Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 45

Teruslah Menunjukkan Kasih Setia kepada Satu Sama Lain

Teruslah Menunjukkan Kasih Setia kepada Satu Sama Lain

“Tunjukkanlah kasih setia dan belas kasihan terhadap satu sama lain.”​—ZA. 7:9.

LAGU 107 Haluan Kasih Tuhan

PENGENALAN *

1-2. Mengapakah kita patut menunjukkan kasih setia kepada satu sama lain?

MENGAPAKAH kita patut menunjukkan kasih setia kepada satu sama lain? Perhatikan beberapa sebab yang disebut dalam buku Amsal: “Hendaklah kamu sentiasa menunjukkan kasih setia dan kesetiaan. . . . Maka kamu akan mendapat perkenan Tuhan dan manusia.” “Orang yang menunjukkan kasih setia akan disenangi.” “Sesiapa yang mengejar kebaikan dan kasih setia akan memperoleh kehidupan.”​—Ams. 3:3, 4, nota kaki; 19:22; 21:21.

2 Ayat-ayat ini menjelaskan tiga sebab kita patut menunjukkan kasih setia. Pertama, kita akan mendapat perkenan Tuhan. Kedua, kita akan meraih banyak manfaat. Contohnya, kita akan disenangi orang lain dan dapat menjalin persahabatan yang kekal dengan mereka. Ketiga, kita akan meraih berkat pada masa depan, seperti mendapat kehidupan kekal. Ya, kita mempunyai sebab-sebab yang baik untuk mematuhi kata-kata Yehuwa ini: “Tunjukkanlah kasih setia dan belas kasihan terhadap satu sama lain.”​—Za. 7:9.

3. Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan empat soalan berikut: Kita harus menunjukkan kasih setia kepada siapa? Apakah yang dapat kita pelajari daripada buku Rut tentang cara menunjukkan kasih setia? Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih setia dewasa ini? Apakah manfaat yang akan kita raih jika kita menunjukkan kasih setia?

KITA HARUS MENUNJUKKAN KASIH SETIA KEPADA SIAPA?

4. Bagaimanakah kita dapat meniru kasih setia Yehuwa? (Markus 10:29, 30)

4 Seperti yang telah kita bincangkan dalam rencana sebelumnya, Yehuwa hanya menunjukkan kasih setia kepada orang yang mengasihi-Nya dan menyembah-Nya. (Dan. 9:4) Sebagai anak-anak yang dikasihi Tuhan, kita ingin mengikut teladan-Nya. (Ef. 5:1) Maka kita juga ingin memupuk dan menunjukkan kasih setia kepada saudara saudari kita.​—Baca Markus 10:29, 30.

5-6. Berikan contoh untuk menjelaskan apa itu kasih yang ditunjukkan kepada manusia secara umum.

5 Anda tentu setuju bahawa jika kita semakin memahami maksud kasih setia, kita akan dapat menunjukkan sifat ini dengan semakin baik terhadap rakan seiman kita. Untuk membantu kita lebih memahami erti kasih setia, marilah kita memperhatikan perbezaan antara kasih setia dengan kasih yang ditunjukkan kepada manusia secara umum.

6 Fikirkan apa yang berlaku semasa kapal yang dinaiki Paulus karam. Dia dan penumpang-penumpang lain berusaha untuk berenang ke darat lalu tiba di Pulau Malta. Penduduk di situ tidak mengenal mereka dan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan mereka, tetapi penduduk pulau itu sangat ramah dan baik hati terhadap Paulus dan penumpang-penumpang lain. (Kis. 28:4, 7) Penduduk Pulau Malta memang menunjukkan kasih, tetapi mereka boleh menunjukkan kasih itu kepada sesiapa sahaja yang ditimpa kesusahan. Maka, boleh dikatakan bahawa kasih mereka ialah kasih yang ditunjukkan kepada manusia secara umum.

7-8. (a) Mengapakah seseorang menunjukkan kasih setia? (b) Apakah yang akan kita pelajari daripada buku Rut?

