Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 34

“Rasakan” Kebaikan Yehuwa—Bagaimana?

“Rasakan” Kebaikan Yehuwa—Bagaimana?

“Rasakanlah sendiri betapa baiknya Yehuwa! Berbahagialah orang yang berlindung kepada-Nya!”​—MZM. 34:8.

LAGU 117 Sifat Kebaikan

PENGENALAN *

1-2. Berdasarkan Mazmur 34:8, bagaimanakah kita dapat benar-benar memahami betapa baiknya Yehuwa?

BAYANGKAN seseorang memberi anda makanan yang belum pernah anda cuba. Bagaimanakah anda dapat mengetahui jika anda menyukai makanan itu atau tidak? Anda mungkin melihatnya, menghidunya, mendapatkan resipinya, atau menanya pendapat orang lain tentang makanan itu. Namun, cara terbaik adalah dengan merasakan makanan itu sendiri.

2 Kita dapat belajar sesuatu tentang kebaikan Yehuwa semasa kita membaca Bible dan bahan bacaan kita, serta mendengar pengalaman orang yang telah diberkati oleh Yehuwa. Tetapi kita akan benar-benar memahami betapa baiknya Yehuwa hanya apabila kita sendiri merasai kebaikan-Nya. (Baca Mazmur 34:8.) Fikirkan contoh berikut: Katakan kita ingin menceburi khidmat sepenuh masa, namun untuk mencapai matlamat itu, kita perlu menyederhanakan kehidupan kita. Kita mungkin sering membaca tentang janji Yesus bahawa jika kita mengutamakan Kerajaan Tuhan, Yehuwa akan menjaga keperluan kita. Namun kita sendiri tidak pernah merasai hal itu. (Mat. 6:33) Meskipun begitu, kita percaya kepada janji Yesus lalu mengurangkan perbelanjaan kita, mengurangkan masa bekerja, dan meningkatkan usaha kita dalam kerja penyebaran. Semasa berbuat demikian, kita menyaksikan bagaimana Yehuwa benar-benar menjaga kita. Ketika itu, kita sendiri sudah merasai kebaikan Yehuwa.

3. Menurut Mazmur 16:1, 2, Yehuwa menunjukkan kebaikan-Nya kepada siapa?

3 Yehuwa “baik kepada semua orang,” bahkan kepada mereka yang tidak mengenal-Nya. (Mzm. 145:9; Mat. 5:45) Namun, Dia khususnya ingin memberkati mereka yang mengasihi-Nya dan menyembah-Nya dengan sepenuh hati. (Baca Mazmur 16:1, 2.) Perhatikan beberapa cara Yehuwa menunjukkan kebaikan-Nya kepada kita.

4. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kebaikan-Nya kepada orang yang mula menghampiri-Nya?

4 Setiap kali kita menerapkan apa yang kita pelajari daripada Yehuwa, kita meraih hasil yang baik. Misalnya, apabila kita semakin mengenali dan mengasihi-Nya, Dia telah membantu kita membuang fikiran dan tabiat yang menjauhkan kita daripada-Nya. (Kol. 1:21) Kemudian, semasa kita membaktikan diri lalu dibaptis, kita telah merasai kebaikan Yehuwa dengan lebih mendalam. Contohnya, kita mendapat hati nurani yang bersih dan persahabatan yang erat dengan-Nya.​—1 Ptr. 3:21.

5. Semasa menginjil, bagaimanakah kita merasai kebaikan Yehuwa?

5 Kita terus merasai kebaikan Yehuwa semasa kita menginjil. Sebagai contoh, adakah anda seorang pemalu? Banyak antara umat Yehuwa pun begitu. Mungkin sebelum anda menjadi seorang Saksi, anda rasa tidak mungkin anda dapat mengetuk pintu rumah seseorang yang tidak anda kenal dan mengongsi mesej Bible dengannya. Tetapi sekarang anda menginjil secara tetap. Bukan itu sahaja, dengan bantuan Yehuwa, anda bahkan menikmati kerja penyebaran. Anda juga merasai sokongan Yehuwa dalam cara-cara yang lain. Contohnya, Dia membantu anda tetap tenang semasa berhadapan dengan penentang. Dia juga membantu anda mengingat kembali ayat Bible yang sesuai untuk dikongsikan dengan penghuni rumah. Selain itu, Dia memberi anda kekuatan untuk terus menginjil biarpun orang dalam kawasan penyebaran anda bersikap acuh tak acuh.​—Yer. 20:7-9.

