kehilangan kerja. Apabila kita melihat bagaimana Yehuwa menjaga keperluan fizikal kita, Dia akan menjadi lebih nyata bagi kita dan iman kita akan menjadi lebih kuat.

4-5. Bagaimanakah sebuah keluarga menangani kekhuatiran tentang keperluan fizikal?

4 Perhatikan bagaimana sebuah keluarga di Venezuela merasai bantuan Yehuwa semasa mereka khuatir tentang keperluan fizikal mereka. Keluarga Saudara Miguel mengusahakan ladang milik mereka sendiri, dan pendapatan mereka cukup untuk menyara keluarga mereka. Namun kemudian, sekumpulan lelaki bersenjata telah merampas ladang mereka dan menghalau mereka. Saudara Miguel berkata, “Sekarang kami menumpang di sebidang tanah kecil milik orang lain dan mengusahakan tanah itu. Setiap hari, hal pertama yang saya buat ialah meminta Yehuwa untuk menyediakan keperluan kami bagi hari itu.” Hidup keluarga Miguel memang susah, tetapi mereka mempunyai iman yang kuat bahawa Bapa kita yang pengasih akan menjaga keperluan seharian mereka. Jadi, mereka terus menginjil dan menghadiri perjumpaan secara tetap. Oleh sebab mereka mengutamakan Kerajaan Tuhan, Yehuwa sentiasa menyediakan keperluan mereka.

5 Sepanjang masa yang susah itu, Miguel dan isterinya Yurai sentiasa ingat bagaimana Yehuwa menjaga mereka. Sebagai contoh, Yehuwa pernah menggunakan saudara saudari lain untuk memberi mereka barang yang diperlukan atau membantu Miguel mencari kerja. Yehuwa juga pernah menggunakan pejabat cawangan untuk memberi mereka barang keperluan asas. Oleh sebab mereka dapat melihat bahawa Yehuwa tidak pernah meninggalkan mereka, iman keluarga mereka telah bertambah kuat. Setelah Yoselin, iaitu anak perempuan sulung mereka, menceritakan satu pengalaman tentang bagaimana Yehuwa membantu keluarganya, dia berkata, “Saya terharu semasa merasai bantuan Yehuwa. Saya menganggap-Nya sebagai sahabat yang sentiasa boleh diharapkan.” Yoselin menambah, “Cabaran yang kami lalui telah mempersiapkan kami untuk menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa depan.”

6. Bagaimanakah anda dapat menguatkan iman anda semasa menghadapi masalah kewangan?

6 Adakah anda menghadapi masalah kewangan sekarang? Jika ya, situasi anda memang mencabar. Namun, anda boleh menggunakan masa yang susah ini untuk menguatkan iman anda. Bagaimana? Berdoalah dan bacalah kata-kata Yesus di Matius 6:25-34, dan renungkanlah kata-kata itu. Kajilah pengalaman zaman moden tentang bagaimana Yehuwa pernah menjaga rakan seiman kita yang tetap sibuk dalam kegiatan rohani. (1 Kor. 15:58) Dengan melakukan hal-hal ini, anda akan bertambah yakin bahawa Bapa anda yang di syurga pasti membantu anda sebagaimana Dia telah membantu orang lain yang dilanda masalah kewangan. Ingatlah, Dia tahu apa yang anda perlukan, dan Dia tahu cara untuk memenuhi keperluan anda. Apabila anda merasai bagaimana Yehuwa membantu anda, iman anda akan dikuatkan, dan anda akan dapat menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa depan.​—Hab. 3:17, 18.

BERIMAN SEMASA DILANDA “RIBUT KENCANG”

Iman yang kuat dapat bantu kita tetap tabah semasa dilanda ribut yang sebenar atau masalah besar yang bagaikan ribut kencang (Lihat perenggan 7-11)

7. Menurut Matius 8:23-26, bagaimanakah sebuah “ribut kencang” menguji iman murid-murid Yesus?

7 Pernah sekali, semasa Yesus dan murid-muridnya menaiki perahu, ribut kencang telah melanda. Yesus menggunakan peristiwa itu untuk membantu murid-muridnya faham bahawa mereka perlu menguatkan iman mereka. (Baca Matius 8:23-26.) Semasa perahu mereka dipukul ombak dan dipenuhi air, murid-murid Yesus sangat takut, tetapi Yesus pula tidur nyenyak. Apabila mereka membangunkan Yesus dan memintanya menyelamatkan mereka, Yesus menegur mereka, “Mengapakah kamu begitu takut? Alangkah lemahnya iman kamu!” Ya, murid-murid Yesus sepatutnya ingat bahawa Yehuwa mampu melindungi Yesus dan para pengikutnya. Apakah pengajarannya bagi kita? Jika kita mempunyai iman yang kuat, kita dapat tetap teguh semasa dilanda ribut yang sebenar atau bahkan masalah besar yang bagaikan ribut.

