Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Orang perlu diberi amaran tentang “ribut” Tuhan yang bakal tiba!

Hukuman Tuhan​—Adakah Dia Sentiasa Memberikan Amaran Terlebih Dahulu?

Hukuman Tuhan​—Adakah Dia Sentiasa Memberikan Amaran Terlebih Dahulu?

SEORANG pekerja di pusat ramalan kaji cuaca melihat imej pada skrinnya. Ribut yang dahsyat bakal melanda sebuah kawasan yang berpenduduk padat. Dia risau akan keselamatan orang ramai, maka dia berusaha untuk memberi mereka amaran sebelum terlambat.

Kini, Yehuwa sedang memberikan amaran kepada penduduk bumi bahawa satu “ribut” yang jauh lebih dahsyat akan berlaku. Bagaimanakah Dia berbuat demikian? Mengapakah kita pasti bahawa Dia sedang memberi orang masa yang secukupnya untuk bertindak? Untuk mengetahui jawapannya, marilah kita mengkaji beberapa amaran yang pernah diberikan oleh Yehuwa pada zaman dahulu.

SEMASA TUHAN MEMBERIKAN AMARAN

Pada zaman Bible, Yehuwa pernah memberikan amaran bahawa hukuman-Nya akan datang seperti ribut kepada orang yang sengaja melanggar perintah-Nya. (Ams. 10:25; Yer. 30:23) Namun, Dia selalu memberikan masa yang secukupnya supaya mereka dapat bertaubat dan mematuhi kehendak-Nya. (2 Raj. 17:12-15; Neh. 9:29, 30) Untuk mendorong mereka berubah, Yehuwa sering mengutus hamba-hamba-Nya di bumi untuk mengumumkan penghakiman-Nya dan menggesa mereka agar segera bertindak.​—Amo. 3:7.

Nuh merupakan salah seorang hamba yang diutus oleh Tuhan. Selama bertahun-tahun, dia memberanikan diri untuk memberitahu orang yang ganas dan tidak bermoral bahawa Banjir Besar akan tiba. (Kej. 6:9-13, 17) Dia juga memberitahu mereka apa yang harus dilakukan agar terselamat. Nuh mengisytiharkan penghakiman Tuhan dengan begitu bersemangat, sehingga dia dikenali sebagai “seorang lelaki yang menyebarkan apa yang benar.”​—2 Ptr. 2:5.

Meskipun begitu, orang di sekeliling Nuh tidak menghiraukan amaran yang disampaikannya. Oleh sebab mereka langsung tidak beriman, “Banjir melanda dan melenyapkan mereka semua.” (Mat. 24:39; Ibr. 11:7) Sememangnya, mereka tiada alasan untuk berkata bahawa Tuhan tidak memberikan amaran.

Yehuwa juga pernah memberikan amaran dalam jangka masa yang lebih singkat. Meskipun begitu, Dia masih memberi orang masa yang secukupnya untuk bertindak. Fikirkan masanya Tuhan mendatangkan Sepuluh Tulah kepada Mesir. Sehari sebelum mendatangkan tulah yang ketujuh, iaitu hujan batu yang dahsyat, Yehuwa mengutus Musa dan Harun untuk memberikan amaran kepada Firaun dan pegawai-pegawainya. Adakah masa yang diberikan itu cukup? Bible menyatakan, “Beberapa orang pegawai Firaun takut akan Yehuwa. Maka, mereka cepat-cepat membawa hamba dan ternakan mereka ke tempat yang terlindung. Tetapi mereka yang tidak mempedulikan firman Yehuwa membiarkan hamba dan ternakan mereka di luar.” (Kel. 9:18-21) Ya, Yehuwa telah memberikan masa yang secukupnya, dan mereka yang segera bertindak telah meraih manfaat.

Firaun dan para pegawainya juga diberi amaran tidak lama sebelum tulah yang kesepuluh melanda. Mereka sebenarnya sempat bertindak, tetapi sedihnya mereka menolak amaran itu, dan anak sulung mereka telah mati. (Kel. 4:22, 23; 11:4-10; 12:29) Orang Israel pula mendengarkan amaran Musa dan mematuhi arahan tentang cara untuk menyelamatkan keluarga mereka. (Kel. 12:21-28) Akhirnya, lebih daripada tiga juta orang telah meninggalkan Mesir, termasuk orang Israel dan “sekumpulan besar orang” yang terdiri daripada orang Mesir dan bangsa-bangsa lain.​—Kel. 12:38; nota kaki.

Contoh-contoh tadi menunjukkan bahawa Yehuwa selalu memberikan peluang yang secukupnya supaya orang dapat mendengarkan amaran-Nya dan bertindak. (Ul. 32:4) Mengapakah Tuhan berbuat demikian? Rasul Petrus menjelaskan bahawa Yehuwa “tidak ingin seorang pun dibinasakan. Dia ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat.” (2 Ptr. 3:9) Ya, Tuhan mengambil berat terhadap manusia. Dia ingin mereka bertaubat dan berubah sebelum masa penghakiman-Nya tiba.​—Yes. 48:17, 18; Rm. 2:4.

MENDENGARKAN AMARAN YEHUWA DEWASA INI

Dewasa ini, semua orang mesti mendengarkan satu amaran yang diberikan di seluruh dunia. Ketika Yesus berada di bumi, dia mengatakan bahawa sistem dunia sekarang akan dibinasakan semasa “kesengsaraan besar.” (Mat. 24:21) Yesus juga menubuatkan secara terperinci apa yang akan dilihat dan dialami para pengikutnya ketika masa penghakiman itu kian mendekat. Hal-hal itu sedang terjadi di serata dunia pada zaman kita.​—Mat. 24:3-12; Luk. 21:10-13.

Kini, Yehuwa sedang menggesa semua orang untuk tunduk kepada pemerintahan-Nya. Dia ingin agar orang yang taat menikmati kehidupan yang lebih baik sekarang dan meraih berkat yang melimpah di dunia baharu kelak. (2 Ptr. 3:13) Untuk membantu orang beriman kepada janji-janji-Nya, Yehuwa telah memberikan satu mesej yang dapat menyelamatkan nyawa, iaitu “berita baik tentang Kerajaan Tuhan.” Yesus menubuatkan bahawa berita ini “akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa.” (Mat. 24:14) Tuhan telah mengutus para penyembah-Nya untuk memberikan “kesaksian” ini di 240 negara dan kawasan. Yehuwa berharap agar seberapa ramai orang yang mungkin akan mendengarkan amaran ini dan diselamatkan sebelum hari penghakiman-Nya menimpa bumi ini seperti ribut.​—Zef. 1:14, 15; 2:2, 3.

Maka, persoalannya bukanlah sama ada Yehuwa memberi orang masa yang secukupnya atau tidak untuk bertindak, kerana Tuhan memang selalu berbuat demikian. Sebaliknya, persoalannya ialah: Adakah orang akan mendengarkan amaran Tuhan sebelum terlambat? Sebagai utusan Tuhan, semoga kita terus membantu seberapa ramai orang yang mungkin agar terselamat semasa sistem dunia ini dibinasakan.