Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 46

LAGU 49 Menggembirakan Hati Yehuwa

Para Saudara​—Adakah Anda Berusaha untuk Menjadi Pembantu Sidang?

Para Saudara​—Adakah Anda Berusaha untuk Menjadi Pembantu Sidang?

“Lebih berbahagia memberi daripada menerima.”​—KIS. 20:35.

FOKUS

Menggalakkan saudara yang terbaptis agar memiliki keinginan untuk menjadi pembantu sidang dan berusaha mencapai matlamat itu.

1. Apakah perasaan Rasul Paulus terhadap pembantu sidang?

 PEMBANTU sidang melakukan kerja penting dalam sidang. Maka tidak hairanlah Rasul Paulus sangat menghargai mereka. Semasa menyampaikan salamnya kepada sidang di Filipi, dia khususnya menyebut tentang pembantu sidang.—Flp. 1:1.

2. Apakah perasaan Luis terhadap tugasannya sebagai pembantu sidang?

2 Ada saudara yang dilantik sebagai pembantu sidang semasa muda, dan ada yang dilantik semasa lebih tua. Sebagai contoh, Devan berumur 18 tahun semasa dilantik, manakala Luis dilantik semasa berumur lebih daripada 50 tahun. Namun mereka berkhidmat dengan sukacita. Luis berkata, “Saya berbesar hati kerana dapat melakukan kerja sebagai pembantu sidang, terutamanya semasa saya ingat bahawa saudara saudari sangat mengasihi saya!”

3. Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

3 Jika anda seorang saudara terbaptis dan belum lagi dilantik sebagai pembantu sidang, dapatkah anda berusaha mencapai matlamat itu? Apakah yang dapat mendorong anda untuk berbuat demikian? Apakah syarat-syarat Bible yang perlu anda penuhi? Kita akan menjawab soalan-soalan tersebut dalam rencana ini. Sebelum itu, mari kita bincangkan tanggungjawab pembantu sidang.

APAKAH TANGGUNGJAWAB PEMBANTU SIDANG?

4. Apakah tanggungjawab pembantu sidang? (Lihat juga gambar.)

4 Pembantu sidang merupakan saudara terbaptis yang dilantik menerusi kuasa suci Tuhan. Mereka membantu para penatua melakukan banyak kerja penting dalam sidang. Contohnya, sesetengah pembantu sidang memastikan para penyiar mempunyai kawasan penyebaran yang cukup dan bahan bacaan yang diperlukan untuk menginjil. Ada juga yang membantu membersihkan dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan. Selain itu, mereka berkhidmat sebagai atendan dan menjaga peralatan audio video semasa perjumpaan. Inilah tugas-tugas praktikal yang dilakukan oleh pembantu sidang. Namun yang terpenting, pembantu sidang mesti berfikiran rohani. Mereka mesti mengasihi Yehuwa, hidup selaras dengan standard-Nya, dan mengasihi saudara saudari dengan mendalam. (Mat. 22:​37-39) Bagaimanakah saudara yang terbaptis dapat memenuhi syarat untuk menjadi pembantu sidang?

Pembantu sidang meniru teladan Yesus dengan rela berkhidmat kepada orang lain (Lihat perenggan 4)


5. Apakah yang dapat dilakukan oleh para saudara yang ingin menjadi pembantu sidang?

5 Bible mengandungi syarat-syarat bagi mereka yang ingin dilantik sebagai pembantu sidang. (1 Tim. 3:​8-10, 12, 13) Jika anda ingin menjadi pembantu sidang, kajilah syarat-syarat ini dan berusahalah untuk memenuhinya. Namun, anda perlu memeriksa niat hati anda terlebih dahulu.

APAKAH YANG SEPATUTNYA MENDORONG ANDA UNTUK MENJADI PEMBANTU SIDANG?

6. Apakah yang sepatutnya mendorong anda untuk berkhidmat kepada saudara saudari? (Matius 20:28; lihat juga gambar.)

6 Yesus Kristus bekerja keras dan melakukan kerja yang dipandang rendah oleh orang kerana didorong oleh kasih untuk Yehuwa dan orang lain. (Baca Matius 20:28; Yoh. 13:​5, 14, 15) Jika anda berkhidmat kepada saudara saudari kerana didorong oleh kasih, Yehuwa akan memberkati anda dan membantu anda mencapai matlamat untuk menjadi pembantu sidang.​—1 Kor. 16:14; 1 Ptr. 5:5.

