Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 33

Bersukacitalah kerana Apa yang Dapat Anda Lakukan Sekarang

Bersukacitalah kerana Apa yang Dapat Anda Lakukan Sekarang

“Lebih baik menikmati apa yang dapat dilihat dengan mata daripada mengejar keinginan hati.”​—PKH. 6:9.

LAGU 111 Sebab-Sebab Kita Bersukacita

PENGENALAN *

1. Bagaimanakah ramai saudara saudari berusaha untuk meluaskan khidmat mereka?

 TERDAPAT banyak kerja yang perlu kita lakukan sebelum akhir sistem dunia ini. (Mat. 24:14; Luk. 10:2; 1 Ptr. 5:2) Kita semua mahu berkhidmat kepada Yehuwa dengan sedaya upaya. Oleh itu, ramai saudara saudari berusaha meluaskan khidmat mereka. Ada yang ingin merintis, yang lain pula mahu berkhidmat di Bethel atau menyertai projek pembinaan teokratik, dan ramai saudara sedang berusaha memenuhi syarat untuk menjadi pembantu sidang atau penatua. (1 Tim. 3:1, 8) Yehuwa tentu amat gembira semasa melihat umat-Nya yang rela berkhidmat!​—Mzm. 110:3; Yes. 6:8.

2. Apakah mungkin perasaan kita jika kita tidak mencapai sesetengah matlamat rohani kita?

2 Namun, setelah suatu jangka masa berlalu dan kita belum mencapai sesetengah matlamat rohani kita, kita mungkin berasa tawar hati. Atau kita mungkin berasa sedih kerana usia atau keadaan kita tidak mengizinkan kita untuk menceburi khidmat tertentu. (Ams. 13:12) Itulah yang berlaku kepada Melissa. * Dia ingin berkhidmat di Bethel atau menyertai Sekolah Latihan Penginjil, tetapi dia sudah melepasi had umur yang ditetapkan. Dia berkata, “Bagi saya, tugasan-tugasan itu hanyalah mimpi. Ada kalanya, saya rasa tawar hati.”

3. Apakah yang perlu dilakukan sesetengah orang sebelum layak memikul lebih banyak tanggungjawab?

3 Sesetengah orang yang muda dan sihat mungkin perlu menjadi matang dan memupuk sifat-sifat tertentu sebelum layak memikul lebih banyak tanggungjawab. Sebagai contoh, mereka mungkin bijak, cepat membuat keputusan, dan bekerja dengan bersemangat. Namun, mereka mungkin perlu belajar untuk lebih bersabar, bekerja dengan lebih teliti, atau lebih menghormati orang lain. Jadi, jika anda berusaha memupuk sifat-sifat yang diperlukan, anda mungkin diberi lebih banyak tanggungjawab pada masa yang tidak anda jangkakan. Perhatikan pengalaman Nick. Semasa dia berumur 20 tahun, dia berasa sangat kecewa kerana tidak dilantik sebagai pembantu sidang. Dia berkata, “Saya rasa saya tentu ada masalah.” Namun dia tidak berputus asa. Dia terus melakukan yang terbaik dalam sidang dan kerja penyebaran. Kini, dia seorang ahli Jawatankuasa Cawangan.

4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Adakah anda berasa tawar hati kerana anda belum mencapai matlamat rohani tertentu? Jika ya, beritahulah perasaan anda kepada Yehuwa. (Mzm. 37:5-7) Selain itu, tanyalah saudara saudari yang matang bagaimana anda dapat meningkatkan mutu khidmat anda kepada Tuhan, dan berusahalah untuk menerapkan cadangan mereka. Dengan itu, anda dapat mencapai matlamat rohani anda. Namun, bagaimana pula jika tugasan yang anda inginkan tidak dapat dicapai sekarang, seperti dalam contoh Melissa yang disebut tadi? Bagaimanakah anda dapat terus bersukacita? Rencana ini akan membincangkan (1) apa yang dapat memberi anda sukacita, (2) cara untuk meningkatkan sukacita anda, dan (3) matlamat yang dapat meningkatkan sukacita anda.

