Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Yohanes Pembaptis​—Dia Tetap Bersukacita

Yohanes Pembaptis​—Dia Tetap Bersukacita

ADAKAH anda menginginkan suatu tugas di sidang tetapi hasrat anda tidak tercapai? Tugas itu mungkin sudah dilakukan oleh orang lain. Atau anda pernah melakukan tugas itu tetapi terpaksa berhenti kerana usia tua, masalah kesihatan, masalah kewangan, atau tanggungjawab keluarga. Atau anda mungkin sudah lama memikul suatu tanggungjawab tetapi tidak lagi memikulnya kerana perubahan dalam organisasi. Tidak kira apa sebabnya, ada kalanya anda mungkin berasa kecewa kerana tidak dapat melakukan segala yang anda inginkan untuk Tuhan. Namun, bagaimanakah anda dapat memastikan agar perasaan yang negatif, seperti tawar hati, sakit hati, atau berdendam, tidak berakar dalam diri anda? Bagaimanakah anda dapat tetap bersukacita?

Kita dapat mempelajari sesuatu daripada Yohanes Pembaptis. Dia diberi tugas yang istimewa, tetapi dia juga menghadapi peristiwa-peristiwa yang tidak disangka. Contohnya, dia mungkin tidak menduga bahawa masa yang dihabiskannya dalam penjara akan lebih panjang daripada masa yang digunakannya untuk menginjil. Walaupun begitu, Yohanes tetap bersukacita, dan dia memelihara sikap itu sepanjang hayatnya. Apakah yang membantunya berbuat demikian? Bagaimanakah kita dapat tetap bersukacita semasa menghadapi kekecewaan?

TUGAS YANG MEMBAWA SUKACITA

Sekitar bulan April tahun 29 M, Yohanes memulakan tugasnya untuk membuka jalan bagi Mesias. Dia mengisytiharkan berita, “Bertaubatlah kerana Kerajaan di syurga sudah dekat.” (Mat. 3:2; Luk. 1:12-17) Perkhabarannya mendapat sambutan hangat. Ramai orang datang dari jauh untuk mendengarnya, dan mereka terdorong untuk bertaubat lalu dibaptis. Yohanes juga memberikan amaran dengan berani kepada para pemimpin agama yang menganggap diri alim. Dia memberitahu mereka bahawa jika mereka tidak berubah, mereka akan dihukum. (Mat. 3:5-12) Sekitar bulan Oktober tahun 29 M, tibalah peristiwa kemuncak dalam tugasan Yohanes. Dia telah membaptiskan Yesus. Sejak itu, Yohanes memberitahu orang bahawa mereka harus mengikut Yesus, iaitu Mesias yang dijanjikan.​—Yoh. 1:32-37.

Peranan Yohanes memang istimewa. Itulah sebabnya Yesus berkata, “Antara orang yang dilahirkan, tiada yang lebih besar daripada Yohanes Pembaptis.” (Mat. 11:11) Yohanes pasti sangat gembira kerana menerima banyak berkat. Seperti dia, ramai orang Kristian hari ini juga diberi banyak berkat. Misalnya, Terry dan isterinya Sandra telah menyertai khidmat sepenuh masa untuk lebih daripada 50 tahun. Terry berkata, “Saya berpeluang berkhidmat sebagai perintis, ahli Bethel, perintis khas, penyelia litar, dan penyelia distrik. Kini, saya seorang perintis khas lagi.” Kita amat bersukacita semasa diberi tanggungjawab rohani. Namun, untuk tetap bersukacita semasa situasi kita berubah, kita perlu berusaha. Contoh Yohanes membuktikan hal ini.

SENTIASA BERSYUKUR

Satu sebab utama Yohanes dapat tetap bersukacita adalah kerana dia sentiasa bersyukur atas penghormatan yang dimilikinya. Fikirkan satu contoh: Selepas Yesus dibaptis, bilangan murid Yohanes semakin berkurang, manakala bilangan murid Yesus semakin bertambah. Murid-murid Yohanes berasa risau lalu berkata kepadanya, “Sekarang dia membaptis orang dan semua orang pergi kepadanya.” (Yoh. 3:26) Tetapi Yohanes berkata, “Pengantin perempuan ialah milik pengantin lelaki. Namun begitu, sahabat pengantin lelaki sangat bersukacita apabila dia berdiri dan mendengar suara pengantin lelaki. Oleh itu, sukacitaku sudah sempurna.” (Yoh. 3:29) Yohanes tidak bersaing dengan Yesus, dan dia tidak berfikir bahawa peranan Yesus yang lebih penting telah membuat tugasnya menjadi tidak bernilai. Sebaliknya, Yohanes menghargai peranan sendiri sebagai “sahabat pengantin lelaki.”

Sikap Yohanes telah membantunya tetap berpuas hati meskipun diberi tugasan yang mencabar. Misalnya, sebagai orang Nazir sejak lahir, Yohanes dilarang minum wain. (Luk. 1:15) Dia juga hidup sederhana. Yesus berkata, “Semasa Yohanes datang, dia tidak makan ataupun minum wain.” Yesus dan murid-muridnya pula tidak perlu mengikut sekatan sebegini dan mereka hidup biasa seperti kebanyakan orang. (Mat. 11:18, 19) Selain itu, Yohanes tidak dapat melakukan mukjizat, sedangkan murid-murid Yesus, termasuk sesetengah orang yang merupakan bekas murid Yohanes, diberi kuasa untuk melakukan mukjizat. (Mat. 10:1; Yoh. 10:41) Namun, Yohanes tidak bertumpu kepada perbezaan itu. Sebaliknya, dia terus menjalankan tugasnya dengan bersungguh-sungguh.