8-9. Bagaimanakah iman Anel telah diuji? Apakah yang membantunya tetap tabah?

8 Perhatikan pengalaman Anel, seorang saudari bujang dari Puerto Rico. Dia telah dilanda “ribut kencang” yang sebenar, dan ujian itu telah menguatkan imannya. Pada tahun 2017, Taufan Maria telah memusnahkan rumah Anel dan menyebabkan Anel kehilangan kerja. Dia berkata, “Masa itu, saya memang risau. Tapi saya belajar untuk berdoa dan bergantung pada Yehuwa, dan bukannya membiarkan diri lemas dalam rasa khuatir.”

9 Menurut Anel, terdapat satu hal lagi yang membantunya bertabah, iaitu ketaatan. Anel berkata, “Oleh sebab saya mengikut arahan organisasi, saya dapat tetap tenang. Saya dapat rasai bantuan Yehuwa melalui galakan dan bantuan fizikal yang disediakan oleh saudara saudari.” Dia menambah, “Yehuwa beri saya jauh lebih banyak daripada apa yang saya minta, dan hal ini telah menguatkan iman saya.”

10. Apakah yang dapat anda lakukan jika hidup anda dilanda “ribut kencang”?

10 Adakah anda sedang menghadapi “ribut kencang” dalam kehidupan anda? “Ribut kencang” itu mungkin masalah yang disebabkan bencana alam, atau cabaran lain seperti masalah kesihatan yang membuat anda rasa tawar hati dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Hal-hal sebegini mungkin membuat anda berasa khuatir, tetapi janganlah membiarkan rasa khuatir itu menghalang anda daripada percaya kepada Yehuwa. Sebaliknya, berdoalah dengan bersungguh-sungguh dan hampirilah Yehuwa. Kuatkanlah iman anda dengan merenungkan bagaimana Yehuwa telah membantu anda pada masa lalu. (Mzm. 77:11, 12) Dengan itu, anda akan yakin bahawa Dia sama sekali tidak akan meninggalkan anda, baik sekarang mahupun untuk selama-lamanya.

11. Mengapakah kita harus bertekad untuk mentaati mereka yang mengambil pimpinan?

11 Daripada contoh Anel, dapatkah anda melihat satu lagi hal yang dapat membantu anda tetap tabah semasa diuji? Ketaatan. Maka, belajarlah untuk mempercayai orang yang dilantik oleh Yehuwa dan Yesus. Ada kalanya, mereka mungkin memberikan arahan yang nampaknya tidak masuk akal. Namun, ingatlah bahawa Yehuwa memberkati orang yang taat. Terdapat banyak kisah Bible dan pengalaman penyembah Yehuwa yang menunjukkan bahawa jika kita taat, kita akan selamat. (Kel. 14:1-4; 2 Taw. 20:17) Renungkanlah contoh-contoh sebegini. Dengan itu, anda akan lebih bertekad untuk mematuhi semua arahan organisasi sekarang dan pada masa depan. (Ibr. 13:17) Jika anda berbuat demikian, anda tidak perlu berasa takut semasa berdepan dengan ribut yang lebih dahsyat pada masa depan, iaitu kesengsaraan besar.​—Ams. 3:25.

BERIMAN SEMASA DILAYAN DENGAN TIDAK ADIL

Doa yang sungguh-sungguh akan menguatkan iman kita (Lihat perenggan 12)

12. Menurut Lukas 18:1-8, bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita beriman semasa dilayan dengan tidak adil?

