RENCANA PEMBELAJARAN 31
LAGU 12 Tuhan Yehuwa Yang Maha Kuasa
Apa yang Yehuwa Lakukan untuk Selamatkan Manusia yang Berdosa
“Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya.”—YOH. 3:16.
FOKUS
Bagaimana Yehuwa telah mengambil inisiatif untuk membantu kita melawan dosa, dan bagaimana Dia memberi kita peluang untuk hidup selama-lamanya tanpa dosa.
1-2. (a) Apakah itu dosa? Bagaimanakah kita dapat mengalahkannya? (Lihat juga “Maksud Ungkapan.”) (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini dan rencana lain dalam terbitan ini? (Lihat juga “Mesej kepada Pembaca” dalam terbitan ini.)
INGINKAH anda tahu betapa dalamnya kasih Tuhan Yehuwa terhadap anda? Satu cara yang baik untuk mendapat jawapannya adalah dengan mengkaji apa yang telah Dia lakukan untuk menyelamatkan anda daripada dosa dan maut. Dosa a ialah musuh kejam yang tidak dapat anda kalahkan tanpa bantuan Tuhan. Kita berdosa setiap hari, dan kita mati kerana dosa. (Rm. 5:12) Namun, kita tidak perlu risau. Yehuwa telah memberi kita jaminan bahawa dengan bantuan-Nya, kita dapat mengalahkan dosa.
2 Tuhan Yehuwa telah membantu manusia melawan dosa untuk sekitar 6,000 tahun. Dia berbuat demikian kerana Dia mengasihi manusia sejak mereka diciptakan. Maka Dia sanggup membuat pengorbanan yang besar untuk membantu kita melawan dosa. Yehuwa tahu bahawa dosa mengakibatkan kematian. Dia tidak mahu kita mati, tetapi mahu kita hidup selama-lamanya. (Rm. 6:23) Itulah masa depan yang diingini-Nya bagi anda. Dalam rencana ini, kita akan menjawab tiga soalan berikut: (1) Apakah harapan yang diberikan Yehuwa kepada manusia yang berdosa? (2) Bagaimanakah manusia yang berdosa pada zaman Bible menyenangkan hati Yehuwa? (3) Apakah yang dilakukan Yesus untuk menyelamatkan manusia daripada dosa dan kematian?
APAKAH HARAPAN YANG DIBERIKAN YEHUWA KEPADA MANUSIA YANG BERDOSA?
3. Bagaimanakah nenek moyang kita menjadi pendosa?
3 Semasa Yehuwa menciptakan nenek moyang kita yang pertama, iaitu Adam dan Hawa, Dia mahu mereka hidup bahagia. Dia memberi mereka tempat tinggal yang indah, perkahwinan yang sempurna, dan tugasan yang menarik. Yehuwa menyuruh mereka beranak cucu dan menjadikan seluruh bumi tempat yang cantik seperti Taman Eden. Namun, terdapat satu larangan yang harus mereka patuh. Yehuwa memberitahu mereka bahawa jika mereka melanggar perintah-Nya, mereka akan mati. Apakah yang berlaku kemudian? Satu malaikat yang tidak mengasihi mereka ataupun Tuhan telah menggoda mereka untuk mengingkari Tuhan. Biarpun Yehuwa begitu mengasihi mereka, Adam dan Hawa tidak mempercayai-Nya, malah memilih untuk mendengar cakap Syaitan. Seperti yang dikatakan Yehuwa, pada hari mereka berdosa, mereka beransur-ansur menjadi tua dan akhirnya mati.—Kej. 1:28, 29; 2:8, 9, 16-18; 3:1-6, 17-19, 24; 5:5.
