Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 44

LAGU 33 Serahkan Bebanmu kepada Yehuwa

Cara Menghadapi Ketidakadilan

Cara Menghadapi Ketidakadilan

“Janganlah biarkan diri kamu dikalahkan oleh kejahatan, tetapi teruslah kalahkan kejahatan dengan kebaikan.”​—RM. 12:21.

FOKUS

Apa yang dapat kita lakukan semasa dilayan dengan tidak adil supaya reaksi kita tidak membuat situasi menjadi lebih teruk.

1-2. Siapakah yang mungkin melayan kita dengan buruk?

 YESUS menceritakan perumpamaan tentang seorang balu yang asyik meminta seorang hakim untuk menegakkan keadilan baginya. Sudah pasti murid-murid Yesus memahami perasaan balu itu kerana pada masa itu, rakyat jelata sering menjadi mangsa ketidakadilan. (Luk. 18:​1-5) Kita juga dapat memahami perasaan balu itu kerana kita pun menghadapi ketidakadilan dari masa ke masa.

2 Dunia hari ini penuh dengan prasangka, ketidakadilan, dan penindasan. Jadi kita tidak hairan semasa orang di dunia melayan kita dengan buruk, dan kita bahkan sudi bersabar terhadap mereka. (Pkh. 5:8) Namun kita mungkin sangat kecewa jika yang melayan kita dengan buruk ialah saudara saudari kita. Sebenarnya, kita ada lebih banyak sebab untuk bersabar terhadap mereka kerana mereka tidak berbuat demikian dengan sengaja. Dalam rencana ini, kita akan belajar daripada reaksi Yesus semasa dia dilayan dengan buruk oleh para penentang. Sebelum itu, mari kita membincangkan soalan ini: Apakah perasaan Yehuwa semasa kita dilayan dengan tidak adil, sama ada di dalam atau di luar sidang? Adakah Dia mengambil berat terhadap kita?

3. Adakah Yehuwa mengambil berat terhadap kita? Bagaimanakah kita tahu?

3 Yehuwa sangat mengambil berat terhadap kita, dan Dia mahu kita dilayan dengan baik. Bagaimanakah kita tahu? Bible kata, “Yehuwa mencintai keadilan.” (Mzm. 37:28) Yesus juga menjamin bahawa Yehuwa akan “menegakkan keadilan . . . dengan segera” apabila masanya tiba. (Luk. 18:​7, 8) Tidak lama lagi, Yehuwa akan melenyapkan ketidakadilan dan menghilangkan semua penderitaan kita.—Mzm. 72:​1, 2.

4. Bagaimanakah Yehuwa mengajar kita cara menghadapi ketidakadilan?

4 Sementara kita menantikan masanya ketidakadilan dilenyapkan, Yehuwa mengajar kita cara untuk menghadapi ketidakadilan dengan berjaya. (2 Ptr. 3:13) Dia berbuat demikian menerusi teladan Anak-Nya yang sempurna dan nasihat yang praktikal dalam Bible. Dengan itu, kita tahu apa yang patut atau tidak patut dilakukan semasa ditindas.

KAWALLAH REAKSI ANDA

5. Mengapakah kita perlu mengawal reaksi kita semasa dilayan dengan tidak adil?

5 Kita mungkin sangat marah atau susah hati semasa dilayan dengan tidak adil. (Pkh. 7:7) Hamba Tuhan yang setia pun, seperti Ayub dan Habakuk, pernah berasa begitu. (Ayb. 6:​2, 3; Hab. 1:​1-3) Perasaan sebegini memang normal, namun kita perlu mengawal reaksi kita agar tidak bertindak dengan melulu.

6. Apakah yang kita belajar daripada contoh Absalom? (Lihat juga gambar.)

6 Semasa kita atau orang tersayang kita dilayan dengan tidak adil, kita mungkin ingin membalas dendam. Namun, reaksi sebegini mungkin menyebabkan lebih banyak masalah. Fikirkan contoh Absalom, anak Raja Daud. Dia sangat marah semasa adik perempuannya Tamar dirogol oleh abang mereka, iaitu Amnon. Menurut Hukum Musa, Amnon patut dihukum mati atas perbuatannya. (Im. 20:17) Meskipun Absalom ada sebab yang baik untuk marah terhadap Amnon, dia tidak berhak untuk membunuhnya.​—2 Sam. 13:​20-23, 28, 29.