Jika kita menghargai tugasan yang kita miliki sekarang, kita dapat tetap bersukacita. Terry, yang disebut tadi, berkata, “Saya bertumpu kepada setiap tugasan saya.” Semasa mengenang kembali kehidupannya dalam khidmat sepenuh masa, dia berkata, “Saya langsung tidak menyesal, yang ada hanyalah kenangan manis.”

Tidak kira apa tugasan atau tanggungjawab yang kita miliki, kita dapat meningkatkan sukacita kita dengan merenungkan hal ini: Kita diberi penghormatan untuk menjadi “rakan sekerja Tuhan.” (1 Kor. 3:9) Sebagaimana harta pusaka yang digilap akan berkilat, apabila kita merenungkan penghormatan kita untuk berkhidmat kepada Tuhan, sukacita kita pun tidak akan pudar. Kita tidak akan membandingkan pengorbanan kita dengan pengorbanan orang lain. Kita juga tidak akan membiarkan tugas orang lain membuat kita memandang rendah kepada tugas kita.​—Gal. 6:4.

BERTUMPU KEPADA HAL-HAL ROHANI

Yohanes mungkin tahu bahawa tugasnya tidak akan berlanjutan, tetapi dia mungkin tidak sangka bahawa tugas itu akan berakhir secara tiba-tiba. (Yoh. 3:30) Pada tahun 30 M, kira-kira enam bulan selepas dia membaptiskan Yesus, Yohanes telah dipenjarakan oleh Raja Herodes. Meskipun begitu, Yohanes masih berusaha memberikan kesaksian. (Mrk. 6:17-20) Apakah yang membantunya tetap bersukacita meskipun situasinya berubah? Dia tetap bertumpu kepada hal-hal rohani.

Semasa di penjara, Yohanes mendengar laporan tentang perkembangan kerja Yesus. (Mat. 11:2; Luk. 7:18) Yohanes yakin bahawa Yesus ialah Mesias, tetapi dia mungkin tertanya-tanya bagaimana Yesus akan memenuhi semua nubuat Bible tentang Mesias. Dia mungkin berfikir: “Memandangkan Mesias akan menjadi raja, adakah Yesus akan mula memerintah tidak lama lagi? Adakah saya akan dibebaskan selepas Yesus menjadi raja?” Yohanes ingin lebih memahami peranan Yesus, maka dia menghantar dua orang muridnya untuk menanya Yesus, “Adakah Guru merupakan Dia yang Akan Datang, atau adakah kami harus menantikan seorang yang lain?” (Luk. 7:19) Yesus menyuruh mereka untuk memberikan laporan ini kepada Yohanes: “Orang buta dapat melihat, orang tempang dapat berjalan, pesakit kusta disembuhkan, orang tuli dapat mendengar, orang mati dibangkitkan, dan berita baik sedang dikhabarkan kepada orang miskin.” (Luk. 7:20-22) Setelah murid-murid Yohanes kembali, dia pasti telah mendengar dengan penuh perhatian semasa mereka memberitahunya tentang mukjizat-mukjizat Yesus.

Laporan mereka tentu telah menguatkan Yohanes, kerana laporan itu mengesahkan bahawa Yesus sedang memenuhi nubuat-nubuat tentang Mesias. Meskipun Yohanes masih meringkuk di penjara, dia dapat bersukacita kerana tahu bahawa jerih payahnya tidak sia-sia.

Kita dapat tetap bersukacita dengan bertumpu kepada laporan kerja penyebaran sedunia

Jika kita ingin menghadapi cabaran dengan sabar dan sukacita, kita mesti bertumpu kepada hal-hal rohani seperti yang dilakukan Yohanes. (Kol. 1:9-11) Kita dapat berbuat demikian dengan membaca dan merenungkan Bible. Hal ini akan mengingatkan kita bahawa usaha kita untuk Yehuwa tidak sia-sia. (1 Kor. 15:58) Sandra berkata, “Dengan membaca satu bab Bible setiap hari, saya lebih menghampiri Tuhan. Saya dibantu untuk bertumpu kepada-Nya dan bukan kepada diri sendiri.” Kita juga boleh berfokus kepada laporan tentang kegiatan rakan seiman kita. Hal ini akan membantu kita untuk bertumpu kepada pencapaian Yehuwa dan tidak terlalu memikirkan keadaan diri sendiri. “Program bulanan Siaran JW membuat kami berasa lebih dekat dengan organisasi Tuhan dan menolong kami agar tetap bersukacita dalam tugasan kami,” kata Sandra.

Tempoh Yohanes Pembaptis menjalankan tugasnya memang singkat, tetapi dia berkhidmat dengan “semangat dan kuasa seperti Elia.” Yohanes pun “mempunyai perasaan seperti kita.” (Luk. 1:17; Yak. 5:17) Jadi, jika kita meniru Yohanes dengan sentiasa bersyukur dan bertumpu kepada hal-hal rohani, kita pun dapat tetap bersukacita dalam khidmat Yehuwa tidak kira apa yang terjadi.