Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 33

“Mereka yang Mendengarkan Kamu” Akan Diselamatkan

“Mereka yang Mendengarkan Kamu” Akan Diselamatkan

“Teruslah memberikan perhatian kepada dirimu sendiri dan kepada ajaranmu. Lakukanlah hal-hal ini dengan tekun, kerana dengan berbuat demikian, kamu akan menyelamatkan dirimu sendiri dan mereka yang mendengarkan kamu.”​1 TIM. 4:16.

LAGU 67 “Khabarkan Firman Tuhan”

PENGENALAN *

1. Apakah perasaan kita tentang ahli keluarga kita?

SEORANG saudari yang bernama Pauline * berkata, “Sejak masanya saya mengenali kebenaran, saya ingin semua ahli keluarga saya hidup bersama saya di Firdaus. Saya sangat ingin menyembah Yehuwa bersama suami saya Wayne dan anak lelaki kami.” Adakah anda mempunyai ahli keluarga yang belum lagi mengenali dan mengasihi Yehuwa? Jika ya, anda mungkin mempunyai perasaan seperti Pauline.

2. Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Kita tidak boleh memaksa ahli keluarga kita untuk menerima berita baik, tetapi kita dapat menggalakkan mereka supaya rela mendengar dan memikirkan berita Bible. (2 Tim. 3:14, 15) Mengapakah kita patut memberikan kesaksian kepada ahli keluarga sendiri? Mengapakah kita perlu memahami perasaan mereka? Bagaimanakah kita dapat membantu mereka mengasihi Yehuwa seperti kita? Bagaimanakah saudara saudari dalam sidang kita dapat membantu?

MENGAPAKAH KITA PATUT MEMBERIKAN KESAKSIAN KEPADA AHLI KELUARGA?

3. Menurut 2 Petrus 3:9, mengapakah kita patut memberikan kesaksian kepada ahli keluarga?

3 Tidak lama lagi, Yehuwa akan mengakhiri dunia jahat ini. Hanya orang yang “memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal” akan terselamat. (Kis. 13:48) Kita menghabiskan banyak masa dan tenaga untuk menginjil kepada orang yang tidak dikenali, maka kita tentu ingin memberikan kesaksian kepada ahli keluarga kita, supaya mereka dapat menyembah Yehuwa bersama kita. Bapa kita yang pengasih, Yehuwa, “tidak ingin seorang pun dibinasakan. Dia ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat.”​—Baca 2 Petrus 3:9.

4. Apakah kesilapan yang mungkin kita lakukan semasa menginjil kepada ahli keluarga sendiri?

4 Ingatlah bahawa terdapat cara yang betul dan cara yang salah untuk mengongsi berita penyelamatan. Kita berusaha bersikap baik hati semasa menginjil kepada seseorang yang tidak dikenali, tetapi kita mungkin terlalu terus terang semasa bercakap kepada ahli keluarga sendiri.

5. Apakah yang harus kita ingat sebelum mengongsi kebenaran dengan ahli keluarga kita?

5 Semasa terfikir kali pertama kita mencuba menginjil kepada ahli keluarga, ramai antara kita mungkin menyesal kerana telah menggunakan kaedah yang kurang sesuai. Rasul Paulus menasihati orang Kristian, “Hendaklah kata-kata kamu sentiasa menyenangkan dan enak didengari, seperti makanan yang ditambahkan dengan garam. Dengan demikian, kamu akan tahu cara untuk menjawab setiap orang.” (Kol. 4:5, 6) Ingatlah nasihat itu semasa bercakap dengan ahli keluarga kita. Jika tidak, kita mungkin menyinggung perasaan mereka dan bukannya mendorong mereka untuk mendengar berita baik.

BAGAIMANAKAH KITA DAPAT MEMBANTU MEREKA?

Jika anda berkelakuan baik dan berusaha memahami perasaan ahli keluarga, hal itu sudah menjadi satu kesaksian yang baik (Lihat perenggan 6-8) *

6-7. Sebutkan satu contoh yang menunjukkan pentingnya memahami perasaan pasangan hidup yang tidak seiman.