Absalom gagal mengawal kemarahannya semasa Tamar dilayan dengan buruk (Lihat perenggan 6)


7. Bagaimanakah ketidakadilan mempengaruhi seorang penulis mazmur?

7 Semasa orang jahat nampaknya tidak dihukum, kita mungkin mula meragui sama ada usaha kita untuk melakukan apa yang benar berbaloi atau tidak. Seorang penulis mazmur berkata, “Demikianlah keadaan orang jahat; mereka selalu hidup senang.” (Mzm. 73:12) Semasa melihat orang jahat hidup makmur biarpun mereka menindas orang baik, penulis mazmur itu berkata, “Apabila aku mencuba memahami hal ini, aku berasa susah hati.” (Mzm. 73:​14, 16) Ketidakadilan itu membuatnya begitu kecewa sehingga berasa bahawa sia-sia sahaja dia menyembah Yehuwa. Dia bahkan berkata, “Kakiku hampir menyimpang daripada haluan yang benar; aku hampir jatuh tergelincir.” (Mzm. 73:2) Itulah yang berlaku kepada Alberto. a

8. Apakah reaksi seorang saudara semasa dia dilayan dengan tidak adil?

8 Alberto difitnah mencuri duit daripada tabung sidang. Akibatnya, dia diberhentikan sebagai penatua, dan saudara saudari yang mendapat tahu tentang tuduhan itu tidak lagi menghormatinya. Dia berkata, “Saya sakit hati, marah, dan kecewa.” Dia membiarkan emosinya menjejaskan hubungannya dengan Yehuwa, dan bahkan menjadi tidak aktif selama lima tahun. Pengalaman ini menunjukkan apa yang mungkin berlaku jika kita tidak mengawal reaksi kita semasa dilayan dengan tidak adil.

TIRULAH TELADAN YESUS

9. Apakah ketidakadilan yang dihadapi oleh Yesus? (Lihat juga gambar.)

9 Yesus memberikan teladan yang sempurna tentang cara menghadapi ketidakadilan. Fikirkan apa yang dilaluinya. Saudara-maranya yang tidak beriman kepadanya berkata bahawa dia sudah gila. Para pemimpin agama pula menuduhnya berpakat dengan roh-roh jahat. Tambahan lagi, askar-askar Roma mengejeknya, menderanya, dan membunuhnya. (Mrk. 3:​21, 22; 14:55; 15:​16-20, 35-37) Meskipun Yesus dilayan dengan begitu teruk, dia tetap tabah dan tidak membalas dendam. Apakah yang dapat kita belajar daripadanya?

Yesus menetapkan teladan yang sempurna tentang cara menghadapi ketidakadilan (Lihat perenggan 9-10)


10. Bagaimanakah Yesus menghadapi ketidakadilan? (1 Petrus 2:​21-23)

10 Baca 1 Petrus 2:​21-23. b Semasa kita dilayan dengan tidak adil, ingatlah teladan Yesus yang sempurna. Dia tahu bila untuk berdiam diri atau bersuara. (Mat. 26:​62-64) Semasa difitnah, ada kalanya dia berdiam diri. (Mat. 11:19) Jika dia bersuara pun, dia tidak menghina atau mengugut penentangnya. Yesus dapat mengawal reaksinya kerana “dia mempercayakan dirinya kepada [Tuhan] yang menghakimi dengan adil.” Yesus tahu bahawa pandangan Yehuwalah yang paling penting. Dia percaya bahawa Yehuwa akan menegakkan keadilan pada masa yang tepat.

11. Bagaimanakah kita dapat mengawal tutur kata kita? (Lihat juga gambar.)

11 Kita dapat meniru teladan Yesus dengan mengawal tutur kata kita semasa ditindas. Jika apa yang berlaku ialah hal yang kecil, kita boleh melupakannya atau tidak berkata apa-apa supaya masalah tidak bertambah teruk. (Pkh. 3:7; Yak. 1:​19, 20) Namun ada kalanya, kita mungkin perlu bersuara untuk mempertahankan kebenaran atau orang yang ditindas. (Kis. 6:​1, 2) Pada masa sedemikian, kita patut berusaha untuk bercakap dengan tenang dan hormat.​—1 Ptr. 3:15. c

Semasa dilayan dengan tidak adil, kita meniru teladan Yesus dengan memilih masa dan cara yang sesuai untuk bercakap (Lihat perenggan 11-12)


12. Bagaimanakah kita dapat mempercayakan diri kepada “[Tuhan] yang menghakimi dengan adil”?

12 Seperti Yesus, kita dapat mempercayakan diri kepada “[Tuhan] yang menghakimi dengan adil.” Bagaimana? Jika orang lain menindas kita atau berprasangka terhadap kita, kita percaya bahawa Yehuwa tahu keadaan yang sebenarnya dan pasti menegakkan keadilan pada akhirnya. Keyakinan ini membantu kita menantikan Yehuwa dengan sabar dan tidak dikuasai perasaan marah atau benci. Hal ini penting kerana perasaan sebegini dapat membuat kita hilang kawalan, meragut sukacita kita, dan merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa.—Mzm. 37:8.

13. Apakah yang dapat membantu kita terus bertabah menghadapi ketidakadilan?

13 Sudah tentu, kita tidak dapat mengikut jejak Yesus dengan sempurna. Ada kalanya, kita mungkin melakukan atau mengatakan sesuatu yang membuat kita menyesal pada kemudian hari. (Yak. 3:2) Sesetengah ketidakadilan yang kita hadapi mungkin meninggalkan kesan yang berpanjangan secara emosi dan fizikal. Jika hal itu berlaku kepada anda, yakinlah bahawa Yehuwa tahu apa yang anda lalui. Yesus juga memahami perasaan anda kerana dia pernah menjadi mangsa ketidakadilan. (Ibr. 4:​15, 16) Setelah membincangkan teladan Yesus, kita akan membincangkan dua ayat dalam buku Roma dan lihat bagaimana nasihat Bible dapat membantu kita menghadapi ketidakadilan.

