Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 40

Apakah Maksud Benar-Benar Bertaubat?

Apakah Maksud Benar-Benar Bertaubat?

Aku datang . . . untuk memanggil pendosa supaya mereka bertaubat.”​—LUK. 5:32.

LAGU 36 Jagalah Hatimu

PENGENALAN *

1-2. Apakah perbezaan antara Ahab dengan Manasye? Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

 MARI kita mengkaji kisah dua orang raja yang hidup pada zaman lampau. Seorang merupakan raja kepada kerajaan Israel di utara, dan seorang lagi merupakan raja kepada kerajaan Yehuda di selatan. Mereka berdua hidup pada zaman yang berbeza, tetapi mempunyai banyak persamaan. Mereka berdua memberontak terhadap Yehuwa dan menyebabkan umat-Nya berdosa. Mereka berdua menyembah berhala dan membunuh orang. Namun, terdapat perbezaan antara dua orang raja ini. Seorang terus berbuat jahat sehingga akhir hayatnya, tetapi yang seorang lagi bertaubat lalu diampuni. Siapakah mereka?

2 Mereka ialah Ahab, iaitu raja Israel, dan Manasye, iaitu raja Yehuda. Daripada perbezaan antara dua orang raja ini, kita dapat mempelajari satu hal yang sangat penting, iaitu pertaubatan. (Kis. 17:30; Rm. 3:23) Apakah maksud bertaubat? Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita sudah bertaubat? Soalan-soalan ini penting kerana kita ingin Yehuwa mengampuni kita semasa kita melakukan dosa. Marilah kita mengkaji kisah Ahab dan Manasye untuk mengetahui jawapannya. Kemudian, kita akan membincangkan apa yang diajarkan oleh Yesus tentang pertaubatan.

PENGAJARAN DARIPADA CONTOH RAJA AHAB

3. Apakah yang dinyatakan Bible tentang Ahab?

3 Ahab ialah raja ketujuh yang memerintah kerajaan Israel. Dia telah mengahwini Izebel, iaitu anak perempuan kepada raja dari Sidon, sebuah kota yang kaya di utara Israel. Perkahwinan mereka nampaknya membawa kekayaan kepada negeri Israel, tetapi sebenarnya menyebabkan orang Israel melakukan lebih banyak dosa terhadap Yehuwa. Izebel ialah penyembah Baal, dan dia menghasut Ahab untuk menggalakkan rakyat menyembah Baal. Agama yang menjijikkan itu melibatkan kegiatan pelacuran di kuil dan upacara mengorbankan anak kepada dewa. Semasa Izebel menjadi permaisuri, nyawa semua nabi Yehuwa terancam, dan ramai daripada mereka dibunuh. (1 Raj. 18:13) Ahab sendiri pun “melakukan hal-hal yang buruk di mata Yehuwa dan dia lebih teruk daripada semua orang yang ada sebelumnya.” (1 Raj. 16:30) Yehuwa nampak segala perbuatan Ahab dan Izebel, tetapi Dia juga berbelas kasihan. Jadi, Dia mengutus Nabi Elia untuk menggesa mereka dan umat-Nya agar berubah sebelum terlambat. Meskipun begitu, Ahab dan Izebel enggan mendengar.

4. Apakah hukuman yang dijatuhkan atas Ahab? Apakah reaksinya setelah mendengar tentang hukuman itu?

4 Akhirnya, tibalah masa Yehuwa mengambil tindakan. Dia mengutus Elia untuk memberitahu Ahab dan Izebel bahawa Dia akan menghukum mereka dan melenyapkan seluruh keluarga mereka. Setelah mendengar kata-kata itu, hati Ahab tertusuk, dan lelaki yang sombong itu bahkan “merendahkan dirinya”!​—1 Raj. 21:19-29.

Raja Ahab memenjarakan nabi Tuhan. Hal ini menunjukkan bahawa dia tidak benar-benar bertaubat (Lihat perenggan 5-6) *

5-6. Apakah yang menunjukkan bahawa Ahab tidak benar-benar bertaubat?

5 Walaupun Ahab merendahkan diri semasa mendengar penghakiman Yehuwa, apa yang dilakukannya selepas itu menunjukkan bahawa dia tidak benar-benar bertaubat. Sebagai contoh, dia tidak cuba menyingkirkan ibadat Baal daripada kerajaannya. Dia juga tidak menggalakkan rakyat untuk menyembah Yehuwa. Terdapat juga hal-hal lain yang menunjukkan bahawa Ahab tidak benar-benar bertaubat.

