Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 42

Biarlah Yehuwa Menggunakan Anda!

Biarlah Yehuwa Menggunakan Anda!

“Tuhan menguatkan kamu . . . Dia memberi kamu keinginan dan kekuatan untuk bertindak.”​—FLP. 2:13.

LAGU 104 Kurniaan Kuasa Suci Tuhan

PENGENALAN *

1. Bagaimanakah Yehuwa melaksanakan tujuan-Nya?

YEHUWA dapat menjadi apa sahaja yang diperlukan untuk mencapai tujuan-Nya. Sebagai contoh, Dia pernah menjadi Guru, Sumber kelegaan hati, Penyebar berita baik, dan sebagainya. (Yes. 48:17; 2 Kor. 7:6; Gal. 3:8) Namun, Dia sering menggunakan manusia untuk melaksanakan tujuan-Nya. (Mat. 24:14; 28:19, 20; 2 Kor. 1:3, 4) Menurut sesetengah cendekiawan, nama Yehuwa merangkumi maksud “Dia Menyebabkan Menjadi.” Maka Yehuwa juga dapat memberi kita kebijaksanaan dan kekuatan yang diperlukan, supaya kita dapat menjadi apa sahaja yang diperlukan untuk melaksanakan kehendak-Nya.

2. (a) Mengapakah sesetengah orang berasa bahawa mereka tidak dapat digunakan oleh Yehuwa? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Kita semua ingin menjadi berguna bagi Yehuwa, tetapi sesetengah orang mungkin berasa bahawa mereka tidak dapat digunakan oleh Yehuwa. Mengapa? Ada yang berasa bahawa usia, keadaan, atau kemampuan mereka ialah penghalang. Yang lain pula sudah puas dengan apa yang dilakukan selama ini dan berasa bahawa mereka tidak perlu meningkatkan usaha lagi. Rencana ini akan membincangkan bagaimana Yehuwa dapat melengkapi sesiapa sahaja untuk melaksanakan tujuan-Nya. Kita juga akan meneliti kisah Bible tentang bagaimana Yehuwa memberi hamba-hamba-Nya keinginan dan kekuatan untuk bertindak. Akhir sekali, kita akan melihat bagaimana kita dapat membiarkan Yehuwa menggunakan kita.

CARA YEHUWA MELENGKAPI KITA

3. Seperti yang dijanjikan Yehuwa di Filipi 2:13, bagaimanakah Dia memberi kita keinginan untuk bertindak?

3 Baca Filipi 2:13. * Yehuwa dapat memberi kita keinginan untuk bertindak. Bagaimana? Katakan kita mendapat tahu tentang suatu keperluan dalam sidang, atau mendengar pengumuman tentang keperluan di kawasan lain, lalu kita berfikir, “Bagaimanakah saya dapat membantu?” Atau katakan kita diminta untuk melakukan suatu tugas yang mencabar, lalu kita berfikir, “Dapatkah saya melakukannya dengan baik?” Atau katakan kita membaca beberapa ayat Bible, lalu kita berfikir, “Bagaimanakah saya dapat menggunakan ayat-ayat ini untuk membantu orang lain?” Yehuwa tidak akan memaksa kita untuk bertindak. Tetapi apabila Dia melihat kita sudi berfikir tentang apa yang dapat kita lakukan, Dia dapat memberi kita keinginan untuk bertindak.

4. Bagaimanakah Yehuwa dapat memberi kita kekuatan untuk bertindak?

4 Yehuwa juga dapat memberi kita kekuatan untuk bertindak. (Yes. 40:29) Bagaimana? Dia dapat menggunakan kuasa suci-Nya untuk meningkatkan keupayaan kita. (Kel. 35:30-35) Atau Yehuwa dapat menggunakan organisasi-Nya untuk melatih kita. Jadi jika anda kurang pasti cara untuk melakukan suatu tugasan, jangan segan untuk meminta bantuan. Anda juga boleh memohon “kuasa luar biasa” daripada Bapa kita yang murah hati. (2 Kor. 4:7; Luk. 11:13) Bible mengandungi banyak contoh tentang bagaimana Yehuwa telah melengkapi hamba-hamba-Nya dengan memberi mereka keinginan dan kekuatan untuk bertindak. Semasa membaca kisah-kisah itu, fikirkanlah bagaimana Yehuwa juga dapat melakukan hal yang sama untuk anda.