7 Sekarang, mari kita mengkaji contoh Daud dan Yonatan untuk memahami maksud kasih setia. Daud menunjukkan kasih setia kepada sahabatnya Yonatan walaupun bapa Yonatan ingin membunuh Daud. Bertahun-tahun selepas kematian Yonatan, Daud terus menunjukkan kasih setia kepada Mefiboset, iaitu anak Yonatan. Sudah pasti, Daud tidak akan melakukan hal-hal sebegini untuk sesiapa sahaja. Dia menunjukkan kasih setia kerana dia mempunyai hubungan yang erat dengan Yonatan dan kasih sayang yang mendalam terhadap Yonatan.​—1 Sam. 20:9, 14, 15; 2 Sam. 4:4; 8:15; 9:1, 6, 7.

8 Kita dapat mempelajari banyak hal tentang kasih setia daripada buku Rut. Apakah yang dapat kita pelajari tentang kasih setia daripada watak-watak dalam buku itu? Bagaimanakah kita dapat menggunakan pengajaran itu dalam sidang kita? *

PENGAJARAN DARIPADA BUKU RUT TENTANG KASIH SETIA

9. Mengapakah Naomi berfikir bahawa Yehuwa sedang menentangnya?

9 Buku Rut mengisahkan kehidupan Naomi, menantunya Rut, dan Boaz, seorang lelaki yang takut kepada Tuhan, yang merupakan saudara dekat suami Naomi. Disebabkan kebuluran di Israel, Naomi, suaminya, dan dua orang anak lelaki mereka, berpindah ke Moab. Semasa di Moab, suami Naomi telah meninggal. Dua orang anak lelakinya telah berkahwin, tetapi sedihnya mereka pun meninggal. (Rut 1:3-5; 2:1) Setelah dilanda tamparan demi tamparan, Naomi menjadi begitu sedih dan tawar hati sehingga dia berfikir bahawa Yehuwa sedang menentangnya. Perhatikan apa yang dikatakannya tentang Tuhan: “Yehuwa sedang menentang aku.” “Tuhan Yang Maha Kuasa telah membiarkan kehidupan saya menjadi sangat pahit.” Naomi juga berkata, “Yehuwa Yang Maha Kuasa telah menentang saya dan mendatangkan penderitaan kepada saya.”​—Rut 1:13, 20, 21.

10. Apakah reaksi Yehuwa terhadap kata-kata Naomi?

10 Apakah reaksi Yehuwa terhadap kata-kata Naomi? Dia tidak meninggalkan hamba-Nya yang putus asa itu. Sebaliknya, Yehuwa menunjukkan empati terhadap Naomi kerana Dia faham bahawa “orang bijaksana akan bertindak seperti orang gila jika dia ditindas.” (Pkh. 7:7) Meskipun begitu, Naomi memerlukan bantuan untuk sedar bahawa Yehuwa tidak meninggalkannya. Jadi, bagaimanakah Tuhan membantunya? (1 Sam. 2:8) Dia menggerakkan Rut untuk menunjukkan kasih setia kepada Naomi. Dengan baik hati dan penuh kasih, Rut menguatkan semangat ibu mentuanya dan membantu Naomi sedar bahawa Yehuwa mengasihinya. Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan Rut?

11. Mengapakah kita ingin membantu orang yang tawar hati?

11 Kasih setia mendorong kita untuk membantu orang yang tawar hati. Sebagaimana Rut tetap bersama Naomi, saudara saudari yang baik hati juga tetap bersama rakan seiman yang bersedih atau tawar hati. Mereka mengasihi rakan seiman mereka dan sudi melakukan apa sahaja yang mereka mampu untuk memberikan bantuan. (Ams. 12:25; 24:10) Mereka sesungguhnya mematuhi nasihat Rasul Paulus untuk “mengucapkan kata-kata yang melegakan hati kepada orang yang murung, memberikan sokongan kepada orang yang lemah, dan bersabar terhadap semua orang.”​—1 Tes. 5:14.

