Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 31

Adakah Anda Menantikan “Kota yang Mempunyai Asas yang Kukuh”?

Adakah Anda Menantikan “Kota yang Mempunyai Asas yang Kukuh”?

“Abraham menantikan kota yang mempunyai asas yang kukuh, iaitu kota yang direka dan dibina oleh Tuhan.”​​—IBR. 11:10.

LAGU 22 Datanglah Kerajaan Tuhan!

PENGENALAN *

1. Apakah pengorbanan yang dilakukan oleh ramai hamba Tuhan? Mengapakah mereka berbuat demikian?

DEWASA ini, jutaan hamba Tuhan telah membuat pengorbanan. Contohnya, banyak saudara saudari memilih untuk tetap membujang. Banyak pasangan suami isteri memilih untuk tidak mempunyai anak, dan banyak keluarga memutuskan untuk hidup sederhana. Mereka semua membuat keputusan sedemikian kerana mempunyai tujuan yang sama, iaitu mereka ingin melakukan sebanyak yang mungkin untuk Yehuwa. Mereka berpuas hati dengan apa yang dimiliki oleh mereka dan yakin bahawa Yehuwa pasti menjaga keperluan mereka. Kita percaya bahawa Yehuwa pasti memberkati mereka sebagaimana Dia telah memberkati Abraham, “bapa kepada orang yang beriman.”​—Rm. 4:11.

2. (a) Menurut Ibrani 11:8-10, 16, mengapakah Abraham rela meninggalkan kota Ur? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Abraham rela meninggalkan kehidupannya yang selesa di kota Ur kerana dia menantikan “kota yang mempunyai asas yang kukuh.” (Baca Ibrani 11:8-10, 16.) Apakah kota itu? Apakah cabaran yang dihadapi oleh Abraham sementara menunggu kota itu dibina? Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Abraham dan hamba-hamba Tuhan pada zaman moden yang mengikut teladannya? Rencana ini akan menjawab soalan-soalan tersebut.

APAKAH ITU “KOTA YANG MEMPUNYAI ASAS YANG KUKUH”?

3. Apakah kota yang dinanti-nantikan oleh Abraham?

3 Kota yang dinanti-nantikan oleh Abraham ialah Kerajaan Tuhan yang diperintah oleh Yesus Kristus dan 144,000 orang Kristian terurap. Paulus memanggil Kerajaan itu sebagai “kota Tuhan yang hidup, iaitu Yerusalem di syurga.” (Ibr. 12:22; Why. 5:8-10; 14:1) Semasa mengajar murid-muridnya cara berdoa, Yesus menyuruh mereka berdoa agar Kerajaan ini datang dan melaksanakan kehendak Tuhan di bumi seperti di syurga.​—Mat. 6:10.

4. Menurut Kejadian 17:1, 2, 6, apakah yang diketahui Abraham tentang kota, atau Kerajaan, yang dijanjikan oleh Tuhan?

4 Adakah Abraham mengetahui bagaimana Kerajaan Tuhan akan diorganisasikan? Tidak. Selama berabad-abad, maklumat itu merupakan “rahsia suci.” (Ef. 1:8-10; Kol. 1:26, 27) Namun, Abraham tahu bahawa ada antara keturunannya yang akan menjadi raja, kerana Yehuwa telah menjanjikan hal itu kepadanya. (Baca Kejadian 17:1, 2, 6.) Abraham begitu beriman terhadap janji-janji Tuhan sehingga dia seolah-olah dapat melihat Mesias, atau Dia yang Terurap, yang akan menjadi Raja Kerajaan Tuhan. Itulah sebabnya Yesus dapat memberitahu orang Yahudi pada zamannya, “Bapa kamu Abraham sangat bersukacita kerana dia mempunyai harapan untuk melihat zamanku. Dia sudah melihatnya dan dia bersukacita.” (Yoh. 8:56) Ya, Abraham tahu bahawa sebilangan daripada keturunannya akan memerintah dalam Kerajaan yang didirikan oleh Yehuwa, dan dia sudi menunggu Yehuwa menunaikan janji itu.

Bagaimanakah Abraham menunjukkan bahawa dia beriman terhadap janji-janji Yehuwa? (Lihat perenggan 5)

5. Bagaimanakah kita tahu bahawa Abraham menantikan kota yang direka oleh Tuhan?

5 Bagaimanakah Abraham menunjukkan bahawa dia menantikan kota, atau Kerajaan, yang direka oleh Tuhan? Pertama, Abraham tidak menjadi rakyat mana-mana kerajaan di bumi. Dia hidup berpindah-randah dan tidak menyokong mana-mana kerajaan manusia. Selain itu, Abraham tidak mencuba untuk mendirikan kerajaannya sendiri. Sebaliknya, dia terus mentaati Yehuwa dan menunggu Yehuwa untuk menunaikan janji-Nya. Hal itu menunjukkan bahawa Abraham memiliki iman yang sangat teguh terhadap Yehuwa. Sekarang, mari kita lihat sesetengah cabaran yang dihadapinya dan apa yang dapat kita pelajari daripada teladannya.