Melalui teladannya, Yesus mengajar para rasul untuk berkhidmat kepada orang lain dengan rendah hati dan bukannya mengejar kedudukan (Lihat perenggan 6)


7. Mengapakah kita tidak patut berkhidmat kerana ingin disanjung?

7 Dalam dunia ini, orang yang suka menonjolkan diri sering disanjung. Tetapi umat Yehuwa tidak patut bersikap sebegini. Seorang saudara yang meniru kasih Yesus tidak akan menggilakan kuasa atau kedudukan. Jika seseorang yang suka menonjolkan diri dilantik sebagai pembantu sidang, dia mungkin hanya sudi melakukan tugas yang dianggapnya penting, padahal semua tugas dalam sidang bertujuan menjaga saudara saudari. (Yoh. 10:12) Yehuwa tidak akan memberkati sesiapa pun yang berkhidmat kerana ingin disanjung.—1 Kor. 10:​24, 33; 13:​4, 5.

8. Apakah nasihat yang Yesus berikan kepada para rasulnya?

8 Ada kalanya, bahkan rasul-rasul Yesus pun menginginkan tugasan atas sebab yang salah. Contohnya, Yakobus dan Yohanes meminta agar Yesus memberi mereka kedudukan yang istimewa dalam kerajaannya. Selepas menegur mereka, Yesus memberitahu 12 orang rasulnya, “Sesiapa antara kamu ingin menjadi besar, dia mesti melayani kamu. Jika sesiapa antara kamu ingin menjadi yang pertama, dia mesti menjadi hamba kepada semua.” (Mrk. 10:​35-37, 43, 44) Para saudara yang berusaha menjadi pembantu sidang mesti mempunyai motif yang betul, iaitu untuk berkhidmat kepada orang lain. Dengan itu, mereka akan menjadi berkat bagi sidang.​—1 Tes. 2:8.

APAKAH YANG DAPAT MENGUATKAN KEINGINAN ANDA UNTUK BERKHIDMAT?

9. Apakah yang dapat menguatkan keinginan anda untuk berkhidmat?

9 Anda pasti mengasihi Yehuwa dan ingin membantu saudara saudari. Namun, anda mungkin rasa kerja pembantu sidang terlalu banyak dan anda tiada keinginan untuk melakukannya. Apakah yang dapat menguatkan keinginan anda untuk berkhidmat? Fikirkan sukacita yang dapat anda raih jika anda berkhidmat kepada orang lain. Yesus berkata, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.” (Kis. 20:35) Yesus sendiri hidup selaras dengan prinsip ini dan meraih sukacita yang sejati kerana membantu orang lain. Seperti Yesus, anda juga dapat menikmati sukacita yang sama jika anda membantu orang lain.

10. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia sudi berkhidmat kepada orang lain? (Markus 6:​31-34)

10 Perhatikan bagaimana Yesus menunjukkan bahawa dia sudi berkhidmat kepada orang lain. (Baca Markus 6:​31-34.) Pernah sekali, Yesus dan rasul-rasulnya sangat penat dan ingin berehat di sebuah tempat yang sunyi. Tetapi orang ramai tiba di situ lebih awal kerana ingin mendengar ajaran Yesus. Apakah reaksi Yesus? Dia boleh menolak permintaan mereka dan berkata bahawa dia dan para rasul terlalu sibuk sehingga “langsung tidak ada masa untuk makan.” Dia juga boleh mengajarkan satu atau dua hal secara tergesa-gesa dan menyuruh mereka pulang. Tetapi kasih mendorong Yesus untuk “mengajarkan banyak perkara kepada mereka.” Dia bahkan mengajar mereka sehingga lewat petang. (Mrk. 6:35) Dia berbuat demikian bukan kerana terpaksa, tetapi kerana “dia berasa kasihan terhadap mereka.” Ya, Yesus ingin mengajar orang ramai kerana dia mengasihi mereka. Yesus meraih sukacita yang besar kerana sudi berkhidmat kepada orang lain.

