Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 33

LAGU 130 Bermaaf-maafan

Bagaimana Sidang Dapat Meniru Pandangan Yehuwa terhadap Pendosa

Bagaimana Sidang Dapat Meniru Pandangan Yehuwa terhadap Pendosa

“Jika seseorang berbuat dosa, kita mempunyai seorang penolong.”​—1 YOH. 2:1.

FOKUS

Mengkaji bagaimana sidang di Korintus pada abad pertama menangani kes salah laku yang serius dan pengajarannya bagi kita.

1. Apakah yang diingini Yehuwa untuk semua orang?

 SEMASA menciptakan manusia, Yehuwa memberi kita kebebasan untuk memilih. Kita menggunakan kurniaan ini setiap kali kita membuat keputusan. Namun, keputusan terpenting dalam hidup seseorang ialah keputusan untuk membaktikan diri kepada Yehuwa dan menyertai keluarga-Nya. Yehuwa berharap agar semua orang membuat keputusan itu. Mengapa? Kerana Dia mengasihi kita dan menginginkan yang terbaik bagi kita. Yehuwa mahu kita menjadi sahabat-Nya dan menikmati kehidupan kekal.​—Ul. 30:​19, 20; Gal. 6:​7, 8.

2. Apakah pandangan Yehuwa terhadap pendosa yang enggan bertaubat? (1 Yohanes 2:1)

2 Yehuwa tidak memaksa sesiapa pun untuk menyembah-Nya, kerana Dia telah memberi kita kebebasan untuk memilih. Tetapi bagaimana pula jika seorang Saksi yang terbaptis melanggar hukum Tuhan dan melakukan dosa yang serius? Jika dia enggan bertaubat, dia harus dikeluarkan daripada sidang. (1 Kor. 5:13) Namun, Yehuwa tetap berharap agar orang itu kembali kepada-Nya. Sebenarnya, satu sebab penting Yehuwa menyediakan tebusan adalah supaya pendosa yang bertaubat dapat dimaafkan. (Baca 1 Yohanes 2:1.) Tuhan kita yang pengasih menyeru pendosa agar bertaubat dan kembali kepada-Nya.​—Za. 1:3; Rm. 2:4; Yak. 4:8.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Yehuwa mahu kita meniru pandangan-Nya terhadap pendosa dan perbuatan yang salah. Rencana ini akan membincangkan bagaimana kita dapat berbuat demikian. Semasa membaca rencana ini, perhatikan (1) bagaimana sidang di Korintus pada abad pertama menangani kes salah laku yang serius, (2) arahan yang diberikan Rasul Paulus semasa seorang pendosa bertaubat, dan (3) bagaimana kisah ini mengajar kita tentang pandangan Yehuwa terhadap orang Kristian yang melakukan dosa yang serius.

BAGAIMANA KES SALAH LAKU YANG SERIUS DITANGANI PADA ABAD PERTAMA

4. Apakah yang berlaku dalam sidang di Korintus pada abad pertama? (1 Korintus 5:​1, 2)

4 Baca 1 Korintus 5:​1, 2. Semasa perjalanannya yang ketiga sebagai mubaligh, Paulus mendapat berita buruk tentang sidang di Korintus yang baru ditubuhkan. Seorang saudara di situ melakukan hubungan seks dengan ibu tirinya. Perbuatan itu sangat mengejutkan dan “bahkan lebih teruk daripada apa yang berlaku dalam kalangan bangsa-bangsa lain”! Namun, sidang itu bukan sahaja terus menerimanya sebagai saudara, malah berasa bangga. Barangkali mereka fikir hal ini menunjukkan bahawa Tuhan sangat berbelas kasihan dan bertimbang rasa. Hakikatnya, Yehuwa tidak tutup sebelah mata terhadap perbuatan dosa dalam kalangan umat-Nya. Lelaki yang melakukan maksiat tanpa rasa malu itu sedang merosakkan nama baik sidang. Sikapnya juga mungkin menjangkiti orang Kristian lain yang bergaul dengannya. Apakah yang dilakukan Paulus?

5. Apakah arahan Paulus kepada sidang di Korintus? Apakah maksudnya? (1 Korintus 5:13) (Lihat juga gambar.)

5 Baca 1 Korintus 5:13. Yehuwa mengilhami Paulus untuk menulis sepucuk surat kepada sidang itu dan menjelaskan bahawa pendosa yang tidak bertaubat itu mesti dikeluarkan daripada sidang. Bagaimanakah orang Kristian yang setia harus melayan pendosa itu? Paulus menjelaskan bahawa mereka ‘tidak patut bergaul lagi’ dengannya dan bahkan tidak ‘makan bersama dengannya.’ (1 Kor. 5:11) Semasa kita makan bersama seseorang, kita pasti berbual-bual dengannya. Maka jelaslah bahawa Paulus mahu saudara saudari tidak lagi meluangkan masa bersama lelaki itu. Dengan demikian, mereka akan dilindungi daripada pengaruh buruknya. (1 Kor. 5:​5-7) Hal itu juga mungkin membantu lelaki itu sedar bahawa dia telah berdosa terhadap Yehuwa dan mendorongnya untuk menyesali perbuatannya lalu bertaubat.