“BIARLAH TUHAN MEMPERLIHATKAN KEMURKAAN-NYA”

14. Apakah maksud ‘membiarkan Tuhan memperlihatkan kemurkaan-Nya’? (Roma 12:19)

14 Baca Roma 12:19. Rasul Paulus menggesa orang Kristian, “Biarlah Tuhan memperlihatkan kemurkaan-Nya.” Apakah maksudnya? Maksudnya, kita membiarkan Yehuwa memutuskan bila dan bagaimana Dia akan menegakkan keadilan. Selepas seorang saudara yang bernama John dilayan dengan buruk, dia berkata, “Saya perlu mengawal keinginan saya untuk membetulkan situasi itu dengan cara sendiri. Roma 12:19 membantu saya untuk menantikan Yehuwa dengan sabar.”

15. Mengapakah menantikan Yehuwa untuk menegakkan keadilan ialah tindakan yang bijak?

15 Jika kita cuba mengatasi ketidakadilan dengan cara sendiri, kita akan rasa sangat stres dan kecewa. Namun, jika kita menyerahkan masalah itu ke dalam tangan Yehuwa, kita tidak perlu dibebani perasaan sedemikian. Yehuwa ingin membantu kita. Dia seolah-olah berkata, “Biarlah Aku mengurus perkara ini.” Jika kita percaya bahawa Yehuwalah yang akan menegakkan keadilan dan bahawa Dia pasti bertindak dalam cara yang terbaik, kita tidak perlu lagi berasa marah atau berdendam. Itulah yang telah membantu John, yang disebut tadi. Dia berkata, “Jika saya menantikan Yehuwa, Dia pasti ada cara yang jauh lebih baik untuk selesaikan masalah saya.”

“TERUSLAH KALAHKAN KEJAHATAN DENGAN KEBAIKAN”

16-17. Bagaimanakah doa dapat membantu kita untuk ‘terus mengalahkan kejahatan dengan kebaikan’? (Roma 12:21)

16 Baca Roma 12:21. Paulus juga menggesa orang Kristian, “Teruslah kalahkan kejahatan dengan kebaikan.” Dalam Ceramah Di Atas Gunung, Yesus berkata, “Teruslah mengasihi musuhmu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu.” (Mat. 5:44) Itulah yang dilakukan oleh Yesus. Kita mungkin teringat masanya askar-askar Roma memakukan Yesus pada tiang seksaan. Bayangkan betapa menderitanya Yesus semasa diseksa, dihina, dan dilayan dengan tidak adil.

17 Namun, Yesus tidak membiarkan dirinya dikalahkan oleh kejahatan. Daripada meminta Yehuwa untuk menghukum askar-askar Roma, Yesus berdoa, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan oleh mereka.” (Luk. 23:34) Semasa kita berdoa bagi mereka yang melayan kita dengan tidak adil, hal itu dapat mengurangkan rasa dendam dan marah, dan bahkan mengubah pandangan kita terhadap mereka.

18. Bagaimanakah doa membantu Alberto dan John menghadapi ketidakadilan?

18 Perhatikan bagaimana doa membantu Alberto dan John menghadapi ketidakadilan. Alberto berkata, “Saya berdoa untuk saudara-saudara yang melayan saya dengan tidak adil. Saya minta Yehuwa berulang kali untuk membantu saya agar tidak lagi berasa marah dengan apa yang berlaku.” Kini, Alberto terus menyembah Yehuwa dengan setia. John pula berkata, “Saya berdoa banyak kali untuk saudara yang menyakiti saya. Doa sebegini membantu saya tidak lagi marah dengannya dan berhenti menghakiminya. Doa juga memberi saya ketenangan minda.”

19. Apakah yang harus kita lakukan sehingga akhir dunia jahat ini? (1 Petrus 3:​8, 9)

19 Selagi dunia jahat ini berakhir, kita mungkin dilayan dengan tidak adil. Namun tidak kira apa yang berlaku, janganlah berhenti meminta bantuan Yehuwa. Selain itu, tirulah teladan Yesus dan teruslah menerapkan prinsip Bible. Dengan demikian, kita pasti mewarisi berkat daripada Yehuwa.​—Baca 1 Petrus 3:​8, 9.

LAGU 38 Dia Akan Menguatkanmu

a Nama telah diubah.

b Dalam 1 Petrus bab 2 dan 3, Rasul Petrus menggambarkan situasi di mana orang Kristian abad pertama dilayan dengan buruk oleh majikan mereka atau suami yang tidak seiman.​—1 Ptr. 2:​18-20; 3:​1-6, 8, 9.