11. Bagaimanakah Yesus membantu para pendengarnya dalam cara yang praktikal? (Lihat juga gambar.)

11 Yesus bukan sahaja mengajar orang ramai, tetapi juga menjaga keperluan fizikal mereka. Dia melakukan mukjizat untuk menyediakan makanan dan menyuruh murid-muridnya untuk mengedarkannya. (Mrk. 6:41) Dengan itu, dia mengajar murid-muridnya untuk berkhidmat kepada orang lain. Dia juga mengajar mereka bahawa bantuan yang praktikal, seperti kerja yang dilakukan oleh pembantu sidang, ialah kerja yang amat penting. Bayangkan sukacita yang dinikmati oleh para rasulnya semasa membantu Yesus mengedarkan makanan dan melihat “semua orang makan sampai kenyang”! (Mrk. 6:42) Sudah tentu, Yesus mengutamakan kepentingan orang lain bukan pada peristiwa itu sahaja. Sebaliknya, dia berkhidmat untuk orang lain sepanjang masa dia menginjil di bumi. (Mat. 4:23; 8:16) Yesus berasa gembira dan puas semasa mengajar orang dan menjaga keperluan mereka. Anda juga pasti merasai sukacita yang besar jika anda sudi menjadi pembantu sidang dan berkhidmat kepada orang lain.

Kasih kepada Yehuwa dan keinginan untuk berkhidmat kepada orang lain akan mendorong anda untuk melakukan apa sahaja tanggungjawab dalam sidang (Lihat perenggan 11) a


12. Mengapakah kita tidak patut berasa bahawa kita tidak ada kebolehan yang dapat digunakan untuk membantu sidang?

12 Jika anda rasa anda tiada kebolehan yang berguna untuk membantu sidang, janganlah tawar hati. Anda pasti mempunyai sifat-sifat baik. Bacalah kata-kata Paulus di 1 Korintus 12:​12-30 dan berdoalah agar anda dapat melihat cara untuk menerapkan ayat-ayat ini. Paulus jelas menunjukkan bahawa seperti semua hamba Yehuwa yang lain, anda berharga dan mempunyai peranan yang penting dalam sidang. Jika anda tidak memenuhi syarat untuk menjadi pembantu sidang pada masa ini, janganlah berputus asa. Sebaliknya, lakukanlah apa yang anda mampu untuk berkhidmat kepada Yehuwa dan membantu saudara saudari. Yakinlah bahawa para penatua akan memberi anda tugasan yang sesuai dengan kemampuan anda.​—Rm. 12:​4-8.

13. Adakah syarat untuk menjadi pembantu sidang terlalu susah? Jelaskan.

13 Fikirkan satu lagi sebab mengapa anda tidak perlu teragak-agak untuk memenuhi syarat sebagai pembantu sidang: Kebanyakan sifat yang diperlukan oleh pembantu sidang diperlukan oleh semua orang Kristian. Contohnya, semua orang Kristian perlu menghampiri Yehuwa, berasa gembira untuk memberi, dan hidup dalam cara yang menggembirakan Tuhan. Anda pasti sudah melakukan hal-hal ini. Jadi anda sebenarnya sudah memenuhi kebanyakan syarat untuk menjadi pembantu sidang. Apa lagi yang dapat anda lakukan?

CARA MEMENUHI SYARATNYA

14. Apakah maksud “berfikiran matang”? (1 Timotius 3:​8-10, 12)

14 Mari kita membincangkan beberapa syarat yang disebut di 1 Timotius 3:​8-10, 12. (Baca.) Pembantu sidang haruslah “berfikiran matang.” Ungkapan ini juga boleh bermaksud “serius” atau “bermartabat.” Hal ini tidak bermaksud anda dilarang ketawa atau bergurau. (Pkh. 3:​1, 4) Namun anda harus memandang serius semua tanggungjawab anda. Jika anda berusaha menjadi orang yang boleh dipercayai dan diharapkan, saudara saudari akan lebih menghormati anda.

15. Apakah maksud ungkapan “tidak menipu” dan “tidak tamak akan keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur”?

15 “Tidak menipu” bermaksud anda ikhlas, jujur, dan boleh dipercayai. Anda mengotakan janji dan tidak memperdaya orang. (Ams. 3:32) “Tidak tamak akan keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur” bermaksud anda jujur semasa berniaga dan menguruskan wang sidang. Anda juga tidak akan memperalatkan saudara saudari untuk mengaut keuntungan.

16. (a) Apakah maksud ungkapan “tidak minum banyak wain”? (b) Apakah maksud memiliki “hati nurani yang bersih”?

16 “Tidak minum banyak wain” bermaksud anda tidak minum terlalu banyak alkohol atau dikenali sebagai orang yang suka minum berlebihan. Memiliki “hati nurani yang bersih” pula bermaksud anda hidup menurut standard Yehuwa. Biarpun anda tidak sempurna, hati anda tenang kerana anda menikmati hubungan yang baik dengan Tuhan.

