Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 32

LAGU 44 Doa Orang yang Patah Semangat

Yehuwa Ingin Semua Orang Bertaubat

Yehuwa Ingin Semua Orang Bertaubat

“Yehuwa . . . tidak ingin seorang pun dibinasakan. Dia ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat.”​—2 PTR. 3:9.

FOKUS

Memahami maksud bertaubat, mengapa penting untuk bertaubat, dan bagaimana Yehuwa membantu bermacam-macam orang untuk bertaubat.

1. Apakah maksud bertaubat?

 JIKA kita berbuat salah, kita mesti bertaubat. Menurut Bible, orang yang bertaubat perlu belajar untuk membenci perbuatan yang salah, berhenti melakukannya, dan bertekad untuk tidak mengulanginya.—Lihat “Bertaubat” dalam Kamus bagi Istilah Bible.

2. Mengapakah kita semua harus belajar apa maksud bertaubat? (Nehemia 8:​9-11)

2 Sebagai keturunan Adam dan Hawa, kita semua telah mewarisi dosa dan kematian. Oleh sebab kita berdosa setiap hari, kita harus belajar apa maksud bertaubat. (Rm. 3:23; 5:12) Bahkan hamba Yehuwa yang setia, seperti Rasul Paulus, bergelut dengan dosa. (Rm. 7:​21-24) Adakah hal ini bermaksud bahawa kita harus sedih dan tawar hati sepanjang masa? Tidak. Yehuwa ialah Tuhan yang berbelas kasihan, dan Dia mahu kita hidup gembira. Perhatikan contoh orang Yahudi pada zaman Nehemia. (Baca Nehemia 8:​9-11.) Yehuwa mahu mereka menyembah-Nya dengan sukacita dan tidak lagi bersedih atas dosa lampau mereka. Yehuwa tahu bahawa jika kita bertaubat, kita akan gembira. Itulah sebabnya Dia mengajar kita maksud bertaubat. Selepas bertaubat, kita dapat yakin bahawa Bapa kita yang berbelas kasihan akan mengampuni kita.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Dalam rencana ini, kita akan belajar tentang maksud bertaubat dengan lebih lanjut. Kita akan membincangkan tiga hal: (1) Apa yang diajarkan Yehuwa kepada orang Israel tentang maksud bertaubat. (2) Bagaimana Yehuwa telah cuba membantu pendosa agar bertaubat. (3) Apa yang diajarkan Yesus kepada para pengikutnya tentang maksud bertaubat.

YEHUWA MENGAJAR ORANG ISRAEL MAKSUD BERTAUBAT

4. Apakah yang diajarkan Yehuwa kepada orang Israel tentang maksud bertaubat?

4 Semasa Yehuwa membuat perjanjian dengan bangsa Israel, Dia berkata bahawa jika mereka mematuhi hukum-Nya, Dia akan memberkati dan melindungi mereka. Dia juga memberitahu mereka bahawa hukum-Nya “tidak terlalu susah untuk difahami dan tidak mustahil untuk dipatuhi.” (Ul. 30:​11, 16) Namun, jika mereka memberontak terhadap-Nya, contohnya dengan menyembah tuhan lain, Dia tidak akan memberkati mereka, dan mereka akan menderita. Meskipun begitu, Yehuwa mengajar mereka bahawa mereka masih dapat menghampiri-Nya semula dan diberkati-Nya. Untuk berbaik semula dengan Tuhan, mereka harus bertaubat. Dalam kata lain, mereka harus “kembali kepada Yehuwa dengan sepenuh hati dan sepenuh jiwa, dan mematuhi semua perintah-Nya.”—Ul. 30:​1-3, 17-20.

5. Bagaimanakah Yehuwa terus cuba membantu umat-Nya kembali kepada-Nya? (2 Raja-Raja 17:​13, 14)

5 Umat Yehuwa berulang kali memberontak terhadap-Nya. Selain menyembah berhala, mereka juga melakukan pelbagai amalan yang jijik. Akibatnya, mereka menderita. Namun, Yehuwa terus cuba membantu mereka kembali kepada-Nya. Dengan sabar, Yehuwa berkali-kali mengutus para nabi untuk menggesa umat-Nya agar bertaubat dan kembali kepada-Nya.​—Baca 2 Raja-Raja 17:​13, 14.

6. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan nabi-Nya untuk mengajar umat-Nya pentingnya bertaubat? Berikan contoh. (Lihat juga gambar.)

