Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 45

Hargai Penghormatan untuk Menyembah Yehuwa di Rumah Rohani-Nya

Hargai Penghormatan untuk Menyembah Yehuwa di Rumah Rohani-Nya

‘Sembahlah Dia yang menjadikan langit dan bumi.’​—WHY. 14:7.

LAGU 93 Berkatilah Perjumpaan Kami

PENGENALAN a

1. Apakah yang dikatakan oleh satu malaikat, dan apakah maksud kata-katanya bagi kita?

 JIKA malaikat bercakap kepada anda, adakah anda akan mendengarkannya? Hari ini, satu malaikat sedang bercakap “kepada setiap bangsa, suku, bahasa, dan kaum.” Malaikat itu berkata, ‘Takutlah kepada Tuhan dan muliakanlah Dia. Sembahlah Dia yang menjadikan langit dan bumi.’ (Why. 14:6, 7) Ya, semua orang harus menyembah Yehuwa, satu-satunya Tuhan yang benar. Kita sangat bersyukur kerana Yehuwa telah memberi kita penghormatan untuk menyembah-Nya di Rumah Rohani-Nya yang agung!

2. Apakah itu Rumah Rohani Yehuwa? (Lihat juga kotak “ Rumah Rohani Tuhan Tidak Sama dengan . . . ”)

2 Apakah sebenarnya Rumah Rohani Tuhan, dan di manakah kita dapat menjumpai maklumat tentangnya? Rumah Rohani Tuhan bukanlah bangunan yang harfiah atau yang sebenar. Rumah Rohani Tuhan ialah aturan Yehuwa bagi kita untuk mempersembahkan ibadat yang diperkenankan-Nya berdasarkan korban tebusan Yesus. Rasul Paulus memberi orang Kristian Ibrani yang tinggal di Yudea pada abad pertama lebih banyak maklumat tentang aturan ini dalam suratnya. b

3-4. Mengapakah Paulus menulis surat kepada orang Kristian Ibrani di Yudea, dan bagaimanakah dia membantu mereka?

3 Mengapakah Paulus menulis surat kepada orang Kristian Ibrani di Yudea? Nampaknya terdapat dua sebab. Pertama, dia mahu menggalakkan mereka. Dulu, kebanyakan orang Kristian Ibrani mengikut agama Yahudi. Pemimpin agama Yahudi mungkin mencemuh mereka kerana menjadi orang Kristian. Mengapa? Orang Yahudi menyembah Tuhan di Rumah Tuhan yang cantik, mempunyai mazbah untuk mempersembahkan korban kepada Tuhan, dan mempunyai aturan imam, sedangkan orang Kristian tiada semua ini. Hal itu mungkin membuat orang Kristian Ibrani berasa tawar hati. (Ibr. 2:1; 3:12, 14) Sesetengah antara mereka bahkan mungkin terfikir untuk kembali mengikut agama Yahudi.

4 Kedua, Paulus mahu memberitahu orang Kristian Ibrani bahawa mereka tidak berusaha untuk memahami “makanan yang keras” dalam Firman Tuhan, iaitu ajaran rohani yang baharu atau mendalam. (Ibr. 5:11-14) Nampaknya, ada antara mereka yang masih mengikut Hukum Musa. Jadi Paulus mengingatkan mereka bahawa korban yang dipersembahkan mengikut Hukum Musa tidak dapat menyingkirkan dosa mereka dengan sepenuhnya, dan itulah sebabnya Hukum Musa telah “dibatalkan.” Paulus juga mengajar mereka kebenaran Bible yang mendalam. Dia mengingatkan orang Kristian Ibrani tentang “harapan yang lebih baik,” yang berdasarkan korban Yesus. Harapan itu dapat membantu mereka betul-betul “mendekati Tuhan.”​—Ibr. 7:18, 19.

5. Apakah yang perlu kita faham dalam buku Ibrani, dan mengapa?

5 Paulus memberitahu orang Kristian Ibrani mengapa cara ibadat orang Kristian jauh lebih unggul daripada cara ibadat mereka yang dahulu. Cara ibadat agama Yahudi “cumalah bayangan kepada hal-hal yang akan datang, tetapi perkara yang sebenar ialah Kristus.” (Kol. 2:17) Bayang-bayang bukanlah objek yang sebenar, tetapi merupakan bentuk yang samar-samar atau yang tidak jelas bagi objek yang sebenar. Begitu juga, cara ibadat agama Yahudi hanyalah bayangan kepada cara ibadat yang lebih baik yang akan datang, iaitu aturan Rumah Rohani Tuhan. Menerusi aturan ini, dosa kita dapat diampunkan dan kita dapat beribadat kepada Yehuwa dalam cara yang diterima oleh-Nya. Maka, amatlah penting untuk memahami aturan Rumah Rohani Tuhan. Sekarang, mari kita membandingkan cara ibadat agama Yahudi (iaitu bayangan) dengan cara ibadat orang Kristian (iaitu realiti), seperti yang dijelaskan dalam buku Ibrani. Dengan berbuat demikian, kita dapat lebih memahami maksud sebenar Rumah Rohani Tuhan, dan melihat kaitannya dengan kita.