CARA YEHUWA MELENGKAPI LELAKI YANG SETIA

5. Apakah yang kita pelajari tentang cara dan masa Yehuwa menggunakan Musa?

5 Yehuwa melengkapi Musa untuk menyelamatkan orang Israel. Tetapi bilakah Yehuwa memberinya peranan ini? Adakah setelah Musa mempelajari “segala ilmu bangsa Mesir” dan berasa dirinya layak? (Kis. 7:22-25) Tidak. Yehuwa menggunakan Musa hanya setelah Dia membentuk Musa menjadi seorang yang rendah hati dan lemah lembut. (Kis. 7:30, 34-36) Yehuwa telah memberinya keberanian untuk menghadap pemerintah yang paling berkuasa di Mesir. (Kel. 9:13-19) Apakah yang kita pelajari tentang cara dan masa Yehuwa menggunakan Musa? Yehuwa akan menggunakan orang yang berusaha meniru sifat-Nya dan yang bergantung pada kekuatan-Nya.​—Flp. 4:13.

6. Apakah yang dapat kita pelajari daripada cara Yehuwa menggunakan Barzilai untuk membantu Raja Daud?

6 Ratusan tahun kemudian, Yehuwa menggunakan Barzilai untuk menjaga keperluan Raja Daud. Daud dan para pengikutnya “lapar, letih, dan haus” kerana melarikan diri daripada Absalom, putera Daud. Ketika itu, Barzilai sudah tua, tetapi dia dan beberapa orang lain sanggup menggadaikan nyawa mereka untuk menyediakan barang keperluan bagi Daud dan para pengikutnya. Barzilai tidak berfikir bahawa dia tidak lagi berguna bagi Yehuwa kerana dia sudah tua. Sebaliknya, dia menggunakan hartanya dengan murah hati untuk membantu hamba-hamba Tuhan. (2 Sam. 17:27-29) Apakah pengajarannya bagi kita? Tidak kira usia kita, Yehuwa dapat menggunakan kita untuk membantu rakan seiman yang kekurangan barang keperluan, sama ada di kawasan tempatan atau di negara lain. (Ams. 3:27, 28; 19:17) Biarpun kita tidak dapat menghulurkan bantuan secara langsung, kita dapat memberikan sumbangan kepada kerja sedunia, supaya bantuan dapat diberikan kepada saudara saudari yang memerlukannya.​—2 Kor. 8:14, 15; 9:11.

7. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan Simeon? Mengapakah hal itu menggalakkan kita?

7 Yehuwa telah berjanji kepada Simeon, seorang lelaki yang setia di Yerusalem, bahawa dia tidak akan meninggal sebelum dia melihat Mesias. Janji itu pasti menguatkan Simeon, kerana lelaki yang berusia itu sudah lama menunggu kedatangan Mesias. Iman dan ketabahan Simeon telah membawa berkat. Pada suatu hari, “di bawah pimpinan kuasa suci Tuhan,” Simeon masuk ke dalam Rumah Tuhan dan nampak Yesus yang masih bayi. Selepas itu, Yehuwa menggunakannya untuk bernubuat tentang bayi yang bakal menjadi Kristus itu. (Luk. 2:25-35) Simeon mungkin telah meninggal sebelum dia sempat menjadi murid Yesus, tetapi dia menghargai penghormatan yang diberi oleh Yehuwa. Bukan itu sahaja, pada masa depan, dia akan melihat bagaimana pemerintahan Yesus membawa berkat kepada semua bangsa di bumi. (Kej. 22:18) Kisah Simeon memang menggalakkan kerana mengajar kita bahawa biarpun kemampuan kita terhad, Yehuwa masih dapat menggunakan kita untuk melaksanakan kehendak-Nya.

8. Bagaimanakah Yehuwa dapat menggunakan kita untuk melegakan hati orang lain?

8 Pada abad pertama, terdapat seorang lelaki yang murah hati, yang bernama Yusuf. Dia rela digunakan oleh Yehuwa. (Kis. 4:36, 37) Yusuf mungkin sangat mahir melegakan hati orang lain, maka para rasul memanggilnya Barnabas, yang bermaksud “Orang yang Membawa Kelegaan Hati.” Contohnya, selepas Saulus menjadi orang Kristian, ramai pengikut Yesus takut menghampirinya kerana dia dahulunya menganiaya sidang Kristian. Saulus pasti amat bersyukur kerana Barnabas sudi membantunya dan melegakan hatinya. (Kis. 9:21, 26-28) Kemudian, semasa rakan seiman di Antiokhia di Siria memerlukan galakan, siapakah yang diutus oleh para penatua di Yerusalem? Barnabas! Pilihan itu memang bijak, kerana Barnabas telah “menggalakkan mereka semua agar bertekad untuk tetap setia kepada Tuan Yesus.” (Kis. 11:22-24) Dewasa ini, Yehuwa juga dapat melengkapi kita untuk menjadi “Barnabas” zaman moden. Misalnya, Dia dapat menggunakan kita untuk melegakan hati orang yang berkabung. Dia juga dapat menggerakkan kita untuk menziarahi atau menelefon orang yang sakit atau murung untuk menggalakkan mereka. Sudikah anda digunakan oleh Yehuwa dalam cara ini?​—1 Tes. 5:14.