6 Fahami perasaan mereka. Pauline yang disebut tadi berkata, “Pada mulanya, saya hanya mahu bercakap kepada suami saya tentang hal rohani. Kami tidak berbual tentang perkara biasa.” Tetapi suaminya Wayne tidak begitu mengenali Bible dan tidak memahami apa yang dikatakan Pauline. Dalam pandangan Wayne, Pauline asyik berfikir tentang agama sahaja. Dia risau Pauline telah mengikut agama sesat dan ditipu.

7 Pauline mengakui bahawa buat suatu ketika, dia menghabiskan banyak masa pada waktu malam dan hujung minggu untuk menghadiri perjumpaan, menginjil, atau bergaul dengan saudara saudari. Dia berkata, “Ada kalanya, Wayne berasa sunyi kerana tiada orang di rumah semasa dia pulang.” Sudah tentu, Wayne berharap agar isteri dan anaknya berada di sisinya. Dia tidak mengenali saudara saudari di sidang, dan dia berasa bahawa mereka sudah menjadi lebih penting bagi Pauline berbanding dirinya. Maka Wayne mengugut hendak menceraikan Pauline. Menurut anda, bagaimanakah Pauline dapat lebih memahami perasaan suaminya?

8. Menurut 1 Petrus 3:1, 2, apakah cara yang paling berkesan untuk mengongsi mesej Bible dengan ahli keluarga?

8 Berkelakuan baik. Sering kali, perbuatan kita meninggalkan kesan yang lebih mendalam berbanding kata-kata kita. (Baca 1 Petrus 3:1, 2.) Itulah yang kemudiannya disedari Pauline. “Saya tahu Wayne sayang kami dan bukan betul-betul mahu bercerai,” katanya. “Tetapi ugutannya membuat saya sedar bahawa saya perlu ikut nasihat Yehuwa tentang perkahwinan. Saya harus menunjukkan perbuatan yang baik dan bukan asyik bercerita tentang kebenaran.” Maka Pauline tidak lagi mendesak Wayne untuk bercakap tentang Bible dan mula berbual dengannya tentang perkara seharian. Wayne telah melihat bagaimana isterinya menjadi orang yang suka akan kedamaian dan bagaimana kelakuan anaknya bertambah baik. (Ams. 31:18, 27, 28) Setelah menyaksikan bagaimana ajaran Bible telah membantu keluarganya, Wayne mula menerima dan memikirkan mesej Bible.​—1 Kor. 7:12-14, 16.

9. Mengapakah kita mesti terus berusaha membantu ahli keluarga kita?

9 Teruslah berusaha membantu mereka. Ikutlah teladan Yehuwa. Dia “berkali-kali” memberi orang peluang untuk mendengar berita baik dan meraih kehidupan. (Yer. 44:4) Selain itu, Rasul Paulus telah menasihati Timotius agar membantu orang lain dengan tekun. Mengapa? Kerana dengan berbuat demikian, Timotius dapat menyelamatkan dirinya sendiri dan orang yang mendengarkannya. (1 Tim. 4:16) Kita mengasihi ahli keluarga kita, maka kita ingin mereka mengenali kebenaran Bible. Kata-kata dan tindakan Pauline akhirnya membawa hasil yang baik. Kini dia bersukacita kerana dapat merintis bersama-sama suaminya, dan Wayne juga berkhidmat sebagai seorang penatua.

10. Mengapakah kita perlu bersabar?

10 Bersabarlah. Apabila kita mengubah kepercayaan kita dan hidup menurut piawaian Tuhan, ahli keluarga kita mungkin berasa susah untuk menerima perubahan kita. Biasanya, perkara pertama yang diperhatikan mereka ialah kita tidak lagi menyertai perayaan agama mereka atau kegiatan politik. Sesetengah ahli keluarga mungkin berasa marah pada mulanya. (Mat. 10:35, 36) Tetapi janganlah berfikir bahawa mereka tidak mungkin berubah. Jika kita tidak lagi membantu mereka memahami kepercayaan kita, kita seolah-olah sudah menghakimi mereka dan memutuskan bahawa mereka tidak layak menerima kehidupan kekal. Ingatlah, Yehuwa tidak melantik kita sebagai hakim; Dia telah memberikan peranan itu kepada Yesus. (Yoh. 5:22) Jika kita bersabar, suatu hari nanti mereka mungkin sudi mendengar berita baik.​—Lihat kotak “ Gunakan Laman Web Kita untuk Mengajar.”

