Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 45

LAGU 138 Uban Bagaikan Mahkota yang Mulia

Belajar daripada Kata-Kata Terakhir Lelaki yang Setia

Belajar daripada Kata-Kata Terakhir Lelaki yang Setia

“Bukankah kebijaksanaan ada pada orang tua? Bukankah pengertian ada pada orang yang lanjut usia?”​—AYB. 12:12.

FOKUS

Mematuhi Yehuwa membawa berkat sekarang dan kehidupan kekal pada masa depan.

1. Mengapakah kita patut belajar daripada orang yang lebih tua?

 KITA semua memerlukan bimbingan semasa membuat keputusan yang penting. Sering kali, kita dapat meminta nasihat daripada penatua dan orang Kristian yang matang. Jika mereka jauh lebih tua daripada kita, kita tidak patut segera berfikir bahawa nasihat mereka sudah ketinggalan zaman. Sebenarnya, Yehuwa mahu kita belajar daripada orang yang lebih tua. Oleh sebab mereka hidup lebih lama daripada kita, mereka jauh lebih berpengalaman, berpengertian, dan bijaksana.​—Ayb. 12:12.

2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Dahulu, Yehuwa menggunakan hamba-Nya yang lanjut usia seperti Musa, Daud, dan Rasul Yohanes, untuk menggalakkan dan membimbing umat-Nya. Mereka bertiga hidup pada zaman yang berbeza dan keadaan hidup mereka juga sangat berbeza. Tidak lama sebelum mereka meninggal, mereka telah menasihati penyembah Yehuwa agar terus mematuhi Yehuwa. Dengan mengkaji nasihat mereka yang tercatat dalam Bible, kita semua dapat meraih manfaat. (Rm. 15:4; 2 Tim. 3:16) Rencana ini akan membincangkan kata-kata terakhir tiga orang lelaki yang setia ini dan pengajarannya bagi kita.

“DIA DAPAT MEMBERI KAMU UMUR YANG PANJANG”

3. Apakah tanggungjawab yang pernah dipikul oleh Musa?

3 Musa berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuh jiwa raganya. Dia pernah berkhidmat sebagai nabi dan hakim. Dia juga memimpin tentera Israel dan mencatatkan sejarah umat Tuhan. Musa memang sangat berpengalaman! Dia memimpin bangsa Israel keluar dari Mesir, dan dia menyaksikan banyak mukjizat Yehuwa dengan matanya sendiri. Yehuwa juga menggunakannya untuk menulis lima buku pertama dalam Bible, Mazmur 90, dan mungkin Mazmur 91. Kemungkinan besar, Musa juga merupakan penulis buku Ayub.

4. Musa memberikan galakan kepada siapa, dan mengapa?

4 Tidak lama sebelum Musa meninggal pada usia 120 tahun, dia mengumpulkan bangsa Israel untuk mengingatkan mereka tentang semua perkara yang telah Yehuwa lakukan untuk mereka. Puluhan tahun lalu, ada antara mereka yang melihat banyak tanda dan mukjizat yang dilakukan oleh Yehuwa semasa Dia menghukum orang Mesir. (Kel. 7:​3, 4) Mereka juga melihat bagaimana Yehuwa membelah Laut Merah dan melemaskan seluruh angkatan tentera Firaun. (Kel. 14:​29-31) Mereka juga merasai bagaimana Yehuwa melindungi dan menjaga mereka di padang belantara. (Ul. 8:​3, 4) Kini, sejurus sebelum mereka memasuki Tanah yang Dijanjikan, Musa menggunakan peluangnya yang terakhir untuk menggalakkan mereka. a

5. Menurut Ulangan 30:​19, 20, apakah yang Musa katakan kepada orang Israel?

5 Apakah yang Musa katakan? (Baca Ulangan 30:​19, 20.) Bangsa Israel memiliki masa depan yang cerah. Dengan adanya berkat Yehuwa, mereka dapat hidup untuk masa yang lama di Tanah yang Dijanjikan. Tempat itu memang cukup istimewa. Musa memberitahu orang Israel, ‘Tanah itu mempunyai banyak kota yang besar dan cantik, yang tidak kamu bina. Rumah di sana penuh dengan barang yang baik, yang tidak kamu peroleh dengan usaha sendiri. Di sana juga terdapat perigi yang tidak kamu gali, dan ladang anggur serta ladang zaitun yang tidak kamu usahakan.’​—Ul. 6:​10, 11.