4. Mengapakah Yehuwa membenci dosa dan mahu membantu kita melawannya? (Roma 8:20, 21)
4 Yehuwa memastikan kisah tentang Adam dan Hawa dicatatkan dalam Bible demi manfaat kita. Daripada kisah itu, kita faham bahawa Yehuwa begitu membenci dosa kerana dosa merosakkan hubungan kita dengan-Nya dan menyebabkan kematian. (Yes. 59:2) Syaitan, iaitu makhluk roh yang memberontak terhadap Yehuwa dan menyebabkan semua masalah ini, mencintai dosa dan mahu manusia terjebak dalam kancah dosa. Semasa Adam dan Hawa berdosa terhadap Tuhan di Taman Eden, Syaitan mungkin berfikir bahawa dia telah menggagalkan tujuan Tuhan untuk manusia. Namun dia lupa bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang pengasih dan tidak akan mengubah tujuan-Nya bagi keturunan Adam dan Hawa. Yehuwa mengasihi manusia dan serta-merta memberi kita harapan. (Baca Roma 8:20, 21.) Yehuwa yakin bahawa sesetengah keturunan Adam dan Hawa akan memilih untuk mengasihi-Nya dan meminta bantuan-Nya untuk melawan dosa. Sebagai Bapa dan Pencipta kita, Dia akan membuka jalan agar kita dibebaskan daripada dosa dan dapat menghampiri-Nya. Apakah yang akan Yehuwa lakukan?
5. Bilakah kali pertama Yehuwa menyebut tentang harapan bagi manusia yang berdosa? Jelaskan. (Kejadian 3:15)
5 Baca Kejadian 3:15. Kali pertama Yehuwa menyebut tentang harapan bagi manusia yang berdosa adalah semasa Dia mengumumkan penghakiman-Nya terhadap Syaitan. Dia menyatakan bahawa satu ‘keturunan’ akan menyelamatkan manusia. Keturunan ini akan menghancurkan Syaitan dan melenyapkan segala masalah yang disebabkannya di Taman Eden. (1 Yoh. 3:8) Namun sebelum hal itu berlaku, Syaitan akan menyerang keturunan itu dan membunuhnya. Walaupun Yehuwa perlu membuat pengorbanan yang begitu besar, Dia sanggup melakukannya. Mengapa? Kerana Dia tahu bahawa pengorbanan-Nya akan menyelamatkan jutaan manusia daripada dosa dan kematian!
BAGAIMANA MANUSIA YANG BERDOSA PADA ZAMAN BIBLE MENYENANGKAN HATI YEHUWA
6. Apakah yang dilakukan oleh lelaki yang setia seperti Habel dan Nuh untuk menghampiri Yehuwa?
6 Secara beransur-ansur, Yehuwa menyingkapkan bagaimana manusia yang berdosa dapat menghampiri-Nya. Habel, iaitu anak kedua Adam dan Hawa, ialah manusia pertama yang beriman kepada Yehuwa selepas pemberontakan di Eden. Oleh sebab Habel mengasihi Yehuwa, dia mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Yehuwa dan menghampiri-Nya. Habel seorang gembala, maka dia menyembelih beberapa ekor anak bebiri lalu mempersembahkannya kepada Yehuwa. Apakah perasaan Yehuwa? Bible kata, “Yehuwa berasa senang hati dengan Habel dan persembahannya.” (Kej. 4:4) Nuh juga menyenangkan hati Yehuwa dengan melakukan hal yang serupa. (Kej. 8:20, 21) Dengan menerima persembahan daripada orang yang mengasihi dan mempercayai-Nya, Yehuwa menunjukkan bahawa manusia yang tidak sempurna pun dapat menghampiri-Nya. b
7. Apakah yang kita belajar tentang Yehuwa daripada kerelaan Abraham untuk mengorbankan anaknya?
7 Abraham ialah seorang lelaki yang sangat beriman. Pernah sekali, Yehuwa memintanya melakukan sesuatu yang amat mencabar, iaitu mempersembahkan anaknya Ishak sebagai korban. Abraham pasti sangat susah hati, tetapi dia bersedia untuk melakukannya. Sejurus sebelum dia membunuh Ishak, Yehuwa menyuruhnya berhenti. Melalui contoh Abraham, Yehuwa mengajar semua orang yang beriman bahawa Dia begitu mengasihi manusia sehingga rela mengorbankan Anak kesayangan-Nya demi mereka.—Kej. 22:1-18.