APA YANG DAPAT MEMBERI ANDA SUKACITA

5. Jika kita ingin bersukacita, kita harus berfokus kepada apa? (Pengkhutbah 6:9)

5 Pengkhutbah 6:9 mengajar kita apa yang dapat memberi kita sukacita. (Baca.) Seseorang yang “menikmati apa yang dapat dilihat dengan mata” akan berpuas hati dengan apa yang dimilikinya dan apa yang dapat dilakukannya sekarang. Namun, seseorang yang “mengejar keinginan hati” yang tidak dapat dicapai tidak akan berasa puas. Apakah pengajarannya? Jika kita ingin bersukacita, kita patut berfokus kepada apa yang sudah kita miliki dan matlamat yang mampu kita capai.

6. Apakah perumpamaan yang akan kita bincangkan, dan apakah yang akan kita pelajari?

6 Manusia cenderung untuk belajar sesuatu yang baharu. Meskipun begitu, kita bukan sahaja dapat berpuas hati dengan apa yang kita miliki sekarang, malah dapat menikmatinya. Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? Mari kita perhatikan perumpamaan Yesus tentang talenta di Matius 25:14-30. Kita akan belajar bagaimana kita dapat bersukacita dan bahkan meningkatkan sukacita kita kerana berkat yang kita miliki sekarang.

CARA MENINGKATKAN SUKACITA ANDA

7. Ceritakan secara ringkas perumpamaan Yesus tentang talenta.

7 Dalam perumpamaan Yesus, seorang lelaki akan pergi ke tempat yang jauh. Sebelum berangkat, dia memanggil hamba-hambanya dan memberi mereka masing-masing wang talenta untuk berniaga. * Setelah mengambil kira kemampuan mereka masing-masing, lelaki itu memberikan lima talenta kepada hamba yang pertama, dua talenta kepada hamba yang kedua, dan satu talenta kepada hamba yang ketiga. Hamba yang pertama dan kedua telah bekerja keras untuk menggandakan wang yang diberikan oleh tuan mereka. Namun, hamba yang ketiga tidak melakukan apa-apa dengan wang yang diterimanya. Oleh itu, dia dipecat.

8. Mengapakah hamba pertama dalam perumpamaan Yesus mempunyai sebab untuk bersukacita?

8 Hamba yang pertama pasti berbesar hati kerana tuannya memberinya lima talenta. Jumlah wang yang besar itu menunjukkan bahawa tuannya amat mempercayainya. Bagaimana pula dengan hamba yang kedua? Adakah dia berasa tawar hati kerana talenta yang diterimanya tidak sebanyak talenta yang diterima oleh hamba yang pertama?

Apakah yang dapat kita pelajari daripada hamba yang kedua dalam perumpamaan Yesus? (1) Dia menerima dua talenta daripada tuannya. (2) Dia bekerja keras untuk tuannya. (3) Dia menggandakan wang yang diberikan oleh tuannya (Lihat perenggan 9-11)

9. Apakah yang tidak dikatakan oleh Yesus tentang hamba yang kedua? (Matius 25:22, 23)

9 Baca Matius 25:22, 23. Yesus tidak berkata bahawa hamba yang kedua berasa sedih dan marah kerana dia hanya menerima dua talenta. Yesus juga tidak berkata bahawa hamba itu berfikir, “Ini sajakah yang saya dapat? Saya juga bekerja keras seperti hamba yang menerima lima talenta itu! Jika tuan saya tidak menghargai saya, lebih baik saya tanam saja dua talenta ini dan buat apa yang saya suka.”

10. Apakah yang dilakukan oleh hamba yang kedua dengan talenta yang diterimanya?

10 Seperti hamba yang pertama, hamba yang kedua memandang serius tanggungjawabnya dan bekerja keras untuk tuannya. Hasilnya, dia menggandakan wang talenta tuannya. Hamba yang bekerja dengan mahir dan rajin itu telah menerima ganjaran yang besar. Tuannya bukan sahaja bersukacita, malah menganggapnya layak untuk memikul lebih banyak tanggungjawab!