6. Mengapakah Tuhan membiarkan bangsa Israel ditawan?

6 Musa juga mengingatkan bangsa Israel bahawa jika mereka mahu terus hidup di Tanah yang Dijanjikan, mereka perlu mematuhi Yehuwa. Maka mereka digalakkan untuk “memilih kehidupan” dengan mendengarkan Yehuwa dan “berpaut pada-Nya.” Namun, bangsa Israel mengingkari Yehuwa. Akibatnya, Yehuwa membiarkan mereka dikalahkan oleh orang Assyria dan kemudiannya orang Babilon, dan menjadi tawanan di negeri asing.​—2 Raj. 17:​6-8, 13, 14; 2 Taw. 36:​15-17, 20.

7. Apakah yang kita belajar daripada kata-kata Musa? (Lihat juga gambar.)

7 Apakah pengajarannya? Ketaatan membawa kehidupan. Seperti orang Israel yang bakal menjejakkan kaki di Tanah yang Dijanjikan, tidak lama lagi kita akan memasuki bumi firdaus yang dijanjikan Tuhan. (Yes. 35:1; Luk. 23:43) Pada masa itu, Iblis dan roh-roh jahat tidak dapat mengganggu kita. (Why. 20:​2, 3) Agama palsu tidak akan menyesatkan orang. (Why. 17:16) Penduduk bumi tidak akan ditindas oleh kerajaan manusia. (Why. 19:​19, 20) Orang yang suka memberontak tidak akan wujud lagi. (Mzm. 37:​10, 11) Semua orang akan mematuhi perintah Yehuwa, yang diberikan untuk menjaga perpaduan dan kedamaian. Oleh itu, mereka akan mengasihi dan mempercayai satu sama lain. (Yes. 11:9) Jika kita terus mematuhi Yehuwa, kita dapat menikmati masa depan yang cerah ini, bukan sahaja untuk ratusan tahun, tetapi untuk selama-lamanya!​—Mzm. 37:29; Yoh. 3:16.

Jika kita terus mematuhi Yehuwa, kita dapat menikmati kehidupan di bumi firdaus bukan sahaja untuk ratusan tahun, tetapi juga untuk selama-lamanya (Lihat perenggan 7)


8. Bagaimanakah janji kehidupan kekal telah membantu seorang mubaligh? (Yudas 20, 21)

8 Jika kita sentiasa merenungkan kehidupan kekal yang dijanjikan Tuhan, kita akan lebih bertekad untuk berpaut pada-Nya tidak kira apa cabaran kita. (Baca Yudas 20, 21.) Janji itu juga dapat menguatkan kita untuk melawan kelemahan kita. Seorang mubaligh yang sudah lama berkhidmat di Afrika sering menghadapi godaan untuk mengingkari Yehuwa. Dia berkata, “Apabila saya sedar bahawa kelemahan saya ini mungkin membuat saya kehilangan berkat untuk hidup kekal, saya semakin berazam untuk melawannya dan meminta bantuan Yehuwa dengan bersungguh-sungguh. Dengan bantuan Yehuwa, saya berjaya mengatasinya.”

“KAMU AKAN BERJAYA”

9. Apakah cabaran yang pernah dihadapi Daud?

9 Daud seorang raja yang sangat baik. Dia juga merupakan nabi, ahli muzik, penggubah puisi, dan pahlawan yang gagah. Namun selama bertahun-tahun, dia hidup sebagai pelarian kerana Raja Saul ingin membunuhnya. Selepas Daud menjadi raja, anaknya Absalom ingin merampas takhtanya. Jadi dia perlu melarikan diri lagi. Meskipun Daud ditimpa banyak kesusahan dan pernah melakukan dosa serius, dia tetap setia kepada Tuhan sampai akhir hayatnya. Yehuwa berkata bahawa Daud ialah ‘seorang lelaki yang menyenangkan hati-Nya.’ Maka, nasihat Daud tentu bermanfaat bagi kita!​—Kis. 13:22; 1 Raj. 15:5.

10. Mengapakah Daud memberikan nasihat kepada anaknya Salomo?

10 Salomo bakal menggantikan bapanya Daud sebagai raja. Dia juga dipilih oleh Yehuwa untuk membina Rumah Tuhan sebagai pusat ibadat sejati. (1 Taw. 22:5) Tanggungjawab Salomo memang sangat mencabar. Mari kita lihat nasihat Daud kepada Salomo untuk membantunya.

11. Apakah yang Daud katakan kepada Salomo di 1 Raja-Raja 2:​2, 3? Bagaimanakah kata-kata Daud terbukti benar? (Lihat juga gambar.)