6 Sering kali, Yehuwa menggunakan nabi-Nya untuk memberikan amaran kepada umat-Nya dan membetulkan mereka. Sebagai contoh, Yehuwa mengutus Yeremia untuk berkata kepada mereka, “Wahai Israel yang suka memberontak, kembalilah kepada-Ku . . . Aku tidak akan murka terhadapmu lagi kerana Aku setia . . . Aku tidak akan marah untuk selama-lamanya. Tetapi engkau haruslah mengakui kesalahanmu kerana engkau telah memberontak melawan Aku.” (Yer. 3:​12, 13) Menerusi Nabi Yoel, Yehuwa berkata, “Kembalilah kepada-Ku dengan segenap hati.” (Yl. 2:​12, 13) Yehuwa juga menyuruh Yesaya untuk memberitahu mereka, “Sucikanlah diri kamu. Hentikanlah segala kejahatan yang kamu lakukan di depan Aku. Jangan berbuat jahat lagi.” (Yes. 1:​16-19) Selain itu, Yehuwa berfirman melalui Yehezkiel, “Adakah kamu menyangka bahawa Aku suka melihat orang jahat mati? . . . Tidak! Aku mahu dia bertaubat dan terus hidup. Aku tidak suka melihat sesiapa pun mati, . . . jadi bertaubatlah dan terus hidup!” (Yeh. 18:​23, 32) Yehuwa mahu orang bertaubat kerana Dia mahu mereka terus hidup untuk selama-lamanya! Jelaslah, Yehuwa tidak hanya berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa sementara menunggu pendosa bertaubat. Mari kita lihat contoh lain.

Yehuwa sering mengutus nabi-Nya untuk menggesa umat-Nya agar bertaubat (Lihat perenggan 6-7)


7. Dengan menggunakan contoh Nabi Hosea dan isterinya, apakah yang hendak diajarkan oleh Yehuwa?

7 Dengan menggunakan contoh Nabi Hosea dengan isterinya Gomer, Yehuwa mengajar umat-Nya sesuatu yang penting. Gomer telah berzina lalu meninggalkan Hosea. Adakah Gomer masih dapat dibantu? Yehuwa, Tuhan yang melihat isi hati orang, memberitahu Hosea, “Pergilah dan cintailah wanita itu yang berzina dan dicintai oleh lelaki lain. Kasihilah dia sekali lagi sebagaimana Aku, Yehuwa, mengasihi orang Israel, meskipun mereka meninggalkan Aku dan menyembah tuhan-tuhan lain.” (Hos. 3:1; Ams. 16:2) Semasa Yehuwa memberikan arahan ini, isteri Hosea masih belum menghentikan dosanya yang serius. Meskipun begitu, Yehuwa menyuruh Hosea untuk memaafkan Gomer dan menerimanya kembali. a Begitu juga, walaupun umat Yehuwa degil dan terus terjebak dalam dosa yang serius, Dia tidak berputus asa terhadap mereka. Dia masih mengasihi mereka dan terus cuba membantu mereka agar bertaubat dan mengubah haluan hidup mereka. Contoh ini menunjukkan bahawa Yehuwa, Tuhan yang melihat isi hati orang, akan cuba membantu seseorang untuk bertaubat, biarpun orang itu masih melakukan dosa yang serius. (Ams. 17:3) Mari kita bincang hal ini dengan lebih lanjut.

YEHUWA CUBA MEMBANTU PENDOSA AGAR BERTAUBAT

8. Apakah yang dilakukan oleh Yehuwa untuk membantu Kain bertaubat? (Kejadian 4:​3-7) (Lihat juga gambar.)

8 Kain ialah anak sulung Adam dan Hawa. Dia mewarisi ketidaksempurnaan daripada ibu bapanya. Selain itu, Bible kata bahawa “perbuatannya sendiri jahat.” (1 Yoh. 3:12) Barangkali itulah sebabnya Yehuwa “tidak senang hati dengan Kain dan persembahannya.” Tetapi Kain tidak berusaha untuk mengubah sikapnya. Sebaliknya dia “berasa marah dan kecewa.” Apakah yang dilakukan oleh Yehuwa seterusnya? Yehuwa bercakap kepada Kain. (Baca Kejadian 4:​3-7.) Dengan baik hati, Yehuwa memberitahu Kain bahawa dia akan diberkati jika dia melakukan apa yang baik. Yehuwa juga memberitahu Kain bahawa jika kemarahannya terus membara, dia mungkin melakukan sesuatu yang buruk. Malangnya, Kain menolak bantuan Yehuwa. Selepas itu, adakah Yehuwa membuat keputusan untuk tidak membantu sesiapa lagi agar bertaubat? Sudah tentu tidak!

