Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 43

LAGU 90 Galakkan Satu Sama Lain

Cara Mengatasi Keraguan

Cara Mengatasi Keraguan

“Periksalah semua perkara.”​—1 TES. 5:21.

FOKUS

Apa yang dapat anda lakukan jika anda memiliki keraguan yang dapat menjejaskan ibadat anda kepada Yehuwa.

1-2. (a) Apakah sesetengah keraguan yang dirasai oleh hamba-hamba Yehuwa? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

 TIDAK kira berapa umur kita, kita semua ada kalanya pernah berasa ragu-ragu. a Sebagai contoh, seorang Saksi muda mungkin teragak-agak untuk dibaptis kerana meragui sama ada Yehuwa betul-betul mengambil berat terhadapnya atau tidak. Seorang saudara yang berumur sekitar 50 tahun mungkin berasa susah untuk menyara keluarganya. Jadi dia mungkin berfikir sama ada keputusannya untuk mengutamakan Yehuwa semasa muda berbaloi atau tidak. Seorang saudari yang tua mungkin rasa tawar hati kerana dia sudah lemah dan tidak dapat melakukan sebanyak yang dilakukannya dahulu. Pernahkah anda tertanya-tanya soalan seperti, “Adakah Yehuwa prihatin terhadap saya? Adakah pengorbanan yang saya buat demi Yehuwa berbaloi? Adakah saya masih berharga bagi Yehuwa?”

2 Jika kita tidak mengatasi keraguan sebegini, ibadat kita kepada Yehuwa akan terjejas. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana prinsip Bible dapat membantu kita jika kita ragu-ragu tentang hal berikut: (1) Adakah Yehuwa mengambil berat terhadap kita sebagai individu? (2) Adakah pengorbanan kita demi Yehuwa berbaloi? (3) Adakah kita masih berguna bagi Yehuwa?

CARA MENGATASI KERAGUAN

3. Apakah satu cara kita dapat mengatasi keraguan kita?

3 Satu cara kita dapat mengatasi keraguan kita adalah dengan mengkaji Bible. Jika kita berbuat demikian, hubungan kita dengan Yehuwa akan bertambah erat dan kita akan “berpegang teguh pada iman.”​—1 Kor. 16:13.

4. Bagaimanakah kita dapat ‘memeriksa semua perkara’? (1 Tesalonika 5:21)

4 Baca 1 Tesalonika 5:21. Bible menggalakkan kita untuk ‘memeriksa semua perkara.’ Bagaimanakah kita dapat berbuat demikian? Kita perlu membandingkan apa yang kita percayai dengan apa yang diajarkan Bible. Fikir kembali Saksi muda tadi yang ragu-ragu jika Tuhan mengambil berat terhadapnya. Patutkah dia mempercayai hal itu tanpa usul periksa? Tidak, dia patut ‘memeriksa semua perkara’ dengan mengambil tahu pandangan Yehuwa tentang hal itu.

5. Bagaimanakah kita dapat “mendengar” jawapan Yehuwa kepada soalan kita?

5 Semasa membaca Bible, kita seolah-olah “mendengar” Yehuwa bercakap dengan kita. Tetapi jika kita mahu “mendengar” jawapan Yehuwa bagi soalan tertentu, kita perlu berusaha untuk mencari ayat Bible yang berkaitan dengan soalan kita dan membuat kajian dengan menggunakan alat penyelidikan yang disediakan oleh organisasi Yehuwa. (Ams. 2:​3-6) Mula-mula, kita boleh berdoa kepada Yehuwa supaya membimbing dan membantu kita mencari tahu pandangan-Nya. Kemudian kita boleh mencari prinsip Bible dan maklumat tambahan yang sesuai dengan situasi kita. Kita juga boleh mengkaji watak-watak Bible yang pernah menghadapi situasi yang sama.

6. Bagaimanakah perjumpaan dapat membantu kita mengatasi keraguan?

6 Semasa kita belajar Bible di perjumpaan, kita juga seolah-olah “mendengar” Yehuwa bercakap dengan kita. Maka jika kita menghadiri perjumpaan secara tetap, ceramah atau komen saudara saudari mungkin dapat membantu kita mengatasi keraguan. (Ams. 27:17) Sekarang, mari kita lihat keraguan yang dimiliki sesetengah orang dan cara untuk mengatasinya.

ADAKAH YEHUWA MENGAMBIL BERAT TERHADAP SAYA?