APAKAH CABARAN YANG DIHADAPI ABRAHAM?

6. Gambarkan keadaan di kota Ur.

6 Kota Ur yang ditinggalkan oleh Abraham ialah sebuah kota yang selamat, makmur, dan selesa. Kota itu dilindungi oleh tembok yang besar dan saluran air yang dalam. Penduduk kota Ur berpendidikan tinggi, dan mereka mahir menulis dan mengira. Nampaknya, kota Ur ialah pusat perdagangan kerana ahli arkeologi telah menemui banyak dokumen perniagaan di situ. Rumah di kota Ur diperbuat daripada bata, mempunyai dinding yang disalut dengan lepa atau plaster, dan dicat dengan warna putih. Sesetengah rumah bahkan mempunyai 13 atau 14 buah bilik dan halaman dalam yang berlantai batu.

7. Mengapakah Abraham perlu yakin bahawa Yehuwa akan melindungi dia dan keluarganya?

7 Untuk meninggalkan kota Ur, Abraham perlu yakin bahawa Yehuwa akan melindungi dia dan keluarganya. Mengapa? Setelah meninggalkan rumah mereka yang selamat dan selesa, Abraham dan Sara perlu tinggal di dalam khemah di kawasan padang Kanaan. Musuh dapat menyerang keluarga Abraham dengan mudah kerana mereka tidak lagi dilindungi oleh tembok yang besar dan saluran air yang dalam.

8. Apakah cabaran yang pernah dihadapi Abraham?

8 Meskipun Abraham melakukan kehendak Tuhan, dia masih menghadapi cabaran. Setelah mematuhi arahan Yehuwa untuk berpindah ke negeri Kanaan, negeri itu dilanda kebuluran yang dahsyat sehingga Abraham tidak mempunyai makanan yang cukup untuk keluarganya. Oleh itu, dia telah membawa keluarganya ke Mesir buat sementara, tetapi semasa di Mesir, Firaun, iaitu raja Mesir, telah mengambil isterinya. Yehuwa kemudiannya menyuruh Firaun mengembalikan Sara kepada Abraham, tetapi Abraham pasti berasa sangat risau sebelum Yehuwa campur tangan untuk membantunya.​—Kej. 12:10-19.

9. Apakah masalah yang timbul dalam keluarga Abraham?

9 Abraham juga menghadapi masalah dalam keluarganya. Selama puluhan tahun, dia dan isterinya Sara berasa sangat kecewa kerana Sara tidak dapat beranak. Kemudian, Sara memberikan Hagar kepada Abraham supaya hamba perempuannya itu dapat melahirkan anak bagi mereka. Namun, apabila Hagar mengandungkan Ismael, dia mula menghina Sara. Hubungan antara Hagar dengan Sara menjadi begitu buruk sehingga Sara mengusir Hagar.​—Kej. 16:1-6.

10. Apakah situasi yang menguji keyakinan Abraham terhadap Yehuwa?

10 Akhirnya, Sara mengandung dan melahirkan Ishak. Abraham mengasihi kedua-dua anaknya, iaitu Ismael dan Ishak. Namun, oleh sebab Ismael melayan Ishak dengan buruk, Abraham terpaksa mengusir Ismael dan Hagar. (Kej. 21:9-14) Bertahun-tahun kemudian, Yehuwa menyuruh Abraham mempersembahkan Ishak sebagai korban. (Kej. 22:1, 2; Ibr. 11:17-19) Dalam kedua-dua situasi itu, Abraham perlu yakin bahawa Yehuwa akan menunaikan janji-Nya berkenaan Ishak dan Ismael.

11. Mengapakah Abraham perlu menantikan Yehuwa dengan sabar?

11 Sepanjang masa itu, Abraham perlu menantikan Yehuwa dengan sabar. Dia mungkin berumur lebih daripada 70 tahun semasa dia dan keluarganya meninggalkan kota Ur. (Kej. 11:31–12:4) Selama kira-kira seratus tahun, dia tinggal di dalam khemah dan hidup berpindah-randah di tanah Kanaan. Semasa Abraham meninggal pada usia 175 tahun, dia tidak melihat Yehuwa menunaikan janji-Nya untuk memberikan tanah Kanaan kepada keturunannya. (Kej. 25:7) Abraham juga tidak melihat kota, atau Kerajaan, yang dijanjikan oleh Tuhan ditubuhkan. Meskipun begitu, Bible menyatakan bahawa Abraham “puas hati dengan kehidupannya.” (Kej. 25:8) Walaupun dilanda pelbagai cabaran, iman Abraham tetap kuat dan dia rela menantikan Yehuwa dengan sabar. Apakah yang membantunya tetap tabah? Seumur hidup Abraham, Yehuwa telah melindunginya dan melayannya sebagai seorang sahabat.​—Kej. 15:1; Yes. 41:8; Yak. 2:22, 23.