Kita dapat membantu saudara saudari yang tawar hati dengan mendengar luahan mereka (Lihat perenggan 12)

12. Sering kali, apakah cara yang paling berkesan untuk membantu seorang saudara atau saudari yang tawar hati?

12 Sering kali, cara yang paling berkesan untuk membantu seorang saudara atau saudari yang tawar hati adalah dengan mendengar luahannya dan meyakinkannya bahawa anda mengasihinya. Apabila anda prihatin terhadap biri-biri Yehuwa, Tuhan kita amat menghargainya. (Mzm. 41:1) Amsal 19:17 menyatakan, “Menunjukkan kebaikan kepada orang yang lemah sama seperti memberikan pinjaman kepada Yehuwa; Tuhan sendiri akan membalas kebaikan orang yang berbuat demikian.”

Orpa kembali ke Moab, tetapi Rut enggan meninggalkan ibu mentuanya Naomi. Rut memberitahu Naomi, “Ke mana saja mak pergi, ke sanalah saya hendak pergi juga” (Lihat perenggan 13)

13. Apakah perbezaan antara Rut dengan Orpa? Mengapakah keputusan Rut menunjukkan bahawa dia memiliki kasih setia? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

13 Kita dapat lebih memahami maksud kasih setia dengan mengkaji apa yang berlaku kepada Naomi selepas suami dan dua orang anaknya meninggal. Apabila Naomi mendengar bahawa “Yehuwa telah memberkati umat-Nya dengan memberikan makanan kepada mereka,” dia memutuskan untuk kembali ke Israel. (Rut 1:6) Pada mulanya, kedua-dua menantunya mengikutnya, tetapi dalam perjalanan mereka, sebanyak tiga kali Naomi menggesa mereka untuk pulang ke Moab. Apakah yang terjadi selepas itu? Bible menyatakan, “Orpa mencium ibu mentuanya lalu beredar. Tetapi Rut enggan meninggalkan ibu mentuanya.” (Rut 1:7-14) Orpa memilih untuk mendengar cakap Naomi dan pulang ke Moab. Sebenarnya, Rut pun boleh berbuat begitu, tetapi dia memutuskan untuk tetap berada di sisi Naomi dan membantunya. (Rut 1:16, 17) Rut membuat keputusan ini, bukan kerana terpaksa, tetapi kerana dia ingin berbuat demikian. Keputusan Rut menunjukkan bahawa dia memiliki kasih setia. Apakah pengajarannya bagi kita?

14. (a) Bagaimanakah ramai saudara saudari meniru teladan Rut? (b) Menurut Ibrani 13:16, korban apakah yang menyenangkan hati Tuhan?

14 Kasih setia mendorong kita melakukan lebih daripada apa yang perlu dibuat. Seperti Rut, ramai saudara saudari menunjukkan kasih setia kepada rakan seiman mereka, bahkan kepada rakan seiman yang tidak dikenali. Misalnya, selepas bencana alam berlaku, mereka segera bertanya bagaimana mereka dapat memberikan bantuan. Apabila seseorang di sidang menghadapi masalah kewangan, mereka segera bertanya tentang keperluannya dan memberikan pertolongan. Seperti orang Kristian di Makedonia pada abad pertama, mereka sanggup membuat pengorbanan dan memberi “bahkan melebihi kemampuan mereka” untuk membantu rakan seiman yang ditimpa kesusahan. (2 Kor. 8:3) Kasih setia mereka tentu membuat Yehuwa sangat gembira!​—Baca Ibrani 13:16.

BAGAIMANAKAH KITA DAPAT MENUNJUKKAN KASIH SETIA?

15-16. Bagaimanakah Rut terus cuba membantu Naomi?

