Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 43

Sembahlah Yehuwa Sahaja

Sembahlah Yehuwa Sahaja

“Tuhan Yehuwa menghendaki manusia menyembah Dia sahaja.”​—NAH. 1:2.

LAGU 51 Membaktikan Diri kepada Tuhan!

PENGENALAN *

1. Mengapakah kita patut menyembah Yehuwa sahaja?

KITA patut menyembah Yehuwa sahaja, kerana Dialah Pencipta dan Sumber Kehidupan kita. (Why. 4:11) Namun, meskipun kita menghormati dan mengasihi Yehuwa, terdapat hal-hal yang dapat menghalang kita daripada menyembah-Nya sahaja. Apakah hal-hal itu? Sebelum menjawab soalan itu, marilah kita lihat apa maksudnya menyembah Yehuwa sahaja.

2. Menurut Keluaran 34:14, bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita menyembah Yehuwa sahaja?

2 Dalam Bible, menyembah Yehuwa sahaja bererti mengasihi-Nya secara mendalam. Kita tidak akan membiarkan sesiapa atau apa-apa pun untuk mengambil alih kedudukan Yehuwa dalam hati kita.​—Baca Keluaran 34:14.

3. Mengapakah kasih kita untuk Yehuwa bukanlah kasih yang membabi buta?

3 Kasih kita untuk Yehuwa bukanlah kasih yang membabi buta. Mengapa? Kerana kita mengasihi Yehuwa setelah mengenali-Nya. Kita mengagumi sifat-sifat-Nya yang indah. Kita mengetahui apa yang disukai dan dibenci oleh-Nya, dan kita bersetuju dengan pandangan-Nya. Kita mengenali tujuan-Nya dan hidup selaras dengan kehendak-Nya. Kita berbesar hati kerana Dia memberi kita peluang untuk menjadi sahabat-Nya. (Mzm. 25:14) Ya, apa sahaja yang kita pelajari tentang Pencipta kita membuat kita ingin lebih menghampiri-Nya.​—Yak. 4:8.

4. (a) Bagaimanakah Si Iblis cuba menghalang kita daripada menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Si Iblis ialah penguasa dunia ini, dan dia menggunakan dunia ini untuk membuat kita mengutamakan keperluan sendiri dan menuruti keinginan yang berdosa. (Ef. 2:1-3; 1 Yoh. 5:19) Dia ingin agar kasih kita berbelah bahagi sehingga kita tidak dapat menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan dua cara yang digunakannya. Pertama, dia menggoda kita untuk mengejar kekayaan. Kedua, dia mempengaruhi kita untuk memilih hiburan yang tidak sihat.

HINDARILAH SIKAP CINTA AKAN WANG

5. Mengapakah kita mesti menghindari sikap cinta akan wang?

5 Kita ingin memiliki barang keperluan asas, seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Tetapi kita mesti menghindari sikap cinta akan wang. Banyak orang dalam dunia Syaitan “mencintai wang” dan barang-barang yang dapat dibeli dengan wang. (2 Tim. 3:2) Yesus tahu bahawa cinta ini mungkin bertumbuh dalam hati para pengikutnya, maka dia menasihati mereka, “Tiada seorang pun dapat menjadi hamba kepada dua orang tuan; dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang seorang lagi, atau dia akan setia kepada yang seorang tetapi menghina yang seorang lagi. Kamu tidak dapat menjadi hamba Tuhan dan hamba Kekayaan pada masa yang sama.” (Mat. 6:24) Seseorang yang menyembah Yehuwa dan mengejar kekayaan pada masa yang sama, boleh dikatakan menjadi hamba kepada dua orang tuan. Orang sebegini tidak menyembah Yehuwa sahaja.

Bagaimana sesetengah orang Laodikia memandang diri sendiri . . . dan bagaimana Yehuwa dan Yesus memandang mereka (Lihat perenggan 6)

6. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kata-kata Yesus kepada sidang di Laodikia?