Yehuwa cuba membantu Kain bertaubat dan memberitahunya bahawa dia akan diberkati jika dia bertaubat (Lihat perenggan 8)


9. Bagaimanakah Yehuwa cuba membantu Daud agar bertaubat?

9 Yehuwa sangat mengasihi Raja Daud dan bahkan menggelarnya “seorang lelaki yang menyenangkan hati-Ku.” (Kis. 13:22) Namun, Daud pernah melakukan dosa yang serius, termasuk berzina dan membunuh orang yang tidak bersalah. Menurut Hukum Musa, Daud patut dihukum mati. (Im. 20:10; Bil. 35:31) Namun, Yehuwa cuba membantunya bertaubat. b Dia mengutus Nabi Natan untuk berjumpa dengan Daud, walaupun Daud belum lagi menunjukkan bahawa dia bertaubat. Setelah mendengar perumpamaan yang diceritakan oleh Natan, hati Daud tersentuh lalu dia terdorong untuk bertaubat. (2 Sam. 12:​1-14) Daud kemudiannya menggubah sebuah mazmur yang menunjukkan bahawa dia bertaubat dengan ikhlas. (Mzm. 51, penerangan) Mazmur itu telah melegakan hati banyak pendosa dan mendorong mereka untuk bertaubat. Tidakkah kita bersyukur kerana Yehuwa begitu mengasihi Daud sehingga membantunya agar bertaubat?

10. Apakah perasaan anda terhadap kesabaran dan pengampunan Yehuwa?

10 Yehuwa membenci segala jenis dosa, tetapi Dia tahu bahawa kita semua tidak sempurna. (Mzm. 5:​4, 5) Oleh sebab Dia mengasihi kita, Dia memilih untuk membantu kita melawan dosa. Dia sentiasa berusaha membantu pendosa untuk bertaubat dan menghampiri-Nya, biarpun dosa mereka amat besar. Tidakkah hal itu melegakan hati kita? Apabila kita memikirkan kesabaran dan pengampunan Yehuwa, hal itu menguatkan tekad kita untuk tetap setia kepada-Nya dan bertaubat dengan secepat yang mungkin semasa kita berdosa. Sekarang, mari kita lihat bagaimana Yesus mengajar para pengikutnya maksud bertaubat.

YESUS MENGAJAR PARA PENGIKUTNYA MAKSUD BERTAUBAT

11-12. Bagaimanakah Yesus mengajar kita bahawa Bapanya sangat rela mengampuni pendosa yang bertaubat? (Lihat gambar.)

11 Pada abad pertama Masihi, Yehuwa menggunakan Yohanes Pembaptis untuk mengajar orang pentingnya bertaubat. Selepas Yesus menjadi Mesias, dia juga mengajar orang hal yang sama.​—Mat. 3:​1, 2; 4:17.

12 Yesus sering mengajar orang bahawa Bapanya sudi mengampuni pendosa. Satu cara dia berbuat demikian adalah menerusi ceritanya tentang anak yang sesat. Anak itu meninggalkan keluarganya dan hidup berfoya-foya buat suatu ketika. Apabila “dia insaf” dan pulang, apakah reaksi bapanya? Yesus berkata, “Apabila bapanya nampak dia dari jauh, bapanya berasa kasihan terhadapnya lalu berlari ke arahnya, memeluknya, dan menciumnya.” Anak itu sangka bapanya tidak akan memaafkannya, jadi dia bertanya jika dia boleh menjadi orang gaji bapanya. Tetapi bapanya memanggilnya “anakku” dan menerimanya semula ke dalam keluarganya. Bapanya berkata, “Dia hilang tetapi sudah ditemui.” (Luk. 15:​11-32) Sebelum Yesus datang ke bumi, dia pasti pernah melihat Bapanya berbelas kasihan terhadap ramai pendosa yang bertaubat. Maka menerusi cerita yang menyentuh hati ini, Yesus mengajar kita betapa besarnya belas kasihan Bapa kita, Yehuwa!

Dalam cerita Yesus tentang anak yang sesat, bapa itu berlari untuk memeluk anaknya yang sudah kembali (Lihat perenggan 11-12)


13-14. Bagaimanakah Rasul Petrus belajar bahawa Yehuwa sudi mengampuni penyembah-Nya yang bertaubat? Bagaimanakah dia mengajarkan hal yang sama kepada orang lain? (Lihat juga gambar.)