11-13. Apakah yang anda pelajari daripada cara Alice melayan ibu bapanya?

11 Baik hati tetapi berpendirian teguh. (Ams. 15:2) Fikirkan contoh Alice, yang belajar tentang Yehuwa semasa tinggal berjauhan daripada ibu bapanya. Mereka tidak percaya kepada Tuhan dan sangat aktif dalam politik. Alice sedar bahawa dia perlu memberitahu mereka tentang apa yang dipelajarinya dengan secepat mungkin. “Jika saya berlambat-lambat untuk memberitahu mereka tentang kepercayaan dan amalan baharu saya, mereka akan lebih terkejut,” katanya. Maka Alice mula menulis surat kepada ibu bapanya. Dia menyebut topik-topik yang mungkin diminati mereka, contohnya kasih, dan menanyakan pendapat mereka tentang ajaran Bible mengenai topik itu. (1 Kor. 13:1-13) Alice berterima kasih kepada mereka kerana membesarkan dan menjaganya, dan dia juga menghantar hadiah kepada mereka. Semasa melawat ibu bapanya, dia juga berusaha membantu ibunya membuat kerja rumah. Pada mulanya, mereka tidak gembira semasa mendapat tahu tentang kepercayaan Alice.

12 Semasa Alice berada di rumah ibu bapanya, dia tetap membaca Bible setiap hari. “Hal itu membantu ibu saya memahami betapa pentingnya Bible bagi saya,” kata Alice. Bapa Alice pula memutuskan untuk mengkaji Bible supaya dia dapat memahami mengapa fikiran anak perempuannya sudah berubah. Dia juga ingin mencari kesilapan dalam Bible. Alice berkata, “Saya memberinya sebuah Bible, dan saya menuliskan sesuatu yang menyentuh hatinya dalam Bible itu.” Apakah hasilnya? Bapa Alice bukan sahaja tidak menjumpai kesilapan Bible, malah tersentuh oleh kandungannya.

13 Kita perlu berpendirian teguh dan tetap baik hati, bahkan semasa ditentang. (1 Kor. 4:12b) Alice telah ditentang oleh ibunya. Dia berkata, “Semasa saya dibaptis, Mak kata saya tidak menyayanginya.” Apakah yang dilakukan Alice? “Saya tidak mengelak daripada menyebut tentang agama baharu saya. Dengan hormat, saya menjelaskan bahawa saya sudah bertekad untuk menjadi Saksi-Saksi Yehuwa, dan keputusan saya tidak akan berubah. Saya cuba meyakinkan Mak bahawa saya sangat mengasihinya, dan kami berdua menangis. Selepas itu, saya memasak hidangan yang enak untuknya. Sejak itu, Mak mula setuju bahawa Bible telah menjadikan saya orang yang lebih baik.”

14. Mengapakah kita sama sekali tidak boleh tunduk kepada tekanan ahli keluarga?

14 Masa mungkin diperlukan sebelum ahli keluarga kita benar-benar faham betapa pentingnya ibadat Yehuwa bagi kita. Misalnya, semasa Alice memutuskan untuk menjadi perintis dan bukannya melanjutkan pelajaran seperti yang diingini ibu bapanya, ibu Alice menangis lagi. Tetapi Alice tidak berganjak. Dia berkata, “Jika saya tunduk kepada mereka dalam satu hal, mereka mungkin memberi saya tekanan dalam hal lain. Tetapi jika saya baik hati dan berpendirian teguh, ada antara mereka yang mungkin mendengar berita baik.” Kini, ibu bapa Alice merupakan perintis, dan bapanya juga seorang penatua.

BAGAIMANAKAH SEMUA AHLI SIDANG DAPAT MEMBANTU?