15 Sekarang, mari kita mengkaji cara Rut membantu Naomi dan membincangkan beberapa pengajaran yang dapat kita peroleh.

16 Terus cuba membantu. Semasa Rut ingin menemani ibu mentuanya kembali ke Israel, Naomi menolak bantuan Rut pada mulanya. Tetapi Rut terus cuba membantu Naomi. Apakah hasilnya? “Apabila Naomi melihat bahawa Rut berkeras hendak pergi bersamanya, dia tidak lagi memujuk Rut untuk pulang.”​—Rut 1:15-18.

17. Apakah yang akan mendorong kita untuk terus cuba membantu seseorang yang murung?

17 Pengajaran: Kita perlu bersabar dan tidak cepat putus asa semasa membantu orang yang murung. Seorang saudari yang memerlukan pertolongan mungkin menolak bantuan kita pada mulanya, tetapi kasih setia akan mendorong kita agar terus cuba membantunya. * (Gal. 6:2) Mudah-mudahan dia akan sudi menerima bantuan kita dan dilegakan.

18. Apakah yang telah menyakitkan hati Rut?

18 Jangan ambil hati. Semasa Naomi dan Rut tiba di Betlehem, Naomi nampak jiran-jiran lamanya. Dia memberitahu mereka, “Ketika saya pergi, saya berkelimpahan. Tetapi Yehuwa telah membiarkan saya kembali dengan tangan kosong.” (Rut 1:21) Bayangkan perasaan Rut semasa berdiri di sebelah Naomi dan mendengar kata-kata itu! Rut pasti sangat sakit hati, kerana selama ini, dia telah menangis bersama Naomi, melegakannya, dan berjalan bersamanya selama berhari-hari. Namun, setelah Rut bersusah payah membantu Naomi, Naomi masih berkata, “Yehuwa telah membiarkan saya kembali dengan tangan kosong.” Meskipun begitu, Rut tidak meninggalkan Naomi.

19. Apakah yang dapat kita lakukan agar dapat terus cuba membantu seseorang yang ditimpa kesusahan?

19 Pengajaran: Seorang saudari yang ditimpa kesusahan mungkin mengucapkan kata-kata yang menyakitkan hati kita biarpun kita sudah berusaha untuk membantunya. Namun, janganlah kita ambil hati. Sebaliknya, marilah kita terus cuba membantu saudari kita, dan berdoa agar Yehuwa membantu kita memikirkan cara untuk melegakan hatinya.​—Ams. 17:17.

Bagaimanakah para penatua dapat meniru teladan Boaz? (Lihat perenggan 20-21)

20. Apakah yang memberi Rut kekuatan untuk terus membantu Naomi?

20 Berikan galakan. Rut telah menunjukkan kasih setia kepada Naomi, tetapi sekarang Rut sendiri perlu digalakkan. Jadi Yehuwa menggerakkan Boaz untuk menggalakkan Rut. Boaz berkata kepadanya, “Semoga Yehuwa memberkatimu sesuai dengan segala perbuatanmu. Semoga Yehuwa, Tuhan orang Israel, memberikan ganjaran yang sepenuhnya kepadamu kerana kamu telah bernaung di bawah sayap-Nya.” Hati Rut tersentuh mendengar kata-kata itu, lalu dia berkata kepada Boaz, “Tuan telah menggalakkan dan melegakan hati saya.” (Rut 2:12, 13) Galakan daripada Boaz yang diberikan tepat pada masanya telah memberi Rut kekuatan yang diperlukannya.

21. Menurut Yesaya 32:1, 2, penatua yang prihatin akan melakukan apa?

21 Pengajaran: Saudara saudari yang menunjukkan kasih setia pun memerlukan galakan dari masa ke masa. Boaz telah memberitahu Rut bahawa dia memperhatikan dan menghargai kebaikan hati Rut. Begitu juga, para penatua yang prihatin akan memberitahu saudara saudari yang membantu orang lain bahawa usaha mereka diperhatikan dan dihargai. Pujian sebegini akan memberi mereka kekuatan yang diperlukan untuk meneruskan usaha mereka.​—Baca Yesaya 32:1, 2.