6 Pada kemudian hari, Ahab telah menjemput Raja Yehosafat dari Yehuda untuk pergi berperang melawan orang Siria bersamanya. Yehosafat ialah seorang raja yang baik dan percaya kepada Yehuwa. Maka dia mencadangkan agar mereka meminta nasihat seorang nabi Yehuwa terlebih dahulu. Pada mulanya, Ahab enggan berbuat demikian. Dia berkata, “Masih ada seorang lagi yang boleh mendapatkan petunjuk daripada Yehuwa. Dia ialah Mikhaya anak Yimla. Tetapi beta membencinya kerana dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta. Dia hanya bernubuat tentang hal yang buruk.” Meskipun begitu, dia dan Yehosafat telah meminta nasihat Mikhaya. Tepat seperti yang disangkakan Ahab, nabi itu menubuatkan bahawa Ahab akan ditimpa kecelakaan! Tetapi raja yang jahat itu tidak bertaubat dan tidak meminta pengampunan Yehuwa, malah memerintahkan agar Mikhaya dipenjarakan. (1 Raj. 22:7-9, 23, 27) Biarpun Ahab berjaya memenjarakan nabi Tuhan, dia tidak dapat menghalang nubuat Tuhan daripada menjadi kenyataan. Akhirnya, dia terbunuh di medan perang.​—1 Raj. 22:34-38.

7. Bagaimanakah Yehuwa menggambarkan Raja Ahab selepas kematiannya?

7 Selepas kematian Ahab, Yehuwa menyatakan pandangan-Nya mengenai raja itu. Apabila Raja Yehosafat kembali dengan selamat, Yehuwa mengutus Nabi Yehu untuk menegurnya kerana bersekutu dengan Ahab. Yehu berkata, “Patutkah tuanku menolong orang yang jahat? Patutkah tuanku mengasihi orang yang membenci Yehuwa?” (2 Taw. 19:1, 2) Fikirkan sejenak: Jika Ahab benar-benar bertaubat, Nabi Yehu pasti tidak akan menggambarkannya sebagai orang jahat yang membenci Yehuwa. Jelaslah, walaupun Ahab nampaknya menyesali perbuatannya, dia tidak benar-benar bertaubat.

8. Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh Ahab?

8 Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh Ahab? Semasa diberitahu bahawa keluarganya akan dihukum, Ahab merendahkan dirinya, dan tindakan itu memang wajar. Namun, apa yang dilakukannya selepas itu menunjukkan bahawa dia tidak benar-benar bertaubat. Jadi, bertaubat bukan sekadar menunjukkan bahawa kita menyesali perbuatan kita. Sekarang, mari kita mengkaji contoh Manasye untuk memahami hal-hal lain yang terlibat dalam pertaubatan yang ikhlas.

PENGAJARAN DARIPADA CONTOH RAJA MANASYE

9. Bagaimanakah Bible menggambarkan Raja Manasye?

9 Kira-kira 200 tahun kemudian, Manasye menjadi raja Yehuda. Nampaknya, dia seorang raja yang lebih jahat daripada Ahab! Bible menyatakan, “Dia membangkitkan kemurkaan Yehuwa dengan melakukan begitu banyak dosa di hadapan-Nya.” (2 Taw. 33:1-9) Manasye mendirikan mazbah untuk dewa-dewa kafir, dan dia bahkan membina tiang suci, yang mungkin merupakan patung dewi kesuburan, di dalam Rumah Yehuwa! Dia juga mengamalkan ilmu sihir dan ilmu ramal. Selain itu, dia “membunuh begitu banyak orang yang tidak bersalah.” Manasye bahkan “membakar anak-anak lelakinya di dalam api” untuk dipersembahkan kepada dewa-dewa palsu.​—2 Raj. 21:6, 7, 10, 11, 16.

