Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 40

Tetap Sibuk sepanjang Penghujung “Hari-Hari Terakhir”

Tetap Sibuk sepanjang Penghujung “Hari-Hari Terakhir”

“Hendaklah kamu teguh dan tidak tergoyah. Hendaklah kamu sentiasa sibuk dalam khidmat Tuan kita.”​—1 KOR. 15:58.

LAGU 58 Mencari Insan yang Cintai Kedamaian

PENGENALAN *

1. Mengapakah kita yakin bahawa sekaranglah “hari-hari terakhir”?

ADAKAH anda lahir selepas tahun 1914? Jika ya, sejak lahir, anda telah hidup pada “hari-hari terakhir” sistem dunia ini. (2 Tim. 3:1) Kita semua telah mendengar laporan tentang peristiwa-peristiwa yang dinubuatkan Yesus, seperti peperangan, kebuluran, gempa bumi, wabak, kejahatan yang bertambah, dan penganiayaan yang menimpa umat Yehuwa. (Mat. 24:3, 7-9, 12; Luk. 21:10-12) Kita juga telah menyaksikan bagaimana orang menunjukkan sikap yang dinubuatkan oleh Rasul Paulus. (Lihat kotak “ Sikap Orang Sekarang.”) Sebagai penyembah Yehuwa, kita yakin bahawa sekaranglah “hari-hari terakhir.”​—Mi. 4:1.

2. Apakah soalan-soalan yang perlu dijawab?

2 Memandangkan banyak masa telah berlalu sejak tahun 1914, kita pasti sedang hidup pada penghujung “hari-hari terakhir.” Oleh sebab akhir sudah begitu dekat, kita perlu mengetahui jawapan kepada soalan-soalan yang penting ini: Apakah yang akan terjadi pada akhir “hari-hari terakhir”? Apakah yang Yehuwa ingin kita lakukan sementara menunggu peristiwa-peristiwa itu?

APAKAH YANG AKAN BERLAKU PADA AKHIR “HARI-HARI TERAKHIR”?

3. Menurut nubuat di 1 Tesalonika 5:1-3, apakah pengumuman yang akan dibuat oleh para pemimpin dunia?

3 Baca 1 Tesalonika 5:1-3. “Hari Yehuwa” yang disebut oleh Paulus dalam ayat ini merujuk kepada suatu tempoh masa. Tempoh itu bermula semasa serangan dilancarkan atas “Babilon Besar,” iaitu empayar agama palsu sedunia, dan berakhir semasa Armagedon. (Why. 16:14, 16; 17:5) Sejurus sebelum “hari” itu bermula, para pemimpin dunia akan berkata, “Semuanya damai dan selamat!” Itulah ungkapan yang ada kalanya digunakan oleh para pemimpin dunia semasa menyebut tentang membaiki hubungan antara negara. * Namun, pengumuman bahawa “semuanya damai dan selamat” yang disebut dalam Bible itu berbeza. Semasa pengumuman itu dibuat pada masa depan, banyak orang akan berfikir bahawa pemimpin-pemimpin dunia telah berjaya menjadikan dunia ini lebih selamat dan aman. Tetapi, “kesengsaraan besar” akan segera bermula, dan “kebinasaan akan tiba-tiba menimpa mereka.”​—Mat. 24:21.

Janganlah tertipu oleh pengumuman bangsa-bangsa bahawa “semuanya damai dan selamat” (Lihat perenggan 3-6) *

4. (a) Mengenai pengumuman bahawa “semuanya damai dan selamat,” apakah yang belum kita ketahui? (b) Apakah yang sudah kita ketahui?

4 Terdapat sesetengah hal yang tidak kita ketahui tentang pengumuman bahawa “semuanya damai dan selamat.” Kita tidak tahu mengapa para pemimpin akan membuat pengumuman ini, atau bagaimana mereka akan mengumumkannya. Kita juga tidak tahu sama ada kita akan mendengar satu atau beberapa pengumuman. Namun, kita tahu akan hal ini: Janganlah kita terpedaya dan berfikir bahawa para pemimpin dunia dapat membawa keamanan sedunia. Kita tahu bahawa itulah tanda yang harus kita nantikan, iaitu tanda bahawa “hari Yehuwa” bakal bermula!

5. Bagaimanakah nasihat di 1 Tesalonika 5:4-6 membantu kita bersiap sedia untuk “hari Yehuwa”?

5 Baca 1 Tesalonika 5:4-6. Nasihat Paulus dalam ayat-ayat ini menunjukkan cara kita dapat bersiap sedia untuk “hari Yehuwa.” Kita tidak patut “terus tidur seperti orang lain.” Sebaliknya, kita harus “tetap berjaga-jaga.” Contohnya, kita perlu berhati-hati agar tidak terlibat dalam hal politik dunia. Jika kita terlibat, kita tidak lagi berpendirian neutral dan sudah menjadi “sebahagian daripada dunia.” (Yoh. 15:19) Kita tahu bahawa hanya Kerajaan Tuhan yang dapat membawa kedamaian sedunia.

