Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 41

Bantulah Pelajar Bible Anda Maju sehingga Dibaptis—Bahagian Satu

Bantulah Pelajar Bible Anda Maju sehingga Dibaptis—Bahagian Satu

“Sememangnya kamu ialah surat daripada Kristus yang kami tulis sebagai hamba Tuhan.”​—2 KOR. 3:3.

LAGU 78 “Mengajarkan Firman Tuhan”

PENGENALAN *

Apabila saudara saudari di sidang melihat seorang pelajar Bible maju sehingga dibaptis, mereka pasti sangat gembira! (Lihat perenggan 1)

1. Berdasarkan 2 Korintus 3:1-3, apakah perasaan kita semasa seorang pelajar Bible dibaptis? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

APAKAH perasaan anda semasa melihat seorang pelajar Bible dari sidang anda dibaptis? Anda pasti sangat gembira dan teruja, terutamanya jika dia ialah pelajar Bible anda! (Mat. 28:19; 1 Tes. 2:19, 20) Apabila seorang pelajar Bible dibaptis, dia menjadi seperti ‘surat kelayakan’ yang membawa sukacita, bukan sahaja kepada guru Biblenya, tetapi juga kepada seluruh sidang.​—Baca 2 Korintus 3:1-3.

2. (a) Apakah soalan yang perlu kita fikirkan, dan mengapa? (b) Apakah maksud pembelajaran Bible? (Lihat nota kaki.)

2 Sepanjang empat tahun yang lalu, secara purata, kira-kira 10,000,000 pembelajaran Bible * dilaporkan setiap bulan di serata dunia. Dalam tempoh masa yang sama, secara purata, kira-kira 280,000 orang dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa setiap tahun. Maksudnya, masih terdapat jutaan pelajar Bible yang belum dibaptis dan menjadi murid Yesus Kristus. Bagaimanakah kita dapat membantu mereka agar dibaptis? Sekarang, Yehuwa masih memberi orang peluang untuk menjadi penyembah-Nya. Namun, masa yang ada semakin berkurang, jadi kita ingin berusaha sedaya upaya untuk membantu mereka agar dibaptis secepat mungkin!​—1 Kor. 7:29a; 1 Ptr. 4:7.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Oleh sebab kerja menjadikan orang murid Yesus begitu mendesak, pejabat-pejabat cawangan telah diminta untuk membuat tinjauan tentang bagaimana kita dapat membantu lebih banyak pelajar Bible maju sehingga dibaptis. Jadi, rencana ini dan rencana seterusnya akan membincangkan apa yang dapat kita pelajari daripada perintis, mubaligh, dan penyelia litar yang berpengalaman. * (Ams. 11:14; 15:22) Kita akan melihat apa yang dapat dilakukan oleh guru dan pelajar Bible agar sesi pembelajaran membawa manfaat yang lebih besar kepada pelajar Bible. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan lima perkara yang perlu dilakukan oleh pelajar Bible agar dapat maju sehingga dibaptis.

BELAJAR SETIAP MINGGU

Tanyalah pelajar anda jika ada tempat untuk duduk dan membincangkan Bible bersama-sama (Lihat perenggan 4-6)

4. Apakah yang perlu kita ingat tentang pembelajaran Bible yang singkat di depan pintu rumah?

4 Ramai saudara saudari mengadakan pembelajaran Bible di depan pintu rumah orang. Kaedah ini memang berguna untuk memupuk minat orang terhadap Bible, tetapi perbincangan sebegini biasanya agak singkat dan tidak dapat diadakan setiap minggu. Jadi, sesetengah penyiar meminta nombor telefon orang yang berminat supaya mereka dapat menelefon atau menghantar mesej kepadanya untuk mengongsi sesuatu daripada Bible sebelum dapat mengunjunginya lagi. Pembelajaran singkat sebegini mungkin diadakan selama berbulan-bulan, tetapi hal itu tidak cukup untuk membantu seseorang maju sehingga membaktikan diri dan dibaptis. Oleh itu, kita perlu menggalakkan pelajar Bible agar mencurahkan lebih banyak masa dan usaha untuk belajar Bible.

5. Bagaimanakah kata-kata Yesus di Lukas 14:27-33 membantu kita memahami apa yang perlu dilakukan untuk membantu pelajar Bible kita?

5 Yesus pernah menggunakan dua perumpamaan untuk menjelaskan apa yang perlu dilakukan untuk menjadi muridnya. Dia berkata bahawa seorang lelaki yang ingin membina menara perlu “duduk dan mengira perbelanjaannya terlebih dahulu,” dan seorang raja yang ingin berperang perlu “duduk dan berbincang dengan para penasihatnya terlebih dahulu” untuk melihat sama ada askarnya dapat menang. (Baca Lukas 14:27-33.) Yesus tahu bahawa seseorang yang ingin menjadi pengikutnya mesti mengkaji langkah-langkah yang terlibat dengan teliti. Oleh itu, kita perlu menggalakkan pelajar Bible kita untuk belajar setiap minggu. Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian?

