Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 31

“Kita Tidak Berputus Asa”!

“Kita Tidak Berputus Asa”!

“Itulah sebabnya kita tidak berputus asa.”​—2 KOR. 4:16.

LAGU 128 Bertahan hingga Akhir

PENGENALAN *

1. Apakah peringatan yang diberikan Paulus kepada orang Kristian di Filipi?

ORANG Kristian berada dalam perlumbaan yang menuju kehidupan. Sama ada kita baru mula berlari atau sudah berlari selama bertahun-tahun, kita perlu terus berlari sehingga garisan penamat. Nasihat Paulus kepada sidang di Filipi pada abad pertama dapat mendorong kita untuk menghabiskan perlumbaan kita. Semasa surat Paulus ditulis, sesetengah ahli sidang di Filipi sudah lama menyembah Yehuwa. Mereka memang setia, tetapi Paulus mengingatkan mereka bahawa mereka perlu terus berlari dengan tabah. Dia ingin mereka mengikut teladannya dan terus berlari ke arah tujuan mereka.​—Flp. 3:14.

2. Mengapakah nasihat Paulus kepada sidang di Filipi diberikan tepat pada masanya?

2 Nasihat Paulus kepada sidang di Filipi diberikan tepat pada masanya, kerana sidang itu telah menghadapi tentangan sejak ditubuhkan. Sekitar tahun 50 M, Paulus dan Silas menjejakkan kaki di Filipi setelah menerima jemputan Tuhan untuk ‘datang ke Makedonia.’ (Kis. 16:9) Di situ, mereka berjumpa dengan Lidia, dan “Yehuwa membuka hati Lidia dengan sepenuhnya” agar dia menyambut berita baik. (Kis. 16:14) Tidak lama kemudian, Lidia dan seisi rumah tangganya telah dibaptis. Si Iblis segera menimbulkan masalah. Penduduk kota Filipi telah menyeret Paulus dan Silas untuk menghadap para pemerintah kota dan menuduh mereka membuat kacau. Akibatnya, Paulus dan Silas dipukul, dipenjarakan, dan kemudiannya disuruh meninggalkan kota itu. (Kis. 16:16-40) Adakah mereka berputus asa? Tidak! Bagaimana pula dengan saudara saudari dalam sidang yang baharu itu? Mereka juga tetap tabah! Sudah tentu, teladan Paulus dan Silas telah menguatkan mereka.

3. Apakah yang disedari Paulus? Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

3 Paulus bertekad agar tidak berputus asa. (2 Kor. 4:16) Namun, dia sedar bahawa dia mesti tetap berfokus kepada matlamatnya supaya dapat menghabiskan perlumbaannya. Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan Paulus? Bagaimanakah penyembah Tuhan yang setia pada zaman moden menunjukkan bahawa kita dapat menghadapi apa sahaja masalah dengan tabah? Bagaimanakah harapan kita dapat menguatkan azam kita untuk tidak berputus asa?

PENGAJARAN DARIPADA TELADAN PAULUS

4. Bagaimanakah Paulus tetap aktif dalam khidmat Yehuwa meskipun menghadapi situasi yang mencabar?

4 Fikirkan segala usaha yang dicurahkan Paulus semasa dia menulis surat kepada sidang di Filipi. Ketika itu, dia dikurung dalam sebuah rumah di Roma dan tidak dapat keluar menginjil. Tetapi dia tetap sibuk memberikan kesaksian kepada pelawat dan menulis banyak surat kepada sidang yang jauh. Hari ini, ramai orang Kristian tidak dapat meninggalkan rumah kerana masalah usia atau kesihatan. Namun, mereka berusaha untuk mengongsi berita baik dengan orang yang datang melawat. Mereka juga menulis surat yang menggalakkan kepada penghuni rumah yang tidak dapat dikunjungi.

5. Menurut Filipi 3:12-14, apakah yang membantu Paulus tetap bertumpu kepada matlamatnya?

5 Paulus tidak membiarkan perhatiannya tersimpang oleh pencapaian atau kesilapannya pada masa lampau. Dia berkata bahawa dia mesti “melupakan perkara yang di belakang,” barulah dia dapat “berusaha dengan gigih untuk mencapai perkara yang di hadapan,” iaitu untuk menghabiskan perlumbaannya. (Baca Filipi 3:12-14.) Apakah yang dilakukan Paulus supaya tidak tersimpang? Pertama, dia sangat berjaya dalam kalangan orang Yahudi sebelum menjadi orang Kristian. Namun, dia “menganggap semua itu sebagai sampah sahaja.” (Flp. 3:3-8) Kedua, dia pernah menganiaya orang Kristian. Namun, dia tidak membiarkan rasa bersalah membebaninya sehingga dia berhenti menyembah Yehuwa. Ketiga, Paulus meraih hasil yang baik dalam kerja penyebaran meskipun dia dipenjarakan, dipukul, direjam, kekurangan makanan dan pakaian, atau mengalami kapal karam. Namun, dia tidak berfikir bahawa apa yang dilakukannya untuk Yehuwa sudah cukup. (2 Kor. 11:23-27) Tidak kira apa yang sudah dicapai dan dialaminya, Paulus tahu bahawa dia mesti terus berusaha. Kita harus meniru teladannya.