6. Kita ingin membantu orang lain melakukan apa? Mengapa?

6 Kita bukan sahaja ingin tetap berjaga-jaga, tetapi juga membantu orang lain sedar akan nubuat Bible tentang masa depan dunia. Ingatlah bahawa apabila kesengsaraan besar bermula, sudah terlambat bagi mereka untuk berpaling kepada Yehuwa. Itulah sebabnya kerja penyebaran kita begitu mendesak! *

TETAP SIBUK MENGINJIL

Semasa menginjil, kita memberitahu orang bahawa hanya Kerajaan Tuhan dapat membawa dunia yang benar-benar damai dan selamat (Lihat perenggan 7-9)

7. Apakah yang diingini Yehuwa daripada kita?

7 Sebelum “hari Yehuwa” bermula, Dia ingin kita tetap sibuk dalam kerja penyebaran. Maka kita harus berusaha untuk “sentiasa sibuk dalam khidmat Tuan kita.” (1 Kor. 15:58) Semasa Yesus menubuatkan peristiwa-peristiwa yang akan terjadi pada hari-hari terakhir, dia juga menyebut tentang kerja kita. Dia berkata, “Berita baik harus disebarkan kepada semua bangsa terlebih dahulu.” (Mrk. 13:4, 8, 10; Mat. 24:14) Fikirkan hal ini: Setiap kali anda keluar menginjil, anda sedang membantu memenuhi nubuat Bible tersebut.

8. Apakah kemajuan kita dalam kerja penyebaran?

8 Apakah kemajuan kita dalam kerja penyebaran? Tahun demi tahun, kerja ini semakin maju. Contohnya, fikirkan jumlah penyiar di serata dunia sepanjang hari-hari terakhir. Pada tahun 1914, terdapat 5,155 orang penyiar di 43 negara dan kawasan. Tetapi kini, terdapat lebih daripada 8.5 juta orang penyiar di 240 negara dan kawasan! Biarpun begitu, kerja kita belum selesai. Kita mesti terus memberitahu orang bahawa Kerajaan Tuhan ialah satu-satunya penyelesaian kepada semua masalah manusia.​—Mzm. 145:11-13.

9. Mengapakah kita mesti terus menginjil?

9 Kerja penyebaran akan terus berlangsung sehingga Yehuwa berkata, “Sudah cukup.” Berapa lamakah masa yang tinggal bagi orang untuk mengenal Tuhan Yehuwa dan Yesus Kristus? (Yoh. 17:3) Kita tidak tahu. Selagi kesengsaraan besar belum bermula, sesiapa sahaja “yang memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal” masih sempat memeluk ibadat sejati. (Kis. 13:48) Bagaimanakah kita dapat membantu mereka sebelum terlambat?

10. Bagaimanakah Yehuwa melengkapi kita untuk mengajarkan kebenaran?

10 Melalui organisasi-Nya, Yehuwa melengkapi kita untuk mengajarkan kebenaran. Misalnya, kita dilatih setiap minggu semasa perjumpaan pertengahan minggu untuk membuat kunjungan pertama dan kunjungan kembali, dan mengadakan pembelajaran Bible. Organisasi Yehuwa juga telah menyediakan Bahan Utama untuk Mengajar agar kita dapat . . .

  • memulakan perbualan,

  • membangkitkan minat orang,

  • menggalakkan orang agar ingin tahu lebih banyak tentang Bible,

  • mengajarkan kebenaran semasa pembelajaran Bible, dan

  • menjemput orang yang berminat untuk melayari laman web kita dan datang ke Dewan Perjumpaan.

Sekadar memiliki bahan-bahan ini tidak cukup. Kita mesti menggunakannya. * Misalnya, setelah berbual dengan seseorang yang berminat, kita boleh memberinya risalah atau majalah, supaya dia dapat membacanya sebelum kita mengunjunginya lagi. Kita masing-masing bertanggungjawab untuk tetap sibuk dalam kerja penyebaran setiap bulan.