7. Apakah soalan yang difikirkan oleh sesetengah orang?

7 Pernahkah anda tertanya-tanya, “Adakah Yehuwa benar-benar mengambil berat terhadap saya?” Jika anda memandang rendah terhadap diri sendiri, anda mungkin rasa adalah mustahil untuk menjadi sahabat kepada Pencipta alam semesta. Raja Daud mungkin pernah mempunyai perasaan yang sama. Dia bertanya, “Ya Yehuwa, siapakah manusia sehingga Engkau mengambil peduli tentang mereka? Siapakah manusia fana sehingga Engkau memperhatikan mereka?” (Mzm. 144:3) Dari manakah anda dapat mencari jawapan kepada soalan ini?

8. Menurut 1 Samuel 16:​6, 7, 10-12, apakah yang diperhatikan oleh Yehuwa?

8 Daripada Bible, kita belajar bahawa Yehuwa memperhatikan orang yang nampaknya tidak penting. Contohnya, semasa Yehuwa mengutus Samuel ke rumah Isai untuk mengurapi salah seorang anak lelakinya sebagai raja Israel, Isai memanggil semua anak lelakinya untuk berjumpa dengan Samuel, kecuali anak bongsunya Daud. b Namun, Daudlah yang dipilih oleh Yehuwa. (Baca 1 Samuel 16:​6, 7, 10-12.) Yehuwa nampak apa yang ada di dalam hati Daud. Dia tahu bahawa Daud sangat mengasihi-Nya.

9. Mengapakah anda boleh yakin bahawa Yehuwa mengambil berat terhadap anda? (Lihat juga gambar.)

9 Fikirkan bagaimana Yehuwa sudah pun menunjukkan bahawa Dia mengambil berat terhadap anda. Dia berjanji untuk memberi anda nasihat yang disesuaikan mengikut keperluan anda. (Mzm. 32:8) Tidakkah hal ini membuktikan bahawa Dia sangat mengenali anda? (Mzm. 139:1) Apabila anda meraih manfaat kerana mengikut nasihat Yehuwa, anda akan lebih yakin bahawa Dia mengambil berat tentang anda. (1 Taw. 28:9; Kis. 17:​26, 27) Yehuwa melihat usaha anda dan sifat-sifat baik anda. Itulah sebabnya Dia mahu jadi sahabat anda. (Yer. 17:10) Dia pasti sangat gembira jika anda pun mahu jadi sahabat-Nya.​—1 Yoh. 4:19.

“Carilah [Yehuwa], dan Dia akan membiarkan diri-Nya ditemukan olehmu.”—1 Taw. 28:9 (Lihat perenggan 9) c


ADAKAH PENGORBANAN YANG SAYA BUAT DEMI YEHUWA BERBALOI?

10. Apakah soalan yang mungkin timbul semasa kita berfikir tentang pengorbanan yang pernah kita buat demi Yehuwa?

10 Kadangkala, sesetengah orang tertanya-tanya sama ada mereka telah membuat keputusan yang betul atau salah. Mereka mungkin telah menolak kerjaya atau perniagaan yang menguntungkan kerana ingin membuat lebih banyak untuk menyembah Yehuwa. Tetapi selepas puluhan tahun, mereka nampak kawan-kawan yang dulu mengutamakan kepentingan sendiri kini hidup kaya-raya dan selesa. Hasilnya mereka mungkin berfikir, “Adakah pengorbanan yang saya buat demi Yehuwa berbaloi? Atau adakah saya rugi kerana berbuat demikian?”

11. Mengapakah penulis Mazmur 73 berasa susah hati?

11 Jika anda pernah memikirkan hal yang sama, renungkanlah perasaan penulis Mazmur 73. Dia melihat orang yang tidak menyembah Yehuwa seolah-olah hidup sihat, makmur, dan bebas daripada masalah. (Mzm. 73:​3-5, 12) Akibatnya, dia rasa usahanya untuk menyembah Yehuwa sia-sia sahaja. Dia berkata, “Sehari suntuk, aku berasa susah hati.” (Mzm. 73:​13, 14) Bagaimanakah dia mengatasi keraguannya?

12. Menurut Mazmur 73:​16-18, bagaimanakah penulis mazmur itu mengatasi keraguannya?

12 Baca Mazmur 73:​16-18. Penulis mazmur itu pergi ke rumah suci Yehuwa. Dalam suasana yang damai di sana, dia dapat berfikir dengan baik. Dia sedar bahawa biarpun sesetengah orang nampaknya hidup senang, mereka sebenarnya tiada harapan masa depan. Setelah merenungkan hal ini, fikirannya menjadi tenang, dan dia yakin bahawa mengutamakan hal rohani ialah keputusan yang terbaik. Hasilnya, dia mendapat semangat baharu untuk terus menyembah Yehuwa.—Mzm. 73:​23-28.

