RENCANA PEMBELAJARAN 43
Yehuwa Sedang Membimbing Organisasi-Nya
“Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Semua perkara ini akan berlaku bukan dengan kekuatan tentera ataupun kekuatan manusia, melainkan dengan kuasa suci-Ku.’”—ZA. 4:6.
LAGU 40 Kita Milik Siapa?
PENGENALAN *
1. Selepas dibaptis, orang Kristian perlu terus melakukan apa?
SUDAHKAH anda dibaptis? Jika ya, anda sudah menyatakan di hadapan umum bahawa anda beriman kepada Yehuwa dan mahu menyertai organisasi-Nya. * Namun, selepas dibaptis, anda perlu terus menguatkan iman anda kepada Yehuwa. Anda juga perlu terus meneguhkan keyakinan anda bahawa Yehuwa sedang menggunakan organisasi-Nya untuk melaksanakan kehendak-Nya.
2-3. Apakah tiga aspek keperibadian Yehuwa yang dapat kita perhatikan melalui cara Dia membimbing organisasi-Nya? Berikan contoh.
2 Cara Yehuwa membimbing organisasi-Nya pada zaman ini mencerminkan keperibadian-Nya, tujuan-Nya, dan piawaian moral-Nya. Sekarang, mari kita bincangkan tiga aspek keperibadian Yehuwa yang dapat kita perhatikan melalui organisasi-Nya.
3 Pertama, “Tuhan tidak berat sebelah.” (Kis. 10:34) Yehuwa mengorbankan Anak-Nya sebagai ‘tebusan untuk semua orang’ kerana Dia mengasihi mereka. (1 Tim. 2:6; Yoh. 3:16) Dia ingin sebanyak orang yang mungkin meraih manfaat daripada korban tebusan, jadi Dia menyuruh umat-Nya menyebarkan berita baik kepada semua orang yang sudi mendengar. Kedua, Yehuwa ialah Tuhan yang suka akan ketertiban dan kedamaian. (1 Kor. 14:33, 40) Maka, para penyembah-Nya juga mencintai kedamaian dan melakukan segala sesuatu dengan tertib, atau teratur. Ketiga, Yehuwa ialah “Pendidik Agung.” (Yes. 30:20, 21) Maka, organisasi-Nya berusaha mengajar orang tentang Bible, tidak kira di sidang atau di kawasan penyebaran. Bagaimanakah tiga aspek keperibadian Yehuwa ini dapat diperhatikan dalam sidang Kristian abad pertama dan dalam kalangan umat-Nya dewasa ini? Bagaimanakah kuasa suci Tuhan dapat membantu anda semasa anda berkhidmat dalam organisasi Yehuwa pada hari ini?
TUHAN TIDAK BERAT SEBELAH
4. Apakah perintah Yesus di Kisah 1:8? Apakah bantuan yang dijanjikannya kepada pengikutnya?
4 Pada abad pertama. Yesus telah menyebarkan mesej yang membawa harapan kepada semua orang dan menyuruh para pengikutnya untuk terus menyebarkan mesej itu “sampai ke hujung bumi.” (Baca Kisah 1:8; Luk. 4:43) Mereka memang tidak dapat melaksanakan tugas itu dengan kekuatan mereka sendiri. Oleh itu, Yesus berjanji untuk mengutus “penolong,” iaitu kuasa suci Tuhan, untuk membantu mereka.—Yoh. 14:26; Za. 4:6.
5-6. Bagaimanakah kuasa suci Tuhan membantu para pengikut Kristus?
5 Para pengikut Yesus menerima kuasa suci Tuhan pada Pentakosta 33 M. Dengan adanya bantuan kuasa suci Tuhan, mereka mula menginjil dengan serta-merta, dan dalam masa yang singkat, ribuan orang telah menerima berita baik. (Kis. 2:41; 4:4) Kuasa suci Tuhan juga membantu mereka agar terus menginjil dan tidak menjadi takut. Semasa mereka ditentang, mereka berdoa meminta keberanian. Hasilnya, mereka semua dipenuhi kuasa suci Tuhan dan terus “memberitakan firman Tuhan dengan berani.”—Kis. 4:18-20, 29, 31.
6 Murid-murid Yesus juga menghadapi cabaran lain. Misalnya, pada masa itu, salinan Ayat-Ayat Suci yang ada tidak banyak. Mereka juga tidak mempunyai alat pembelajaran seperti yang kita miliki sekarang. Selain itu, mereka perlu menginjil kepada orang yang berbilang bahasa. Meskipun menghadapi semua cabaran itu, mereka berjaya melaksanakan tugas yang nampaknya mustahil dilakukan. Dalam puluhan tahun sahaja, berita baik telah disebarkan “kepada semua ciptaan di bawah langit.”—Kol. 1:6, 23.