11. Mengapakah Kursus Bible dalam Talian disediakan?

11 Yehuwa juga membantu orang mengenali kebenaran melalui Kursus Bible dalam Talian di jw.org®. Mengapakah kursus ini disediakan? Setiap bulan, puluhan ribu orang menggunakan Internet untuk mencari kursus Bible. Kursus di laman web kita dapat membantu mereka mengenali kebenaran Bible. Sesetengah orang yang kita jumpa mungkin teragak-agak untuk mempelajari Bible dengan kita. Jika demikian, kita dapat memperkenalkan bahagian ini di laman web kita, atau menghantar pautan (link) kursus ini kepada mereka. *

12. Apakah yang dapat dipelajari daripada Kursus Bible dalam Talian?

12 Kursus Bible dalam Talian ini membincangkan topik-topik berikut: “Bible dan Pengarangnya,” “Watak-Watak Utama dalam Bible,” dan “Harapan yang Dijanjikan dalam Bible.” Topik-topik ini akan menjawab soalan seperti:

  • Bagaimanakah Bible dapat membantu anda?

  • Siapakah Yehuwa, Yesus, dan para malaikat?

  • Mengapakah Tuhan menciptakan manusia?

  • Mengapakah kejahatan dan penderitaan berlaku?

Topik-topik ini juga membincangkan bagaimana Yehuwa akan . . .

  • melenyapkan penderitaan dan kematian,

  • membangkitkan orang mati, dan

  • menggunakan Kerajaan-Nya untuk menggantikan kerajaan manusia.

13. Adakah Kursus Bible dalam Talian menggantikan aturan pembelajaran Bible? Jelaskan.

13 Yesus telah memberi kita tugas untuk menjadikan orang muridnya, jadi kursus dalam talian ini tidak menggantikan aturan pembelajaran Bible. Kita berharap agar orang yang mengikuti kursus ini akan menyukai apa yang dipelajari dan ingin belajar lebih banyak lagi. Pada akhir setiap pelajaran, mereka akan dijemput untuk memohon pembelajaran Bible dengan salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Setiap hari di laman web kita, lebih daripada 230 orang di serata dunia meminta pembelajaran Bible! Jelaslah, pembelajaran Bible yang diadakan bersama seorang Saksi amat penting!

TERUS BERUSAHA MENJADIKAN ORANG MURID YESUS

14. Menurut perintah Yesus di Matius 28:19, 20, apakah yang perlu kita lakukan? Mengapa?

14 Baca Matius 28:19, 20. Semasa mengajar orang tentang Bible, kita perlu berusaha sedaya upaya untuk ‘menjadikan mereka pengikut Yesus, dan mengajar mereka untuk mentaati perintahnya.’ Kita harus membantu mereka sedar betapa pentingnya berpihak kepada Yehuwa dan Kerajaan-Nya. Maksudnya, kita perlu mendorong mereka untuk menerapkan apa yang dipelajari, membaktikan diri kepada Yehuwa, dan dibaptis. Jika mereka berbuat demikian, barulah mereka akan diselamatkan pada hari Yehuwa.​—1 Ptr. 3:21.

15. Kita tidak ada masa untuk melakukan apa? Mengapa?

15 Seperti yang disebut tadi, akhir sistem dunia ini sudah sangat dekat. Maka, kita tidak ada masa untuk terus belajar Bible dengan orang yang tidak sudi mengambil tindakan untuk menjadi murid Yesus. (1 Kor. 9:26) Masih ada banyak orang yang belum mendengar berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Maka, kita mesti membantu mereka sebelum terlambat!

JAUHI SEMUA AGAMA PALSU

16. Menurut Wahyu 18:2, 4, 5, 8, apakah yang mesti kita lakukan? (Lihat juga nota kaki.)

16 Baca Wahyu 18:2, 4, 5, 8. Terdapat satu lagi perkara yang harus dilakukan oleh penyembah Yehuwa. Mereka perlu memastikan agar mereka tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Babilon Besar. Sebelum mempelajari kebenaran, seorang pelajar Bible mungkin menyertai agama palsu. Dia mungkin mengambil bahagian dalam upacara keagamaan dan aktiviti lain yang diadakan oleh organisasi itu, atau dia mungkin mendermakan wang kepada organisasi tersebut. Sebelum dia layak menjadi penyiar belum dibaptis, dia mesti memutuskan semua hubungannya dengan agama palsu. Dia boleh menulis surat atau menggunakan cara lain untuk menarik diri atau membatalkan keahliannya dalam gereja atau mana-mana organisasi yang berkaitan dengan Babilon Besar. *

17. Apakah pekerjaan yang harus dielakkan oleh orang Kristian? Mengapa?

17 Orang Kristian sejati harus memastikan agar pekerjaan mereka tidak berkaitan dengan Babilon Besar. (2 Kor. 6:14-17) Sebagai contoh, mereka tidak akan bekerja untuk sesebuah gereja. Jika mereka melakukan pekerjaan lain seperti tukang paip atau tukang elektrik, mereka juga tidak akan bekerja dalam bangunan agama palsu untuk jangka masa yang panjang. Jika mereka memiliki perniagaan sendiri, mereka tidak akan meminta atau menerima projek daripada mana-mana organisasi Babilon Besar. Mengapakah kita mempunyai pendirian sedemikian? Kerana kita tidak mahu mempunyai apa-apa kaitan dengan ajaran dan amalan agama yang najis di mata Tuhan.​—Yes. 52:11. *

