Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 42

Berpegang Teguh pada Kebenaran yang Kita Miliki

Berpegang Teguh pada Kebenaran yang Kita Miliki

“Periksalah semua perkara, dan berpautlah pada apa yang baik.”​—1 TES. 5:21.

LAGU 142 Berpegang Teguh pada Harapan Kita

PENGENALAN *

1. Mengapakah ramai orang berasa bingung?

 TERDAPAT berpuluh-puluh ribu aliran Kristian yang mengaku bahawa Tuhan menerima cara mereka beribadat. Maka tidak hairanlah ramai orang berasa bingung! Mereka tertanya-tanya, “Adakah hanya ada satu agama yang benar, atau adakah semua agama diterima oleh Tuhan?” Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita yakin sepenuhnya bahawa apa yang kita ajarkan ialah kebenaran, dan bahawa cara Saksi-Saksi Yehuwa beribadat diterima oleh Tuhan? Apakah yang dapat menguatkan keyakinan kita? Mari kita kaji buktinya.

2. Mengapakah Rasul Paulus sangat yakin bahawa dia memiliki kebenaran? (1 Tesalonika 1:5)

2 Rasul Paulus sangat yakin bahawa dia memiliki kebenaran. (Baca 1 Tesalonika 1:5.) Namun, keyakinannya tidak berdasarkan perasaan semata-mata. Sebaliknya, dia memiliki keyakinan ini kerana dia mengkaji Firman Tuhan dengan teliti dan percaya bahawa “segenap Ayat-Ayat Suci diilhami oleh Tuhan.” (2 Tim. 3:16) Setelah mengkaji Ayat-Ayat Suci, Paulus menemui bukti yang kukuh bahawa Yesus ialah Mesias yang dijanjikan. Para pemimpin agama Yahudi yang bermuka dua pula enggan menerima bukti ini. Mereka mendakwa bahawa mereka mengajarkan kebenaran, tetapi melakukan hal-hal yang dibenci Tuhan. (Tit. 1:16) Tetapi Paulus berbeza. Dia tidak memilih bahagian mana dalam Firman Tuhan yang ingin dipercayainya. Sebaliknya, dia ingin mengajarkan dan mentaati seluruh Firman Tuhan.​—Kis. 20:27.

3. Perlukah kita mengetahui segala-galanya untuk membina keyakinan yang teguh? (Lihat juga kotak “ Kita Tidak Dapat Menceritakan Segala Fikiran dan Perbuatan Yehuwa.”)

3 Sesetengah orang berpendapat bahawa agama yang benar harus dapat menjawab semua soalan, termasuk soalan yang tidak dijawab dalam Bible. Adakah hal itu masuk akal? Perhatikan contoh Paulus. Dia menggalakkan rakan seimannya untuk ‘memeriksa semua perkara,’ tetapi dia juga mengakui bahawa terdapat banyak hal yang tidak difahaminya. (1 Tes. 5:21) Dia menulis, “Pengetahuan kita . . . tidak lengkap. Sekarang kita melihat bayangan yang kabur dalam sebuah cermin logam.” (1 Kor. 13:9, 12) Paulus tidak mengetahui segala-galanya; begitu juga dengan kita. Namun, Paulus mengetahui kebenaran asas tentang tujuan Yehuwa, dan hal itu sudah cukup untuk meyakinkannya bahawa dia memiliki kebenaran!

4. Bagaimanakah kita dapat bertambah yakin bahawa kita sudah menemui kebenaran? Apakah yang akan kita bincangkan tentang orang Kristian sejati?

4 Salah satu cara kita dapat bertambah yakin bahawa kita telah menemui kebenaran adalah dengan membandingkan cara beribadat yang diajarkan oleh Yesus dengan cara Saksi-Saksi Yehuwa beribadat. Dalam rencana ini, kita akan melihat bahawa orang Kristian sejati (1) menolak penyembahan berhala, (2) menghormati nama Yehuwa, (3) mencintai kebenaran, dan (4) saling mengasihi dengan mendalam.

KITA MENOLAK PENYEMBAHAN BERHALA

5. Apakah yang kita pelajari daripada Yesus tentang cara yang betul untuk menyembah Tuhan? Bagaimanakah kita dapat mengikut ajaran Yesus?

