Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 30

Hargai Peranan Anda dalam Keluarga Yehuwa

Hargai Peranan Anda dalam Keluarga Yehuwa

“Engkau menjadikannya sedikit rendah daripada malaikat-malaikat; Engkau memberinya kemuliaan dan kemegahan.”​—MZM. 8:5.

LAGU 123 Tunduk kepada Aturan Teokratik dengan Setia

PENGENALAN *

1. Apakah soalan-soalan yang mungkin kita tanya semasa memikirkan segala ciptaan Yehuwa?

SEMASA kita memikirkan alam semesta yang diciptakan oleh Yehuwa, kita mungkin berasa seperti Daud yang berkata dalam doanya, “Apabila aku melihat langit yang Engkau hasilkan dengan tangan-Mu, bulan dan bintang yang telah Engkau ciptakan, siapakah manusia fana sehingga Engkau mengingat mereka? Siapakah anak manusia sehingga Engkau menjaganya?” (Mzm. 8:3, 4) Seperti Daud, kita mungkin berasa kagum kerana Yehuwa masih memperhatikan kita meskipun kita sangat kecil berbanding alam semesta. Namun seperti yang akan kita lihat nanti, Yehuwa bukan sahaja mengambil berat tentang pasangan manusia pertama, iaitu Adam dan Hawa, tetapi juga menjadikan mereka ahli keluarga-Nya.

2. Apakah tujuan Tuhan bagi Adam dan Hawa?

2 Adam dan Hawa merupakan anak-anak Yehuwa yang pertama di bumi. Yehuwa amat mengasihi mereka dan memberi mereka tugas untuk dilakukan. Dia memberitahu mereka, “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak. Penuhilah bumi, dan hendaklah kamu menguasainya.” (Kej. 1:28) Ya, Adam dan Hawa disuruh beranak cucu dan menjaga bumi dengan baik. Jika mereka mematuhi Tuhan dan hidup menurut tujuan-Nya, mereka dan keturunan mereka dapat menjadi ahli keluarga Tuhan buat selama-lamanya.

3. Mengapakah kita boleh mengatakan bahawa Adam dan Hawa telah diberi peranan yang penting dalam keluarga Yehuwa?

3 Adam dan Hawa diberi peranan yang penting dalam keluarga Yehuwa. Perhatikan apa yang dikatakan oleh Daud di Mazmur 8:5 semasa menggambarkan bagaimana Yehuwa menciptakan manusia: “Engkau menjadikannya sedikit rendah daripada malaikat-malaikat; Engkau memberinya kemuliaan dan kemegahan.” Memang benar, manusia tidak diberikan kuasa, kepandaian, dan kebolehan yang sama seperti para malaikat. (Mzm. 103:20) Namun, Yehuwa masih juga memberi mereka kemuliaan dan kemegahan. Ya, semasa menciptakan Adam dan Hawa, Yehuwa telah memberi mereka kehidupan yang menakjubkan!

4. Apakah yang berlaku setelah Adam dan Hawa mengingkari Yehuwa? Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

 4 Sedihnya, Adam dan Hawa mengingkari Yehuwa dan tidak lagi menjadi ahli keluarga-Nya. Perbuatan mereka turut menyusahkan keturunan mereka seperti yang akan kita lihat nanti. Namun, tujuan Yehuwa tidak berubah. Dia mahu manusia yang taat untuk menjadi anak-Nya buat selama-lamanya. Sekarang, mari kita membincangkan apa yang dilakukan oleh Yehuwa untuk menunjukkan bahawa kita berharga bagi-Nya. Kemudian, kita akan membincangkan apa yang dapat kita lakukan sekarang untuk menunjukkan bahawa kita ingin menjadi ahli keluarga Yehuwa. Akhirnya, kita akan melihat berkat yang akan dinikmati oleh anak-anak Yehuwa di bumi buat selama-lamanya.

CARA YEHUWA MENGHARGAI MANUSIA

Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia menghargai kita? (Lihat perenggan 5-11) *

5. Apakah yang dapat kita lakukan untuk menunjukkan bahawa kita bersyukur kerana Tuhan menciptakan kita menurut gambaran-Nya?