6 Menjelang akhir abad pertama Masihi, ahli sidang di Laodikia berkata, “Aku kaya, aku telah memperoleh banyak kekayaan, dan aku tidak memerlukan apa-apa.” Tetapi dalam pandangan Yehuwa dan Yesus, mereka “miskin, buta, telanjang,” dan berada dalam keadaan yang menyedihkan. Yesus menegur mereka, bukan kerana mereka kaya, tetapi kerana mereka begitu mencintai kekayaan sehingga menjejaskan hubungan mereka dengan Yehuwa. (Why. 3:14-17) Jika kita mendapati bahawa kita mula cinta akan wang, bertindaklah dengan segera untuk membetulkan fikiran kita. (1 Tim. 6:7, 8) Jika tidak, kasih kita terhadap Yehuwa akan berbelah bahagi, dan ibadat kita tidak akan diterima oleh-Nya, kerana Dia “menghendaki orang untuk menyembah Dia sahaja.” (Ul. 4:24) Bagaimanakah sikap mementingkan wang mungkin bertumbuh dalam diri kita?

7-9. Apakah yang dapat anda pelajari daripada pengalaman David?

7 Fikirkan contoh David, seorang penatua di Amerika Syarikat. Oleh sebab dia sangat rajin bekerja, dia dinaikkan pangkat dalam syarikat, dan bahkan menerima anugerah dalam bidang kerjanya di peringkat kebangsaan. David berkata, “Masa itu, saya ingat semua itu ialah berkat Yehuwa.” Adakah pandangannya betul?

8 David mulai sedar bahawa pekerjaannya sedang merosakkan persahabatannya dengan Yehuwa. “Semasa perjumpaan dan bahkan semasa menginjil, saya asyik berfikir tentang masalah kerja,” katanya. “Gaji saya sangat tinggi, tetapi saya semakin stres, dan perkahwinan saya mula ada masalah.”

9 David sedar bahawa dia perlu menilai semula keutamaan hidupnya. “Saya memutuskan untuk membetulkan keadaan itu,” katanya. Maka David memberitahu majikannya tentang rancangannya untuk mengubah jadual kerjanya. Apakah yang berlaku seterusnya? David dipecat! Pada keesokan harinya, David memohon untuk menjadi perintis sokongan secara berterusan. Tidak lama kemudian, dia dan isterinya menjadi perintis biasa. Untuk menyara kehidupan mereka, David dan isterinya membuat kerja pembersihan. Biarpun kerja ini dipandang rendah, bagi mereka, itu bukanlah hal yang terpenting. Pendapatan mereka sekarang hanyalah satu persepuluh daripada gaji mereka dahulu, tetapi setiap bulan, mereka mempunyai duit yang cukup untuk menutupi perbelanjaan mereka. Mereka ingin mengutamakan Yehuwa, dan mereka telah merasai sendiri bagaimana Yehuwa menjaga orang yang mengutamakan Kerajaan-Nya.​—Mat. 6:31-33.

10. Bagaimanakah kita dapat menjaga hati sendiri?

10 Tidak kira kita kaya ataupun miskin, kita perlu menjaga hati sendiri. Bagaimana? Janganlah mencintai kekayaan, dan janganlah membiarkan pekerjaan anda menjadi lebih penting daripada khidmat kepada Yehuwa. Bagaimanakah anda dapat memeriksa diri? Tanyalah soalan-soalan seperti, “Adakah saya sering berfikir tentang kerja semasa menghadiri perjumpaan atau menginjil? Adakah saya asyik risau tentang keperluan kewangan saya pada masa depan? Adakah saya bergaduh dengan pasangan saya tentang wang dan harta? Sudikah saya melakukan pekerjaan yang dipandang rendah sekiranya pekerjaan itu memberi saya lebih banyak masa untuk kerja Yehuwa?” (1 Tim. 6:9-12) Semasa merenungkan soalan-soalan itu, ingatlah bahawa Yehuwa mengasihi kita dan memberikan jaminan ini kepada umat-Nya yang setia: “Aku sama sekali tidak akan meninggalkan engkau, dan Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau.” Itulah sebabnya Rasul Paulus menulis, “Hendaklah cara hidup kamu bebas daripada cinta akan wang.”​—Ibr. 13:5, 6.