11. Bagaimanakah kita dapat meningkatkan sukacita kita?

11 Seperti hamba itu, kita dapat meningkatkan sukacita kita jika kita melakukan apa sahaja tugasan yang kita terima dengan sepenuh hati. Oleh itu, kita ingin sibuk menginjil dan bergiat sepenuhnya dalam sidang. (Kis. 18:5; Ibr. 10:24, 25) Sebelum menghadiri perjumpaan, kita ingin membuat persiapan supaya dapat memberikan komen yang bermakna. Jika kita diberi tugasan pelajar semasa perjumpaan pertengahan minggu, kita ingin melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Jika kita diminta membantu melakukan sesuatu dalam sidang, kita ingin menunjukkan bahawa kita menepati masa dan dapat diharapkan. Tidak kira apa tugasan yang kita terima, janganlah kita menganggapnya tidak penting dan membuang masa. Sebaliknya, kita mahu berusaha untuk mengasah kemahiran kita. (Ams. 22:29) Apabila kita melakukan kegiatan rohani dan tugasan kita dengan sepenuh hati, hubungan kita dengan Yehuwa akan menjadi semakin rapat dan sukacita kita akan semakin bertambah. (Gal. 6:4) Selain itu, kita akan berasa lebih mudah untuk tumpang gembira bagi orang lain semasa mereka menerima tugasan yang kita inginkan.​—Rm. 12:15; Gal. 5:26.

12. Apakah yang dilakukan oleh dua orang Saksi untuk meningkatkan sukacita mereka?

12 Masih ingat Melissa, saudari yang ingin berkhidmat di Bethel atau menghadiri Sekolah Latihan Penginjil itu? Walaupun hasratnya tidak tercapai, dia berkata, “Saya cuba melakukan yang terbaik dalam khidmat perintis dan cuba semua kaedah menginjil. Hal ini membuat saya sangat bersukacita.” Bagaimana pula dengan Nick, yang berasa kecewa semasa dia tidak dilantik sebagai pembantu sidang? Dia berkata, “Saya bertumpu kepada apa yang dapat saya lakukan, seperti menginjil dan memberikan komen yang bermakna semasa perjumpaan. Saya juga memohon untuk khidmat Bethel, dan saya mula berkhidmat di Bethel pada tahun seterusnya.”

13. Apakah hasilnya jika anda melakukan tugasan yang anda miliki sekarang dengan sepenuh hati? (Pengkhutbah 2:24)

13 Jika anda melakukan tugasan yang anda miliki sekarang dengan sepenuh hati, adakah anda akan menerima lebih banyak tanggungjawab pada masa depan? Hal itu mungkin berlaku, seperti dalam contoh Nick. Namun, biarpun hal itu tidak berlaku seperti dalam contoh Melissa, sukacita anda masih dapat bertambah dan anda akan berasa sangat puas dan gembira kerana dapat berkhidmat kepada Yehuwa. (Baca Pengkhutbah 2:24.) Selain itu, anda akan sangat bersukacita kerana anda tahu bahawa usaha anda menyenangkan Tuan kita, Yesus Kristus.

MATLAMAT YANG DAPAT MENINGKATKAN SUKACITA KITA

14. Selain bertumpu kepada tugasan yang kita miliki sekarang, apakah yang patut kita lakukan juga?

14 Memandangkan kita digalakkan untuk bertumpu kepada tugasan yang kita miliki sekarang, adakah hal itu bermaksud kita tidak patut mencari jalan untuk meluaskan khidmat kita kepada Yehuwa? Tidak. Kita boleh dan patut menetapkan matlamat rohani yang realistik, yang dapat membantu kita menginjil dan mengajar dengan lebih mahir, dan memberikan lebih banyak bantuan kepada saudara saudari. Kita akan mencapai matlamat sebegini jika kita bertumpu untuk berkhidmat kepada orang lain dan bukannya bertumpu kepada diri sendiri.​—Ams. 11:2; Kis. 20:35.