6. Bagaimanakah latihan yang diberikan oleh Yehuwa menunjukkan bahawa Dia baik terhadap kita?

6 Yehuwa juga menunjukkan kebaikan-Nya kepada kita dengan melatih kita untuk menginjil. (Yoh. 6:45) Semasa perjumpaan pertengahan minggu, kita menonton video cadangan topik perbualan, dan kita digalakkan untuk menggunakan cadangan itu dalam kerja penyebaran. Pada mulanya, kita mungkin teragak-agak untuk mencuba penyampaian yang baharu. Tetapi apabila kita mencubanya, kita mungkin mendapati bahawa penyampaian itu berkesan dalam kawasan penyebaran kita. Selain itu, semasa di perjumpaan dan konvensyen, kita digalakkan untuk mencuba kaedah menginjil yang mungkin tidak pernah kita cuba. Hal ini juga mungkin membuat kita berasa gementar, tetapi apabila kita melakukannya, kita sedang memberi sesuatu kepada Yehuwa untuk diberkati. Sekarang, mari kita lihat berkat-berkat yang akan kita raih jika kita percaya kepada Yehuwa dan mencari cara yang baharu untuk memberi-Nya yang terbaik, tidak kira apa situasi kita. Kemudian, kita akan membincangkan cara kita dapat meluaskan khidmat kita.

YEHUWA MEMBERKATI MEREKA YANG PERCAYA KEPADA-NYA

7. Apakah berkat yang kita terima apabila kita berusaha untuk meluaskan khidmat kita?

7 Kita akan lebih menghampiri Yehuwa. Perhatikan pengalaman Samuel, * seorang penatua yang berkhidmat bersama isterinya di Colombia. Mereka sudah pun menikmati khidmat perintis di sidang mereka yang asal, tetapi mereka ingin meluaskan khidmat mereka dan membantu sidang yang lebih memerlukan bantuan. Untuk mencapai matlamat itu, mereka perlu membuat pengorbanan. Samuel berkata, “Kami menerapkan nasihat di Matius 6:33 dan berhenti membeli barang-barang yang tidak kami perlukan. Namun, langkah yang paling mencabar ialah meninggalkan rumah kami. Tempat itu sangat selesa dan kami amat menyukainya. Tambahan lagi, pinjaman rumah sudah habis dibayar.” Setelah berpindah ke sidang yang baharu, mereka mendapati bahawa mereka hanya memerlukan satu perenam daripada pendapatan mereka yang asal untuk menyara kehidupan. Samuel berkata, “Kami telah melihat bagaimana Yehuwa membimbing kami dan menjawab doa kami. Kami juga merasai kasih dan perkenan-Nya dalam cara yang tidak pernah kami alami.” Dapatkah anda meluaskan khidmat anda dalam aspek tertentu? Jika ya, anda akan lebih menghampiri Yehuwa dan Dia pasti menjaga anda.​—Mzm. 18:25.

8. Apakah yang anda pelajari daripada kata-kata Ivan dan Viktoria?

8 Kita akan mendapat sukacita dalam khidmat kita. Perhatikan kata-kata Ivan dan Viktoria, sepasang suami isteri yang merintis di Kyrgyzstan. Mereka terus hidup sederhana supaya dapat menjadi sukarelawan dalam apa-apa tugasan, termasuk projek pembinaan. Ivan berkata, “Kami bekerja keras dalam setiap projek. Walaupun kami penat pada penghujung hari, kami berasa puas dan gembira kerana kami tahu bahawa kami sudah menggunakan tenaga kami dalam kerja untuk Yehuwa. Kami juga sangat bersukacita kerana mendapat banyak sahabat baharu dan kenangan manis.”​—Mrk. 10:29, 30.