PILIHLAH HIBURAN DENGAN CERMAT

11. Bagaimanakah hiburan dapat mempengaruhi orang?

11 Yehuwa mahu kita menikmati kehidupan, dan hiburan ialah salah satu cara untuk berbuat demikian. Firman Tuhan menyatakan, “Perkara terbaik yang dapat dilakukan oleh manusia ialah makan, minum, dan menikmati hasil kerja kerasnya.” (Pkh. 2:24) Namun, kebanyakan hiburan dunia ini dapat membawa kesan buruk. Hiburan yang tidak sihat dapat menjatuhkan standard moral orang, dan membuat mereka menerima atau bahkan mencintai hal-hal yang dikutuk dalam Firman Tuhan.

Siapakah yang menyediakan hiburan anda? (Lihat perenggan 11-14) *

12. Menurut 1 Korintus 10:21, 22, mengapakah kita harus memilih hiburan dengan cermat?

12 Kita ingin menyembah Yehuwa sahaja, jadi kita tidak boleh makan di “meja Yehuwa” dan “meja roh-roh jahat.” (Baca 1 Korintus 10:21, 22.) Apabila kita makan bersama seseorang, hal itu menandakan bahawa kita bersahabat dengannya. Jadi, jika kita memilih hiburan yang menggalakkan keganasan, ilmu sihir, perbuatan yang tidak bermoral, atau sikap dan nafsu yang berdosa, kita seolah-olah sedang duduk di meja bersama musuh Tuhan dan menikmati hidangan yang disediakan oleh mereka. Perbuatan sebegini bukan sahaja merugikan diri, malah merosakkan hubungan kita dengan Yehuwa.

13-14. Berdasarkan Yakobus 1:14, 15, mengapakah kita mesti memilih hiburan dengan cermat? Berikan contoh.

13 Hiburan adalah seperti makanan. Kita dapat memilih apa yang kita masukkan ke dalam mulut. Tetapi selepas kita menelan makanan itu, badan kita akan mencerna dan menyerap zatnya secara automatik. Makanan yang berkhasiat dapat menyihatkan badan, manakala makanan yang tidak sihat akan membuat kita jatuh sakit. Kita mungkin tidak merasai kesannya dengan serta-merta, tetapi lambat laun hasilnya akan menjadi ketara.

14 Begitu juga, kita dapat memilih jenis hiburan yang kita nikmati. Tetapi selepas itu, kandungan hiburan itu akan diserap secara automatik ke dalam hati dan minda kita. Hiburan yang sihat dapat menyegarkan kita, manakala hiburan yang buruk akan membawa padah. (Baca Yakobus 1:14, 15.) Kita mungkin tidak merasai kesan buruknya dengan serta-merta, tetapi lambat laun akibatnya akan menjadi ketara. Itulah sebabnya Bible mengingatkan kita, “Janganlah menipu diri sendiri. Tuhan tidak dapat diperbodoh. Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya. Orang yang menanam menurut keinginan yang berdosa akan menuai kebinasaan daripada keinginannya yang berdosa itu.” (Gal. 6:7, 8) Maka, amatlah penting untuk menolak segala jenis hiburan yang mengandungi unsur-unsur yang dibenci Yehuwa!​—Mzm. 97:10.

15. Apakah kurniaan yang disediakan oleh Yehuwa untuk kita?

15 Ramai antara umat Yehuwa suka menonton Siaran JW, iaitu stesen TV kita di Internet. Seorang saudari yang bernama Marilyn berkata, “Siaran JW bantu saya berasa lebih ceria, dan saya tidak perlu tapis kandungannya. Semasa saya sunyi atau tawar hati, saya akan menonton sebuah ceramah atau program Penyembahan Pagi yang menggalakkan. Hal itu buat saya rasa lebih rapat dengan Yehuwa dan organisasi-Nya. Siaran JW telah mengubah hidup saya dengan sepenuhnya.” Selain program bulanan, Siaran JW juga menyediakan pelbagai program audio dan video, serta lagu rohani yang dapat dinikmati pada bila-bila masa. Adakah anda menggunakan kurniaan ini dengan sebaik-baiknya?