6. Apakah yang dapat kita lakukan untuk membantu pelajar kita membuat kemajuan?

6 Mula-mula, kita boleh memanjangkan masa perbincangan di depan pintu rumah pelajar kita. Daripada membincangkan satu ayat Bible sahaja, kita mungkin boleh membincangkan dua ayat Bible setiap kali kita mengunjunginya. Apabila pelajar kita sudah biasa dengan perbincangan yang lebih lama, kita boleh menanya dia jika ada tempat untuk duduk dan meneruskan perbincangan bersama-sama. Jawapannya akan menunjukkan sama ada dia menghargai pembelajaran Bible atau tidak. Untuk membantunya maju dengan lebih cepat, kita juga boleh menanya dia jika dia sudi belajar dua kali seminggu. Namun, selain mengadakan pembelajaran satu atau dua kali seminggu, terdapat hal lain yang diperlukan.

MEMBUAT PERSIAPAN BAGI SETIAP PEMBELAJARAN

Buat persiapan dengan teliti sebelum setiap sesi pembelajaran, dan ajar pelajar anda cara membuat persiapan (Lihat perenggan 7-9)

7. Bagaimanakah seorang guru dapat membuat persiapan untuk setiap sesi pembelajaran Bible?

7 Sebagai guru, anda perlu membuat persiapan yang teliti untuk setiap sesi pembelajaran Bible. Bacalah bahan yang akan dibincangkan dan ayat Bible yang tertera, supaya anda mengetahui isi utamanya. Perhatikan tajuk utama, tajuk kecil, soalan, ayat Bible yang perlu dibaca, dan gambar dalam bahan pelajaran. Carilah jika ada video yang dapat digunakan untuk menjelaskan topik perbincangan itu. Kemudian, fikirkan keperluan dan keadaan pelajar anda dan renungkan bagaimana anda dapat menyampaikan maklumat itu dengan jelas dan ringkas supaya dia dapat memahaminya dengan mudah dan menerapkannya.​—Neh. 8:8; Ams. 15:28a.

8. Bagaimanakah kata-kata Paulus di Kolose 1:9, 10 menunjukkan pentingnya berdoa bagi pelajar Bible kita?

8 Semasa membuat persiapan, berdoalah kepada Yehuwa tentang pelajar anda dan keperluannya. Mintalah bantuan Yehuwa supaya ajaran Bible yang anda sampaikan dapat menyentuh hati pelajar anda. (Baca Kolose 1:9, 10.) Fikirkan jika terdapat mana-mana bahagian yang mungkin susah difahami atau diterima oleh pelajar anda. Ingatlah, matlamat anda adalah untuk membantunya maju sehingga dibaptis.

9. Bagaimanakah seorang guru dapat membantu pelajarnya membuat persiapan? Jelaskan.

9 Kita berharap agar setelah pelajar kita mempelajari Bible secara tetap, dia akan menghargai apa yang dilakukan oleh Yehuwa dan Yesus untuknya dan ingin belajar lebih banyak lagi. (Mat. 5:3, 6) Namun, untuk meraih manfaat yang sepenuhnya, pelajar itu perlu berfokus kepada pembelajarannya. Maka, kita perlu menjelaskan bahawa dia harus membuat persiapan sebelum setiap sesi pembelajaran dengan membaca bahan pelajaran dan merenungkan bagaimana dia dapat menerapkan maklumat itu. Kita boleh membuat persiapan bagi satu pelajaran bersama-samanya supaya dia mengetahui cara membuat persiapan. * Kita boleh mengajarnya cara mencari jawapan kepada soalan dan menggariskan kata kunci atau frasa penting yang dapat membantunya mengingati jawapannya. Kemudian, kita boleh menjemputnya untuk menjawab dalam kata-kata sendiri. Dengan itu, kita dapat mengetahui sejauh mana dia memahami apa yang dipelajarinya. Namun, terdapat satu hal lagi yang perlu dilakukan oleh pelajar kita.

MENGAJAR PELAJAR BIBLE BERKOMUNIKASI DENGAN YEHUWA SETIAP HARI

Ajar pelajar anda cara berkomunikasi dengan Yehuwa (Lihat perenggan 10-11)

10. Mengapakah penting untuk membaca Bible setiap hari? Apakah yang perlu dilakukan pelajar Bible untuk meraih manfaat yang sepenuhnya daripada pembacaan Bible?