7. Bagaimanakah para penyembah Yehuwa yang hidup lebih daripada 100 tahun yang lalu mengetahui kehendak-Nya bagi mereka? Apakah reaksi mereka?
7 Pada zaman moden. Yehuwa terus membimbing umat-Nya dan memberi mereka kekuatan untuk melakukan kehendak-Nya. Cara utama Dia memberikan bimbingan adalah melalui Firman-Nya yang terilham. Dalam Bible, kita membaca tentang aktiviti penyebaran Yesus dan perintahnya untuk meneruskan kerja penyebaran. (Mat. 28:19, 20) Menara Pengawal terbitan Julai 1881 menyatakan, “Yehuwa tidak memilih atau mengurapi kita untuk mengejar kemasyhuran atau kekayaan. Sebaliknya, Dia ingin kita menggunakan segala milik kita untuk menyebarkan berita baik.” To Whom the Work Is Entrusted, sebuah buku kecil tentang cara menginjil yang diterbitkan pada tahun 1919, menyatakan, “Tugas ini nampaknya mustahil dilakukan, tetapi tugas ini diberikan oleh Tuhan. Jadi Dia pasti akan memberi kita kekuatan untuk melaksanakannya.” Seperti orang Kristian abad pertama, saudara saudari kita yang berani telah menginjil dengan sedaya upaya. Mereka yakin bahawa kuasa suci Tuhan akan membantu mereka untuk menginjil kepada segala macam orang. Dewasa ini, kita juga memiliki keyakinan yang sama.
8-9. Apakah alat-alat yang digunakan oleh organisasi Yehuwa untuk menyebarkan berita baik?
8 Organisasi Yehuwa menggunakan alat yang paling berkesan untuk menyebarkan berita baik, seperti “Drama-Foto Penciptaan,” peti nyanyi, kereta bunyi, siaran radio, bahan bacaan bercetak, dan baru-baru ini, komputer dan Internet. Organisasi Tuhan juga melakukan kerja penterjemahan dalam skala yang paling besar dalam sejarah manusia! Mengapa? Supaya segala macam orang dapat mendengar berita baik dalam bahasa mereka sendiri. Yehuwa tidak berat sebelah, maka Dia ingin “setiap bangsa, suku, bahasa, dan kaum” mendengar berita baik.—Why. 14:6, 7.
9 Bagaimana pula dengan mereka yang susah dikunjungi, contohnya mereka yang tinggal di dalam bangunan yang mempunyai kawalan keselamatan yang ketat? Agar mereka berpeluang mendengar berita baik, Yehuwa telah membimbing organisasi-Nya untuk mencuba pelbagai kaedah kesaksian awam. Contohnya, pada tahun 2001, Badan Pimpinan meluluskan penggunaan rak mudah alih di Perancis dan kemudian di negara-negara lain. Setelah meraih hasil yang positif, pada tahun 2011, sebuah program kesaksian yang baharu dilancarkan di salah satu kawasan yang paling sibuk di Bandar Raya New York, Amerika Syarikat. Dalam tahun yang pertama, sebanyak 102,129 naskhah buku dan 68,911 naskhah majalah telah diedarkan, dan 4,701 orang telah meminta pembelajaran Bible! Jelaslah, kerja ini disokong oleh kuasa suci Tuhan. Maka, Badan Pimpinan telah meluluskan penggunaan rak mudah alih di serata dunia.
10. Bagaimanakah kita dapat menjadi penginjil yang lebih mahir?
10 Apa yang dapat anda lakukan. Yehuwa menyediakan latihan menerusi perjumpaan, maka gunakanlah latihan itu semasa menginjil. Sertailah juga kerja penyebaran bersama kumpulan aktiviti penyebaran anda secara tetap. Dengan itu, anda akan dibantu untuk menjadi penginjil yang lebih mahir dan digalakkan menerusi teladan baik rakan seiman anda. Biarpun menghadapi cabaran semasa menginjil, janganlah putus asa. Seperti yang dinyatakan dalam ayat tema rencana ini, kita dapat melaksanakan kehendak Tuhan, bukan dengan kekuatan kita sendiri, tetapi dengan kuasa suci Tuhan. (Za. 4:6) Tuhanlah yang memberi kita tugas ini, maka Dia pasti memberi kita kekuatan untuk melakukannya.