5 Yehuwa menciptakan kita menurut gambaran-Nya. (Kej. 1:26, 27) Dengan berbuat demikian, Yehuwa memberi kita kemampuan untuk menjadi orang yang ingin diterima-Nya sebagai ahli keluarga-Nya. Oleh sebab kita diciptakan menurut gambaran Tuhan, kita dapat memupuk dan menunjukkan banyak sifat baik Tuhan seperti kasih, belas kasihan, kesetiaan, dan keadilan. (Mzm. 86:15; 145:17) Apabila kita memupuk sifat-sifat sebegini, kita sedang memuliakan Yehuwa dan menunjukkan kesyukuran kepada-Nya. (1 Ptr. 1:14-16) Apabila kita berusaha untuk menyenangkan hati Bapa kita yang di syurga, kita pun berasa puas dan bahagia.

6. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia menghargai manusia semasa Dia menciptakan bumi sebagai tempat tinggal kita?

6 Yehuwa menyediakan tempat tinggal yang istimewa bagi kita. Lama sebelum Dia menciptakan manusia yang pertama, Yehuwa telah menyediakan bumi untuk didiami oleh manusia. (Ayb. 38:4-6; Yer. 10:12) Oleh sebab Dia baik hati dan murah hati, Yehuwa telah memberi kita pelbagai nikmat hidup. (Mzm. 104:14, 15, 24) Ada kalanya, Dia memikirkan apa yang telah diciptakan-Nya di bumi dan Dia berasa puas hati. (Kej. 1:10, 12, 31) Dengan memberi manusia “kekuasaan atas hasil ciptaan,” Yehuwa menunjukkan bahawa Dia menghargai manusia. (Mzm. 8:6) Sebenarnya, Yehuwa ingin manusia yang sempurna untuk menjaga ciptaan-Nya yang indah buat selama-lamanya. Adakah anda selalu bersyukur kepada Yehuwa atas janji-Nya yang menakjubkan ini?

7. Bagaimanakah Yosua 24:15 menunjukkan bahawa manusia mempunyai kebebasan untuk memilih?

7 Yehuwa telah memberi kita kebebasan untuk memilih. Oleh itu, kita boleh memilih apa yang ingin kita lakukan dalam kehidupan kita. (Baca Yosua 24:15.) Tuhan kita yang pengasih sangat gembira jika kita memilih untuk menyembah-Nya. (Mzm. 84:11; Ams. 27:11) Kita juga boleh menggunakan kebebasan untuk memilih semasa membuat keputusan yang lain dalam kehidupan kita. Perhatikan bagaimana Yesus telah menggunakan kebebasannya untuk memilih.

8. Bagaimanakah Yesus menggunakan kebebasannya untuk memilih? Berikan contoh.

8 Seperti Yesus, kita boleh memilih untuk mengutamakan kepentingan orang lain. Pernah sekali, Yesus dan para rasul sangat letih lalu pergi ke sebuah tempat yang sunyi untuk berehat. Namun, orang ramai pergi mencari mereka kerana ingin diajar oleh Yesus. Adakah Yesus berasa marah kerana masa rehatnya diganggu? Tidak. Sebaliknya, dia mengasihani orang ramai dan “mula mengajarkan banyak perkara kepada mereka.” (Mrk. 6:30-34) Apabila kita meniru teladan Yesus dengan mengorbankan masa dan tenaga kita untuk membantu orang lain, kita akan membawa kemuliaan kepada Bapa kita yang di syurga. (Mat. 5:14-16) Kita juga menunjukkan kepada Yehuwa bahawa kita ingin menjadi ahli keluarga-Nya.