10 Selain mempelajari Bible setiap minggu dengan guru Bible, pelajar sendiri perlu melakukan sesuatu setiap hari, iaitu berkomunikasi dengan Yehuwa. Untuk berbuat demikian, dia perlu mendengar firman Yehuwa dan bercakap kepada Yehuwa. Dia dapat mendengar firman Yehuwa dengan membaca Bible setiap hari. (Yos. 1:8; Mzm. 1:1-3) Jadi, kita mahu mengajarnya cara menggunakan “Jadual Pembacaan Bible” yang terdapat di jw.org. * Namun, untuk membantunya meraih manfaat yang sepenuhnya daripada pembacaan Bible, kita perlu menggalakkannya untuk merenungkan apa yang dipelajarinya tentang Yehuwa dan bagaimana dia dapat menerapkannya dalam kehidupannya.​—Kis. 17:11; Yak. 1:25.

11. Bagaimanakah seorang pelajar Bible dapat mempelajari cara untuk berdoa? Mengapakah dia perlu berdoa kepada Yehuwa dengan kerap?

11 Kita perlu menggalakkan pelajar kita untuk bercakap kepada Yehuwa dengan berdoa setiap hari. Kita perlu berdoa dengan ikhlas bersama pelajar kita sebelum dan selepas setiap sesi pembelajaran. Semasa berdoa, kita perlu menyebut tentang pelajar kita. Apabila pelajar kita mendengar doa kita, dia juga akan belajar untuk berdoa dari hati kepada Yehuwa melalui nama Yesus. (Mat. 6:9; Yoh. 15:16) Ya, jika pelajar kita mendengar firman Yehuwa dengan membaca Bible setiap hari dan bercakap kepada Yehuwa melalui doa, dia akan semakin menghampiri-Nya! (Yak. 4:8) Dengan memupuk tabiat ini, pelajar kita akan meraih sesuatu yang akan membantunya terus maju sehingga dibaptis.

MEMBANTU PELAJAR MENJADI SAHABAT YEHUWA

12. Bagaimanakah seorang guru dapat membantu pelajarnya menjalin persahabatan dengan Yehuwa?

12 Kita mahu pelajar kita menimba pengetahuan tentang Yehuwa, tetapi kita juga mahu pengetahuan itu mencapai hatinya supaya dia didorong untuk bertindak. Yesus mengajar orang ramai banyak perkara, dan mereka suka mendengar ajarannya. Namun, mereka didorong untuk mengikutnya kerana ajarannya menyentuh hati mereka. (Luk. 24:15, 27, 32) Oleh itu, pelajar kita perlu memandang Yehuwa sebagai Individu yang nyata, yang dapat menjadi Bapa, Tuhan, dan Sahabatnya. (Mzm. 25:4, 5) Maka semasa setiap sesi pembelajaran, kita ingin menonjolkan keperibadian dan sifat-sifat Yehuwa yang menakjubkan. (Kel. 34:5, 6; 1 Ptr. 5:6, 7) Kita ingin membantu pelajar kita menghargai kasih, kebaikan hati, dan belas kasihan Yehuwa. Yesus berkata bahawa “hukum pertama dan hukum yang terpenting” adalah untuk “mengasihi Yehuwa.” (Mat. 22:37, 38) Oleh itu, kita ingin berusaha untuk menanamkan kasih yang mendalam terhadap Yehuwa dalam hati pelajar kita.

13. Bagaimanakah kita dapat membantu pelajar Bible menghargai sifat-sifat Yehuwa yang menakjubkan?

13 Semasa berbual dengan pelajar kita, kita ingin memberitahunya mengapa kita amat mengasihi Yehuwa. Misalnya, kita boleh mengongsi dengannya satu frasa dalam ayat Bible atau bahan bacaan yang menyentuh hati kita kerana menyingkapkan kasih, kebijaksanaan, keadilan, atau kuasa Yehuwa. Kita boleh memberitahunya bahawa itu hanyalah salah satu sebab kita mengasihi Bapa kita yang di syurga. Dengan itu, pelajar kita mungkin sedar bahawa dia sendiri pun perlu menjalin hubungan dengan Tuhan. (Mzm. 73:28) Namun, terdapat satu hal lagi yang perlu dilakukan oleh setiap pelajar Bible agar dapat maju sehingga dibaptis.