YEHUWA SUKA AKAN KETERTIBAN DAN KEDAMAIAN
11. Bagaimanakah badan pimpinan pada abad pertama bekerjasama untuk memelihara ketertiban dalam kalangan umat Tuhan?
11 Pada abad pertama. Badan pimpinan di Yerusalem bekerjasama untuk memelihara ketertiban dan kedamaian dalam kalangan umat Tuhan. (Kis. 2:42) Misalnya, semasa timbulnya isu sunat sekitar tahun 49 M, mereka telah menangani isu itu dengan bimbingan kuasa suci Tuhan. Hal itu penting, kerana jika isu itu tidak diselesaikan, sidang akan berpecah belah dan kerja penyebaran akan terjejas. Meskipun para rasul dan penatua yang menganggotai badan pimpinan merupakan orang Yahudi, mereka tidak terpengaruh dengan adat Yahudi atau para pendukung tradisi Yahudi. Sebaliknya, mereka meminta bimbingan kuasa suci Tuhan dan mencari nasihat dalam Firman Tuhan. (Kis. 15:1, 2, 5-20, 28) Apakah hasilnya? Yehuwa telah memberkati keputusan mereka, kedamaian dan perpaduan sidang terpelihara, dan kerja penyebaran dapat diteruskan.—Kis. 15:30, 31; 16:4, 5.
12. Apakah bukti yang menunjukkan bahawa organisasi Yehuwa dewasa ini berusaha memelihara ketertiban dan kedamaian?
12 Pada zaman moden. Dewasa ini, organisasi Yehuwa juga berusaha memelihara ketertiban dan kedamaian dalam kalangan umat Yehuwa. Majalah Watch Tower terbitan 15 November 1895 mengandungi sebuah rencana yang bertajuk “Baik dan Teratur,” yang berdasarkan 1 Korintus 14:40. Rencana itu menyatakan, “Dalam surat-surat kepada sidang abad pertama, para rasul sering menulis tentang ketertiban . . . Amatlah penting untuk sentiasa mematuhi ‘segala yang tertulis sejak dahulu lagi untuk mengajar kita.’” (Rm. 15:4) Ya, seperti orang Kristian abad pertama, organisasi Yehuwa dewasa ini ingin memelihara ketertiban dan kedamaian. Fikirkan, jika anda menghadiri pembelajaran Menara Pengawal di sidang lain atau bahkan di negara lain, anda sudah tahu bagaimana perbincangan itu akan diadakan dan rencana mana yang akan dibincangkan. Anda akan berasa sangat selesa seolah-olah anda berada di sidang anda sendiri! Tanpa kuasa suci Tuhan, perpaduan sebegini pasti tidak dapat dicapai!—Zef. 3:9, nota kaki.
13. Setelah membaca Yakobus 3:17, apakah soalan-soalan yang dapat kita fikirkan?
13 Apa yang dapat anda lakukan. Yehuwa ingin umat-Nya “hidup damai, supaya perpaduan yang dikurniakan oleh kuasa suci Tuhan tetap terpelihara.” (Ef. 4:1-3) Maka tanyalah diri, “Adakah saya menyumbang kepada perpaduan dan kedamaian sidang? Adakah saya mentaati mereka yang mengambil pimpinan? Dapatkah saya diharapkan, terutamanya jika saya memikul tanggungjawab dalam sidang? Adakah saya menepati masa dan suka menolong orang?” (Baca Yakobus 3:17.) Jika anda mendapati bahawa ada antara hal-hal tersebut yang dapat diperbaik, berdoalah untuk meminta kuasa suci Tuhan. Apabila anda membiarkan kuasa suci Tuhan membentuk keperibadian dan membimbing kelakuan anda, saudara saudari pasti mengasihi dan menghargai anda.
YEHUWA MENDIDIK DAN MELENGKAPI KITA
14. Menurut Kolose 1:9, 10, bagaimanakah Yehuwa mendidik umat-Nya pada abad pertama?
14 Pada abad pertama. Yehuwa suka mendidik umat-Nya kerana Dia ingin mereka mengenali-Nya, mengasihi-Nya, dan hidup selama-lamanya. (Mzm. 32:8; Yoh. 17:3) Pada abad pertama, Yehuwa mendidik umat-Nya melalui sidang Kristian. (Baca Kolose 1:9, 10.) Dia juga mendidik mereka menerusi kuasa suci-Nya, iaitu “penolong,” yang dijanjikan oleh Yesus. (Yoh. 14:16) Dengan bantuan kuasa suci Tuhan, orang Kristian dapat lebih memahami Firman Tuhan, dan murid-murid Yesus dapat mengingat kembali banyak perkara yang dikatakan dan dilakukan oleh Yesus. Perkara-perkara itu kemudiannya dicatatkan dalam buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes. Pendidikan yang diberikan oleh Yehuwa telah meneguhkan iman orang Kristian abad pertama dan menguatkan kasih mereka terhadap Yehuwa, Anak-Nya, dan satu sama lain.