KHEMAH SUCI

6. Bagaimanakah khemah suci digunakan?

6 Bayangan. Perbincangan Paulus adalah berdasarkan khemah suci yang disediakan oleh Musa pada tahun 1512 SM. (Lihat carta “Bayangan—Realiti.”) Pada mulanya, orang Israel selalu membawa khemah suci bersama mereka apabila mereka perlu berpindah-randah. Mereka terus menggunakan khemah suci untuk hampir 500 tahun sehinggalah Rumah Tuhan di Yerusalem siap dibina. (Kel. 25:8, 9; Bil. 9:22) Khemah suci juga kadangkala dipanggil “khemah pertemuan” dan merupakan tempat bagi orang Israel untuk menyembah Tuhan dan mempersembahkan korban kepada-Nya. (Kel. 29:43-46) Namun, khemah suci ini juga melambangkan sesuatu yang lebih unggul bagi orang Kristian.

7. Bilakah Rumah Rohani Tuhan menjadi realiti?

7 Realiti. Khemah suci hanyalah “bayangan kepada hal-hal di syurga,” dan melambangkan Rumah Rohani Yehuwa yang agung. Paulus mengatakan bahawa “khemah yang pertama ini [atau, khemah suci] melambangkan zaman sekarang.” (Ibr. 8:5; 9:9) Jadi semasa dia menulis buku Ibrani, rumah rohani itu sudah menjadi realiti bagi orang Kristian. Sebenarnya, rumah rohani itu telah wujud pada tahun 29 Masihi. Pada tahun itu, Yesus dibaptis, diurapi dengan kuasa suci Tuhan, dan mula berkhidmat sebagai “imam agung yang mulia.” c​—Ibr. 4:14; Kis. 10:37, 38.

IMAM AGUNG

8-9. Menurut Ibrani 7:23-27, apakah perbezaan utama antara imam agung orang Israel dengan Imam Agung yang lebih besar, iaitu Yesus Kristus?

8 Bayangan. Imam agung dilantik untuk mewakili orang Israel untuk menghadap Tuhan. Selepas khemah suci ditahbiskan, Harun dilantik sebagai imam agung pertama orang Israel. Namun seperti yang dijelaskan oleh Paulus, “para imam akan mati dan tidak dapat meneruskan tugas mereka. Oleh sebab itu, orang lain harus menggantikan mereka.” d (Baca Ibrani 7:23-27.) Memandangkan mereka tidak sempurna, imam agung orang Israel perlu mempersembahkan korban bagi dosa sendiri. Inilah perbezaan utama antara imam agung orang Israel dengan Imam Agung yang lebih besar, iaitu Yesus Kristus.

9 Realiti. Sebagai Imam Agung kita, Yesus Kristus “berkhidmat . . . di dalam khemah sejati yang didirikan oleh Yehuwa dan bukannya manusia.” (Ibr. 8:1, 2) Paulus berkata bahawa “memandangkan Yesus hidup untuk selama-lamanya, tugasnya sebagai imam tidak akan digantikan oleh orang lain.” Paulus juga berkata bahawa Yesus “tidak tercemar” dan dia “terasing daripada pendosa.” Maka, tidak seperti imam-imam agung Israel, dia tidak perlu “mempersembahkan korban setiap hari” untuk dosanya sendiri. Sekarang, perhatikan perbezaan antara mazbah dan korban pada zaman kuno dengan realitinya pada zaman Kristian.

MAZBAH DAN KORBAN

10. Korban-korban yang dipersembahkan di atas mazbah tembaga merupakan bayangan kepada apa?

10 Bayangan. Di luar pintu masuk khemah suci, terdapat mazbah tembaga untuk mempersembahkan korban binatang kepada Yehuwa. (Kel. 27:1, 2; 40:29) Namun, korban-korban itu tidak dapat menghapuskan dosa manusia dengan sepenuhnya. (Ibr. 10:1-4) Maka, korban-korban binatang yang dipersembahkan secara berterusan di khemah suci merupakan bayangan kepada satu korban yang akan menghapuskan dosa manusia dengan sepenuhnya.