5 Yesus amat mengasihi Tuhan, jadi dia hanya menyembah Yehuwa, tidak kira semasa dia di syurga ataupun di bumi. (Luk. 4:8) Yesus juga mengajar murid-muridnya untuk berbuat demikian. Dia dan murid-muridnya yang setia tidak pernah menggunakan patung berhala untuk beribadat. Memandangkan Tuhan ialah Roh yang begitu agung dan mulia, manusia tidak mungkin dapat menciptakan apa-apa yang menyerupai-Nya! (Yes. 46:5) Bagaimana pula dengan membuat patung santo-santo dan berdoa kepada patung-patung itu? Perintah kedua dalam Sepuluh Hukum menyatakan, “Jangan membuat patung berhala atau membentuk sesuatu yang menyerupai apa-apa yang ada di langit, di bumi, atau di dalam air. Jangan menyembah atau bersujud kepada patung apa pun.” (Kel. 20:4, 5) Perintah yang sangat jelas bagi orang yang ingin menyenangkan hati Yehuwa, bukan?

6. Apakah cara beribadat Saksi-Saksi Yehuwa zaman moden?

6 Ahli sejarah mengatakan bahawa orang Kristian abad pertama hanya menyembah Tuhan. Sebagai contoh, buku History of the Christian Church, iaitu sebuah buku tentang sejarah gereja Kristian, menyatakan bahawa orang Kristian abad pertama “akan berasa benci” jika tempat ibadat mereka mempunyai berhala. Saksi-Saksi Yehuwa zaman moden mengikut cara beribadat orang Kristian abad pertama. Kita tidak berdoa kepada patung santo-santo, kepada malaikat, dan kita bahkan tidak berdoa kepada Yesus. Selain itu, kita tidak menyembah lambang-lambang negara, contohnya dengan menabik bendera. Tidak kira apa yang berlaku, kita bertekad untuk mematuhi kata-kata Yesus: “Kamu mesti menyembah Yehuwa, Tuhanmu.”​—Mat. 4:10.

7. Apakah perbezaan antara Saksi-Saksi Yehuwa dengan agama lain?

7 Dewasa ini, ramai orang terikut-ikut dengan pemimpin gereja dan begitu menyanjung pemimpin sebegini sehingga seolah-olah menyembah mereka. Orang ramai berduyun-duyun ke gereja mereka, membeli buku mereka, dan menderma banyak wang kepada mereka atau organisasi mereka. Sesetengah orang bahkan mempercayai setiap kata-kata mereka. Barangkali bagi para penganut ini, jika Yesus muncul di depan mereka, daya tarikannya pun tidak setanding pemimpin-pemimpin mereka! Namun, penyembah Yehuwa yang sejati bukan pengikut manusia. Kita menghormati mereka yang mengambil pimpinan, tetapi kita mengikut ajaran Yesus: “Kamu semua bersaudara.” (Mat. 23:8-10) Maka kita tidak memuja manusia, tidak kira mereka ialah pemimpin agama atau pemimpin politik, dan kita tidak menyokong perjuangan agama atau politik mereka. Sebaliknya, kita tetap neutral dan tidak menjadi sebahagian daripada dunia. Oleh itu, kita amat berbeza daripada banyak aliran Kristian.​—Yoh. 18:36.

KITA MENGHORMATI NAMA YEHUWA

Orang Kristian sejati berbesar hati untuk memberitahu orang tentang Yehuwa (Lihat perenggan 8-10) *

8. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa ingin agar nama-Nya dimuliakan dan dikenali ramai?

8 Pernah sekali, Yesus berdoa, “Ya Bapa, muliakanlah nama-Mu.” Yehuwa sendiri telah menjawab doa itu. Dengan suara yang lantang, Dia berjanji bahawa Dia akan memuliakan nama-Nya. (Yoh. 12:28) Sepanjang masa Yesus menginjil di bumi, dia memuliakan nama Bapanya. (Yoh. 17:26) Maka orang Kristian sejati sepatutnya berbangga untuk menggunakan nama Tuhan dan memberitahu orang lain tentang nama itu.

9. Bagaimanakah orang Kristian abad pertama menunjukkan bahawa mereka menghormati nama Tuhan?

9 Pada abad pertama Masihi, tidak lama selepas sidang Kristian ditubuhkan, Yehuwa “mula memperhatikan bangsa-bangsa lain untuk memilih orang daripada kalangan mereka supaya menjadi umat yang menyandang nama-Nya.” (Kis. 15:14) Orang Kristian pada abad pertama berbesar hati untuk menggunakan nama Tuhan dan memberitahu orang lain tentang nama itu. Mereka sering menggunakan nama Yehuwa semasa menginjil dan semasa menulis buku-buku Bible. * Mereka sesungguhnya umat yang menyandang nama Tuhan.​—Kis. 2:14, 21.