15. Adakah anda menyaksikan bagaimana Yehuwa menunaikan janji-Nya di Yesaya 2:2, 3? Berikan contoh.
15 Pada zaman moden. Yehuwa telah menubuatkan bahawa “pada hari-hari terakhir,” orang daripada segala bangsa akan berduyun-duyun ke “gunung Yehuwa” untuk mempelajari haluan-Nya. (Baca Yesaya 2:2, 3.) Nubuat ini sedang menjadi kenyataan dewasa ini. Terdapat bukti yang jelas bahawa ibadat sejati jauh lebih unggul daripada semua agama palsu. Melalui “hamba yang setia dan bijaksana,” Yehuwa menyediakan beraneka jenis makanan rohani secara melimpah, seperti rencana, ceramah, animasi, dan video. (Mat. 24:45) Setelah menikmati jamuan rohani yang disediakan oleh Yehuwa, tidakkah kita setuju dengan Elihu yang berkata, “Pernahkah kamu melihat guru yang sehebat [Tuhan]?”—Ayb. 36:22; Yes. 25:6.
16. Bagaimanakah anda dapat terus maju secara rohani?
16 Apa yang dapat anda lakukan. Teruslah menyantap makanan rohani yang disediakan oleh Yehuwa menerusi Firman-Nya dan organisasi-Nya. Ingatlah bahawa tujuan anda membaca dan mengkaji Firman Tuhan bukan sekadar untuk menimba pengetahuan. Anda juga perlu menanamkan kebenaran dalam hati anda dan berusaha menerapkannya dalam kehidupan anda. Kuasa suci Yehuwa dapat membantu anda berbuat demikian. Maka, mintalah bantuan Yehuwa, seperti penulis mazmur yang berdoa, “Ya Yehuwa, ajarlah aku tentang haluan-Mu. Aku akan berjalan dalam haluan-Mu yang benar. Satukanlah hatiku supaya aku takut akan nama-Mu.” (Mzm. 86:11) Selain itu, berusahalah untuk menggalakkan saudara saudari anda, kerana mereka ialah ahli keluarga rohani anda. (Ibr. 10:24, 25) Berdoalah agar Yehuwa memberi anda kuasa suci-Nya supaya anda dapat memberikan komen yang ikhlas di perjumpaan dan dapat menyampaikan tugasan anda dengan sebaik mungkin. Dengan berbuat demikian, anda menunjukkan kepada Yehuwa dan Yesus bahawa anda mengasihi biri-biri mereka.—Yoh. 21:15-17.
17. Bagaimanakah anda dapat terus menyokong organisasi Yehuwa?
17 Tidak lama lagi, hanya akan ada satu organisasi yang wujud di bumi ini, iaitu organisasi yang dibimbing oleh kuasa suci Tuhan. Maka, teruslah bekerjasama dengan organisasi Yehuwa. Tirulah teladan Yehuwa yang pengasih dan tidak berat sebelah dengan menginjil kepada semua orang. Contohilah Tuhan yang suka akan ketertiban dan kedamaian dengan membantu mengukuhkan perpaduan sidang. Belajarlah daripada Pendidik Agung anda dengan memanfaatkan sepenuhnya semua makanan rohani yang disediakan oleh-Nya. Jika anda berbuat demikian, semasa dunia Syaitan berakhir, anda tidak akan berasa gentar. Sebaliknya, anda akan berdiri teguh bersama mereka yang berkhidmat dengan setia dalam organisasi Yehuwa.
LAGU 3 Engkaulah Sumber Kekuatan, Harapan, dan Keyakinan
^ per. 5 Adakah anda yakin bahawa Yehuwa sedang membimbing organisasi-Nya? Rencana ini akan membincangkan bagaimana Yehuwa membimbing sidang Kristian pada abad pertama, dan bagaimana Dia terus membimbing umat-Nya pada zaman moden.
^ per. 1 MAKSUD UNGKAPAN: Organisasi Yehuwa mempunyai dua bahagian, iaitu bahagian di syurga dan bahagian di bumi. Dalam rencana ini, perkataan “organisasi” merujuk kepada bahagian organisasi Yehuwa yang di bumi.
^ per. 52 KETERANGAN GAMBAR: Setelah menonton video tentang saudara saudari yang berkhidmat di kawasan yang lebih memerlukan bantuan, seorang perintis terdorong untuk mencontohi mereka. Saudari itu berjaya mencapai matlamatnya dan berkhidmat di tempat lain.