10. Bagaimanakah Yehuwa mendisiplinkan Manasye? Apakah reaksi Manasye?

10 Seperti Ahab, Manasye berdegil dan tidak mendengarkan amaran daripada nabi-nabi Yehuwa. Oleh itu, “Yehuwa membiarkan ketua-ketua tentera raja Assyria menyerang [negeri Yehuda]. Mereka menangkap Manasye dengan cangkuk, mengikatnya dengan dua utas rantai tembaga lalu membawanya ke Babilon.” Semasa dikurung di negeri asing, nampaknya Manasye telah berfikir secara mendalam tentang perbuatannya. Bible menyatakan bahawa dia “merendahkan dirinya dengan sepenuh hati di hadapan Tuhan nenek moyangnya.” Bukan itu sahaja, Manasye “asyik berdoa” dan “meminta perkenan Tuhannya Yehuwa.” Ya, raja yang jahat itu mengubah sikapnya. Dia mula memandang Yehuwa sebagai “Tuhannya” dan terus berdoa kepada-Nya.​—2 Taw. 33:10-13.

Raja Manasye berusaha menyingkirkan ibadat palsu. Hal ini menunjukkan bahawa dia benar-benar bertaubat (Lihat perenggan 11) *

11. Menurut 2 Tawarikh 33:15, 16, bagaimanakah Manasye menunjukkan bahawa dia benar-benar bertaubat?

11 Yehuwa telah mengabulkan doa Manasye, kerana doa Manasye menunjukkan bahawa hatinya sudah berubah. Tuhan tergerak untuk mengampuni Manasye dan menjadikannya raja semula. Setelah itu, Manasye berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menunjukkan bahawa dia sudah bertaubat. Tidak seperti Ahab, dia mengubah kelakuannya, memerangi ibadat palsu, dan menggalakkan rakyat untuk menyembah Yehuwa. (Baca 2 Tawarikh 33:15, 16.) Manasye tentu perlu sangat beriman dan berani untuk berbuat demikian, kerana selama puluhan tahun, dia merupakan contoh yang buruk bagi keluarganya, para bangsawan, dan rakyatnya. Walaupun dia sudah tua, dia berusaha membaiki kesilapannya. Kemungkinan besar, dia memberikan pengaruh yang positif kepada cucunya Yosia, yang kemudiannya menjadi seorang raja yang sangat baik.​—2 Raj. 22:1, 2.

12. Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh Manasye?

12 Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh Manasye? Semasa dia bertaubat, dia bukan sahaja merendahkan diri, tetapi juga berdoa memohon belas kasihan Tuhan. Selain itu, dia mengubah kelakuannya. Manasye berusaha untuk membaiki kesilapannya, menyembah Yehuwa, dan menggalakkan orang lain untuk berpaling kepada Yehuwa. Contoh Manasye menunjukkan bahawa biarpun seseorang melakukan dosa yang sangat serius, dia masih ada harapan, kerana Tuhan Yehuwa “baik dan suka mengampuni.” (Mzm. 86:5) Sekiranya orang itu benar-benar bertaubat, Yehuwa pasti mengampuninya.

13. Adakah sekadar menyesali perbuatan jahat bermaksud seseorang benar-benar bertaubat? Berikan contoh.

13 Manasye tidak sekadar menyesali perbuatannya yang jahat. Kisah ini mengajar kita sesuatu yang penting tentang pertaubatan. Fikirkan contoh berikut: Katakan anda pergi ke kedai kek dan meminta sebiji kek, tetapi pekerja di situ memberi anda sebiji telur. Adakah anda akan berasa gembira? Tentu tidak! Biarpun pekerja itu menjelaskan bahawa telur ialah bahan penting dalam kek, anda masih tidak akan berasa gembira, kerana kek bukan sahaja diperbuat daripada telur tetapi bahan-bahan lain juga. Begitu juga, Yehuwa menghendaki seorang pendosa untuk bertaubat. Namun, sekadar menyesali perbuatan salah tidak mencukupi. Rasa kesal memang “bahan penting” dalam pertaubatan, tetapi terdapat “bahan lain” yang juga terlibat. Apakah “bahan lain” itu? Mari kita melihat jawapannya dalam cerita Yesus tentang anak yang sesat.