9. Bagaimanakah seorang saudari meluaskan khidmatnya meskipun menghadapi situasi yang mencabar, dan apakah hasilnya?

9 Kita dapat bersukacita dalam khidmat kita kepada Yehuwa, bahkan semasa dalam situasi yang mencabar. Perhatikan contoh Mirreh, seorang balu yang lanjut usia di Afrika Barat. Setelah dia bersara daripada kerjanya sebagai seorang doktor, dia mula merintis. Disebabkan penyakit sendinya yang teruk, dia hanya dapat menginjil selama satu jam setiap kali dia menyertai kesaksian dari rumah ke rumah. Namun, dia dapat meluangkan lebih banyak masa dalam kesaksian awam. Dia juga mempunyai banyak kunjungan kembali dan pelajar Bible, dan ada antara mereka yang dihubunginya menerusi telefon. Apakah yang mendorong Mirreh untuk meluaskan khidmatnya? Dia berkata, “Saya sangat mengasihi Yehuwa dan Kristus Yesus. Saya sering berdoa kepada Yehuwa agar membantu saya untuk melakukan apa yang terdaya dalam khidmat saya kepada-Nya.”​—Mat. 22:36, 37.

10. Menurut 1 Petrus 5:10, apakah berkat yang diterima oleh mereka yang rela meluaskan khidmat?

10 Kita akan menerima lebih banyak latihan daripada Yehuwa. Perhatikan pengalaman Kenny, seorang perintis di Mauritius. Setelah mempelajari kebenaran, dia menghentikan pengajiannya di universiti, dibaptis, lalu mula merintis. Dia berkata, “Saya berusaha untuk meniru teladan Nabi Yesaya yang berkata, ‘Inilah aku! Utuslah aku!’” (Yes. 6:8) Kenny telah menyertai beberapa projek pembinaan dan dia juga membantu menterjemahkan bahan bacaan Bible ke dalam bahasa ibundanya. Dia berkata, “Saya menerima latihan yang mengajar saya kemahiran yang saya perlukan untuk melaksanakan tugasan saya.” Namun Kenny bukan sekadar mempelajari kemahiran. Dia menambah, “Saya belajar tentang keterbatasan saya dan sifat-sifat yang saya perlukan untuk menjadi hamba Yehuwa yang lebih berguna.” (Baca 1 Petrus 5:10.) Maka, periksalah situasi anda dan fikirkanlah sama ada anda dapat membuat penyesuaian untuk menerima lebih banyak latihan daripada Yehuwa.

Sepasang suami isteri menginjil di kawasan yang memerlukan lebih banyak penyiar; seorang saudari muda membantu dalam kerja pembinaan Dewan Perjumpaan; sepasang suami isteri yang lanjut usia menyertai kesaksian telefon. Mereka semua meraih sukacita yang besar (Lihat perenggan 11)

11. Apakah usaha yang telah dicurahkan saudari-saudari di Korea agar dapat menginjil, dan apakah hasilnya? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

11 Saksi-Saksi yang berpengalaman pun dapat meraih manfaat daripada latihan semasa mereka mencuba kaedah menginjil yang baharu. Semasa pandemik COVID-19, penatua-penatua dalam sebuah sidang di Korea menulis, “Sesetengah saudara saudari dahulunya tidak dapat meluangkan banyak masa untuk menginjil kerana masalah kesihatan mereka. Namun sekarang, mereka menginjil menerusi panggilan video. Tiga orang saudari yang berumur 80-an telah mempelajari cara melakukan panggilan video, dan mereka menggunakan cara ini untuk menginjil hampir setiap hari.” (Mzm. 92:14, 15) Inginkah anda meluaskan khidmat anda dan merasai kebaikan Yehuwa dengan lebih mendalam? Perhatikan beberapa langkah yang dapat membantu anda mencapai matlamat itu.

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MELUASKAN KHIDMAT ANDA

12. Apakah yang dijanjikan oleh Yehuwa kepada mereka yang bergantung pada-Nya?

12 Belajar untuk bergantung pada Yehuwa. Dia berjanji untuk mencurahkan berkat yang melimpah jika kita percaya kepada-Nya dan memberi-Nya yang terbaik. (Mal. 3:10) Saudari Fabiola dari Colombia telah menyaksikan bagaimana Yehuwa menunaikan janji itu. Tidak lama selepas Fabiola dibaptis, dia ingin menjadi perintis biasa, tetapi dia perlu bekerja untuk menampung kehidupan suaminya dan tiga orang anaknya. Oleh itu, semasa dia mencapai umur persaraan, dia berdoa dengan bersungguh-sungguh untuk meminta bantuan Yehuwa. Dia berkata, “Orang biasanya perlu menunggu masa yang lama untuk mendapat wang pencen. Tetapi permohonan saya diluluskan dalam masa satu bulan sahaja. Saya rasa itu memang mukjizat!” Dua bulan kemudian, dia mula merintis. Kini, Fabiola berumur 70-an dan sudah merintis untuk lebih daripada 20 tahun. Sepanjang masa itu, dia telah membantu lapan orang untuk dibaptis. Dia berkata, “Walaupun saya ada kalanya berasa lemah, Yehuwa membantu saya setiap hari agar terus merintis.”