11 Apakah yang Daud katakan? (Baca 1 Raja-Raja 2:​2, 3.) Daud memberitahu Salomo bahawa jika dia mematuhi Yehuwa, dia akan berjaya dalam segala usahanya. Itulah yang berlaku dalam kehidupan Salomo selama bertahun-tahun. (1 Taw. 29:​23-25) Dia berjaya membina rumah yang sangat indah untuk Yehuwa, menulis beberapa buku Bible, dan sesetengah kata-katanya juga dicatatkan dalam buku Bible yang lain. Salomo juga menjadi terkenal kerana kebijaksanaan dan kekayaannya yang luar biasa. (1 Raj. 4:34) Tetapi seperti yang dikatakan Daud, Salomo hanya akan berjaya selagi dia mentaati Yehuwa. Sedihnya, semasa Salomo lebih tua, dia mula menyembah berhala. Akibatnya, dia kehilangan perkenan Yehuwa dan tidak lagi diberi kebijaksanaan untuk memerintah dengan adil.​—1 Raj. 11:​9, 10; 12:4.

Kata-kata terakhir Daud kepada Salomo mengajar kita bahawa jika kita mentaati Yehuwa, Dia akan memberi kita kebijaksanaan untuk membuat keputusan yang baik (Lihat perenggan 11-12) b


12. Apakah yang kita belajar daripada kata-kata Daud?

12 Apakah pengajarannya? Ketaatan membawa kejayaan. (Mzm. 1:​1-3) Sudah tentu, Yehuwa tidak berjanji untuk menjadikan kita kaya dan masyhur seperti Salomo. Tetapi jika kita mentaati Yehuwa, Dia akan memberi kita kebijaksanaan untuk membuat keputusan yang baik. (Ams. 2:​6, 7; Yak. 1:5) Nasihat Yehuwa dapat membimbing kita dalam soal pekerjaan, pendidikan, hiburan, dan kewangan. Jika kita mengikut nasihat-Nya, kita akan meraih manfaat yang berkekalan. (Ams. 2:​10, 11) Kita akan mendapat sahabat yang sejati dan keluarga yang bahagia.

13. Apakah yang membantu Carmen untuk berjaya dalam hidup?

13 Carmen, dari Mozambique, dahulunya fikir bahawa pendidikan tinggi ialah kunci kejayaan. Jadi, dia mengambil kursus seni bina di universiti. Dia berkata, “Saya sangat suka bidang ini. Tapi kursus ini makan banyak masa dan tenaga. Saya ada kelas dari jam 7:30 pagi sampai jam 6:00 petang. Saya susah menghadiri perjumpaan, dan kerohanian saya makin teruk. Jauh di sudut hati, saya sedar saya sedang cuba menjadi hamba kepada dua orang tuan.” (Mat. 6:24) Carmen berdoa tentang situasinya dan membuat penyelidikan dengan menggunakan bahan bacaan kita. Dia berkata, “Setelah mendengar nasihat yang bijak daripada saudara-saudara yang matang dan ibu saya, saya memutuskan untuk keluar dari universiti supaya dapat berkhidmat sepenuh masa kepada Yehuwa. Inilah keputusan yang terbaik dalam hidup saya. Saya tidak pernah menyesalinya.”

14. Apakah mesej utama dalam kata-kata terakhir Musa dan Daud?

14 Musa dan Daud mengasihi Yehuwa dan tahu bahawa mentaati-Nya sangat penting. Maka dalam kata-kata terakhir mereka, mereka menggalakkan umat Tuhan untuk mengikut teladan mereka dengan berpaut pada Yehuwa. Mereka juga mengingatkan penyembah Tuhan bahawa orang yang meninggalkan Yehuwa akan kehilangan perkenan-Nya dan berkat-berkat yang dijanjikan-Nya. Nasihat mereka juga berguna bagi kita hari ini. Berabad-abad kemudian, seorang lagi hamba Tuhan juga menekankan pentingnya mentaati Tuhan. Mari kita lihat nasihatnya.

“TIDAK ADA YANG MEMBUAT AKU LEBIH BERSUKACITA”

15. Apakah yang pernah dilalui Rasul Yohanes?

15 Yohanes ialah rasul yang sangat dikasihi Yesus. (Mat. 10:2; Yoh. 19:26) Dia mengikut Yesus sepanjang masa Yesus menginjil di bumi, melihat mukjizatnya, dan tetap bersamanya pada masa yang susah. Dia melihat Yesus dihukum bunuh dan berjumpa dengan Yesus selepas Yesus dibangkitkan. Dia juga menyaksikan bagaimana sidang Kristian pada abad pertama berkembang maju dan bagaimana berita baik “disebarkan kepada semua ciptaan di bawah langit.”​—Kol. 1:23.

16. Siapakah yang meraih manfaat daripada surat-surat yang ditulis oleh Rasul Yohanes?

16 Apabila Rasul Yohanes sudah sangat tua, dia diilhami untuk menulis buku Yohanes dan mencatatkan “penyingkapan daripada Yesus Kristus.” (Why. 1:1) Dia juga menulis tiga pucuk surat yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Bible. Suratnya yang ketiga ditujukan kepada Gayus, anak rohaninya yang dikasihi. (3 Yoh. 1) Sudah pasti pada masa itu, Yohanes sudah mempunyai banyak anak rohani. Surat-suratnya tentu bermanfaat bagi semua pengikut Yesus sampai hari ini.