11. Apakah yang dilambangkan oleh mazbah simbolik? (Ibrani 10:5-7, 10)

11 Realiti. Yesus tahu bahawa tujuan Yehuwa mengutusnya ke bumi adalah untuk menyerahkan nyawanya sebagai korban tebusan bagi manusia. (Mat. 20:28) Maka, semasa Yesus dibaptis, dia mempersembahkan dirinya untuk melakukan kehendak Yehuwa. (Yoh. 6:38; Gal. 1:4) Yesus mempersembahkan dirinya atas mazbah simbolik, yang melambangkan “kehendak” Tuhan agar dia mengorbankan nyawanya yang sempurna. Yesus mempersembahkan nyawanya “sekali untuk selama-lamanya” untuk menutup, atau menebus dosa semua orang yang beriman kepadanya. (Baca Ibrani 10:5-7, 10.) Sekarang, kita akan mengkaji apa yang dilambangkan oleh ciri-ciri yang terdapat di dalam khemah suci.

BILIK SUCI DAN BILIK MAHA SUCI

12. Siapakah yang boleh masuk ke dalam bilik-bilik di khemah suci?

12 Bayangan. Khemah suci dan Rumah Tuhan yang dibina di Yerusalem mempunyai rekaan dalaman yang hampir sama. Di dalamnya, terdapat dua bilik, iaitu “Bilik Suci” dan “Bilik Maha Suci” yang dipisahkan oleh tirai. (Ibr. 9:2-5; Kel. 26:31-33) Di dalam Bilik Suci, terdapat kaki pelita emas, mazbah untuk membakar kemenyan, dan meja untuk roti yang dipersembahkan. Hanya orang yang “diurapi untuk berkhidmat sebagai imam” boleh masuk ke dalam Bilik Suci untuk melaksanakan tugas suci mereka. (Bil. 3:3, 7, 10) Di dalam Bilik Maha Suci pula, terdapat tabut perjanjian emas yang melambangkan kehadiran Yehuwa. (Kel. 25:21, 22) Hanya imam agung dibenarkan untuk melalui tirai di situ lalu masuk ke dalam Bilik Maha Suci, sekali setahun pada Hari Pengampunan Dosa. (Im. 16:2, 17) Tahun demi tahun, dia memasuki bilik itu dengan membawa darah binatang untuk menebus dosa sendiri dan dosa seluruh bangsa Israel. Pada kemudian hari, melalui kuasa suci-Nya, Yehuwa memberitahu kita apa yang dilambangkan oleh ciri-ciri yang terdapat dalam khemah suci.​—Ibr. 9:6-8.

13. Apakah yang dilambangkan oleh Bilik Suci dan Bilik Maha Suci dalam khemah suci?

13 Realiti. Sebilangan kecil pengikut Kristus telah diurapi dengan kuasa suci Tuhan, dan mereka menikmati hubungan yang istimewa dengan Yehuwa. Jumlah mereka ialah 144,000 orang dan mereka akan berkhidmat sebagai imam bersama Yesus di syurga. (Why. 1:6; 14:1) Bilik Suci dalam khemah suci melambangkan keadaan mereka di bumi selepas diurapi kuasa suci Tuhan sebagai anak-anak-Nya. (Rm. 8:15-17) Bilik Maha Suci pula melambangkan syurga, iaitu tempat tinggal Yehuwa. “Tirai” yang memisahkan Bilik Suci daripada Bilik Maha Suci melambangkan tubuh jasmani Yesus. Selagi Yesus mempunyai tubuh jasmaninya, dia tidak boleh memasuki syurga dan tidak boleh berkhidmat sebagai Imam Agung di Rumah Rohani Tuhan. Dengan mengorbankan tubuh jasmaninya sebagai tebusan untuk manusia, Yesus membuka jalan bagi semua orang Kristian terurap untuk hidup di syurga. Mereka juga harus mati sebelum dapat menerima ganjaran mereka di syurga. (Ibr. 10:19, 20; 1 Kor. 15:50) Selepas Yesus dibangkitkan, dia memasuki Bilik Maha Suci di dalam Rumah Rohani Tuhan, dan semua orang Kristian terurap akhirnya akan menyertainya di sana.

14. Menurut Ibrani 9:12, 24-26, mengapakah aturan Rumah Rohani Yehuwa lebih unggul?

14 Aturan Rumah Rohani Yehuwa yang berdasarkan korban tebusan dan peranan Yesus sebagai Imam Agung, adalah jauh lebih unggul daripada cara ibadat orang Israel kuno. Imam agung pada zaman Israel kuno membawa darah korban binatang dan memasuki Bilik Maha Suci yang dibuat dengan tangan manusia. Tetapi Yesus “masuk ke syurga,” iaitu tempat yang paling suci, untuk menghadap Yehuwa. Di sana, dia mempersembahkan nilai nyawanya yang sempurna, yang telah dia korbankan “untuk menyingkirkan dosa.” (Baca Ibrani 9:12, 24-26.) Ya, korban Yesus dapat menghapuskan dosa buat selama-lamanya. Seperti yang akan kita bincangkan seterusnya, tidak kira sama ada harapan kita adalah untuk naik ke syurga atau tinggal di bumi, kita semua dapat menyembah Yehuwa dalam Rumah Rohani-Nya.

