Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Membina Semula Persahabatan Anda dengan Yehuwa

Membina Semula Persahabatan Anda dengan Yehuwa

SETIAP tahun, banyak orang yang telah disingkirkan diterima kembali ke dalam sidang. Hal ini tentu mendatangkan ‘sukacita yang besar di syurga’! (Luk. 15:7, 10) Jika anda telah diterima kembali ke dalam sidang, yakinlah bahawa Yesus, para malaikat, dan Yehuwa berasa sangat gembira. Namun, anda mungkin menghadapi cabaran semasa membina semula persahabatan anda dengan Yehuwa. Apakah sesetengah cabaran itu, dan bagaimanakah anda dapat mengatasinya?

APAKAH CABARAN-CABARANNYA?

Ramai saudara saudari bergelut dengan perasaan yang negatif setelah kembali ke sidang. Hal ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Setelah dosa Raja Daud diampunkan, dia masih berkata, “Dosaku yang begitu banyak mencengkam aku.” (Mzm. 40:12; 65:3) Ya, setelah seseorang kembali kepada Yehuwa, perasaan malu dan bersalah mungkin terus membebaninya selama bertahun-tahun. Isabelle telah disingkirkan untuk lebih daripada 20 tahun. * Dia berkata, “Saya berasa sangat susah untuk percaya bahawa Yehuwa sudah mengampuni saya.” Fikiran sebegini berbahaya kerana dapat menyebabkan anda menjadi tawar hati dan melemahkan hubungan anda dengan Yehuwa lagi. (Ams. 24:10) Maka, berusahalah untuk melawannya.

Yang lain pula risau bahawa mereka tidak dapat melakukan segala yang diperlukan untuk membina semula hubungan mereka dengan Yehuwa. Setelah Antoine diterima kembali, dia berkata, “Saya rasa saya sudah lupa banyak perkara tentang kehidupan sebagai orang Kristian.” Perasaan sebegini mungkin menyebabkan sesetengah orang teragak-agak untuk menyertai aktiviti rohani dengan sepenuhnya.

Fikirkan contoh ini: Jika rumah seseorang mengalami kerosakan teruk akibat ribut taufan, dia mungkin berasa bahawa dia tidak mampu mencurahkan masa dan tenaga yang diperlukan untuk membina semula rumahnya. Begitu juga, jika persahabatan anda dengan Yehuwa telah dirosakkan akibat dosa yang serius, anda mungkin berasa bahawa anda tidak mampu membina semula persahabatan itu. Namun, Yehuwa telah menyediakan bantuan untuk anda.

Yehuwa memberikan jemputan ini: “Marilah kita selesaikan perkara ini.” (Yes. 1:18) Dengan berusaha untuk kembali ke sidang, anda menunjukkan bahawa anda sudi menerima jemputan itu, dan Yehuwa mengasihi anda kerana anda berbuat demikian. Fikirkan: Usaha anda telah membolehkan-Nya menjawab tuduhan Syaitan!​—Ams. 27:11.

Memandangkan anda sudah berusaha untuk menghampiri Yehuwa, Dia pasti menghampiri anda juga. (Yak. 4:8) Anda memang patut dipuji kerana orang lain dapat melihat bahawa anda sudah kembali ke sidang. Namun, anda juga perlu terus memperdalam kasih anda kepada Yehuwa, iaitu Bapa dan Sahabat anda. Bagaimanakah anda dapat berbuat demikian?

TETAPKAN MATLAMAT YANG DAPAT DICAPAI

Cubalah tetapkan matlamat yang dapat anda capai. Kemungkinan besar, asas rohani anda, iaitu pengetahuan anda tentang Yehuwa dan janji-Nya tentang masa depan, masih kukuh. Namun, bangunan rohani anda, iaitu kehidupan Kristian anda yang merangkumi kerja penyebaran dan pergaulan dengan rakan seiman, perlu dibina semula. Perhatikan beberapa matlamat yang dapat membantu anda.

Sering berdoa kepada Yehuwa. Bapa Yehuwa faham bahawa apabila anda asyik dibebani rasa bersalah, anda akan berasa susah untuk berdoa kepada-Nya. (Rm. 8:26) Biarpun begitu, “teruslah berdoa dengan tekun,” dan beritahulah Yehuwa bahawa anda sangat ingin bersahabat dengan-Nya. (Rm. 12:12) Andrej berkata, “Saya rasa sangat malu dan bersalah. Tetapi setiap kali selepas berdoa, perasaan itu berkurang, dan saya rasa lebih tenang.” Jika anda tidak tahu apa yang hendak didoakan, kajilah Mazmur 51 dan 65. Dua mazmur itu mengandungi doa yang diucapkan oleh Raja Daud selepas dia bertaubat.

Kaji Bible secara tetap. Dengan itu, iman dan kasih anda kepada Yehuwa akan dikuatkan. (Mzm. 19:7-11) Felipe berkata, “Dahulu, saya tidak ada tabiat rohani yang baik. Itulah sebabnya saya menjadi lemah dan mengecewakan Yehuwa. Saya tidak mahu mengulangi kesilapan saya, jadi saya memutuskan untuk membuat pembelajaran peribadi.” Ya, pembelajaran peribadi dapat membantu anda. Jika anda memerlukan bantuan untuk memilih topik pembelajaran yang sesuai, beritahulah seorang sahabat yang matang.

Membina semula persahabatan anda dengan rakan seiman. Sesetengah orang yang kembali ke sidang berasa risau orang lain akan berpandangan buruk terhadap mereka. Larissa mengaku, “Untuk masa yang lama, saya rasa sangat malu. Saya juga rasa saya telah menyakiti dan menghampakan saudara saudari.” Jika anda berasa begitu, yakinlah bahawa para penatua dan rakan seiman yang matang ingin membantu anda membina semula kerohanian anda. (Lihat kotak “ Apakah yang Dapat Para Penatua Lakukan?”) Mereka sangat gembira semasa melihat anda kembali, dan mereka juga ingin anda bersukacita!​—Ams. 17:17.

Bagaimanakah anda dapat lebih menghampiri rakan seiman anda? Sertailah semua kegiatan rohani bersama mereka, seperti menghadiri perjumpaan dan menginjil. Apakah manfaatnya jika anda berbuat demikian? Felix berkata, “Saya dapat rasakan bahawa saudara saudari menanti-nantikan kepulangan saya. Mereka bantu saya rasa bahawa saya ialah sebahagian daripada sidang lagi, bahawa Yehuwa sudah mengampuni saya, dan bahawa saya boleh terus menyembah Yehuwa.”​—Lihat kotak “ Apakah yang Dapat Anda Lakukan?

JANGAN PUTUS ASA!

Semasa anda membina semula persahabatan anda dengan Yehuwa, Syaitan akan terus menggunakan “ribut taufan” untuk cuba membuat anda putus asa. (Luk. 4:13) Jadi, sekaranglah masanya untuk mengukuhkan bangunan rohani anda!

Mengenai bebiri-Nya, Yehuwa berjanji, “Yang hilang akan Aku cari, yang sesat akan Aku bawa pulang, yang luka akan Aku balut, dan yang lemah akan Aku kuatkan.” (Yeh. 34:16) Yehuwa telah membantu ramai orang yang jatuh secara rohani untuk bangkit semula. Maka percayalah bahawa Dia ingin membantu anda untuk terus menguatkan hubungan anda dengan-Nya.

^ per. 4 Nama-nama dalam rencana ini telah diubah.