9. Apakah yang dapat kita pelajari daripada cara Yehuwa membantu Vasily menjadi gembala rohani yang mahir?

9 Yehuwa telah membantu seorang saudara yang bernama Vasily untuk menjadi gembala rohani yang mahir. Semasa Vasily dilantik sebagai penatua pada usia 26 tahun, dia risau bahawa dia tidak mampu membantu ahli sidang, khususnya mereka yang menghadapi masalah. Namun, dia diberi latihan yang baik daripada penatua yang berpengalaman dan daripada Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik. Vasily berusaha untuk membuat kemajuan. Sebagai contoh, dia membuat satu senarai matlamat kecil dan berusaha mencapainya satu demi satu. Hasilnya, keyakinannya bertambah. Vasily berkata, “Hal yang dahulunya menakutkan saya, kini membawa sukacita yang besar. Semasa Yehuwa membantu saya menemui ayat Bible yang sesuai untuk melegakan seorang saudara atau saudari, saya berasa sangat puas.” Saudara-saudara, jika anda sudi digunakan oleh Yehuwa seperti Vasily, Yehuwa dapat memberi anda kebolehan untuk memikul lebih banyak tanggungjawab dalam sidang.

CARA YEHUWA MELENGKAPI WANITA YANG SETIA

10. Apakah yang dilakukan oleh Abigail? Apakah yang dapat anda pelajari daripada teladannya?

10 Semasa Daud dan pengikutnya diburu oleh Raja Saul, mereka meminta sedikit makanan daripada Nabal, seorang lelaki Israel yang kaya. Mereka berasa bahawa permintaan itu tidak melampau, kerana selama itu mereka melindungi kawanan Nabal di padang belantara. Tetapi Nabal mementingkan diri dan enggan memberi mereka apa-apa. Maka Daud naik marah dan ingin membunuh Nabal dan semua lelaki dalam rumah tangganya. (1 Sam. 25:3-13, 22) Tetapi, isteri Nabal, iaitu Abigail, ialah seorang wanita yang cantik dan bijaksana. Dengan berani, dia berjumpa dengan Daud dan bersujud di kakinya. Abigail merayu Daud agar tidak menumpahkan darah, dan menasihatinya agar menyerahkan perkara itu ke dalam tangan Yehuwa. Kata-kata Abigail yang lembut dan tindakannya yang bijak telah menyentuh hati Daud. Akhirnya Daud sedar bahawa Abigail telah diutus oleh Yehuwa. (1 Sam. 25:23-28, 32-34) Oleh sebab Abigail memupuk sifat-sifat yang murni, dia dapat digunakan oleh Yehuwa. Seperti Abigail, jika saudari-saudari memupuk pengertian dan belajar cara yang baik untuk memberikan nasihat, Yehuwa dapat menggunakan mereka untuk menguatkan ahli keluarga dan ahli sidang.​—Ams. 24:3; Tit. 2:3-5.

11. Apakah yang dilakukan oleh anak-anak perempuan Salum? Siapakah yang meniru teladan mereka hari ini?

11 Ratusan tahun kemudian, anak-anak perempuan Salum telah digunakan oleh Yehuwa untuk membantu dalam kerja pembaikan tembok Yerusalem. (Neh. 2:20; 3:12) Meskipun bapa mereka seorang pemimpin, mereka sudi melakukan kerja yang susah dan berbahaya itu. (Neh. 4:15-18) Sikap mereka jauh berbeza daripada para pembesar orang Tekoa, yang “tidak rendah hati” dan enggan membantu. (Neh. 3:5) Bayangkan betapa gembiranya mereka apabila kerja pembaikan itu disiapkan dalam masa 52 hari sahaja! (Neh. 6:15) Pada zaman ini, saudari-saudari kita rela berkhidmat kepada Tuhan dalam satu cara yang istimewa, iaitu membina dan menyelenggarakan bangunan yang dikhaskan untuk ibadat suci. Kemahiran, semangat, dan kesetiaan mereka telah menyumbang kepada kejayaan kerja sedemikian.

12. Bagaimanakah Yehuwa dapat menggunakan kita sebagaimana Dia menggunakan Tabita?

12 Yehuwa mendorong Tabita untuk “melakukan banyak perkara baik dan selalu membantu orang yang miskin,” terutamanya balu-balu. (Kis. 9:36) Oleh sebab Tabita begitu murah hati dan baik hati, banyak orang bersedih semasa dia meninggal. Tetapi mereka gembira sekali semasa Rasul Petrus membangkitkannya. (Kis. 9:39-41) Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan Tabita? Tidak kira tua atau muda, lelaki atau wanita, kita semua dapat memberikan bantuan praktikal kepada saudara saudari.​—Ibr. 13:16.