18. Bagaimanakah seorang saudara berpegang teguh pada prinsip Bible berkenaan pekerjaannya?

18 Bertahun-tahun lalu, seorang penatua yang mempunyai perniagaan sendiri telah diminta oleh seorang kontraktor untuk melakukan sedikit kerja kayu di gereja yang berdekatan. Kontraktor itu tahu bahawa selama ini, saudara kita enggan melakukan kerja untuk gereja, tetapi kali ini dia sudah terdesak. Meskipun demikian, saudara kita berpegang teguh pada prinsip Bible dan menolak tawaran kerja itu. Pada minggu seterusnya, sebuah akhbar tempatan memaparkan gambar seorang lagi tukang kayu yang memasang salib di gereja itu. Bayangkan, jika saudara kita tidak berpendirian teguh, gambar dialah yang akan muncul dalam surat khabar. Sekiranya hal itu berlaku, nama baiknya dalam sidang pasti terjejas dan Yehuwa akan sangat kecewa.

APAKAH YANG TELAH KITA PELAJARI?

19-20. (a) Apakah yang telah kita pelajari dalam rencana ini? (b) Apakah yang akan kita pelajari seterusnya?

19 Menurut nubuat Bible, peristiwa besar seterusnya yang akan terjadi di pentas dunia ialah pengumuman bahawa “semuanya damai dan selamat.” Tetapi kita tidak akan tertipu, kerana Yehuwa sudah mengajar kita bahawa bangsa-bangsa tidak akan membawa kedamaian yang sejati dan kekal. Apakah yang harus kita lakukan sebelum pengumuman itu dibuat dan “kesengsaraan besar” bermula? Yehuwa ingin kita tetap sibuk menginjil dan membantu lebih ramai orang menjadi pengikut Yesus. Pada masa yang sama, kita perlu menjauhkan diri daripada semua agama palsu. Hal itu bermaksud kita akan mengelakkan pekerjaan yang berkaitan dengan agama palsu dan tidak menjadi ahli dalam mana-mana organisasi Babilon Besar.

20 Terdapat hal-hal lain yang akan terjadi pada penghujung “hari-hari terakhir,” dan terdapat juga hal-hal lain yang Yehuwa ingin kita lakukan. Apakah hal-hal itu? Bagaimanakah kita dapat bersiap sedia untuk menghadapi segala peristiwa yang bakal terjadi? Rencana seterusnya akan membincangkan jawapannya.

LAGU 71 Kita Askar Yehuwa!

^ per. 5 Tidak lama lagi, para pemimpin dunia akan mengumumkan, “Semuanya damai dan selamat!” Itulah tanda bahawa kesengsaraan besar bakal bermula. Apakah yang Yehuwa ingin kita lakukan sementara menunggu waktu itu? Rencana ini akan menunjukkan jawapannya.

^ per. 3 Contohnya, laman web Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan bahawa tujuan pertubuhan ini adalah untuk “memelihara kedamaian dan keselamatan antarabangsa.”

^ per. 10 Untuk maklumat lanjut tentang cara menggunakan Bahan Utama untuk Mengajar, lihat rencana “Mengajarkan Kebenaran” dalam Menara Pengawal terbitan Oktober 2018.

^ per. 11 Buat masa ini, kursus tersebut disediakan dalam bahasa Inggeris dan Portugis. Bahasa-bahasa lain akan disediakan pada masa yang akan datang.

^ per. 16 Kita juga mesti menjauhi kem belia atau pusat rekreasi yang berkaitan dengan agama palsu, seperti Persatuan Pemuda Kristian (YMCA) dan Persatuan Wanita Kristian (YWCA). Walaupun persatuan-persatuan ini menyatakan bahawa kegiatan mereka tidak mempunyai unsur agama, persatuan sebegini sebenarnya diasaskan oleh organisasi agama dan menyokong fahaman dan tujuan organisasi itu.

^ per. 17 Untuk maklumat lanjut tentang pandangan Bible berkenaan pekerjaan yang melibatkan organisasi agama, lihat Pertanyaan Pembacadalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 15 April 1999.

^ per. 83 KETERANGAN GAMBAR: Para pelanggan di kedai kopi tertarik dengan berita tentang pengumuman bahawa “semuanya damai dan selamat.” Sepasang suami isteri Saksi yang baru habis menginjil tidak tertipu oleh berita itu.