6. Apakah sesetengah “perkara yang di belakang” yang perlu kita lupakan?

6 Bagaimanakah kita dapat “melupakan perkara yang di belakang” seperti Paulus? Jika kita dibebani rasa bersalah atas dosa lampau, lakukanlah projek pembelajaran peribadi tentang korban tebusan Kristus. Apabila kita mengkaji, merenungkan, dan berdoa tentang topik yang menggalakkan itu, kita tidak akan asyik menyalahkan diri atas dosa yang sudah diampunkan Yehuwa. Terdapat satu lagi pengajaran daripada teladan Paulus. Sesetengah orang telah mengorbankan kerjaya yang besar agar dapat mengutamakan Kerajaan Tuhan. Jika begitu, dapatkah kita melupakan perkara yang di belakang dengan tidak asyik merindui kekayaan atau keselesaan yang dilepaskan? (Bil. 11:4-6; Pkh. 7:10) “Perkara yang di belakang” juga mungkin termasuk pencapaian atau kesusahan kita pada masa lalu. Memang benar, kita dapat lebih menghampiri Yehuwa jika kita mengenang kembali bagaimana Dia memberkati dan menyokong kita selama ini. Tetapi janganlah membiarkan hal-hal itu membuat kita berfikir bahawa apa yang kita lakukan untuk Tuhan sudah cukup.​—1 Kor. 15:58.

Kita mesti mengelakkan perkara yang menyimpangkan perhatian dan tetap bertumpu kepada matlamat kita (Lihat perenggan 7)

7. Menurut 1 Korintus 9:24-27, apakah yang diperlukan untuk menang dalam perlumbaan yang menuju kehidupan? Jelaskan.

7 Paulus memahami kata-kata Yesus bahawa kita mesti berusaha dengan sedaya upaya. (Luk. 13:23, 24) Dia sedar bahawa seperti Kristus, dia perlu berusaha keras sampai akhir. Maka Paulus menyamakan kehidupan orang Kristian dengan perlumbaan. (Baca 1 Korintus 9:24-27.) Semasa berlumba, seorang pelari akan bertumpu kepada garisan penamat dan tidak membiarkan perhatiannya disimpangkan. Katakan terdapat kedai dan benda-benda yang menarik di sepanjang laluan perlumbaan, adakah dia akan berhenti untuk melihat barangan yang dipamerkan? Pastinya tidak! Dalam perlumbaan menuju kehidupan, kita juga mesti bertumpu kepada matlamat kita dan mengelakkan hal-hal yang menyimpangkan perhatian. Jika kita berusaha sedaya upaya seperti Paulus, kita pasti menerima ganjaran!

TERUS MENYEMBAH YEHUWA MESKIPUN MENGHADAPI MASALAH

8. Apakah tiga cabaran yang akan kita bincangkan?

8 Mari kita bincangkan tiga cabaran yang dapat membuat kita berputus asa: Harapan yang tidak tercapai, tubuh yang semakin lemah, dan cubaan yang berterusan. Kita akan belajar bagaimana orang lain berjaya mengharungi cabaran sebegitu.​—Flp. 3:17.

9. Bagaimanakah harapan yang tidak tercapai dapat mempengaruhi kita?

9 Harapan yang tidak tercapai. Kita sangat menantikan berkat yang dijanjikan Yehuwa. Semasa Nabi Habakuk berkata bahawa dia sangat menginginkan masanya Yehuwa mengakhiri kejahatan di Yehuda, Yehuwa telah memberitahunya, “Teruslah menantikannya.” (Hab. 2:3) Namun, apabila hal yang kita nantikan nampaknya tidak kunjung tiba, kita mungkin berasa lemah semangat dan bahkan menjadi tawar hati. (Ams. 13:12) Itulah yang terjadi kepada ramai orang Kristian terurap pada awal abad ke-20. Mereka berharap untuk pergi ke syurga pada tahun 1914. Apabila hal itu tidak berlaku, bagaimanakah orang Kristian yang setia mengatasi cabaran ini?