APAKAH MANFAATNYA JIKA KITA MENUNJUKKAN KASIH SETIA?

22-23. Bagaimanakah sikap Naomi berubah? Mengapakah sikapnya berubah? (Mazmur 136:23, 26)

22 Beberapa lama kemudian, Boaz memberikan banyak makanan kepada Rut dan Naomi. (Rut 2:14-18) Apakah reaksi Naomi terhadap kemurahan hati Boaz? Dia berkata, “Semoga dia diberkati oleh Yehuwa, Tuhan yang sentiasa menunjukkan kasih setia, baik kepada orang yang masih hidup mahupun orang yang sudah mati.” (Rut 2:20a) Dapatkah anda lihat bagaimana sikap Naomi sudah berubah? Sebelum itu, dia berkata dengan sedih, “Yehuwa . . . telah menentang saya.” Tetapi sekarang dia berkata dengan gembira, “Yehuwa . . . sentiasa menunjukkan kasih setia.” Mengapakah sikap Naomi berubah?

23 Naomi akhirnya sedar bahawa Yehuwa tidak pernah meninggalkannya selama ini. Dalam perjalanan dari Moab ke Israel, Dia menggunakan Rut untuk membantu Naomi. (Rut 1:16) Setelah kembali ke Israel, Yehuwa menggunakan Boaz, ‘saudara mereka yang berhak menebus mereka,’ untuk menjaga dia dan Rut. * (Rut 2:19, 20b) Naomi mungkin berfikir, “Sekarang, barulah saya tahu Yehuwa sentiasa bersama saya sepanjang masa ini!” (Baca Mazmur 136:23, 26.) Dia juga pasti sangat bersyukur kerana Rut dan Boaz tidak putus asa terhadapnya. Akhirnya, Naomi mendapat semula sukacitanya, dan hal itu tentu membuat Rut, Boaz, dan Naomi sangat gembira!

24. Mengapakah kita ingin terus menunjukkan kasih setia kepada rakan seiman kita?

24 Apakah yang telah kita pelajari daripada buku Rut tentang kasih setia? Kasih setia mendorong kita agar terus cuba membantu saudara saudari yang menghadapi kesusahan. Kasih setia juga menggerakkan kita untuk membuat pengorbanan agar dapat membantu mereka. Para penatua pula perlu memuji dan menggalakkan rakan seiman yang menunjukkan kasih setia kepada orang lain. Semasa orang yang memerlukan bantuan mendapat semula sukacita mereka dalam khidmat kepada Yehuwa, kita akan berasa sangat gembira. (Kis. 20:35) Namun, ingatlah bahawa sebab terpenting kita terus menunjukkan kasih setia ialah kita ingin meniru dan menyenangkan hati Yehuwa, Tuhan yang menunjukkan “kasih setia yang melimpah.”​—Kel. 34:6; Mzm. 33:22.

LAGU 130 Bermaaf-maafan

^ per. 5 Yehuwa mahu kita menunjukkan kasih setia kepada saudara saudari di sidang. Untuk lebih memahami sifat kasih setia, kita boleh mengkaji bagaimana hamba-hamba Tuhan pada zaman lampau menunjukkan sifat ini. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan apa yang dapat kita pelajari daripada contoh Rut, Naomi, dan Boaz.

^ per. 8 Untuk meraih manfaat yang sepenuhnya daripada rencana ini, kami menggalakkan anda untuk membaca Rut bab 1 dan 2.

^ per. 17 Memandangkan kita sedang membincangkan contoh Naomi, kita menyebut tentang saudari yang memerlukan bantuan. Namun, pengajaran dalam rencana ini juga sesuai untuk saudara.

^ per. 23 Untuk maklumat lanjut tentang peranan Boaz sebagai saudara dekat yang berhak menebus, lihat buku Tirulah Iman Mereka, bab 5, yang bertajuk “Wanita yang Sangat Baik.”