15. Apakah sesetengah matlamat yang dapat meningkatkan sukacita anda?

15 Apakah matlamat yang dapat anda tetapkan? Mintalah Yehuwa untuk membantu anda mengenal pasti matlamat yang mampu anda capai. (Ams. 16:3; Yak. 1:5) Sebagai contoh, dapatkah anda menetapkan salah satu matlamat yang disebut dalam  perenggan pertama rencana ini, iaitu menjadi perintis sokongan, perintis biasa, berkhidmat di Bethel, atau menyertai projek pembinaan teokratik? Dapatkah anda mempelajari bahasa baharu atau menginjil di kawasan penyebaran bahasa asing? Jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang matlamat sebegini, bacalah bab 10 dalam buku Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa, atau tanyalah para penatua di sidang anda. * Apabila anda berusaha untuk mencapai matlamat sebegini, kemajuan anda akan menjadi nyata dan sukacita anda akan bertambah.

16. Apakah yang dapat anda lakukan jika anda tidak dapat mencapai matlamat rohani tertentu buat masa sekarang?

16 Namun, bagaimana pula jika buat masa sekarang, anda tidak dapat mencapai matlamat yang disebut tadi? Carilah matlamat yang boleh anda capai. Perhatikan contoh-contoh berikut.

Apakah sesetengah matlamat yang dapat anda capai? (Lihat perenggan 17) *

17. Menurut 1 Timotius 4:13, 15, bagaimanakah seorang saudara dapat berusaha untuk menjadi pengajar yang lebih baik?

17 Baca 1 Timotius 4:13, 15. Jika anda ialah seorang saudara yang sudah dibaptis, anda boleh menetapkan matlamat untuk menjadi seorang penceramah atau pengajar yang lebih baik. Mengapa? Jika anda ‘menumpukan sepenuh perhatian’ untuk menjadi pembaca, penceramah, dan pengajar yang lebih baik, pendengar anda akan meraih manfaat. Maka cubalah mengkaji dan menerapkan nasihat dalam brosur Curahkan Usaha untuk Membaca dan Mengajar. Kajilah setiap pelajaran, buatlah latihan dengan gigih di rumah, dan berusahalah untuk menerapkan nasihat itu semasa memberikan ceramah. Selain itu, mintalah cadangan daripada penasihat tambahan atau penatua lain “yang bekerja keras untuk mengajar dan menyampaikan firman Tuhan.” * (1 Tim. 5:17) Janganlah sekadar berusaha untuk menggunakan teknik yang disebut dalam brosur itu, tetapi bertumpulah juga untuk menguatkan iman pendengar anda dan mendorong mereka untuk mengambil tindakan. Dengan ini, sukacita anda dan mereka akan bertambah.

Apakah sesetengah matlamat yang dapat anda capai? (Lihat perenggan 18) *

18. Bagaimanakah kita dapat menjadi penginjil yang lebih mahir?

18 Kita semua diberi tugas untuk menginjil dan menjadikan orang murid Yesus. (Mat. 28:19, 20; Rm. 10:14) Inginkah anda mengasah kemahiran anda dalam tugas ini? Kajilah brosur Mengajar dan tetapkanlah matlamat yang spesifik untuk menerapkan apa yang telah anda pelajari. Anda juga boleh mendapatkan cadangan-cadangan yang praktikal dalam Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita​Lembaran Kerja dan video cadangan topik perbualan yang ditunjukkan semasa perjumpaan pertengahan minggu. Cubalah menggunakan cadangan-cadangan ini dan kenal pasti cadangan mana yang paling sesuai dalam kawasan penyebaran anda. Dengan berbuat demikian, anda akan menjadi penginjil yang lebih mahir dan meraih sukacita yang lebih besar.​—2 Tim. 4:5.