13. Bagaimanakah Yehuwa menggunakan seorang saudari yang pemalu? Apakah yang dikatakannya?

13 Ruth, seorang saudari yang pemalu, bercita-cita untuk menjadi seorang mubaligh. Semasa kecil, dia berlari dari rumah ke rumah untuk mengedarkan risalah. “Saya sangat suka kerja ini,” katanya. Tetapi dia berasa susah untuk berbual dengan orang tentang Kerajaan Tuhan. Meskipun begitu, Ruth menjadi perintis biasa pada usia 18 tahun. Dia telah menghadiri Sekolah Latihan Gilead pada tahun 1946, dan kemudiannya berkhidmat di Hawaii dan Jepun. Yehuwa telah menggunakan Ruth dalam cara yang menakjubkan untuk menyebarkan berita baik di negara-negara itu. Selepas menginjil untuk hampir 80 tahun, Ruth berkata, “Yehuwa ialah sumber kekuatan saya. Dia telah membantu saya mengatasi rasa malu. Saya percaya Yehuwa dapat menggunakan sesiapa sahaja yang yakin kepada-Nya.”

BIARLAH YEHUWA MENGGUNAKAN ANDA

14. Menurut Kolose 1:29, apakah yang mesti kita lakukan jika kita ingin digunakan oleh Yehuwa?

14 Sepanjang sejarah, Yehuwa telah menggunakan hamba-hamba-Nya dalam pelbagai cara. Bagaimanakah Dia akan menggunakan anda? Sebahagian besar jawapannya terpulang kepada usaha anda. (Baca Kolose 1:29.) Jika anda rela digunakan oleh Yehuwa, Dia dapat menyebabkan anda menjadi seorang penginjil yang bersemangat, pengajar yang cekap, pembawa kelegaan hati, pekerja yang mahir, sahabat yang penyayang, atau apa-apa sahaja yang diperlukan untuk melaksanakan kehendak-Nya.

15. Seperti yang dinyatakan di 1 Timotius 4:12, 15, apakah yang harus diminta oleh saudara-saudara muda daripada Yehuwa?

15 Bagaimana pula dengan saudara-saudara muda yang bakal menjadi orang dewasa? Kami amat memerlukan saudara yang bertenaga untuk berkhidmat sebagai pembantu sidang. Dalam banyak sidang, terdapat lebih banyak penatua berbanding pembantu sidang. Maka saudara-saudara muda, dapatkah anda memupuk keinginan untuk memikul lebih banyak tanggungjawab dalam sidang? Ada yang mungkin berkata, “Cukuplah kalau saya jadi penyiar biasa sahaja.” Jika itulah perasaan anda, berdoalah kepada Yehuwa. Mintalah bantuan-Nya supaya anda dapat memupuk keinginan untuk menjadi pembantu sidang, dan mempunyai kekuatan untuk berkhidmat kepada-Nya dengan sedaya upaya. (Pkh. 12:1) Kami memerlukan bantuan anda!​—Baca 1 Timotius 4:12, 15.

16. Apakah yang harus kita minta daripada Yehuwa, dan mengapa?

16 Yehuwa dapat menyebabkan anda menjadi apa sahaja yang diperlukan untuk melaksanakan kehendak-Nya. Jadi, mohonlah keinginan untuk melakukan kerja-Nya, dan mintalah kekuatan daripada-Nya. Tidak kira anda tua ataupun muda, gunakanlah masa, tenaga, dan apa-apa yang anda miliki untuk memuliakan Yehuwa sekarang. (Pkh. 9:10) Janganlah lepaskan peluang keemasan untuk melakukan lebih banyak kerja untuk Yehuwa kerana berasa takut atau tidak layak. Berusahalah untuk melakukan segala-galanya demi memuliakan Yehuwa, Bapa kita yang di syurga!

LAGU 127 Bagaimana Seharusnya Hidupku

^ per. 5 Adakah anda berharap anda dapat melakukan lebih banyak kerja bagi Yehuwa? Adakah anda tertanya-tanya sama ada anda masih berguna di mata Tuhan atau tidak? Atau adakah anda berasa usaha anda untuk Yehuwa sekarang sudah cukup? Rencana ini akan membincangkan beberapa cara Yehuwa dapat memberi anda keinginan dan kekuatan, supaya anda dapat menjadi apa sahaja yang diperlukan untuk melaksanakan kehendak-Nya.

^ per. 3 Walaupun surat Paulus ditujukan kepada orang Kristian abad pertama, nasihatnya sesuai untuk semua hamba Yehuwa.