Yehuwa mengilhami Paulus untuk menulis sepucuk surat dan menjelaskan bahawa pendosa yang tidak bertaubat mesti dikeluarkan daripada sidang (Lihat perenggan 5)


6. Apakah yang dilakukan oleh sidang di Korintus dan pendosa itu setelah menerima surat Paulus?

6 Selepas menerima surat Paulus, apakah yang dilakukan oleh sidang di Korintus? Paulus mendengar daripada Titus bahawa mereka mematuhi arahannya. (2 Kor. 7:​6, 7) Bukan itu sahaja, tidak lama selepas sidang mengikut arahan Paulus, pendosa itu terdorong untuk bertaubat! Dia mengubah sikap dan kelakuannya, lalu hidup selaras dengan standard Yehuwa. (2 Kor. 7:​8-11) Apakah arahan selanjutnya yang diberikan Paulus kepada sidang itu?

BAGAIMANA SIDANG DI KORINTUS PATUT MELAYAN PENDOSA YANG BERTAUBAT ITU

7. Apakah hasilnya setelah pendosa itu dikeluarkan daripada sidang? (2 Korintus 2:​5-8)

7 Baca 2 Korintus 2:​5-8. Paulus berkata, “Cukuplah disiplin yang sudah diberikan kepada orang itu.” Dalam kata lain, disiplin itu telah mencapai tujuannya, iaitu membantu pendosa itu bertaubat.​—Ibr. 12:11.

8. Apakah arahan selanjutnya yang diberikan Paulus kepada sidang?

8 Paulus memberitahu sidang, “Hendaklah kamu rela mengampuni dia dan melegakan hatinya.” Dia juga menambah bahawa mereka harus ‘meyakinkan dia bahawa mereka mengasihinya.’ Jelaslah, Paulus bukan sekadar mahu saudara saudari membenarkannya kembali ke dalam sidang. Dia juga mahu mereka menunjukkan melalui kata-kata dan perbuatan mereka bahawa mereka telah memaafkannya dari hati dan amat mengasihinya. Dengan demikian, pendosa itu dapat melihat dengan jelas bahawa dia diterima kembali dengan tangan dan hati yang terbuka.

9. Mengapakah sesetengah orang dalam sidang di Korintus mungkin teragak-agak untuk menyambut kembali saudara mereka yang bertaubat?

9 Bible tidak menyatakan bahawa sesetengah orang dalam sidang di Korintus teragak-agak untuk menyambut kembali saudara mereka yang bertaubat. Namun hal itu mungkin telah berlaku. Sesetengah orang mungkin masih marah kerana dia menimbulkan masalah dalam sidang atau menyakiti hati mereka. Ada yang mungkin berfikir bahawa mereka sudah berjuang keras untuk tetap bersih secara moral, maka tidaklah adil kalau seseorang yang melakukan dosa serius disambut kembali dengan ramah. (Bandingkan Lukas 15:​28-30.) Namun, mengapakah saudara saudari harus menunjukkan kasih kepada rakan seiman mereka yang bertaubat?

10-11. Apakah yang akan berlaku jika para penatua enggan memaafkan pendosa yang bertaubat itu?

10 Bayangkan apa yang akan berlaku jika para penatua enggan menerima kembali pendosa yang bertaubat itu, atau jika selepas dia kembali, saudara saudari enggan menunjukkan kasih terhadapnya. Dia mungkin berasa “terlalu sedih sehingga putus asa.” Dia bahkan mungkin berfikir bahawa mustahil dia dimaafkan oleh Yehuwa dan diterima oleh sidang, maka tiada gunanya dia mengubah sikapnya.

11 Yang lebih teruk lagi, jika saudara saudari dalam sidang enggan memaafkan lelaki yang bertaubat itu, mereka sedang merosakkan hubungan mereka sendiri dengan Yehuwa. Mengapa? Kerana mereka sedang meniru sikap Syaitan yang kejam dan tidak berbelas kasihan. Yehuwa sudi mengampuni lelaki yang bertaubat itu, tetapi mereka pula diperalatkan oleh Syaitan untuk menghalang lelaki itu daripada kembali kepada Yehuwa.​—2 Kor. 2:​10, 11; Ef. 4:27.