Apakah sesetengah matlamat yang dapat anda capai? (Lihat perenggan 19) *

19. Bagaimanakah anda dapat memupuk sifat-sifat Kristian?

19 Semasa menetapkan matlamat untuk diri sendiri, jangan lupa bahawa salah satu matlamat yang terpenting adalah untuk memupuk sifat-sifat Kristian. (Gal. 5:22, 23; Kol. 3:12; 2 Ptr. 1:5-8) Bagaimanakah anda dapat mencapai matlamat ini? Sebagai contoh, katakan anda ingin memupuk iman yang lebih kuat. Anda dapat membaca rencana dalam bahan bacaan kita yang mengandungi cadangan untuk menguatkan iman anda. Anda juga dapat menonton bahagian Siaran JW yang mengisahkan bagaimana saudara saudari kita menunjukkan iman yang teguh semasa menghadapi pelbagai cabaran. Kemudian, fikirkan bagaimana anda dapat meniru iman mereka dalam kehidupan anda.

20. Bagaimanakah kita dapat meningkatkan sukacita kita dan mengurangkan rasa kecewa kita?

20 Sudah tentu, kita semua ingin melakukan lebih banyak lagi untuk Yehuwa. Namun, biarpun keadaan kita tidak mengizinkan kita untuk melakukan sebanyak yang kita ingini, kita akan dapat berkhidmat kepada Tuhan dengan sepenuhnya di dunia baharu nanti. Sebelum masa itu tiba, marilah kita berusaha untuk melakukan apa yang kita mampu sekarang. Dengan itu, kita akan meningkatkan sukacita kita dan mengurangkan rasa kecewa kita. Yang terpenting, kita akan memberikan pujian dan kemuliaan kepada Yehuwa, “Tuhan yang gembira.” (1 Tim. 1:11) Jadi, marilah kita bersukacita kerana apa yang dapat kita lakukan sekarang!

LAGU 82 “Biarlah Cahaya Kamu Bersinar”

^ per. 5 Kita sangat mengasihi Yehuwa, dan kita mahu berkhidmat kepada-Nya dengan sedaya upaya. Oleh itu, kita mungkin tergerak untuk meluaskan khidmat kita atau berusaha memenuhi syarat untuk memikul lebih banyak tanggungjawab dalam sidang. Namun, bagaimana pula jika kita tidak dapat mencapai sesetengah matlamat meskipun kita telah melakukan yang terbaik? Apakah yang dapat membantu kita untuk tetap sibuk dalam khidmat kepada Yehuwa dan terus bersukacita? Jawapannya terdapat dalam perumpamaan Yesus tentang talenta.

^ per. 2 Sesetengah nama telah diubah.

^ per. 7 MAKSUD UNGKAPAN: Nilai satu talenta ialah kira-kira gaji 20 tahun bagi seorang pekerja.

^ per. 15 Saudara-saudara yang sudah dibaptis digalakkan untuk berusaha memenuhi syarat untuk menjadi pembantu sidang dan penatua. Untuk maklumat lanjut tentang syarat-syarat ini, lihat bab 5 dan 6 dalam buku Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa.

^ per. 17 MAKSUD UNGKAPAN: Penasihat tambahan ialah seorang penatua yang akan memberikan nasihat secara peribadi kepada para penatua dan pembantu sidang tentang bagaimana mereka dapat meningkatkan kemahiran mereka semasa memberikan ceramah, mengendalikan bahagian perjumpaan, atau membaca perenggan-perenggan bagi Pembelajaran Bible Sidang atau Pembelajaran Menara Pengawal.

^ per. 64 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara bermatlamat untuk menjadi pengajar yang lebih mahir, maka dia membuat penyelidikan dengan menggunakan bahan bacaan kita.

^ per. 66 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari bermatlamat untuk memberikan kesaksian tidak formal, maka dia memberikan kad jw.org kepada seorang pelayan.

^ per. 68 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari bermatlamat untuk menunjukkan kemurahan hati, maka dia memberikan hadiah kepada seorang saudari lain sebagai kejutan.