MENGENAL PASTI PERTAUBATAN YANG IKHLAS

Anak yang sesat itu insaf lalu membuat perjalanan yang jauh untuk pulang (Lihat perenggan 14-15) *

14. Dalam cerita ibarat Yesus, apakah tanda-tanda awal yang menunjukkan bahawa anak yang sesat itu bertaubat?

14 Yesus memberitahu para pendengarnya sebuah cerita yang menyentuh hati tentang seorang anak yang sesat. Cerita itu tercatat di Lukas 15:11-32. Seorang lelaki muda telah memberontak terhadap ayahnya dan meninggalkan rumah. Kemudian, dia mengembara ke “sebuah negeri yang jauh” dan hidup berfoya-foya di situ. Namun, semasa dia ditimpa kesusahan, dia berfikir secara mendalam tentang apa yang telah dilakukannya, lalu sedar betapa bahagianya kehidupannya semasa dia tinggal bersama ayahnya. Yesus berkata bahawa akhirnya lelaki muda itu insaf dan memutuskan untuk pulang dan meminta pengampunan ayahnya. Kesedaran itu memang penting, tetapi adakah itu mencukupi? Tidak. Dia juga perlu mengambil tindakan!

15. Dalam cerita ibarat Yesus, bagaimanakah anak yang sesat itu menunjukkan bahawa dia benar-benar bertaubat?

15 Anak yang sesat itu menunjukkan bahawa dia benar-benar bertaubat. Dia sanggup membuat perjalanan yang jauh untuk kembali kepada ayahnya. Kemudian, semasa berjumpa dengan ayahnya, dia berkata, “Saya telah berdosa terhadap Tuhan di syurga dan terhadap ayah. Saya tidak lagi layak disebut anak ayah.” (Luk. 15:21) Kata-katanya yang ikhlas itu menunjukkan bahawa dia ingin membaiki hubungannya dengan Yehuwa. Dia juga sedar bahawa dia telah menyakiti ayahnya. Bukan itu sahaja, dia bersedia dilayan seperti orang gaji dan sudi bekerja keras untuk mendapat semula perkenan ayahnya! (Luk. 15:19) Cerita ini bukan sahaja bertujuan untuk menyentuh hati kita. Sebenarnya, pengajaran dalam cerita ini amat penting semasa para penatua perlu menentukan sama ada seorang Kristian yang melakukan dosa serius sudah bertaubat atau tidak.

16. Mengapakah tidak mudah bagi para penatua untuk mengenal pasti sama ada seorang pendosa benar-benar bertaubat?

16 Bukan senang bagi para penatua untuk menentukan sama ada seseorang yang melakukan dosa yang serius benar-benar bertaubat atau tidak. Mengapa? Para penatua tidak dapat membaca isi hati orang, jadi mereka perlu mencari bukti yang menunjukkan bahawa pendosa itu benar-benar sudah membenci perbuatan dosanya. Dalam sesetengah kes, pendosa itu mungkin melakukan hal yang begitu buruk sehingga para penatua yang cuba membantunya tidak percaya bahawa dia benar-benar bertaubat.

17. (a) Mengapakah seseorang yang sekadar menyesali perbuatannya tidak semestinya benar-benar bertaubat? Berikan contoh. (b) Menurut 2 Korintus 7:11, apakah yang perlu dilakukan oleh seseorang yang benar-benar bertaubat?

17 Fikirkan contoh berikut: Seorang saudara telah berzina selama bertahun-tahun, tetapi dia tidak mendapatkan bantuan. Sebaliknya, dia menyembunyikan perbuatannya daripada isterinya, kawan-kawannya, dan para penatua. Akhirnya, perbuatannya diketahui para penatua. Apabila mereka mengemukakan buktinya kepada saudara itu, dia mengakui dosanya dan bahkan sangat menyesal. Bolehkah kita mengatakan bahawa dia sudah bertaubat? Bagi para penatua yang mengendalikan kes itu, sekadar melihatnya menyesal tidak mencukupi. Saudara itu bukannya tiba-tiba menjadi lemah dan tersilap langkah. Sebaliknya, dia sengaja melakukan dosa serius selama bertahun-tahun. Tambahan lagi, dia mengakui dosanya bukan kerana dia rela, tetapi kerana dosanya telah didedahkan. Oleh itu, para penatua perlu melihat bukti bahawa sikap, perasaan, dan kelakuannya sudah berubah. (Baca 2 Korintus 7:11.) Saudara itu mungkin memerlukan masa yang agak lama untuk membuat perubahan sebegini. Jadi, kemungkinan besar dia akan disingkirkan daripada sidang buat suatu jangka masa, sehingga dia membuktikan bahawa dia sudah bertaubat.​—1 Kor. 5:11-13; 6:9, 10.

18. Bagaimanakah seseorang yang telah disingkirkan dapat menunjukkan bahawa dia benar-benar bertaubat? Apakah hasilnya jika dia berbuat demikian?

