Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

1921—Seratus Tahun Yang Lalu

1921—Seratus Tahun Yang Lalu

“APAKAH kerja yang menantikan kita untuk tahun ini?” Itulah soalan dalam majalah Watch Tower terbitan 1 Januari 1921, yang ditujukan kepada para Pelajar Bible. Untuk menjawab soalan itu, majalah tersebut memetik kata-kata di Yesaya 61:1, 2 yang menyebut tentang tanggungjawab mereka untuk menginjil. Ayat itu berbunyi, “Yehuwalah yang mengurapi aku untuk mengisytiharkan berita baik kepada orang yang rendah hati . . . untuk mengisytiharkan tahun rahmat-Nya, untuk mengumumkan hari pembalasan yang ditetapkan oleh Tuhan kita.”

PENGINJIL YANG BERANI

Para Pelajar Bible perlu berani untuk menginjil. Mereka bukan sahaja perlu mengisytiharkan “berita baik” kepada orang yang rendah hati, tetapi juga mengumumkan “hari pembalasan” kepada orang jahat.

Saudara J. H. Hoskin, yang tinggal di Kanada, telah memberikan kesaksian dengan berani meskipun ditentang. Pada awal tahun 1921, dia berjumpa dengan seorang paderi Methodist. Saudara Hoskin memulakan perbualannya dengan berkata, “Marilah kita menikmati perbincangan tentang Bible. Biarpun kita tidak dapat capai persefahaman dalam sesetengah hal, harap kita boleh mengakhiri perbualan dengan tenang dan berpisah sebagai kawan.” Tetapi hasratnya tidak kesampaian. Mengenang kembali apa yang berlaku, Saudara Hoskin berkata, “Kami baru bercakap untuk beberapa minit, dan paderi itu menumbuk pintunya dengan begitu kuat sehingga saya fikir cermin pintu itu akan pecah.”

Paderi itu berteriak, “Kenapa kamu tidak pergi bercakap kepada orang yang belum menjadi Kristian?” Saudara Hoskin tidak berkata apa-apa, tetapi sambil beredar, dia berfikir dalam hatinya, “Saya rasa saya sudah pun bercakap dengan orang yang bukan Kristian!”

Semasa paderi itu memberikan ceramah di gereja pada keesokan harinya, dia terus memburuk-burukkan Saudara Hoskin. Saudara Hoskin berkata, “Dia menyuruh ahli gerejanya untuk berhati-hati dengan saya kerana saya ialah penipu besar di pekan yang patut ditembak mati.” Tetapi Saudara Hoskin tidak takut. Dia terus menginjil dan mendapat hasil yang baik. Dia berkata, “Saya sangat menikmati kerja penyebaran di situ. Ada orang bahkan beritahu saya, ‘Saya tahu kamu buat kerja Tuhan!’ Mereka juga menawarkan untuk beri saya barang-barang keperluan.”

PEMBELAJARAN KELUARGA DAN PEMBELAJARAN PERIBADI

Untuk membantu orang yang berminat membuat kemajuan, para Pelajar Bible menyediakan bahagian pembelajaran Bible dalam majalah The Golden Age. * Sebagai contoh, bahagian Pembelajaran Bible untuk Remaja mengandungi soalan-soalan untuk anak-anak. Ibu bapa akan menanyakan soalan-soalan itu dan membantu anak mereka mencari jawapannya dalam Bible. Sesetengah soalan itu adalah tentang ajaran yang asas, seperti “Ada berapa banyak buku kecil dalam Bible?” Terdapat juga soalan yang bertujuan membantu orang muda untuk menjadi penginjil yang berani, seperti “Adakah setiap orang Kristian sejati akan dianiaya?”

Untuk Pelajar Bible yang lebih matang secara rohani pula, bahagian pembelajaran Advanced Studies in the Divine Plan of the Ages mengandungi soalan-soalan mendalam yang berdasarkan jilid pertama buku Studies in the Scriptures. Beribu-ribu orang pembaca telah meraih manfaat daripada dua bahagian ini, tetapi The Golden Age terbitan 21 Disember 1921 mengumumkan bahawa kedua-dua bahagian ini akan dihentikan. Mengapa?

BUKU BAHARU!

Buku The Harp of God

Kad kecil untuk “The Harp Bible Study Course”

Kad-kad yang mengandungi soalan

Saudara-saudara yang mengambil pimpinan sedar bahawa pelajar Bible baharu perlu mempelajari kebenaran yang asas dengan cara yang teratur. Maka, buku The Harp of God telah dikeluarkan pada November 1921. Orang yang menerima buku ini juga menyertai kursus pembelajaran yang dipanggil “The Harp Bible Study Course.” Menerusi kursus ini, pelajar Bible dapat belajar sendiri tentang “rancangan Tuhan untuk memberi manusia kehidupan kekal.” Bagaimanakah mereka belajar?

Semasa seseorang menerima buku The Harp of God, dia akan diberi sekeping kad kecil yang menyatakan bahagian-bahagian dalam buku itu yang perlu dibacanya. Pada minggu seterusnya, dia akan menerima sekeping kad lagi. Kad itu mengandungi soalan-soalan tentang bahagian yang sudah dibacanya, dan menyatakan bahagian-bahagian yang perlu dibacanya untuk minggu yang akan datang.

Untuk 12 minggu berturut-turut, seorang pelajar Bible akan menerima kad baharu setiap minggu. Kad itu dikirim oleh sidang, dan biasanya dilakukan oleh saudara saudari yang lanjut usia atau yang tidak dapat menginjil dari rumah ke rumah. Anna K. Gardner, dari Millvale, Pennsylvania, A.S., berkata, “Semasa buku The Harp of God dikeluarkan, Thayle, iaitu kakak saya yang tidak dapat berjalan, mempunyai banyak peluang untuk menyertai kerja penyebaran. Setiap minggu, dia akan hantar kad-kad soalan kepada pelajar Bible.” Apabila seorang pelajar Bible tamat kursus itu, seseorang dari sidang akan mengunjunginya untuk membantunya belajar lebih banyak tentang Bible.

Thayle Gardner di kerusi rodanya

TERDAPAT BANYAK KERJA LAGI!

Pada akhir tahun 1921, Saudara J. F. Rutherford mengirim sepucuk surat kepada semua sidang. Dia menulis, “Sepanjang musim tuaian, kesaksian yang diberikan demi Kerajaan Tuhan pada tahun ini jauh lebih meluas dan berkesan berbanding tahun-tahun sebelumnya.” Kemudian dia menambah, “Masih terdapat banyak kerja lagi. Maka galakkanlah orang lain untuk ikut serta dalam kerja ini.” Para Pelajar Bible telah menyahut seruannya. Pada tahun 1922, mereka terus menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan dengan berani dan bersungguh-sungguh.

^ per. 9 Nama majalah The Golden Age ditukar kepada Consolation pada tahun 1937 dan Awake! (Sedarlah!) pada tahun 1946.