Harapan Royal dan Pearl Spatz tidak tercapai pada tahun 1914, tetapi mereka tetap menyembah Yehuwa dengan setia selama puluhan tahun (Lihat perenggan 10)

10. Apakah yang dilakukan sepasang suami isteri apabila harapan mereka tidak tercapai?

10 Fikirkan contoh dua orang Kristian terurap yang setia. Saudara Royal Spatz dibaptis pada tahun 1908 semasa berusia 20 tahun. Dia yakin bahawa dia akan pergi ke syurga tidak lama selepas itu. Maka, semasa melamar bakal isterinya Pearl pada tahun 1911, dia berkata, “Kamu tahu apa yang akan terjadi pada tahun 1914. Jadi, lebih baik kita berkahwin secepat mungkin!” Adakah pasangan itu berhenti menyembah Yehuwa semasa mereka tidak dibawa ke syurga pada tahun 1914? Tidak. Bagi mereka, melakukan kehendak Tuhan dengan setia lebih penting daripada mendapat ganjaran di syurga. Royal dan Pearl bertekad untuk berlari dengan tabah, dan pasangan itu telah berkhidmat dengan aktif dan setia selama puluhan tahun sehingga akhir hayat mereka di bumi. Anda pasti menanti-nantikan masanya Yehuwa menegakkan nama-Nya dan kedaulatan-Nya, serta menunaikan semua janji-Nya. Percayalah bahawa semua itu akan berlaku pada masa yang ditentukan Yehuwa. Sambil menantikan waktu itu, marilah kita bergiat sepenuhnya untuk Tuhan kita, dan janganlah membiarkan harapan yang tidak tercapai untuk melemahkan semangat kita.

Biarpun sudah berusia, Arthur Secord ingin terus melakukan yang terbaik untuk Yehuwa (Lihat perenggan 11)

11-12. Mengapakah kita dapat terus berlari dalam perlumbaan Kristian meskipun tubuh kita menjadi semakin lemah? Berikan contoh.

11 Tubuh yang semakin lemah. Tidak seperti pelari sebenar, anda tidak memerlukan tubuh yang kuat untuk meneruskan perlumbaan yang menuju kehidupan. Ramai orang yang lemah secara fizikal masih mempunyai azam yang membara untuk terus maju secara rohani. (2 Kor. 4:16) Sebagai contoh, setelah berkhidmat di Bethel selama 55 tahun, Saudara Arthur Secord berusia 88 tahun, dan dia lemah dan sakit. Suatu hari, seorang jururawat datang ke katilnya untuk menjaganya. Dia memandang Arthur dengan penuh kasih dan berkata, “Saudara Secord, kamu telah melakukan banyak kerja untuk Yehuwa.” Namun, Arthur tidak berfokus kepada masa lampau. Dia memandang mata jururawat itu, tersenyum, dan menjawab, “Memang benar. Tetapi yang penting bukanlah apa yang telah kita buat. Apa yang sedang kita buat, itulah yang lebih penting.”

12 Anda mungkin sudah lama menyembah Yehuwa, dan kini kesihatan anda tidak mengizinkan anda untuk bergiat seperti dahulu. Namun, janganlah tawar hati. Yakinlah bahawa Yehuwa menghargai segala usaha anda pada masa lalu. (Ibr. 6:10) Ingatlah bahawa kasih anda untuk Yehuwa tidak diukur berdasarkan berapa banyaknya kerja yang dapat anda lakukan untuk Yehuwa. Sebaliknya, apabila anda bersikap positif dan melakukan apa yang terdaya pada masa sekarang, anda sudah membuktikan betapa dalamnya kasih anda kepada Yehuwa. (Kol. 3:23) Yehuwa memahami keterbatasan kita dan tidak akan mengharapkan sesuatu yang di luar kemampuan kita.​—Mrk. 12:43, 44.

Anatoly dan Lidiya Melnik tetap tabah meskipun dilanda banyak kesusahan (Lihat perenggan 13)

13. Bagaimanakah pengalaman Anatoly dan Lidiya menggalakkan kita untuk terus menyembah Yehuwa meskipun kita menghadapi cubaan yang berterusan?

13 Cubaan yang berterusan. Sesetengah hamba Yehuwa telah menghadapi kesusahan dan penganiayaan selama puluhan tahun. Fikirkan contoh Anatoly Melnik * dari Moldova. Semasa dia hanya berumur 12 tahun, bapanya ditangkap, dipenjarakan, lalu dibuang negeri ke Siberia, yang terletak lebih daripada 7,000 km dari Moldova. Setahun kemudian, Anatoly, ibunya, dan datuk neneknya, juga dibuang ke Siberia. Mereka kemudiannya dapat menghadiri perjumpaan di sebuah kampung yang lain, tetapi untuk sampai ke situ, mereka perlu berjalan 30 km dalam cuaca yang amat sejuk dan bersalji. Selepas berkahwin, Saudara Anatoly telah dipenjarakan selama tiga tahun dan terpisah daripada isterinya Lidiya dan anak perempuan mereka yang berumur satu tahun. Meskipun menghadapi kesusahan yang berterusan, Anatoly dan keluarganya tetap menyembah Yehuwa dengan setia. Kini Anatoly sudah berumur 82 tahun dan berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan di Asia Tengah. Seperti Anatoly dan Lidiya, semoga kita terus melakukan apa yang terdaya untuk Yehuwa dan terus bertabah seperti dahulu.​—Gal. 6:9.