12 Yesus tahu bahawa iman murid-muridnya akan diuji semasa mereka dilayan dengan tidak adil. Jadi, untuk membantu mereka, dia menceritakan sebuah perumpamaan yang tercatat dalam buku Lukas. Dalam cerita Yesus, seorang balu asyik meminta seorang hakim untuk menegakkan keadilan baginya. Walaupun hakim itu bukan orang yang baik, balu itu yakin bahawa jika dia terus meminta bantuan, hakim tersebut akan menolongnya. Akhirnya, hakim itu telah menegakkan keadilan baginya. Apakah pengajarannya bagi kita? Yehuwa ialah Tuhan yang adil, maka Dia pasti akan membantu penyembah-Nya yang terus meminta bantuan-Nya. Yesus berkata, “Dalam cara yang sama, walaupun Tuhan sabar, tidakkah Dia akan menegakkan keadilan bagi umat pilihan-Nya yang berseru kepada-Nya siang dan malam?” Selepas membuat kesimpulan ini, Yesus menyatakan bahawa kita perlu beriman bahawa Yehuwa akan membantu kita. Dia bertanya, “Semasa Anak Manusia tiba, dapatkah dia menemui iman sejati di bumi?” (Baca Lukas 18:1-8.) Ya, jika kita mempunyai iman sejati yang disebut oleh Yesus, kita akan terus bersabar dan terus memohon bantuan Yehuwa semasa dilayan dengan tidak adil. Apabila kita menunjukkan bahawa kita memiliki iman yang kuat seperti balu itu, kita dapat yakin bahawa Yehuwa pasti bertindak bagi pihak kita pada masa yang ditentukan-Nya. Selain itu, kita perlu percaya bahawa doa itu berkuasa, dan bahawa Yehuwa mungkin menjawab doa kita dalam cara yang tidak disangkakan.

13. Bagaimanakah doa membantu sebuah keluarga yang dilayan dengan tidak adil?

13 Perhatikan pengalaman Saudari Vero, yang tinggal di Republik Demokratik Congo. Semasa kumpulan militan menyerang kampung mereka, Vero dan suaminya yang bukan Saksi serta anak perempuan mereka yang berusia 15 tahun, terpaksa melarikan diri. Dalam perjalanan, mereka ditahan dalam satu sekatan jalan, dan pihak militan mengugut hendak membunuh mereka. Apabila Vero mula menangis, anak perempuannya cuba menenangkannya dengan berdoa dengan suara yang lantang dan berulang kali menyebut nama Yehuwa dalam doanya. Selepas dia habis berdoa, komander kumpulan militan itu bertanya, “Siapa yang ajar kamu berdoa?” Anak perempuan itu menjawab, “Ibu saya yang ajar saya. Dia guna contoh doa di Matius 6:9-13.” Kemudian, komander itu berkata, “Pergilah dengan aman bersama ibu bapamu. Semoga Tuhanmu Yehuwa melindungimu!”

14. Apakah yang mungkin menguji iman kita? Apakah yang dapat membantu kita agar tetap tabah?

14 Pengalaman sebegini mengajar kita agar tidak meremehkan kuasa doa. Namun, jika doa anda tidak dijawab dengan segera atau dalam cara yang menakjubkan, hal itu mungkin menguji iman anda. Apakah yang dapat bantu anda tetap tabah? Seperti balu dalam perumpamaan Yesus, teruslah berdoa dan yakinlah bahawa Tuhan kita tidak akan meninggalkan anda. Percayalah bahawa Dia pasti menjawab doa anda pada masa dan dalam cara yang ditentukan-Nya. Selain itu, teruslah merayu agar Yehuwa memberi anda kuasa suci-Nya. (Flp. 4:13) Ingatlah bahawa tidak lama lagi, Yehuwa akan memberi anda berkat yang begitu besar sehingga segala penderitaan anda pun akan dilupakan. Apabila anda bergantung pada Yehuwa dan menghadapi cubaan dengan tabah, anda akan dikuatkan untuk menghadapi cabaran pada masa depan.​—1 Ptr. 1:6, 7.

BERIMAN SEMASA MENGHADAPI KESUSAHAN

15. Menurut Matius 17:19, 20, apakah cabaran yang dihadapi murid-murid Yesus?

15 Yesus mengajar murid-muridnya bahawa iman akan membantu mereka mengatasi cabaran. (Baca Matius 17:19, 20.) Pernah sekali, murid-muridnya gagal mengusir roh jahat walaupun mereka pernah berjaya melakukan mukjizat ini. Mengapa? Yesus menjelaskan bahawa mereka memerlukan lebih banyak iman. Dia berkata bahawa jika iman mereka cukup kuat, mereka dapat mengatasi cabaran yang bagaikan gunung! Hari ini, kita juga mungkin menghadapi cabaran yang nampaknya mustahil diatasi.