17. Bagaimanakah seorang saudara dapat membuktikan bahawa dia seorang yang bertanggungjawab? (1 Timotius 3:10; lihat juga gambar.)

17 Pembantu sidang perlu “diuji terlebih dahulu untuk mengetahui sama ada mereka layak atau tidak.” Maksudnya, sebelum anda dilantik, anda perlu membuktikan bahawa anda seorang yang bertanggungjawab. Oleh itu, semasa para penatua memberi anda tugasan, ikutlah arahan mereka dan panduan organisasi dengan teliti. Pastikan anda memahami apa yang perlu dilakukan dan bila anda harus menyiapkannya. Apabila anda melakukan tugasan anda dengan baik, saudara saudari di sidang akan melihat dan menghargai usaha anda. Para penatua, pastikan anda melatih saudara yang terbaptis. (Baca 1 Timotius 3:10.) Adakah sidang anda mempunyai saudara terbaptis yang berumur awal belasan tahun atau lebih muda? Adakah mereka mempunyai tabiat pembelajaran peribadi yang baik? Adakah mereka kerap memberikan komen dan keluar menginjil? Jika begitu, berilah mereka tugas yang sesuai dengan usia dan situasi mereka supaya mereka dapat “diuji terlebih dahulu untuk mengetahui sama ada mereka layak atau tidak.” Dengan itu, apabila mereka berumur lewat belasan tahun, mereka sudah boleh dilantik sebagai pembantu sidang.

Dengan memberi saudara terbaptis tugasan, mereka dapat “diuji terlebih dahulu” (Lihat perenggan 17)


18. Apakah maksud “bebas daripada tuduhan”?

18 “Bebas daripada tuduhan” bermaksud tiada orang dapat menuduh anda atas salah laku yang serius. Memang, Yesus pernah menjadi mangsa fitnah dan dia telah menubuatkan bahawa pengikutnya juga akan mengalami hal yang sama. (Yoh. 15:20) Namun jika anda memastikan kelakuan anda murni seperti yang dilakukan Yesus, anda akan mendapat nama yang baik di dalam sidang.​—Mat. 11:19.

19. Apakah maksud “mempunyai seorang isteri sahaja”?

19 “Mempunyai seorang isteri sahaja.” Jika anda sudah berkahwin, anda harus hidup menurut standard Yehuwa bagi perkahwinan, iaitu perkahwinan mesti antara seorang lelaki dengan seorang wanita. (Mat. 19:​3-9) Anda bukan sahaja akan menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral, tetapi juga akan setia kepada isteri anda dan tidak memberikan perhatian romantik kepada wanita lain.​—Ayb. 31:1; Ibr. 13:4.

20. Bagaimanakah seorang saudara dapat mengurus “rumah tangga sendiri dengan baik”?

20 “Mengurus anak-anak dan rumah tangga sendiri dengan baik.” Jika anda ialah ketua keluarga, anda harus memandang serius tanggungjawab anda. Pastikan keluarga anda mempunyai penyembahan keluarga yang tetap. Cubalah menginjil bersama setiap ahli keluarga anda secara kerap. Bantulah anak anda memupuk persahabatan dengan Yehuwa. (Ef. 6:4) Jika seorang saudara dapat mengurus rumah tangganya dengan baik, hal itu menunjukkan bahawa dia dapat menjaga sidang.​—Bandingkan 1 Timotius 3:5.

21. Jika anda belum berkhidmat sebagai pembantu sidang, apakah yang dapat anda lakukan?

21 Para saudara, jika anda belum berkhidmat sebagai pembantu sidang, sila kaji maklumat dalam rencana ini dengan teliti. Berdoalah kepada Yehuwa untuk meminta bantuan-Nya dan berusahalah untuk memenuhi syarat-syarat untuk menjadi pembantu sidang. Fikirkanlah kasih anda terhadap Yehuwa dan saudara saudari anda. Pupuklah keinginan untuk berkhidmat kepada mereka. (1 Ptr. 4:​8, 10) Nikmatilah sukacita yang terhasil kerana berbuat demikian. Semoga Yehuwa memberkati usaha anda untuk memenuhi syarat sebagai pembantu sidang!​—Flp. 2:13.

LAGU 17 “Aku Rela”

a KETERANGAN GAMBAR: Dalam gambar kiri, Yesus membantu orang lain dengan rendah hati; dalam gambar kanan, seorang pembantu sidang membantu seorang saudara tua.