Bagaimanakah ahli sidang dapat membantu ahli keluarga kita yang tidak seiman? (Lihat perenggan 15-16) *

15. Menurut Matius 5:14-16 dan 1 Petrus 2:12, bagaimanakah “perbuatan baik” ahli sidang dapat membantu ahli keluarga kita?

15 Yehuwa menggunakan “perbuatan baik” ahli sidang untuk memimpin orang kepada-Nya. (Baca Matius 5:14-16; 1 Petrus 2:12.) Jika pasangan anda bukan seorang Saksi, sudahkah dia berkenalan dengan saudara saudari di sidang anda? Pauline, yang disebut tadi, telah menjemput rakan seiman ke rumahnya supaya suaminya Wayne berpeluang mengenali mereka. Wayne masih ingat bagaimana seorang saudara telah berusaha membantunya faham bahawa Saksi-Saksi juga meminati hal lain selain agama sendiri. Wayne berkata, “Saudara itu mengambil cuti sehari hanya untuk tengok bola bersama saya. Lalu saya fikir, ‘Dia pun orang biasa!’”

16. Mengapakah kita patut menjemput ahli keluarga untuk menghadiri perjumpaan?

16 Salah satu cara yang baik untuk membantu ahli keluarga kita adalah dengan menjemput mereka untuk menghadiri perjumpaan bersama kita. (1 Kor. 14:24, 25) Perjumpaan pertama yang dihadiri Wayne ialah sambutan Peringatan, kerana programnya singkat dan diadakan selepas waktu kerja. “Saya tidak berapa faham ceramah itu,” katanya, “tetapi saya ingat bagaimana orang di situ datang kepada saya untuk berjabat tangan dan mengalu-alukan saya. Saya dapat lihat bahawa mereka memang orang yang baik.” Terdapat sepasang suami isteri yang sering membantu Pauline dan anaknya semasa perjumpaan dan kerja penyebaran. Jadi, ketika Wayne memutuskan untuk mengenali kepercayaan Pauline dengan lebih lanjut, dia telah menghubungi si suami itu untuk meminta pembelajaran Bible.

17. Kita tidak patut menyalahkan diri atas hal apa? Namun, mengapakah kita harus terus berusaha membantu ahli keluarga kita?

17 Kita berharap agar semua ahli keluarga kita akan menyembah Yehuwa bersama kita. Namun, kita tidak boleh memaksa orang lain untuk menerima kepercayaan kita. Jadi, jika ahli keluarga kita tidak mahu menerima kebenaran meskipun kita sudah berusaha membantu mereka, janganlah menyalahkan diri. Teruslah menyembah Yehuwa dengan sukacita, kerana kegembiraan anda dapat memberikan kesan yang mendalam kepada mereka. Berdoalah untuk mereka, bercakaplah kepada mereka dengan sopan, dan teruslah cuba membantu mereka! (Kis. 20:20) Yakinlah bahawa Yehuwa akan memberkati usaha anda. Sekiranya ahli keluarga anda mendengarkan anda, mereka akan diselamatkan!

LAGU 57 Menginjil kepada Semua Orang

^ per. 5 Kita ingin saudara-mara kita mengenali Yehuwa, tetapi mereka perlu memutuskan sama ada mereka mahu menyembah-Nya atau tidak. Rencana ini akan membincangkan apa yang dapat kita lakukan supaya mereka lebih sudi mendengar berita baik.

^ per. 1 Sesetengah nama telah diubah. Dalam rencana ini, istilah “ahli keluarga” juga merangkumi saudara-mara yang belum lagi menyembah Yehuwa.

^ per. 53 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara muda sedang membantu bapanya yang tidak seiman untuk membaiki kereta. Pada waktu yang sesuai, dia menunjukkan sebuah video di jw.org®.

^ per. 55 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari mendengar dengan penuh perhatian semasa suaminya yang tidak seiman menceritakan hal yang terjadi sepanjang hari. Kemudian, saudari itu menikmati masa yang riang bersama keluarganya.

^ per. 57 KETERANGAN GAMBAR: Saudari itu menjemput ahli sidangnya ke rumah. Mereka berusaha untuk mengenali suaminya. Kemudian, suami itu menghadiri Peringatan bersama isterinya.