Bagaimanakah hamba-hamba Tuhan menunjukkan iman dan kesabaran seperti Abraham dan Sara? (Lihat perenggan 12) *

12. Apakah yang kita nantikan, dan apakah yang akan kita bincangkan sekarang?

12 Seperti Abraham, kita juga menantikan kota yang mempunyai asas yang kukuh. Namun, kita tidak perlu menunggu kota itu dibina, kerana Kerajaan Tuhan sudah ditubuhkan pada tahun 1914 dan sudah memerintah syurga. (Why. 12:7-10) Sebaliknya, kita menunggu masanya Kerajaan Tuhan memerintah seluruh bumi. Sementara menunggu masa itu, kita juga akan menghadapi cabaran-cabaran yang dihadapi Abraham dan Sara. Adakah mana-mana hamba Yehuwa pada zaman moden yang meniru teladan mereka? Sudah pasti! Kisah hidup dalam majalah Menara Pengawal menunjukkan bahawa ramai hamba Tuhan pada zaman moden telah meniru iman dan kesabaran mereka. Mari kita perhatikan beberapa contoh.

ORANG YANG MENIRU TELADAN ABRAHAM

Bill Walden diberkati kerana rela membuat pengorbanan

13. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Saudara Walden?

13 Rela membuat pengorbanan untuk menyenangkan hati Tuhan. Untuk mengutamakan kota yang dibina oleh Tuhan, iaitu Kerajaan-Nya, kita mesti rela membuat pengorbanan seperti Abraham. (Mat. 6:33; Mrk. 10:28-30) Perhatikan contoh seorang saudara dari Amerika Syarikat yang bernama Bill Walden. * Pada tahun 1942, dia mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Pada masa itu, pengajiannya dalam bidang kejuruteraan seni bina hampir tamat, dan dia bakal menerima ijazah daripada universiti. Salah seorang profesornya telah mengaturkan supaya Bill mendapat kerja yang bergaji tinggi selepas pengajiannya tamat, tetapi Bill menolak tawaran itu dan menjelaskan bahawa dia ingin berkhidmat sepenuhnya kepada Tuhan. Tidak lama kemudian, pihak kerajaan mengarahkan Bill untuk menyertai tentera. Oleh sebab Bill enggan berbuat demikian, dia didenda $10,000 dan dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun. Namun dia dibebaskan tiga tahun kemudian. Selepas itu, dia dijemput untuk menghadiri Sekolah Gilead dan berkhidmat sebagai mubaligh di Afrika. Kemudian Bill mengahwini Eva dan mereka membuat pengorbanan supaya dapat terus berkhidmat di Afrika. Setelah berkhidmat di Afrika selama beberapa tahun, mereka kembali ke Amerika Syarikat untuk menjaga ibu Bill. Mengenang kembali kehidupannya, Bill berkata, “Saya menitiskan air mata semasa memikirkan penghormatan besar yang diberikan oleh Yehuwa kepada saya selama lebih daripada 70 tahun. Saya sering mengucapkan syukur kepada Yehuwa kerana membimbing saya agar menggunakan kehidupan saya untuk berkhidmat kepada-Nya.” Dapatkah anda menceburi khidmat sepenuh masa?

Yehuwa telah menguatkan Eleni dan Aristotelis Apostolidis dan membantu mereka bertabah

14-15. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Saudara dan Saudari Apostolidis?

14 Jangan mengharapkan kehidupan yang bebas daripada masalah. Contoh Abraham menunjukkan bahawa biarpun seseorang menyembah Yehuwa seumur hidupnya, dia masih akan menghadapi masalah. (Yak. 1:2; 1 Ptr. 5:9) Perhatikan pengalaman Saudara Aristotelis Apostolidis. * Dia dibaptis pada tahun 1946 di Greece, dan pada tahun 1952, dia bertunang dengan Eleni, seorang Saksi yang bersemangat. Namun Eleni jatuh sakit dan didapati mempunyai ketumbuhan di otak. Ketumbuhan itu berjaya dikeluarkan, tetapi beberapa tahun selepas mereka berkahwin, ketumbuhan itu muncul semula. Eleni terpaksa menjalani pembedahan sekali lagi. Tetapi selepas itu, sebahagian daripada tubuhnya menjadi lumpuh, dan dia tidak dapat bercakap seperti biasa lagi. Meskipun menghadapi masalah kesihatan dan meskipun Saksi-Saksi Yehuwa pada masa itu dianiaya oleh pihak kerajaan, Eleni tetap menginjil dengan bersemangat.