9. Apakah kurniaan istimewa yang diberikan oleh Yehuwa kepada manusia?

9 Yehuwa memberi manusia kebolehan untuk mempunyai anak dan tanggungjawab untuk mengajar anak mereka supaya mengasihi dan menyembah-Nya. Jika anda ialah seorang ibu atau bapa, adakah anda menghargai kurniaan yang istimewa ini? Ingatlah, walaupun malaikat diberi banyak kebolehan yang istimewa, mereka tidak diberi kebolehan untuk beranak. Maka, para ibu bapa, hargailah penghormatan dan tugas suci anda untuk membesarkan anak “dengan disiplin dan nasihat daripada Yehuwa.” (Ef. 6:4; Ul. 6:5-7; Mzm. 127:3) Untuk membantu para ibu bapa, organisasi Yehuwa telah menyediakan banyak bahan yang berdasarkan Bible, seperti bahan bacaan, video, muzik, dan rencana dalam laman web kita. Semua ini menunjukkan bahawa Yehuwa dan Yesus mengasihi anak-anak. (Luk. 18:15-17) Jika ibu bapa bergantung pada Yehuwa dan berusaha sedaya upaya untuk menjaga anak mereka, Yehuwa pasti berasa gembira. Ibu bapa yang berbuat demikian juga memberi anak mereka peluang untuk menjadi ahli keluarga Yehuwa buat selama-lamanya.

10-11. Dengan adanya korban tebusan, apakah harapan yang kita miliki?

10 Yehuwa mengorbankan Anak-Nya yang tersayang supaya kita dapat menjadi ahli keluarga-Nya semula. Seperti yang dinyatakan di  perenggan 4, disebabkan dosa Adam dan Hawa, mereka dan anak-anak mereka tidak boleh menjadi ahli keluarga Yehuwa lagi. (Rm. 5:12) Adam dan Hawa sengaja mengingkari Yehuwa. Jadi, mereka patut dihalau daripada keluarga-Nya. Bagaimana pula dengan keturunan mereka? Yehuwa mengasihi manusia. Jadi, Dia mengorbankan Anak tunggal-Nya, Yesus Kristus, supaya manusia yang taat dapat diterima ke dalam keluarga-Nya. (Yoh. 3:16; Rm. 5:19) Dengan adanya korban tebusan Yesus, 144,000 orang yang setia dapat diterima sebagai anak-anak-Nya.​—Rm. 8:15-17; Why. 14:1.

11 Selain mereka, terdapat jutaan orang lain yang sedang melakukan kehendak Tuhan dengan setia. Mereka berpeluang untuk menjadi ahli keluarga Tuhan selepas mereka mengharungi ujian terakhir pada penghujung Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. (Mzm. 25:14; Rm. 8:20, 21) Oleh sebab mereka memiliki harapan itu, sekarang pun mereka dapat memanggil Yehuwa, Pencipta mereka, sebagai “Bapa.” (Mat. 6:9) Tambahan lagi, orang yang dibangkitkan akan diberi peluang untuk belajar tentang apa yang dikehendaki oleh Yehuwa. Jika mereka mentaati Yehuwa, mereka pun akan menjadi ahli keluarga-Nya.

12. Apakah soalan yang akan kita bincangkan?

12 Seperti yang telah kita lihat, Yehuwa sudah melakukan banyak hal untuk menunjukkan bahawa Dia menghargai manusia. Dia telah menerima kaum terurap sebagai anak-anak-Nya, dan Dia juga memberi “kumpulan besar manusia” harapan untuk menjadi anak-anak-Nya di dunia baharu. (Why. 7:9) Apakah yang dapat kita lakukan sekarang untuk menunjukkan kepada Yehuwa bahawa kita ingin menjadi ahli keluarga-Nya buat selama-lamanya?

TUNJUKKAN KEPADA YEHUWA BAHAWA ANDA INGIN MENJADI AHLI KELUARGA-NYA

13. Apakah yang harus kita lakukan untuk menjadi ahli keluarga Yehuwa buat selama-lamanya? (Markus 12:30)

13 Tunjukkan kasih anda kepada Yehuwa dengan menyembah-Nya dengan sepenuh hati. (Baca Markus 12:30.) Antara semua kurniaan yang diberikan oleh Yehuwa kepada kita, kebolehan untuk menyembah-Nya merupakan kurniaan yang paling istimewa. Kita menunjukkan kepada Yehuwa bahawa kita mengasihi-Nya dengan “mematuhi perintah-Nya.” (1 Yoh. 5:3) Salah satu perintah Yehuwa yang ingin kita taati ialah arahan Yesus untuk menjadikan orang muridnya dan membaptiskan mereka. (Mat. 28:19) Kita juga mahu mentaati perintah Yesus untuk mengasihi satu sama lain. (Yoh. 13:35) Jika kita mematuhi perintah Yehuwa, kita akan menjadi sebahagian daripada keluarga antarabangsa-Nya yang terdiri daripada para penyembah-Nya.​—Mzm. 15:1, 2.

14. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih kepada orang lain? (Matius 9:36-38; Roma 12:10)

14 Tunjukkan kasih kepada orang lain. Kasih ialah sifat Yehuwa yang paling utama. (1 Yoh. 4:8) Yehuwa menunjukkan kasih kepada kita bahkan sebelum kita mengenali-Nya. (1 Yoh. 4:9, 10) Kita dapat meniru teladan Yehuwa dengan menunjukkan kasih kepada orang lain. (Ef. 5:1) Salah satu cara yang terbaik untuk berbuat demikian adalah dengan membantu mereka mengenali Yehuwa sebelum akhir tiba. (Baca Matius 9:36-38.) Dengan itu, mereka pun mempunyai harapan untuk menjadi ahli keluarga Tuhan. Selepas seseorang dibaptis, kita masih perlu menunjukkan kasih dan hormat kepadanya. (1 Yoh. 4:20, 21) Bagaimana? Salah satu caranya adalah dengan tidak mempersoalkan niat hati rakan seiman kita. Maksudnya, jika kita tidak memahami mengapa dia mengatakan atau melakukan sesuatu, kita tidak akan segera menyimpulkan bahawa dia berniat jahat atau mementingkan diri. Sebaliknya, kita akan menghormatinya dan menganggapnya lebih baik daripada kita.​—Baca Roma 12:10; Flp. 2:3.

15. Kita mesti menunjukkan belas kasihan dan kebaikan hati kepada siapa?

15 Tunjukkan belas kasihan dan kebaikan hati kepada semua orang. Jika kita mahu menjadi ahli keluarga Yehuwa buat selama-lamanya, kita mesti menerapkan ajaran Bible dalam kehidupan kita. Contohnya, Yesus mengajar kita untuk menunjukkan belas kasihan dan kebaikan hati kepada semua orang, bahkan kepada musuh kita. (Luk. 6:32-36) Ada kalanya, kita mungkin berasa susah untuk berbuat demikian. Jika begitu, kita mesti belajar untuk meniru fikiran dan kelakuan Yesus. Apabila kita berusaha dengan sedaya upaya untuk mentaati Yehuwa dan meniru Yesus, kita menunjukkan kepada Bapa kita yang di syurga bahawa kita ingin menjadi ahli keluarga-Nya buat selama-lamanya.

16. Bagaimanakah kita dapat melindungi reputasi keluarga Yehuwa?

16 Lindungi reputasi keluarga Yehuwa. Dalam sebuah keluarga, seorang budak lelaki biasanya akan meniru teladan abangnya. Jika abangnya hidup menurut prinsip Bible, adiknya akan meniru teladan baiknya. Tetapi jika abang itu berbuat jahat, adiknya mungkin terikut-ikut dengan perangai buruknya. Begitu juga, jika seorang Kristian yang setia dalam keluarga Yehuwa kemudiannya menjadi murtad, hidup tidak bermoral, atau berbuat jahat, orang lain mungkin tergoda untuk mengikut haluannya yang buruk. Jika hal itu berlaku, reputasi keluarga Yehuwa akan terjejas. (1 Tes. 4:3-8) Oleh itu, kita mesti menjauhi teladan yang buruk dan tidak membenarkan apa-apa pun untuk merosakkan hubungan kita dengan Bapa kita yang penyayang.