Bagaimanakah Abraham dan Sarah, Yakub, dan para imam yang menyeberangi Sungai Yordan, menunjukkan bahawa mereka percaya kepada Yehuwa? (Lihat perenggan 13)

13-14. Teladan-teladan siapakah yang dapat membantu kita untuk bergantung pada Yehuwa dan meluaskan khidmat kita?

13 Belajar daripada teladan orang yang bergantung pada Yehuwa. Bible mengandungi banyak contoh tentang orang yang bekerja keras demi Yehuwa. Sering kali mereka menerima berkat istimewa daripada Yehuwa hanya selepas mereka mengambil langkah pertama untuk menunjukkan bahawa mereka percaya kepada-Nya. Sebagai contoh, Yehuwa memberkati Abraham hanya selepas dia meninggalkan tempat tinggalnya “meskipun dia tidak tahu ke mana dia akan pergi.” (Ibr. 11:8) Yakub pula menerima berkat yang istimewa hanya selepas dia bergelut dengan satu malaikat. (Kej. 32:24-30) Semasa bangsa Israel bakal memasuki Tanah yang Dijanjikan, mereka dapat menyeberangi Sungai Yordan yang deras hanya selepas para imam memasukkan kaki ke dalam sungai.​—Yos. 3:14-16.

14 Anda juga dapat belajar daripada teladan Saksi-Saksi zaman moden yang bergantung pada Yehuwa dan meluaskan khidmat mereka. Sebagai contoh, seorang saudara yang bernama Payton dan isterinya, Diana, suka membaca pengalaman saudara saudari yang meluaskan khidmat mereka kepada Yehuwa, seperti yang terkandung dalam siri rencana “Mereka Rela Berkhidmat.” * Payton berkata, “Semasa membaca pengalaman mereka, kami berasa seperti sedang melihat orang lain menikmati makanan yang enak. Semakin lama kami melihat, semakin kuat keinginan kami untuk merasai kebaikan Yehuwa.” Akhirnya, Payton dan Diana berpindah ke tempat yang lebih memerlukan bantuan. Sudahkah anda membaca siri rencana itu, dan sudahkah anda menonton video Menginjil di Kawasan Terpencil—Australia dan Menginjil di Kawasan Terpencil—Ireland di jw.org? Maklumat itu dapat membantu anda memikirkan cara untuk meluaskan khidmat anda.

15. Apakah manfaatnya bergaul dengan sahabat yang mengutamakan Kerajaan Tuhan?

15 Bergaul dengan sahabat yang mengutamakan Kerajaan Tuhan. Kita akan lebih ingin mencuba sejenis makanan yang baharu jika kita selalu meluangkan masa bersama orang yang menggemari makanan itu. Begitu juga, jika kita bergaul dengan mereka yang mengutamakan Yehuwa, kita akan lebih cenderung untuk mencari cara untuk meluaskan khidmat kita. Itulah yang berlaku kepada pasangan suami isteri yang bernama Kent dan Veronica. Kent berkata, “Kawan-kawan dan keluarga kami menggalakkan kami untuk mencuba cara yang berbeza untuk berkhidmat kepada Yehuwa. Kami sedar bahawa dengan bergaul bersama mereka yang mengutamakan Kerajaan Tuhan, kami berasa lebih yakin untuk mencuba sesuatu yang baharu.” Kini, Kent dan Veronica berkhidmat sebagai perintis khas di Serbia.