MENGGALAKKAN PELAJAR MENGHADIRI PERJUMPAAN

Galakkan pelajar anda untuk menghadiri perjumpaan secepat mungkin! (Lihat perenggan 14-15)

14. Menurut Ibrani 10:24, 25, bagaimanakah perjumpaan dapat membantu pelajar Bible membuat kemajuan?

14 Salah satu cara untuk membantu pelajar kita maju sehingga dibaptis adalah dengan menggalakkan mereka untuk menghadiri perjumpaan. Menurut guru Bible yang berpengalaman, pelajar Bible yang menghadiri perjumpaan dengan serta-merta biasanya paling cepat membuat kemajuan. (Mzm. 111:1) Sesetengah guru menjelaskan kepada pelajar mereka bahawa melalui perjumpaan, mereka dapat mempelajari banyak perkara yang tidak dibincangkan semasa pembelajaran Bible. Untuk menunjukkan manfaatnya menghadiri perjumpaan, kita boleh membaca Ibrani 10:24, 25 bersama pelajar kita dan memainkan video Apakah yang Berlaku di Dewan Perjumpaan? * Kita ingin membantunya agar bertekad untuk menghadiri semua perjumpaan.

15. Bagaimanakah kita dapat menggalakkan pelajar Bible untuk menghadiri perjumpaan secara tetap?

15 Apakah yang dapat kita lakukan sekiranya pelajar kita belum menghadiri perjumpaan atau tidak menghadirinya secara tetap? Kita boleh mengongsi isi menarik yang kita pelajari daripada perjumpaan baru-baru ini. Apabila pelajar kita melihat bahawa kita sangat menikmati perjumpaan, dia mungkin didorong untuk hadir. Kita juga boleh memberinya Menara Pengawal atau Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita dan menunjukkan bahan yang akan dibincangkan pada perjumpaan yang akan datang. Kemudian, kita boleh menanya dia jika ada mana-mana bahagian yang menarik minatnya. Apabila pelajar kita menghadiri perjumpaan buat kali pertama, dia akan melihat betapa berbezanya perjumpaan kita daripada pertemuan agama yang lain. (1 Kor. 14:24, 25) Di perjumpaan, dia juga berpeluang untuk berkenalan dengan saudara saudari lain. Teladan baik mereka dapat membantunya terus maju sehingga dibaptis.

16. Bagaimanakah kita dapat membantu pelajar Bible maju sehingga dibaptis? Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

16 Bagaimanakah kita dapat membantu pelajar Bible maju sehingga dibaptis? Kita perlu membantunya memandang serius pembelajaran Bible dengan menggalakkannya untuk belajar setiap minggu dan membuat persiapan untuk setiap sesi pembelajaran. Kita juga perlu menggalakkannya untuk berkomunikasi dengan Yehuwa setiap hari dan menjalin persahabatan dengan-Nya. Selain itu, kita ingin mendorongnya untuk menghadiri perjumpaan. (Lihat kotak “ Untuk Maju sehingga Dibaptis, Pelajar Bible Perlu . . . ”) Namun, terdapat lima hal lagi yang dapat dilakukan oleh guru Bible untuk membantu pelajar mereka. Rencana seterusnya akan menjelaskan lima hal tersebut.

LAGU 76 Riang Ria Hati Kita!

^ per. 5 Mengajar seseorang bermaksud membantunya mengubah fikiran, perasaan, dan kelakuannya. Matius 28:19, iaitu ayat tahunan bagi tahun 2020, mengingatkan kita pentingnya mengajar orang tentang Bible dan membantu mereka dibaptis sebagai murid Yesus Kristus. Rencana ini dan rencana seterusnya akan menjelaskan bagaimana kita dapat melakukan kerja yang penting ini dengan lebih baik.

^ per. 2 MAKSUD UNGKAPAN: Jika anda membincangkan topik Bible dengan seseorang secara tetap dan teratur untuk membantunya mengetahui ajaran asas Bible, anda sedang mengadakan pembelajaran Bible. Anda boleh melaporkan suatu perbincangan sebagai pembelajaran Bible jika anda sudah menunjukkan bagaimana pembelajaran Bible diadakan, mengadakannya sebanyak dua kali, dan yakin bahawa pembelajaran itu dapat diteruskan.

^ per. 3 Dua rencana ini juga mengandungi cadangan daripada siri rencana “Memimpin Pelajaran Alkitab yang Progresif” yang terdapat dalam Pelayanan Kerajaan Kita dalam bahasa Indonesia, terbitan Julai 2004 hingga Mei 2005.

^ per. 9 Lihat video singkat yang bertajuk Mengajar Pelajar Bible Membuat Persiapan. Di JW Library®, lihat MEDIA > PERJUMPAAN DAN AKTIVITI PENYEBARAN KAMI > MENINGKATKAN KEMAHIRAN KAMI.

^ per. 10 Lihat AJARAN BIBLE > ALAT BANTU PEMBELAJARAN BIBLE.

^ per. 14 Di JW Library®, lihat MEDIA > PERJUMPAAN DAN AKTIVITI PENYEBARAN KAMI > BANTUAN UNTUK MENGINJIL.