10. Apakah yang membuktikan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa ialah umat yang menyandang nama Yehuwa?

10 Adakah Saksi-Saksi Yehuwa umat yang menyandang nama Yehuwa? Perhatikan buktinya. Dewasa ini, ramai pemimpin agama cuba menyembunyikan nama Tuhan. Contohnya, mereka mengeluarkan nama Yehuwa daripada terjemahan Bible mereka, dan ada yang bahkan melarang orang menggunakan nama Yehuwa semasa beribadat. * Bagaimana pula dengan Saksi-Saksi Yehuwa? Tidak dapat dinafikan bahawa kita sahaja yang menunjukkan hormat yang sepatutnya kepada nama Yehuwa. Tiada kumpulan agama lain yang berusaha untuk memberitahu orang lain tentang nama Tuhan seperti yang kita lakukan! Maka boleh dikatakan bahawa kita memang hidup selaras dengan nama Saksi-Saksi Yehuwa. (Yes. 43:10-12) Kita telah mencetak lebih daripada 240 juta naskah Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu. Terjemahan ini mengembalikan nama Yehuwa ke tempat asalnya, sedangkan banyak terjemahan lain mengeluarkan nama itu. Selain itu, kita menerbitkan bahan bacaan Bible yang mengandungi nama Yehuwa, dan bahan-bahan ini terdapat dalam lebih daripada 1,000 bahasa!

KITA MENCINTAI KEBENARAN

11. Bagaimanakah orang Kristian abad pertama menunjukkan bahawa mereka mencintai kebenaran?

11 Yesus mencintai kebenaran, iaitu kebenaran tentang Tuhan dan tujuan-Nya. Cara hidup Yesus menunjukkan bahawa dia mempercayai kebenaran, dan dia juga mengajarkan kebenaran itu kepada orang lain. (Yoh. 18:37) Para pengikut Yesus yang sejati juga amat mencintai kebenaran. (Yoh. 4:23, 24) Oleh itu, orang Kristian abad pertama menolak ajaran agama, tradisi, dan pandangan peribadi yang bercanggah dengan kebenaran. (Kol. 2:8) Mereka hidup selaras dengan kebenaran, dan Rasul Petrus pernah berkata bahawa agama Kristian ialah “haluan kebenaran.” (2 Ptr. 2:2) Seperti orang Kristian abad pertama, orang Kristian sejati dewasa ini “berjalan mengikut kebenaran.” Mereka memastikan semua kepercayaan dan cara hidup mereka berlandaskan sepenuhnya pada Firman Yehuwa.​—3 Yoh. 3, 4.

12. Apakah yang dilakukan oleh Badan Pimpinan semasa menyedari bahawa pemahaman kita tentang suatu kebenaran perlu diubah? Mengapakah mereka berbuat demikian?

12 Umat Tuhan pada hari ini tidak mendakwa bahawa mereka memiliki pengetahuan yang sempurna tentang kebenaran Bible. Ada kalanya, mereka berbuat silap semasa menjelaskan ajaran Bible dan semasa membuat aturan dalam organisasi. Hal ini tidak menghairankan kerana Bible menyatakan bahawa pengetahuan yang tepat akan bertambah seraya masa berlalu. (Kol. 1:9, 10) Yehuwa menyingkapkan kebenaran secara beransur-ansur, dan kita perlu sudi untuk menunggu dengan sabar sehingga kita dapat memahami kebenaran itu. (Ams. 4:18) Semasa Badan Pimpinan menyedari bahawa pemahaman kita tentang suatu kebenaran perlu diubah, mereka tidak akan teragak-agak untuk mengubah pemahaman itu. Banyak aliran Kristian membuat perubahan untuk menyenangkan hati pengikut mereka atau agar lebih disukai ramai dalam dunia. Namun, perubahan yang dilakukan oleh organisasi Yehuwa bertujuan untuk membantu kita menghampiri Tuhan dan menyembah-Nya mengikut cara yang ditetapkan oleh Yesus. (Yak. 4:4) Perubahan itu dibuat, bukan kerana kita ingin mengikut pandangan orang di dunia yang selalu berubah, tetapi kerana pemahaman kita tentang Bible sudah bertambah jelas. Ya, kita memang mencintai kebenaran!​—1 Tes. 2:3, 4.

KITA SALING MENGASIHI DENGAN MENDALAM

13. Apakah sifat yang paling penting yang ditunjukkan oleh orang Kristian sejati, dan bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa pada hari ini menunjukkan sifat ini?