16. Menurut perumpamaan Yesus di Lukas 12:16-21, mengapakah kita patut rela membuat pengorbanan?

16 Rela membuat pengorbanan untuk Yehuwa. Kita tidak perlu mengorbankan segala keselesaan hidup agar dapat menyenangkan hati Yehuwa. (Pkh. 5:19, 20) Namun, jika kita tidak mencurahkan lebih banyak usaha untuk berkhidmat kepada Tuhan, hanya kerana kita tidak sanggup mengorbankan sesuatu yang kita suka, kita mungkin menjadi seperti lelaki dalam perumpamaan Yesus yang mengejar kesenangan hidup tetapi melupakan Tuhan. (Baca Lukas 12:16-21.) Seorang saudara di Perancis yang bernama Christian berkata, “Saya tidak memberikan yang terbaik dari segi masa dan tenaga kepada Yehuwa dan keluarga saya.” Oleh itu, dia dan isterinya memutuskan untuk merintis. Namun, untuk mencapai matlamat itu, mereka perlu meletakkan jawatan dan membuat kerja pembersihan untuk menyara kehidupan mereka. Mereka juga perlu belajar untuk berpuas hati dengan pendapatan yang lebih kecil. Adakah pengorbanan mereka berbaloi? Christian berkata, “Sekarang kami lebih menikmati kerja penyebaran dan kami amat gembira semasa melihat pelajar Bible dan kunjungan kembali belajar tentang Yehuwa.”

17. Apakah yang membantu seorang saudari untuk mencuba kaedah menginjil yang baharu?

17 Sudi mencuba kaedah menginjil yang baharu. (Kis. 17:16, 17; 20:20, 21) Shirley, seorang perintis dari Amerika Syarikat, perlu mengubah cara dia menginjil semasa pandemik COVID-19. Pada mulanya, dia teragak-agak untuk mencuba kesaksian telefon. Namun, setelah dia menerima latihan semasa kunjungan penyelia litar, dia mula membuat kesaksian telefon secara tetap. Dia berkata, “Pada mulanya, saya berasa takut. Tetapi sekarang saya benar-benar menikmati kesaksian telefon. Kami dapat bercakap dengan lebih banyak orang berbanding masa kami menginjil dari rumah ke rumah.”

18. Apakah yang dapat membantu kita mengatasi cabaran semasa kita ingin meluaskan khidmat kita?

18 Merancang dan bertindak. Semasa menghadapi cabaran, kita harus berdoa dan memikirkan tindakan yang perlu kita ambil. (Ams. 3:21) Sonia, seorang perintis biasa dalam kumpulan bahasa Romany di Eropah berkata, “Saya suka menuliskan rancangan saya pada sehelai kertas dan menyimpannya di tempat yang mudah dilihat. Saya juga mempunyai lukisan sebuah persimpangan jalan di atas meja saya. Semasa saya perlu membuat keputusan, saya akan memandang lukisan itu dan memikirkan sama ada keputusan saya akan membantu saya mencapai matlamat saya atau tidak.” Selain itu, Sonia berusaha berpandangan positif terhadap cabaran yang dihadapinya. Dia berkata, “Setiap situasi yang baharu boleh menjadi seperti dinding yang menghalang saya atau jambatan yang membantu saya mencapai matlamat saya. Semuanya bergantung pada sikap saya.”

19. Apakah seharusnya tekad kita?

19 Yehuwa memberkati kita dalam pelbagai cara. Kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai berkat-berkat itu dengan berusaha sedaya upaya untuk memuji-Nya. (Ibr. 13:15) Untuk berbuat demikian, kita mungkin perlu mencari cara-cara yang baharu untuk meluaskan khidmat kita. Dengan itu, kita mempunyai lebih banyak peluang untuk menerima berkat Yehuwa. Setiap hari, marilah kita mencari peluang untuk ‘merasakan sendiri betapa baiknya Yehuwa.’ Dengan itu, kita dapat menjadi seperti Yesus yang berkata, “Makananku ialah melakukan kehendak Dia yang mengutus aku dan menyelesaikan pekerjaan yang diberikan-Nya kepadaku.”​—Yoh. 4:34.

LAGU 80 ‘Rasakanlah Betapa Baiknya Yehuwa’

^ per. 5 Yehuwa ialah Sumber segala sesuatu yang baik. Dia menyediakan hal-hal yang baik untuk semua orang, bahkan untuk orang yang jahat. Namun Dia suka berbuat baik, khususnya kepada penyembah-Nya yang setia. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana Yehuwa menunjukkan kebaikan-Nya kepada hamba-hamba-Nya. Kita juga akan melihat bagaimana orang yang meluaskan khidmat mereka mempunyai lebih banyak peluang untuk merasai kebaikan Yehuwa.

^ per. 7 Sesetengah nama telah diubah.

^ per. 14 Siri rencana ini dahulunya diterbitkan dalam Menara Pengawal, dan kini terdapat di jw.org. Lihat MENGENAI KAMI > PENGALAMAN > MENCAPAI MATLAMAT ROHANI.