TETAP BERFOKUS KEPADA HARAPAN MASA DEPAN KITA

14. Apakah yang perlu dilakukan Paulus untuk mencapai matlamatnya?

14 Paulus yakin bahawa dia akan menghabiskan perlumbaannya dan mencapai tujuannya, iaitu meraih “kehidupan di syurga.” Namun, untuk mencapai matlamat itu, dia sedar bahawa dia perlu terus ‘berlari ke arah tujuannya.’ (Flp. 3:14) Paulus ingin orang Kristian di Filipi tetap berfokus kepada hala tuju mereka, maka dia telah menggunakan sebuah perumpamaan yang menarik untuk membantu mereka.

15. Bagaimanakah Paulus menggalakkan orang Kristian di Filipi agar bertumpu kepada matlamat mereka?

15 Paulus mengingatkan orang Kristian di Filipi bahawa mereka memiliki kewarganegaraan di syurga. (Flp. 3:20) Mengapakah mereka perlu ingat akan hal itu? Pada zaman Paulus, kewarganegaraan Roma sangat bernilai. * Namun, orang Kristian terurap memiliki kewarganegaraan yang jauh lebih istimewa, yang membawa jauh lebih banyak berkat. Maka Paulus menggalakkan orang Kristian di Filipi, “Teruslah hidup sebagai rakyat sesuai dengan apa yang dituntut oleh berita baik tentang Kristus.” (Flp. 1:27, nota kaki) Orang Kristian terurap zaman ini merupakan teladan yang baik, kerana mereka terus ‘berlari ke arah tujuan mereka,’ iaitu kehidupan kekal di syurga.

16. Menurut Filipi 4:6, 7, apakah yang harus kita terus lakukan, tidak kira harapan kita adalah untuk hidup di syurga atau di bumi?

16 Sama ada harapan kita adalah untuk hidup kekal di syurga atau di bumi firdaus, teruslah berlari ke arah tujuan kita. Tidak kira apa situasi kita, lupakanlah perkara yang di belakang dan janganlah membiarkan apa-apa pun menghalang kita daripada menyembah Yehuwa. (Flp. 3:16) Harapan yang kita nantikan mungkin nampaknya ditangguhkan, tubuh kita mungkin menjadi semakin lemah, dan kita mungkin sudah menghadapi kesusahan dan penganiayaan selama bertahun-tahun. Namun, “janganlah khuatir akan apa-apa pun.” Sebaliknya, nyatakanlah permohonan dan rayuan kita kepada Tuhan, dan Dia akan memberi kita ketenangan hati yang di luar jangkaan kita.​—Baca Filipi 4:6, 7.

17. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

17 Seperti pelari yang hampir tiba di garisan penamat, semoga kita bertumpu sepenuhnya kepada berkat yang menantikan kita. Hendaklah kita berusaha sedaya upaya menurut kemampuan dan keadaan kita untuk menghabiskan perlumbaan yang menuju kehidupan. Apakah yang dapat membantu kita tetap tabah dalam perlumbaan ini? Rencana seterusnya akan menjelaskan cara menetapkan keutamaan yang betul dan cara “mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.”​—Flp. 1:9, 10.

LAGU 79 Ajarlah Mereka untuk Berteguh

^ per. 5 Tidak kira berapa lama kita sudah menyembah Yehuwa, kita ingin terus berlari dalam perlumbaan yang menuju kehidupan sehingga ke garisan penamat. Rasul Paulus menggesa rakan seimannya agar berbuat demikian tanpa berputus asa. Suratnya kepada sidang di Filipi mengandungi galakan yang dapat membantu kita terus berlari dengan tabah. Rencana ini akan menjelaskan cara untuk menerapkan nasihat Paulus yang diilhami Tuhan.

^ per. 13 Lihat kisah hidup Saudara Melnik, ‘Diajar sejak Kecil untuk Mengasihi Tuhan,’ dalam Sedarlah!, 22 Oktober 2004, dalam bahasa Indonesia.

^ per. 15 Kota Filipi merupakan tanah jajahan Roma, maka penduduknya memiliki sesetengah hak yang dimiliki rakyat Roma. Oleh itu, orang Kristian di Filipi dapat memahami perumpamaan Paulus.