13 Orang Kristian abad pertama dikenali kerana sifat-sifat baik mereka. Namun, mereka paling dikenali kerana menunjukkan sifat kasih. Yesus berkata, “Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.” (Yoh. 13:34, 35) Dewasa ini, Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia menikmati kasih dan perpaduan yang sejati. Kita berbeza daripada agama lain kerana walaupun kita berasal dari negara dan budaya yang berbeza, kita seperti sebuah keluarga. Kita dapat melihat kasih yang sejati semasa perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen kita. Hal ini meyakinkan kita bahawa ibadat kitalah yang diterima oleh Yehuwa.

14. Menurut Kolose 3:12-14, bagaimanakah kita dapat saling mengasihi dengan mendalam?

14 Ayat-Ayat Suci menggesa kita, “Kasihilah satu sama lain dengan mendalam.” (1 Ptr. 4:8) Untuk berbuat demikian, kita boleh saling memaafkan dan bersabar dengan ketidaksempurnaan satu sama lain. Kita juga boleh mencari peluang untuk bermurah hati dan menyambut saudara saudari dengan ramah, termasuk mereka yang mungkin telah menyakiti hati kita. (Baca Kolose 3:12-14.) Apabila kita menunjukkan kasih sebegini, kita membuktikan bahawa kita ialah orang Kristian sejati.

“SATU KEPERCAYAAN”

15. Apakah hal-hal lain yang menunjukkan bahawa kita mengikut cara orang Kristian abad pertama beribadat?

15 Kita juga mengikut cara sidang Kristian abad pertama beribadat dari segi yang lain. Sebagai contoh, cara kita diorganisasikan sama seperti orang Kristian abad pertama. Seperti mereka, kita ada penyelia litar, penatua, dan pembantu sidang. (Flp. 1:1; Tit. 1:5) Selain itu, kita juga memiliki pandangan yang sama dengan mereka dalam hal hubungan seks dan perkahwinan, kesucian darah, dan aturan penyingkiran.​—Kis. 15:28, 29; 1 Kor. 5:11-13; 6:9, 10; Ibr. 13:4.

16. Apakah yang kita pelajari daripada kata-kata di Efesus 4:4-6?

16 Yesus berkata bahawa banyak orang akan mengaku diri sebagai pengikutnya, tetapi bukan semua antara mereka ialah pengikutnya yang sejati. (Mat. 7:21-23) Ayat-Ayat Suci juga telah memberikan amaran bahawa pada hari-hari terakhir, banyak orang akan “nampaknya beribadat kepada Tuhan” di depan orang lain. (2 Tim. 3:1, 5) Namun, Bible memberitahu kita dengan terus terang bahawa hanya ada “satu kepercayaan,” atau satu agama, yang diterima oleh Tuhan.​—Baca Efesus 4:4-6.

17. Siapakah yang sedang mengikut Yesus dan mengamalkan ibadat sejati pada hari ini?

17 Siapakah yang sedang mengamalkan ibadat sejati pada hari ini? Kita sudah mengkaji bukti-buktinya dengan melihat cara beribadat yang diajarkan oleh Yesus dan yang diamalkan oleh orang Kristian abad pertama. Jelaslah, hanya ada satu jawapan kepada soalan itu, iaitu Saksi-Saksi Yehuwa. Betapa besarnya penghormatan kita untuk menyertai umat Yehuwa dan mengetahui kebenaran tentang Yehuwa dan tujuan-Nya. Semoga kita terus berpegang teguh pada kebenaran yang kita miliki!

LAGU 3 Engkaulah Sumber Kekuatan, Harapan, dan Keyakinan

^ per. 5 Dalam rencana ini, kita akan melihat cara beribadat yang diajarkan oleh Yesus dan bagaimana murid-muridnya pada abad pertama mengikut cara beribadat itu. Kita juga akan mengkaji bukti yang menunjukkan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa dewasa ini juga mengikut cara beribadat yang sama.

^ per. 9 Lihat kotak Apakah Orang Kristian Masa Awal Menggunakan Nama Tuhan? dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 1 Julai 2010, ms. 6.

^ per. 10 Misalnya pada tahun 2008, Paus Benedict XVI mengarahkan agar nama Tuhan “tidak digunakan atau disebut” dalam lagu, doa, atau ibadat di gereja Katolik.

^ per. 63 KETERANGAN GAMBAR: Organisasi Yehuwa telah menerbitkan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam lebih daripada 200 bahasa supaya orang dapat membaca Bible yang mengandungi nama Tuhan dalam bahasa mereka sendiri.