15 Selama 30 tahun, Saudara Aristotelis menjaga isterinya. Sepanjang masa itu, dia berkhidmat sebagai penatua dan ahli Jawatankuasa Konvensyen, dan dia juga membantu membina Dewan Perhimpunan. Kemudian pada tahun 1987, Eleni tercedera kerana mengalami kemalangan semasa menginjil. Akibat kecederaannya, Eleni tidak sedarkan diri selama tiga tahun dan akhirnya meninggal. Mengenang kembali kehidupannya, Aristotelis berkata, “Sepanjang hidup saya, saya telah menghadapi banyak cabaran dan masalah yang tidak dijangka. Namun Yehuwa selalu memberi saya kekuatan yang diperlukan supaya saya tetap tabah dan tidak putus asa.” (Mzm. 94:18, 19) Yehuwa pasti amat mengasihi hamba-hamba-Nya yang berusaha sedaya-upaya untuk berkhidmat kepada-Nya meskipun dilanda pelbagai cubaan!

Audrey Hyde dapat berpandangan positif kerana dia bertumpu kepada harapan masa depan

16. Apakah nasihat Saudara Knorr kepada isterinya?

16 Bertumpu kepada masa depan. Abraham bertumpu kepada masa depan yang dijanjikan oleh Yehuwa, dan hal itu membantunya mengatasi masalah yang dihadapinya. Saudari Audrey Hyde * juga berusaha untuk bertumpu kepada harapannya meskipun suaminya yang pertama, Nathan H. Knorr, telah meninggal akibat kanser. Suaminya yang kedua pula, Glenn Hyde, telah menghidap penyakit Alzheimer dan kemudiannya meninggal. Saudari Hyde menjelaskan bahawa kata-kata Saudara Knorr beberapa minggu sebelum kematiannya telah membantunya tetap tabah. Saudari Hyde berkata, “Nathan mengingatkan saya, ‘Jika kita terus setia sampai akhir hayat kita, kita dapat yakin bahawa harapan kita pasti menjadi kenyataan, dan kita tidak perlu menderita lagi.’ Dia juga menggalakkan saya, ‘Bertumpulah kepada masa depan kerana di situlah ganjaranmu.’ . . . Nathan memberitahu saya, ‘Tetaplah sibuk dan gunakanlah kehidupan kamu untuk membantu orang lain. Dengan itu, kamu akan bersukacita.’” Nasihat Saudara Knorr untuk tetap sibuk membantu orang lain dan bersukacita kerana harapan masa depan memang nasihat yang bijak!​—Rm. 12:12.

17. (a) Mengapakah kita mempunyai sebab yang lebih kukuh untuk bertumpu kepada masa depan? (b) Apakah berkat yang menantikan kita jika kita mengikut nasihat di Mikha 7:7?

17 Kini, kita mempunyai sebab yang lebih kukuh untuk bertumpu kepada masa depan. Keadaan dunia jelas menunjukkan bahawa kita sedang hidup pada penghujung hari-hari terakhir dunia Syaitan. Tidak lama lagi, “kota yang mempunyai asas yang kukuh” akan memerintah seluruh bumi. Pada masa itu, kita akan dilimpahi pelbagai berkat, termasuk melihat orang tersayang kita dibangkitkan. Abraham juga akan diberkati kerana iman dan kesabarannya, dan dia dan keluarganya akan dibangkitkan di bumi firdaus. Inginkah anda berada di sana untuk menyambut mereka? Jika ya, tirulah teladan Abraham. Buatlah pengorbanan demi Kerajaan Tuhan, tetaplah beriman meskipun menghadapi masalah, dan teruslah menunggu Yehuwa dengan sabar.​—Baca Mikha 7:7.

LAGU 74 Nyanyilah Lagu Kerajaan Tuhan!

^ per. 5 Semasa menantikan janji Tuhan ditunaikan, kita mungkin berasa kurang sabar dan iman kita bahkan mungkin menjadi lemah. Bagaimanakah teladan Abraham dapat membantu kita untuk bersabar sementara menantikan Yehuwa menunaikan janji-Nya? Apakah yang dapat kita pelajari daripada hamba-hamba Yehuwa pada zaman moden?

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Sepasang suami isteri yang lanjut usia tetap menyembah Yehuwa dengan setia meskipun menghadapi cabaran. Mereka memelihara iman yang kuat dengan bertumpu kepada harapan yang dijanjikan oleh Yehuwa.