17. Menurut 3 Yohanes 4, apakah yang membuat Yohanes bersukacita?

17 Apakah yang Yohanes katakan? (Baca 3 Yohanes 4.) Dia menulis bahawa mentaati Yehuwa membawa sukacita. Semasa dia menulis suratnya yang ketiga, sesetengah orang dalam sidang sedang menyebarkan ajaran palsu dan menyebabkan perpecahan. Namun, orang Kristian lain terus “berjalan mengikut kebenaran.” Mereka mematuhi Yehuwa dan ‘terus hidup menurut perintah-perintah-Nya.’ (2 Yoh. 4, 6) Orang Kristian yang setia ini bukan sahaja menggembirakan hati Yohanes, tetapi juga hati Yehuwa.​—Ams. 27:11.

18. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yohanes?

18 Apakah pengajarannya? Ketaatan membawa sukacita. (1 Yoh. 5:3) Misalnya, apabila kita menolak godaan dan berpegang erat pada kebenaran, kita bersukacita kerana kita tahu usaha kita menggembirakan hati Yehuwa. (Ams. 23:15) Para malaikat juga bersukacita semasa melihat usaha kita. (Luk. 15:10) Selain itu, semasa kita melihat rakan seiman tetap setia semasa menghadapi cubaan dan godaan, kita pun gembira. (2 Tes. 1:4) Apabila dunia jahat Syaitan dibinasakan, kita akan bersukacita kerana kita tetap setia kepada Yehuwa.

19. Apakah yang dikatakan oleh Rachel tentang mengajarkan kebenaran kepada orang lain? (Lihat juga gambar.)

19 Semasa kita mengongsi kebenaran dengan orang lain, kita merasai sukacita yang besar. Rachel, yang tinggal di Republik Dominika, berasa bahawa mengajar orang tentang Yehuwa ialah penghormatan yang besar. Dia pernah membantu beberapa orang untuk menyembah Yehuwa. Dia berkata, “Apabila pelajar Bible saya mula mengasihi Yehuwa, bergantung pada-Nya, dan mengubah hidup mereka untuk menggembirakan hati-Nya, saya merasai sukacita yang susah digambarkan. Sukacita itu jauh lebih besar daripada apa-apa pengorbanan dan usaha yang perlu dicurahkan untuk mengajar mereka.”

Kita meraih sukacita semasa mengajar orang untuk mengasihi dan mentaati Yehuwa (Lihat perenggan 19)


BELAJAR DARIPADA KATA-KATA TERAKHIR MUSA, DAUD, DAN YOHANES

20. Apakah persamaan antara kita dengan Musa, Daud, dan Yohanes?

20 Meskipun Musa, Daud, dan Yohanes hidup ribuan tahun lalu, kita ada banyak persamaan dengan mereka. Kita dan mereka menyembah Tuhan yang benar, berdoa kepada-Nya, bergantung pada-Nya, dan mencari bimbingan-Nya. Seperti mereka, kita juga yakin bahawa Yehuwa akan memberikan berkat yang berlimpah-limpah kepada orang yang mematuhi-Nya.

21. Apakah berkat yang menantikan orang yang mendengarkan nasihat Musa, Daud, dan Yohanes?

21 Semoga kita mendengarkan nasihat yang diberikan oleh Musa, Daud, dan Yohanes. Jika kita mematuhi Yehuwa, kita akan berjaya dalam segala usaha kita dan menikmati “umur yang panjang,” bahkan untuk selama-lamanya! (Ul. 30:20) Kita juga akan bersukacita kerana dapat menggembirakan hati Yehuwa. Dia pasti menunaikan segala janji-Nya dalam cara yang jauh lebih hebat daripada apa yang kita bayangkan.​—Ef. 3:20.

LAGU 129 Terus Bertahan Sampai Akhir

a Kebanyakan orang Israel yang melihat mukjizat Yehuwa telah mati sebelum memasuki Tanah yang Dijanjikan. (Bil. 14:​22, 23) Yehuwa berfirman bahawa mereka yang berumur 20 tahun dan ke atas, dan yang sudah didaftarkan, akan mati di padang belantara. (Bil. 14:29) Namun, Yosua, Kaleb, dan ramai daripada suku Lewi dan generasi yang berikutnya, telah melihat Yehuwa menunaikan janji-Nya.—Ul. 1:​24-40.

b KETERANGAN GAMBAR: Kiri: Sebelum meninggal, Daud memberi Salomo nasihat yang bijak. Kanan: Para pelajar Sekolah Latihan Perintis meraih manfaat daripada pendidikan rohani.