13 Daripada cara Yesus melayannya, Rasul Petrus belajar bahawa Yehuwa sudi mengampuni penyembah-Nya yang bertaubat. Petrus melakukan banyak kesilapan, dan Yesus sudi mengampuninya berkali-kali. Contohnya, selepas Petrus menyangkal Yesus tiga kali, dia berasa sangat sedih dan susah hati. (Mat. 26:​34, 35, 69-75) Tetapi selepas Yesus dibangkitkan, nampaknya dia telah berjumpa dengan Petrus secara bersendirian. (Luk. 24:​33, 34; 1 Kor. 15:​3-5) Pada masa itu, Yesus pasti melegakan hati Petrus dan meyakinkannya bahawa dosanya telah dimaafkan.—Lihat nota pembelajaran bagi “dan Petrus” di Markus 16:7 dalam Alkitab Edisi Pelajaran bahasa Indonesia.

14 Daripada pengalamannya sendiri, Petrus dapat mengajar orang bahawa jika mereka mahu diampuni, mereka mesti bertaubat. Tidak lama selepas Perayaan Pentakosta, Petrus memberikan ceramah kepada sekumpulan orang Yahudi. Dia menjelaskan bahawa mereka telah membunuh Mesias. Namun dengan penuh kasih, dia menggalakkan mereka, “Bertaubatlah, dan berpalinglah kepada Tuhan supaya dosa kamu dihapuskan. Dengan itu, Yehuwa sendiri akan menyegarkan kamu.” (Kis. 3:​14, 15, 17, 19) Kata-kata Petrus menunjukkan bahawa seorang pendosa yang bertaubat dengan ikhlas harus ‘berpaling kepada Tuhan.’ Hal ini bermaksud dia harus mengubah fikiran dan perbuatannya, lalu mengikut haluan hidup baharu yang menyenangkan hati Tuhan. Jika dia berbuat demikian, Tuhan akan menghapuskan dosanya. Bertahun-tahun kemudian, Petrus meyakinkan orang Kristian: ‘Yehuwa sabar terhadap kamu, kerana Dia tidak ingin seorang pun dibinasakan. Dia ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat.’ (2 Ptr. 3:9) Tidakkah kita berasa lega kerana tahu bahawa biarpun kita melakukan dosa yang serius, dosa kita dapat diampunkan asalkan kita bertaubat?

Yesus melegakan hati Petrus dan meyakinkannya bahawa dosanya telah dimaafkan (Lihat perenggan 13-14)


15-16. (a) Bagaimanakah Rasul Paulus belajar tentang pengampunan Yehuwa? (1 Timotius 1:​12-15) (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

15 Saulus dari Tarsus pernah melakukan dosa yang sangat berat. Dia menganiaya orang Kristian dengan teruk, jadi barangkali kebanyakan orang Kristian rasa dia tidak mungkin bertaubat. Namun, Yehuwa dan Yesus nampak sifat baik Saulus dan tidak berfikir begitu. Yesus berkata, “Aku sudah memilih lelaki ini untuk memberitakan namaku.” (Kis. 9:15) Dia bahkan melakukan mukjizat untuk membantu Saulus agar bertaubat. (Kis. 7:58–8:3; 9:​1-9, 17-20) Selepas memeluk agama Kristian, Saulus, yang kemudiannya dikenali sebagai Rasul Paulus, sering meluahkan kesyukurannya atas kebaikan hati dan belas kasihan yang ditunjukkan oleh Yehuwa dan Yesus kepadanya. (Baca 1 Timotius 1:​12-15.) Dia juga menulis, “Tuhan menunjukkan kebaikan hati-Nya kerana Dia ingin memimpin kamu untuk bertaubat.”​—Rm. 2:4.

16 Pernah sekali, Paulus mendengar bahawa seorang lelaki di Korintus hidup tidak bermoral tetapi tidak dikeluarkan daripada sidang. Apakah yang dilakukan Paulus? Daripada cara Paulus menangani masalah itu, kita dapat belajar bahawa Yehuwa memberikan disiplin dengan penuh kasih, dan bahawa amatlah penting untuk berbelas kasihan terhadap pendosa yang bertaubat. Kita akan membincangkan hal itu dengan lebih lanjut dalam rencana seterusnya.

LAGU 33 Serahkan Bebanmu kepada Yehuwa

a Hari ini, Yehuwa tidak menghendaki seseorang untuk terus hidup bersama pasangannya yang berlaku curang. Melalui Yesus, Yehuwa menyatakan bahawa suami atau isteri yang tidak bersalah boleh memilih untuk menceraikan pasangannya yang berzina jika mereka ingin berbuat demikian.—Mat. 5:32; 19:9.

b Lihat rencana “Pengampunan Yehuwa—Apakah Ertinya Bagi Anda?” dalam majalah Menara Pengawal terbitan 15 November 2012, ms. 21-23, per. 3-10.