12. Bagaimanakah saudara saudari dalam sidang di Korintus dapat meniru teladan Yehuwa?

12 Maka, bagaimanakah sidang di Korintus dapat meniru teladan Yehuwa dan bukannya Syaitan? Mereka dapat mengikut cara Yehuwa melayan pendosa yang bertaubat. Perhatikan apa yang ditulis oleh beberapa penulis Bible tentang Yehuwa. Daud menulis bahawa Yehuwa “baik dan suka mengampuni.” (Mzm. 86:5) Mikha menulis, “Tidak ada Tuhan seperti Engkau. Engkau mengampunkan kesalahan dan melupakan kesilapan.” (Mi. 7:18) Yesaya menyatakan, “Hendaklah orang jahat meninggalkan haluan mereka, dan hendaklah orang keji meninggalkan pemikiran mereka. Biarlah mereka kembali kepada Yehuwa, Tuhan kita, kerana Dia akan berbelas kasihan terhadap mereka dan mengampuni mereka dengan rela hati.”​—Yes. 55:7.

13. Mengapakah para penatua tidak patut berlengah-lengah lagi untuk menerima lelaki itu kembali ke dalam sidang? (Lihat kotak “ Bilakah Lelaki di Korintus Itu Diterima Kembali?”)

13 Untuk meniru teladan Yehuwa, sidang di Korintus perlu menyambut kembali lelaki yang bertaubat itu dan meyakinkannya bahawa mereka mengasihinya. Apabila mereka mengikut arahan Paulus untuk mengalu-alukan lelaki itu, mereka menunjukkan bahawa mereka “patuh dalam segala hal.” (2 Kor. 2:9) Biarpun lelaki itu hanya dikeluarkan daripada sidang untuk beberapa bulan, disiplin yang diberikan telah mendorongnya untuk bertaubat. Maka para penatua tidak perlu berlengah-lengah lagi untuk menerimanya kembali ke dalam sidang.

MENIRU KEADILAN DAN BELAS KASIHAN YEHUWA

14-15. Apakah yang kita belajar daripada cara kes salah laku di Korintus ditangani? (2 Petrus 3:9) (Lihat juga gambar.)

14 Kisah tentang cara kes salah laku di Korintus ditangani telah dicatatkan “untuk mengajar kita.” (Rm. 15:4) Melalui kisah itu, kita belajar bahawa Yehuwa tidak tutup sebelah mata terhadap dosa yang serius. Sesetengah orang berfikir bahawa oleh sebab Yehuwa berbelas kasihan, Dia akan membenarkan pendosa yang enggan bertaubat untuk terus berada dalam sidang. Namun itu bukanlah caranya. Standard Yehuwa tidak berubah. (Yud. 4) Sebenarnya, jika Dia membenarkan pendosa yang enggan bertaubat untuk terus berada dalam sidang, Dia tidak berbelas kasihan kerana hal itu akan membahayakan seluruh sidang.​—Ams. 13:20; 1 Kor. 15:33.

15 Kita juga belajar bahawa Yehuwa tidak ingin sesiapa pun dibinasakan. Dia mahu menyelamatkan sebanyak orang yang mungkin. Maka apabila seorang pendosa mengubah fikiran dan kelakuannya, serta berusaha membaiki hubungannya dengan Yehuwa, Yehuwa akan menunjukkan belas kasihan kepadanya. (Yeh. 33:11; baca 2 Petrus 3:9.) Itulah sebabnya apabila lelaki di Korintus itu bertaubat dan berpaling daripada haluannya yang berdosa, Yehuwa menggunakan Paulus untuk menjelaskan kepada sidang bahawa lelaki itu patut dimaafkan dan diterima kembali.

Kita meniru kasih dan belas kasihan Yehuwa apabila kita mengalu-alukan orang yang diterima kembali ke dalam sidang (Lihat perenggan 14-15)


16. Apakah perasaan anda terhadap cara kes salah laku di Korintus ditangani?

16 Cara kes salah laku di Korintus ditangani membantu kita melihat kasih, belas kasihan, dan keadilan Yehuwa. (Mzm. 33:5) Sebagai pendosa, kita semua memerlukan pengampunan Yehuwa. Maka kita masing-masing harus bersyukur kerana Yehuwa telah menyediakan tebusan agar dosa kita dapat diampunkan. Alangkah leganya kita kerana tahu bahawa Yehuwa mengasihi kita dan menginginkan yang terbaik bagi kita! Tidakkah hal ini mendorong kita untuk memuji Yehuwa dengan lebih bersungguh-sungguh lagi?

17. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana-rencana seterusnya?

17 Bagaimana pula dengan kes salah laku dalam sidang dewasa ini? Bagaimanakah para penatua dapat meniru pandangan Yehuwa yang ingin membantu pendosa untuk bertaubat? Apakah sepatutnya reaksi sidang semasa para penatua memutuskan bahawa seorang pendosa patut dikeluarkan daripada sidang atau diterima kembali? Rencana-rencana berikutnya akan menjawab beberapa soalan ini.

LAGU 109 Mengasihi dengan Sepenuh Hati