17. Apakah fikiran yang harus kita elakkan, dan mengapa?

17 Percaya kepada Yehuwa dan bukannya harta benda. Yehuwa berjanji bahawa jika kita mengutamakan Kerajaan-Nya dan hidup menurut prinsip-Nya, Dia akan menyediakan makanan, pakaian, dan tempat tinggal bagi kita. (Mzm. 55:22; Mat. 6:33) Oleh itu, kita akan mengelak daripada berfikir bahawa harta benda dalam dunia ini akan memberi kita keselamatan dan kebahagiaan yang berkekalan. Sebaliknya, kita ingat bahawa satu-satunya cara untuk berasa tenang dan tenteram adalah dengan melakukan kehendak Yehuwa. (Flp. 4:6, 7) Biarpun kita mampu membeli banyak barang, kita mesti menanya diri jika kita mempunyai masa atau tenaga untuk menggunakan dan menjaga barang-barang itu. Kita juga perlu menanya diri, “Apakah sikap saya terhadap harta milik saya? Adakah saya sanggup meninggalkannya jika perlu?” Kita mesti ingat bahawa Tuhan telah memberi kita tugas untuk dilakukan. Oleh itu, kita tidak mahu membiarkan perhatian kita tersimpang. Kita tentu tidak ingin menjadi seperti lelaki muda yang melepaskan peluang untuk menyembah Yehuwa dan diterima sebagai anak-Nya hanya kerana dia tidak sanggup meninggalkan harta miliknya.​—Mrk. 10:17-22.

BERKAT YANG MENANTIKAN ANAK-ANAK YEHUWA

18. Apakah berkat dan penghormatan besar yang menantikan manusia yang taat?

18 Manusia yang taat akan diberi penghormatan yang terbesar, iaitu untuk mengasihi dan menyembah Yehuwa buat selama-lamanya. Mereka yang memiliki harapan untuk hidup di bumi juga akan menikmati kerja menjaga bumi, iaitu tempat yang telah diciptakan oleh Yehuwa sebagai tempat tinggal manusia. Tidak lama lagi, di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan, bumi dan semua kehidupan di bumi akan menjadi baharu. Yesus akan menyelesaikan semua masalah yang berlaku akibat keputusan Adam dan Hawa untuk meninggalkan keluarga Tuhan. Yehuwa akan membangkitkan jutaan orang dan memberi mereka peluang untuk hidup sihat selama-lamanya di bumi firdaus. (Luk. 23:42, 43) Apabila ahli keluarga Yehuwa di bumi menjadi sempurna, mereka semua akan mencerminkan “kemuliaan dan kemegahan” yang disebut oleh Daud.​—Mzm. 8:5.

19. Apakah yang harus kita ingat?

19 Jika anda tergolong dalam “kumpulan besar manusia,” ingatlah bahawa anda mempunyai masa depan yang cerah. Ingatlah juga bahawa Tuhan mengasihi anda dan mahu anda menjadi ahli keluarga-Nya. Maka, berusahalah sedaya upaya untuk menyenangkan Tuhan, dan biarlah janji-Nya tetap membara dalam hati dan minda anda setiap hari. Ingatlah juga bahawa anda diberi penghormatan untuk menyembah Bapa kita yang di syurga dan hargailah peluang anda untuk memuji-Nya buat selama-lamanya.

LAGU 107 Haluan Kasih Tuhan

^ per. 5 Dalam sesebuah keluarga, setiap ahli keluarga perlu mengetahui peranan masing-masing dan bekerjasama dengan satu sama lain, barulah keluarga itu akan bahagia. Bapa akan mengambil pimpinan dengan penuh kasih, ibu akan menyokongnya, dan anak-anak akan mentaati ibu bapa mereka. Begitu juga dengan keluarga Yehuwa. Dia mempunyai tujuan untuk kita, dan jika kita hidup menurut tujuan-Nya, kita akan menjadi anggota keluarga-Nya buat selama-lamanya.

^ per. 55 KETERANGAN GAMBAR: Oleh sebab mereka diciptakan menurut gambaran Tuhan, sepasang suami isteri dapat menunjukkan kasih dan belas kasihan terhadap satu sama lain dan anak-anak mereka. Oleh sebab mereka mengasihi Yehuwa, mereka ingin mengajar anak-anak mereka yang dikurniakan oleh Tuhan untuk mengasihi dan menyembah-Nya. Mereka menggunakan video untuk menjelaskan kepada anak-anak mereka sebabnya Yehuwa memberikan Yesus sebagai tebusan. Mereka juga mengajar anak-anak mereka bahawa di Firdaus yang akan tiba, kita akan menjaga bumi dan binatang buat selama-lamanya.