Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Saudara Rutherford berucap semasa konvensyen di Cedar Point, Ohio, 1919

1919—Seratus Tahun yang Lalu

1919—Seratus Tahun yang Lalu

PADA hujung tahun 1918, Perang Besar (kemudiannya dikenali sebagai Perang Dunia Pertama) yang berlanjutan selama empat tahun, telah berakhir. Pada 18 Januari 1919, Persidangan Damai Paris telah bermula. Salah satu hasilnya ialah Perjanjian Versailles, yang secara rasmi mengakhiri perang antara Angkatan Tentera Bersekutu dengan Jerman. Perjanjian itu telah ditandatangani pada 28 Jun 1919.

Di bawah perjanjian itu, sebuah pertubuhan baharu yang dipanggil Liga Bangsa-Bangsa telah diasaskan. Tujuannya adalah untuk “menggalakkan kerjasama antarabangsa dan mencapai keamanan dan keselamatan antarabangsa.” Banyak gereja menyokong liga ini. Majlis Persekutuan Gereja-Gereja Kristus di Amerika menyatakan bahawa Liga Bangsa-Bangsa ialah “wakil politik Kerajaan Tuhan di bumi.” Majlis itu turut menunjukkan sokongannya dengan mengutus wakil-wakil ke Persidangan Damai Paris. Salah seorang wakil itu mengatakan bahawa persidangan tersebut telah “membuka lembaran baharu dalam sejarah dunia.”

Lembaran baharu dalam sejarah memang bakal bermula, tetapi bukan kerana persidangan damai itu. Pada tahun 1919, Yehuwa telah membuka lembaran baharu dengan memberi umat-Nya kekuatan untuk menggandakan usaha mereka dalam kerja penyebaran. Namun, sebelum hal itu berlaku, para Pelajar Bible perlu mengalami perubahan yang besar.

KEPUTUSAN YANG SUSAH

Joseph F. Rutherford

Mesyuarat tahunan untuk mengundi ahli lembaga pengarah Watch Tower Bible and Tract Society akan berlangsung pada hari Sabtu, 4 Januari 1919. Tetapi ketika itu, Joseph F. Rutherford yang mengambil pimpinan dalam kalangan umat Yehuwa, dan tujuh orang saudara yang lain telah dipenjarakan di Atlanta, Georgia, A.S. atas tuduhan palsu. Memandangkan ada antara mereka yang memegang jawatan sebagai pegawai dalam organisasi, patutkah mereka dilantik semula, atau haruskah mereka digantikan?

Evander J. Coward

Semasa di penjara, Saudara Rutherford risau tentang masa depan organisasi. Dia tahu bahawa sesetengah saudara berpendapat bahawa adalah lebih baik untuk melantik presiden yang baharu. Maka, dia menulis sepucuk surat kepada hadirin mesyuarat untuk mencadangkan Evander J. Coward sebagai presiden, kerana Saudara Coward ialah seorang yang “tenang,” “bijaksana,” dan “setia kepada Tuan kita.” Tetapi banyak saudara ingin menundakan pengundian itu selama enam bulan, dan para peguam yang membela saudara-saudara yang dipenjarakan juga setuju. Suasana di mesyuarat itu mula menjadi tegang.

Richard H. Barber

Kemudian seorang saudara berdiri dan berkata, “Saya bukan peguam, tetapi saya tahu apa yang wajar dilakukan. Tuhan mahu kita setia. Maka, jika kita mengadakan pengundian dan melantik Saudara Rutherford sebagai presiden semula, saya rasa itulah cara yang terbaik untuk membuktikan kesetiaan kita.” Menurut Richard H. Barber, perbuatan saudara itu telah meredakan situasi yang tegang itu.​—Mzm. 18:25.

Alexander H. Macmillan

A. H. Macmillan, yang dipenjarakan bersama Saudara Rutherford, menceritakan apa yang berlaku pada keesokan harinya. Saudara Rutherford mengetuk dinding bilik penjara Macmillan lalu berkata, “Hulurkan tangan kamu.” Selepas itu, Saudara Rutherford memberinya surat telegram yang mengandungi mesej berikut: “RUTHERFORD WISE VAN BARBER ANDERSON BULLY DAN SPILL PENGARAH TIGA NAMA PERTAMA PEGAWAI SALAM KASIH.” Macmillan segera faham maksudnya: Semua ahli lembaga pengarah telah dikekalkan, dan Joseph Rutherford dan William Van Amburgh akan terus berkhidmat sebagai pegawai. Dengan itu, Saudara Rutherford akan terus memegang jawatan sebagai presiden.

DIBEBASKAN!

Sementara itu, Pelajar Bible telah mengedarkan petisyen untuk meminta agar lapan orang saudara tersebut dibebaskan. Saudara saudari yang berani itu berjaya meminta lebih daripada 700,000 orang untuk menandatangani petisyen tersebut. Tetapi, pada hari Rabu, 26 Mac 1919, sebelum petisyen itu sempat dihantar kepada pihak kerajaan, Saudara Rutherford dan saudara-saudara lain telah dibebaskan.

Semasa Saudara Rutherford berucap kepada mereka yang menyambut kepulangannya, dia berkata, “Saya yakin tujuan pengalaman ini adalah untuk mempersiapkan kita bagi masa yang lebih mencabar. . . . Perjuangan kamu bukanlah untuk membebaskan saudara kamu dari penjara. Itu hanya isu sampingan. . . . Perjuangan kamu selama ini adalah untuk memberikan kesaksian tentang Kebenaran, dan mereka yang berbuat demikian telah mendapat berkat yang besar.”