Kita mungkin berasa sangat sedih, tetapi iman akan membantu kita tetap sibuk berkhidmat kepada Yehuwa (Lihat perenggan 16)

16. Bagaimanakah iman membantu Geydi setelah dia ditimpa tragedi?

16 Perhatikan pengalaman Geydi, seorang saudari dari Guatemala. Suaminya, Edi, dibunuh semasa mereka pulang dari perjumpaan. Bagaimanakah iman Geydi membantunya berdepan dengan tragedi itu? Dia berkata, “Melalui doa, saya melemparkan beban saya kepada Yehuwa, dan saya berasa lebih tenang. Saya juga dapat merasai bantuan Yehuwa melalui ahli keluarga dan sahabat-sahabat dalam sidang. Apabila saya tetap sibuk dalam kegiatan rohani, hal itu mengurangkan kesedihan saya, dan saya dapat hidup sehari demi sehari dan tidak terlalu khuatir tentang hari esok. Pengalaman ini mengajar saya bahawa tidak kira apa cubaan yang akan berlaku, saya mampu menghadapinya dengan adanya bantuan Yehuwa, Yesus, dan organisasi Tuhan.”

17. Apakah yang dapat kita lakukan semasa menghadapi cabaran yang nampaknya mustahil diatasi?

17 Adakah anda sedang bersedih kerana kematian orang tersayang? Luangkanlah masa untuk menguatkan iman anda terhadap harapan pembangkitan dengan membaca kisah Bible tentang orang yang dibangkitkan. Adakah anda berasa pilu kerana seorang ahli keluarga telah disingkirkan? Buatlah pembelajaran untuk meyakinkan diri anda bahawa cara Yehuwa memberikan disiplin ialah cara yang terbaik. Tidak kira apa cabaran yang anda hadapi, anggaplah cabaran itu sebagai peluang untuk menguatkan iman anda. Bagaimana? Curahkan isi hati anda kepada Yehuwa. Janganlah mengasingkan diri, sebaliknya teruslah bergaul dengan saudara saudari anda. (Ams. 18:1) Lakukan kegiatan yang dapat membantu anda bertabah, biarpun anda harus melakukannya sambil menitiskan air mata. (Mzm. 126:5, 6) Teruskan tabiat menghadiri perjumpaan, menginjil, dan membaca Bible. Selain itu, teruslah bertumpu kepada berkat-berkat yang dijanjikan Yehuwa. Apabila anda dapat merasai bagaimana Yehuwa membantu anda, iman anda terhadap-Nya akan bertambah kuat.

“BERILAH KAMI LEBIH BANYAK IMAN”

18. Apakah yang dapat anda lakukan jika anda menjumpai titik-titik kelemahan dalam iman anda?

18 Jika cubaan yang anda hadapi pada masa lalu atau sekarang menunjukkan titik-titik kelemahan dalam iman anda, janganlah tawar hati. Sebaliknya, anggaplah cubaan sebegini sebagai peluang untuk menguatkan iman anda. Tirulah teladan para rasul yang berkata kepada Yesus, “Berilah kami lebih banyak iman.” (Luk. 17:5) Selain itu, renungkan contoh-contoh yang telah kita bincangkan dalam rencana ini. Seperti Miguel dan Yurai, ingatlah bagaimana Yehuwa telah membantu anda selama ini. Seperti Anel dan anak perempuan Vero, berdoalah dengan bersungguh-sungguh semasa ditimpa kesusahan. Akhir sekali, seperti Geydi, ingatlah bahawa Yehuwa mungkin membantu anda menerusi keluarga atau sahabat anda. Apabila anda merasai bantuan Yehuwa semasa menghadapi cubaan sekarang, anda akan lebih yakin bahawa Dia akan membantu anda menghadapi apa sahaja cubaan pada masa depan.

19. Yesus yakin akan hal apa? Apakah keyakinan yang kita miliki?

19 Yesus tahu bahawa iman murid-muridnya masih perlu dimantapkan, tetapi dia yakin bahawa dengan bantuan Yehuwa, mereka akan berjaya menghadapi cubaan pada masa depan. (Yoh. 14:1; 16:33) Dia juga yakin bahawa kumpulan besar manusia akan selamat mengharungi kesengsaraan besar kerana mereka memiliki iman yang kuat. (Why. 7:9, 14) Jika anda menggunakan setiap peluang yang ada sekarang untuk memupuk dan menguatkan iman anda, Yehuwa pasti membantu anda agar terselamat juga!​—Ibr. 10:39.

LAGU 118 “Berilah Kami Lebih Banyak Iman”

^ per. 5 Kita menanti-nantikan masanya dunia jahat ini berakhir. Namun, ada kalanya kita mungkin tertanya-tanya jika iman kita cukup kuat untuk membantu kita bertabah sampai akhir. Dalam rencana ini, kita akan melihat beberapa pengalaman dan pengajaran yang dapat membantu menguatkan iman kita.