16-17. Mengapakah kita perlu mengawal jumlah masa yang digunakan untuk hiburan? Bagaimanakah kita dapat melakukannya?

16 Kita bukan sahaja perlu memilih jenis hiburan dengan cermat, tetapi juga perlu mengawal jumlah masa yang digunakan untuk hiburan. Jika tidak, kita mungkin menghabiskan lebih banyak masa untuk hiburan berbanding khidmat Yehuwa. Hal ini merupakan cabaran bagi ramai orang. Abigail, seorang saudari yang berumur 18 tahun, berkata, “Selepas sibuk sepanjang hari, menonton TV dapat bantu saya relaks. Tetapi jika saya tidak berhati-hati, saya akan menonton TV selama berjam-jam.” Seorang saudara muda yang bernama Samuel berkata, “Kadang-kadang saya menonton banyak video pendek di Internet. Mula-mulanya saya hanya tengok satu video, tapi tanpa disedari, tiga atau empat jam sudah berlalu.”

17 Bagaimanakah anda dapat mengawal jumlah masa yang digunakan untuk hiburan? Pertama sekali, perhatikan kegiatan anda selama seminggu dan kenal pasti berapa banyak masa yang anda gunakan untuk hiburan. Catatkanlah pada kalendar jumlah masa yang anda habiskan untuk menonton TV, melayari Internet, dan bermain game. Jika anda mendapati bahawa anda menggunakan terlalu banyak masa untuk hiburan, buatlah jadual masa. Rancanglah supaya hal-hal yang lebih penting dilakukan terlebih dahulu, dan kemudian tetapkan masa untuk hiburan. Selepas itu, mintalah bantuan Yehuwa supaya anda dapat mengikut jadual tersebut. Dengan itu, anda akan mempunyai masa dan tenaga yang cukup untuk pembelajaran peribadi, penyembahan keluarga, perjumpaan, dan kerja menginjil dan mengajar orang. Anda juga akan lebih menikmati masa hiburan kerana anda tahu anda sudah mengutamakan Yehuwa.

TERUSLAH MENYEMBAH YEHUWA SAHAJA

18-19. Bagaimanakah kita dapat membuktikan bahawa kita menyembah Yehuwa sahaja?

18 Selepas menulis tentang akhir dunia Syaitan dan kedatangan dunia baharu, Rasul Petrus menyatakan, “Saudara-saudara yang dikasihi, memandangkan kamu menantikan perkara-perkara itu, berusahalah sebaik-baiknya supaya pada akhirnya Dia mendapati kamu murni, tidak bercacat cela, dan dalam keadaan damai.” (2 Ptr. 3:14) Apabila kita mematuhi nasihat itu dan berusaha sebaik-baiknya untuk tetap suci secara moral dan rohani, kita membuktikan bahawa kita menyembah Yehuwa sahaja.

19 Syaitan dan dunianya akan terus menggoda kita untuk mengutamakan hal-hal lain. (Luk. 4:13) Tetapi tidak kira apa cabaran yang kita hadapi, kita tidak akan membiarkan sesiapa atau apa-apa pun untuk mengambil alih kedudukan Yehuwa dalam hati kita. Kita bertekad untuk hanya menyembah Yehuwa, kerana Dia sahajalah yang layak menerima ibadat kita!

LAGU 30 Bapaku, Tuhanku, dan Kawanku

^ per. 5 Kita sudah menyembah Yehuwa, tetapi adakah kita menyembah Dia sahaja? Keputusan yang kita buat dalam kehidupan akan menunjukkan jawapannya. Mari kita kaji dua aspek kehidupan yang dapat menunjukkan sama ada kita menyembah Yehuwa dengan sepenuhnya atau tidak.

^ per. 53 KETERANGAN GAMBAR: Kita tidak mahu makan makanan yang disediakan di dapur yang kotor. Jadi, adakah kita mahu menikmati hiburan yang dicemari dengan keganasan, ilmu sihir, atau perbuatan yang tidak bermoral?