18 Jika seseorang yang telah disingkirkan ingin menunjukkan bahawa dia benar-benar bertaubat, dia perlu menghadiri perjumpaan secara tetap dan mengikut nasihat para penatua untuk memupuk tabiat berdoa dan mengkaji Bible. Dia juga akan berusaha untuk mengelakkan hal-hal yang dapat menggodanya untuk mengulangi dosanya. Jika dia berusaha untuk membaiki hubungannya dengan Yehuwa, Yehuwa pasti akan mengampuninya dan para penatua pasti menerimanya kembali ke dalam sidang. Sudah tentu, para penatua sedar bahawa setiap kes salah laku adalah berbeza. Jadi, mereka akan membuat siasatan dengan teliti, tetapi mereka juga tidak akan menghendaki seorang pendosa melakukan hal yang terlampau susah baginya untuk diterima kembali ke dalam sidang.

19. Apakah maksudnya benar-benar bertaubat? (Yehezkiel 33:14-16)

19 Seperti yang telah kita pelajari, seseorang yang benar-benar bertaubat bukan sahaja akan menyesali kesalahannya. Dia juga akan mengubah fikiran dan perasaannya, dan mengambil langkah yang sewajarnya, seperti berhenti berbuat dosa dan berusaha mematuhi prinsip Yehuwa. (Baca Yehezkiel 33:14-16.) Bagi seorang pendosa, hal yang terpenting baginya adalah untuk memulihkan hubungannya dengan Yehuwa.

MEMBANTU PENDOSA AGAR BERTAUBAT

20-21. Bagaimanakah kita dapat membantu seseorang yang terjebak dalam dosa yang serius?

20 Yesus menjelaskan bahawa salah satu sebab penting dia datang ke bumi adalah “untuk memanggil pendosa supaya mereka bertaubat.” (Luk. 5:32) Kita juga harus mempunyai keinginan yang sama. Jadi, jika kita mendapat tahu seorang kawan baik kita telah melakukan dosa yang serius, apakah yang harus kita lakukan?

21 Jika kita cuba menutupi kesalahannya, kita hanya menyebabkan masalahnya bertambah parah. Kita juga tidak akan berjaya menyembunyikan perbuatannya, kerana Yehuwa dapat melihat segala-galanya. (Ams. 5:21, 22; 28:13) Oleh itu, adalah lebih baik jika kita mengingatkan kawan kita bahawa para penatua ingin membantunya. Jika dia enggan memberitahu para penatua tentang dosanya, kitalah yang patut memaklumkan mereka. Tindakan ini menunjukkan bahawa kita benar-benar ingin membantu kawan kita, kerana hubungannya dengan Yehuwa sudah terancam!

22. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya?

22 Andai kata seseorang melakukan dosa yang sangat serius untuk masa yang sangat lama, dan para penatua memutuskan bahawa dia mesti disingkirkan. Adakah hal ini bermaksud mereka tidak berbelas kasihan terhadap pendosa itu? Dalam rencana seterusnya, kita akan meneliti bagaimana Yehuwa menunjukkan belas kasihan semasa mendisiplinkan pendosa dan bagaimana kita dapat meniru belas kasihan Yehuwa.

LAGU 103 Gembala​—Kurniaan Tuhan

^ per. 5 Seseorang yang benar-benar bertaubat bukan sekadar berkata bahawa dia menyesali dosanya. Rencana ini akan membincangkan contoh Raja Ahab, Raja Manasye, dan anak yang sesat dalam cerita ibarat Yesus, untuk menjelaskan apa maksudnya benar-benar bertaubat. Kita juga akan melihat hal-hal yang mesti diambil kira oleh para penatua semasa menilai sama ada seorang Kristian yang melakukan dosa serius benar-benar bertaubat atau tidak.

^ per. 60 KETERANGAN GAMBAR: Raja Ahab naik marah dan memerintahkan pengawalnya untuk memenjarakan Nabi Mikhaya.

^ per. 62 KETERANGAN GAMBAR: Raja Manasye mengarahkan para pekerjanya untuk menghancurkan berhala yang dibinanya di Rumah Tuhan.

^ per. 64 KETERANGAN GAMBAR: Anak yang sesat itu berasa penat setelah lama berjalan, tetapi dia juga berasa lega semasa melihat rumahnya dari jauh.