HALAMAN DALAM DAN LUAR

15. Siapakah yang berkhidmat di kawasan halaman di khemah suci?

15 Bayangan. Khemah suci hanya mempunyai satu halaman. Halaman itu ialah sebuah kawasan terbuka yang dikelilingi pagar dan para imam berkhidmat di sana. Di sana, ada sebuah mazbah tembaga yang besar untuk korban bakar dan sebuah besen tembaga yang berisi air untuk para imam membersihkan diri sebelum menjalankan khidmat suci. (Kel. 30:17-20; 40:6-8) Rumah Tuhan yang dibina pada kemudian hari pula mempunyai satu lagi halaman, iaitu halaman luar. Orang yang bukan daripada keturunan imam dapat berdiri di sana untuk menyembah Tuhan.

16. Siapakah yang berkhidmat di halaman dalam dan halaman luar Rumah Rohani Tuhan?

16 Realiti. Sebelum menyertai Yesus di syurga sebagai imam, orang Kristian terurap di bumi berkhidmat kepada Tuhan dengan setia di halaman dalam Rumah Rohani Tuhan. Besen besar yang berisi air ialah peringatan penting kepada mereka dan semua orang Kristian yang lain bahawa mereka mesti tetap bersih dari segi moral dan rohani. Jadi, di manakah “kumpulan besar manusia,” yang menyokong orang Kristian terurap, menyembah Yehuwa? Rasul Yohanes nampak “mereka berdiri di hadapan takhta.” Hal ini melambangkan halaman luar yang terletak di bumi. Di sana, mereka “menjalankan khidmat suci kepada Tuhan di Rumah-Nya siang dan malam.” (Why. 7:9, 13-15) Alangkah besarnya penghormatan kita kerana dapat menyembah Tuhan dalam aturan-Nya untuk ibadat sejati!

PENGHORMATAN UNTUK MENYEMBAH YEHUWA

17. Apakah korban yang dapat kita persembahkan kepada Yehuwa?

17 Hari ini, semua orang Kristian dapat mengorbankan masa, tenaga, dan harta benda untuk kepentingan Kerajaan Tuhan. Seperti yang dikatakan oleh Rasul Paulus kepada orang Kristian Ibrani, kita dapat “sentiasa mempersembahkan puji-pujian sebagai korban kepada Tuhan. Itulah buah yang kita persembahkan dengan bibir apabila kita mengisytiharkan nama-Nya di hadapan umum.” (Ibr. 13:15) Kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai penghormatan untuk menyembah Yehuwa dengan memberi-Nya yang terbaik.

18. Menurut Ibrani 10:22-25, apakah yang tidak patut kita abaikan, dan apakah yang harus kita sentiasa ingat?

18 Baca Ibrani 10:22-25. Dalam bahagian terakhir suratnya kepada orang Kristian Ibrani, Paulus menyatakan beberapa hal penting dalam ibadat kita yang tidak patut kita abaikan. Contohnya berdoa, menginjil, menghadiri perjumpaan bersama sidang, dan menggalakkan satu sama lain “lebih-lebih lagi seraya [kita] nampak hari [Yehuwa] semakin mendekat.” Di hujung buku Wahyu, malaikat Yehuwa menyatakan, “Sembahlah Tuhan!” (Why. 19:10; 22:9) Malaikat tersebut menyatakan hal itu sebanyak dua kali untuk menunjukkan betapa pentingnya hal itu. Semoga kita sentiasa ingat akan kebenaran yang mendalam mengenai Rumah Rohani Yehuwa dan menghargai peluang untuk menyembah Tuhan kita yang agung!

LAGU 88 Ajarlah Aku Jalan-Mu

a Salah satu ajaran Bible yang mendalam adalah tentang Rumah Rohani Yehuwa yang agung. Apakah rumah itu? Dalam rencana ini, kita akan membincangkan perincian yang terdapat dalam buku Ibrani tentang rumah itu. Semoga pembelajaran ini membantu anda lebih menghargai penghormatan untuk menyembah Yehuwa.

b Untuk mendapat gambaran keseluruhan tentang buku Ibrani, tontonlah video Pengenalan kepada Buku Ibrani di jw.org.

c Dalam Kitab Yunani Kristian, hanya buku Ibrani yang menggambarkan Yesus sebagai Imam Agung.

d Menurut satu rujukan, mungkin terdapat sekurang-kurangnya 84 orang imam agung yang pernah berkhidmat di Israel sebelum Rumah Tuhan di Yerusalem dimusnahkan pada tahun 70 Masihi.

f Lihat kotak “Bagaimana Roh Menyingkapkan Makna Bait Rohani” dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia terbitan 15 Julai 2010, ms. 22.