Peristiwa yang berlaku seterusnya mungkin menandakan kehendak Yehuwa. Pada 14 Mei 1919, mahkamah rayuan membuat keputusan berikut: “Para defendan dalam kes ini . . . tidak dibicarakan dengan adil, maka keputusan mahkamah sebelum ini dibatalkan.” Mengapakah keputusan baharu ini begitu penting? Saudara-saudara itu telah disabitkan bersalah atas jenayah berat. Jika mereka hanya diampunkan atau jika hukuman mereka hanya diringankan, mereka masih akan mempunyai rekod jenayah. Namun, memandangkan keputusan yang dahulu telah dibatalkan, dan tiada tuduhan baharu dikemukakan, rekod jenayah mereka telah dipadamkan. Dengan itu, Hakim Rutherford masih memiliki kelayakan di sisi undang-undang untuk membela umat Yehuwa di Mahkamah Agung Amerika Syarikat, dan itulah yang dilakukannya berkali-kali selepas dibebaskan.

BERTEKAD UNTUK MENGINJIL

“Kami tidak akan duduk berpeluk tubuh dan goyang kaki sambil menunggu masanya kami dibawa ke syurga,” kata Saudara Macmillan. “Kami sedar bahawa kami mesti buat sesuatu untuk mengetahui apa sebenarnya kehendak Tuan kami.”

Namun, saudara-saudara di ibu pejabat tidak dapat segera meneruskan kerja percetakan. Mengapa? Semasa mereka dipenjarakan, semua plat cetak yang digunakan untuk menghasilkan bahan bacaan telah dihapuskan. Keadaan yang mengecewakan itu membuat sesetengah saudara tertanya-tanya sama ada kerja penyebaran sudah selesai atau tidak.

Adakah orang masih berminat tentang berita Kerajaan yang disebarkan oleh Pelajar Bible? Untuk mengetahui jawapannya, Saudara Rutherford memutuskan untuk memberikan sebuah ceramah, dan orang ramai dijemput hadir. “Jika tiada orang datang,” kata Saudara Macmillan, “kerja kami sudah selesai.”

Iklan dalam akhbar untuk ceramah Saudara Rutherford yang bertajuk “Harapan bagi Manusia yang Menderita” di Los Angeles, California, 1919

Pada hari Ahad, 4 Mei 1919, Saudara Rutherford yang sakit teruk telah menyampaikan ceramah yang bertajuk, “Harapan bagi Manusia yang Menderita” di Los Angeles, California. Sekitar 3,500 orang telah hadir, dan ratusan lagi diminta untuk datang pada hari berikutnya. Keesokan hari, kira-kira 1,500 orang telah hadir. Jawapannya sudah jelas—orang ramai masih berminat!

Apa yang dilakukan saudara-saudara kita selepas itu telah mempengaruhi cara Saksi-Saksi Yehuwa menginjil sehingga hari ini.

BERSEDIA UNTUK PERKEMBANGAN MASA DEPAN

The Watch Tower terbitan 1 Ogos 1919 mengumumkan bahawa sebuah konvensyen akan diadakan pada awal bulan September di Cedar Point, Ohio. “Semua orang berasa bahawa mereka mesti hadir,” kata Clarence B. Beaty, seorang Pelajar Bible yang muda dari Missouri. Jumlah hadirin di konvensyen itu jauh melebihi apa yang dijangkakan, iaitu lebih daripada 6,000 orang. Tambahan lagi, lebih daripada 200 orang telah dibaptis di Tasik Erie yang berdekatan.

Kulit depan terbitan pertama The Golden Age, bertarikh 1 Oktober 1919

Pada 5 September 1919, iaitu hari kelima konvensyen itu, Saudara Rutherford menyampaikan ceramah yang bertajuk “Ucapan kepada Rakan Sekerja.” Dalam ceramah itu, dia mengumumkan pengeluaran majalah baharu yang berjudul The Golden Age. * Majalah itu akan “melaporkan peristiwa terkini yang penting, dan menjelaskan daripada Bible sebabnya peristiwa-peristiwa itu berlaku.”

Semua Pelajar Bible digalakkan untuk menggunakan majalah baharu itu dan menginjil dengan berani. Mereka menerima sepucuk surat yang menjelaskan bagaimana kerja ini harus dilakukan. Surat itu menyatakan, “Hendaklah setiap orang yang sudah [dibaptis] ingat bahawa mereka diberi penghormatan besar untuk berkhidmat. Mereka patut menggunakan peluang ini dan berusaha sedaya upaya untuk memberikan kesaksian.” Jemputan itu telah mendapat sambutan hangat daripada para penyiar. Menjelang bulan Disember, mereka telah memperoleh lebih daripada 50,000 langganan untuk majalah itu.

Saudara-saudara di Brooklyn, New York, dengan lori yang penuh dengan The Golden Age

Pada akhir tahun 1919, umat Yehuwa sudah diaturkan semula dan mendapat kekuatan baharu. Selain itu, beberapa nubuat yang penting tentang hari-hari terakhir sudah menjadi kenyataan. Contohnya, umat Tuhan sudah diuji dan dimurnikan, mereka sudah dibebaskan daripada cengkaman “Babilon Besar,” dan Yesus sudah melantik “hamba yang setia dan bijaksana.” * (Why. 18:2, 4; Mat. 24:45; Mal. 3:1-4) Kini, Pelajar Bible bersedia untuk melaksanakan tugas yang akan diberikan oleh Yehuwa kepada mereka.

^ per. 22 The Golden Age dinamakan Consolation pada tahun 1937 dan Awake! pada tahun 1946.