8. Korban binatang dalam Hukum Musa merupakan bayangan kepada apa? (Imamat 4:27-29; 17:11)
8 Berabad-abad kemudian, Yehuwa memberi bangsa Israel Hukum Musa yang menyatakan bahawa mereka harus mempersembahkan korban binatang agar dosa mereka diampunkan. (Baca Imamat 4:27-29; 17:11.) Korban-korban sedemikian merupakan bayangan kepada korban yang lebih baik, yang akan menyelamatkan manusia daripada dosa buat selama-lamanya. Nabi yang diilhami Yehuwa menjelaskan bahawa keturunan yang dijanjikan itu akan menderita dan kemudiannya dibunuh seperti biri-biri yang dibawa untuk disembelih. (Yes. 53:1-12) Bayangkan, Yehuwa sanggup mengorbankan Anak kesayangan-Nya untuk menyelamatkan manusia, termasuk anda, daripada dosa dan maut!
APAKAH YANG DILAKUKAN YESUS UNTUK MENYELAMATKAN MANUSIA?
9. Apakah yang dikatakan Yohanes Pembaptis tentang Yesus? (Ibrani 9:22; 10:1-4, 12)
9 Pada abad pertama Masihi, Yohanes Pembaptis melihat Yesus dan berkata, “Lihat, Anak Bebiri Tuhan yang menghapuskan dosa dunia!” (Yoh. 1:29) Akhirnya, keturunan yang dijanjikan oleh Yehuwa sudah muncul! Yesuslah yang akan mempersembahkan nyawanya untuk menyelamatkan manusia. Pengorbanannya akan mengalahkan dosa buat selama-lamanya.—Baca Ibrani 9:22; 10:1-4, 12.
10. Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia “datang untuk memanggil pendosa”?
10 Semasa di bumi, Yesus menumpukan perhatiannya kepada orang yang menyesali dosa mereka dan menjemput mereka untuk menjadi pengikutnya. Dia tahu bahawa sebab utama manusia menderita adalah kerana dosa. Maka dia berusaha sedaya upaya untuk membantu mereka. Dengan menggunakan sebuah perumpamaan, Yesus berkata, “Orang yang memerlukan doktor bukannya orang yang sihat, tetapi orang yang sakit.” Dia menambah, “Aku datang untuk memanggil pendosa, bukannya orang yang alim.” (Mat. 9:12, 13) Itulah yang dilakukan oleh Yesus. Contohnya, apabila seorang wanita yang hidup dalam dosa membasuh kaki Yesus dengan air matanya, Yesus memaafkan dosa wanita itu. (Luk. 7:) Walaupun wanita Samaria yang berjumpa dengan Yesus dekat perigi hidup tidak bermoral, Yesus mengajarkan kebenaran yang penting kepadanya. ( 37-50Yoh. 4:7, 17-19, 25, 26) Tuhan bahkan memberi Yesus kuasa untuk menghilangkan kesan utama dosa, iaitu kematian. Bagaimana? Yesus dapat membangkitkan orang, tidak kira usia atau jantina mereka.—Mat. 11:5.
11. Mengapakah orang yang berdosa berasa selesa untuk menghampiri Yesus?
11 Orang yang berdosa berasa selesa untuk menghampiri Yesus kerana dia memahami perasaan mereka dan berbelas kasihan terhadap mereka. (Luk. 15:1, 2) Apabila mereka beriman kepada Yesus, Yesus memuji mereka dan melayan mereka dengan baik. (Luk. 19:1-10) Yesus mencerminkan belas kasihan Bapanya dengan sempurna. (Yoh. 14:9) Melalui kata-kata dan perbuatannya, Yesus menunjukkan bahawa Bapanya mengasihi manusia dan ingin membantu setiap orang mengalahkan dosa. Yesus membantu orang yang berdosa agar mempunyai keinginan untuk mengubah kehidupan mereka dan mengikutnya.—Luk. 5:27, 28.
12. Apakah yang diajarkan Yesus tentang kematiannya?
12 Yesus tahu bahawa dia akan menderita lalu dibunuh. Lebih daripada sekali, dia memberitahu pengikutnya bahawa dia akan dikhianati lalu dihukum bunuh pada tiang. (Mat. 17:22; 20:18, 19) Dia tahu bahawa kematiannya akan menghapuskan dosa dunia, seperti yang dikatakan oleh Yohanes Pembaptis dan dinubuatkan oleh nabi-nabi lain. Yesus juga mengajar murid-muridnya bahawa selepas dia mengorbankan nyawanya, dia dapat “memimpin segala macam orang” kepada dirinya. (Yoh. 12:32) Jika manusia yang berdosa menerima Yesus sebagai Tuan mereka dan mengikut jejaknya, mereka dapat menyenangkan hati Yehuwa dan akhirnya “dibebaskan daripada dosa.” (Rm. 6:14, 18, 22; Yoh. 8:32) Maka dengan berani, Yesus rela diseksa dan dibunuh untuk menyelamatkan kita.—Yoh. 10:17, 18.
13. Apakah yang berlaku sebelum Yesus mati? Apakah yang kita pelajari tentang Yehuwa daripada kematian Yesus? (Lihat juga gambar.)
13 Yesus telah dikhianati, ditangkap, dihina, difitnah, dijatuhkan hukuman mati, dan diseksa. Akhirnya, askar-askar memakukannya pada tiang. Yesus memang menderita sepanjang masa itu, tetapi Yehuwa lebih menderita semasa melihat Anak kesayangan-Nya didera. Dia mempunyai kuasa yang tidak terbatas dan dapat menyelamatkan Yesus pada bila-bila masa, tetapi Dia perlu menahan diri daripada berbuat demikian. Apakah sebabnya? Yesus berkata, “Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya, supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.”—Yoh. 3:16.
14. Apakah yang dapat kita belajar daripada kematian Yesus?
14 Kematian Yesus ialah ungkapan kasih Yehuwa yang teragung. Kurniaan itu membuktikan bahawa Yehuwa sangat mengasihi keturunan Adam dan Hawa, termasuk anda. Yehuwa telah mengorbankan nyawa Anak kesayangan-Nya dan mengalami begitu banyak penderitaan untuk menyelamatkan kita daripada dosa dan kematian. (1 Yoh. 4:9, 10) Dia mahu bantu setiap seorang daripada kita untuk menyembah-Nya biarpun kita berdosa sekarang, dan Dia mahu menyingkirkan dosa buat selama-lamanya pada masa depan.
15. Apakah yang mesti kita lakukan agar dosa kita diampunkan?
15 Korban tebusan Yesus ialah kurniaan Tuhan yang membolehkan dosa kita diampunkan. Namun, jika kita mahu diampuni, kita mesti melakukan sesuatu. Apakah hal itu? Yohanes Pembaptis dan Yesus Kristus berkata, “Bertaubatlah kerana Kerajaan di syurga sudah dekat.” (Mat. 3:1, 2; 4:17) Ya, jika kita mahu diampuni dan menghampiri Bapa kita yang pengasih, kita mesti bertaubat. Apakah maksud bertaubat, dan bagaimanakah hal itu membantu kita menyenangkan hati Yehuwa meskipun kita masih manusia yang berdosa? Rencana berikutnya akan menjawab soalan ini.
LAGU 18 Bersyukur atas Kurniaan Tebusan
a MAKSUD UNGKAPAN: Dalam Bible, perkataan “dosa” boleh merujuk kepada perbuatan yang salah, atau kegagalan untuk hidup selaras dengan standard moral Yehuwa. Namun, “dosa” juga merujuk kepada ketidaksempurnaan yang kita warisi daripada Adam. Dosa yang diwarisi ini menyebabkan kematian.