13. Apakah yang dapat anda lakukan jika anda menyesali sesetengah pengorbanan yang anda buat pada masa lalu? (Lihat juga gambar.)

13 Seperti penulis mazmur, kita dapat menikmati fikiran yang tenang dengan bantuan Firman Tuhan. Bagaimana? Renungkanlah nilai harta rohani yang anda miliki, termasuk harta anda di syurga, dan bandingkannya dengan apa yang orang dapat nikmati di dunia ini. Bagi mereka, mengejar hidup yang selesa sekarang ialah hal yang terpenting kerana mereka tiada harapan masa depan. Tetapi Yehuwa telah berjanji untuk memberi anda masa depan indah yang tiada tolok bandingnya. (Mzm. 145:16) Fikirkan juga hal ini: Apakah yang menjamin bahawa kehidupan anda sekarang akan jauh lebih bagus jika anda tidak membuat pengorbanan demi Yehuwa? Ingatlah: Orang yang membuat pilihan berdasarkan kasih mereka untuk Tuhan dan orang lain pasti menikmati kehidupan yang terbaik.

Bertumpulah kepada berkat yang telah Yehuwa janjikan (Lihat perenggan 13) d


ADAKAH SAYA MASIH BERGUNA BAGI YEHUWA?

14. Mengapakah sesetengah orang berasa tawar hati? Apakah soalan yang mungkin mereka fikirkan?

14 Sesetengah hamba Yehuwa berasa tawar hati kerana apa yang mereka dapat lakukan terbatas akibat usia tua, masalah kesihatan, atau kerana mereka kurang upaya. Mereka mungkin tertanya-tanya, “Adakah saya masih berguna bagi Yehuwa?”

15. Penulis Mazmur 71 yakin akan hal apa?

15 Penulis Mazmur 71 pun mempunyai perasaan yang sama. Dia berdoa, “Janganlah tinggalkan aku semasa aku menjadi lemah.” (Mzm. 71:​9, 18) Biarpun dia berasa kemampuannya terbatas, dia yakin bahawa jika dia terus menyembah Yehuwa dengan setia, Yehuwa akan membimbing dan menyokongnya. Dia tahu bahawa Yehuwa senang hati dengan orang yang berusaha sedaya upaya untuk berkhidmat kepada-Nya biarpun mereka sudah tua atau lemah.​—Mzm. 37:​23-25.

16. Mengapakah warga emas masih berguna bagi Yehuwa? (Mazmur 92:​12-15)

16 Warga emas sekalian, lihatlah situasi anda dari sudut pandangan Yehuwa. Biarpun anda lemah secara fizikal, Dia dapat menguatkan anda secara rohani. (Baca Mazmur 92:​12-15.) Janganlah berfikir tentang apa yang tidak dapat anda lakukan. Sebaliknya, bertumpulah kepada apa yang dapat anda lakukan. Sebagai contoh, anda dapat menguatkan orang lain melalui teladan anda dan dengan mengambil berat terhadap mereka. Anda dapat menceritakan bagaimana Yehuwa telah menguatkan anda selama bertahun-tahun dan mengongsi harapan masa depan anda. Selain itu, ingatlah bahawa doa yang anda ucapkan untuk orang lain sangat berkuasa. (1 Ptr. 3:12) Tidak kira apa situasi kita, kita dapat melakukan sesuatu untuk Yehuwa dan orang lain.

17. Mengapakah kita tidak patut membandingkan diri dengan orang lain?

17 Jika anda berasa tawar hati kerana tidak dapat melakukan lebih banyak untuk Yehuwa, yakinlah bahawa Yehuwa menghargai apa sahaja yang mampu anda lakukan. Selain itu, janganlah membandingkan diri dengan orang lain, kerana Yehuwa pun tidak berbuat demikian. (Gal. 6:4) Bagaimanakah kita tahu? Fikirkan dua contoh berikut: Maria pernah memberi Yesus minyak wangi yang sangat mahal. (Yoh. 12:​3-5) Seorang balu miskin pula hanya mampu menyumbangkan dua keping wang yang sangat kecil nilainya. (Luk. 21:​1-4) Namun, Yesus menganggap kedua-dua wanita itu sangat beriman. Yesus mencerminkan pandangan dan sikap Yehuwa dengan sempurna. Jadi, Yehuwa pasti menghargai apa sahaja yang anda lakukan demi-Nya kerana anda mentaati dan mengasihi-Nya, walaupun anda rasa pemberian anda kecil sahaja.

18. Apakah yang dapat membantu kita mengatasi keraguan? (Lihat juga kotak “ Firman Yehuwa Dapat Membantu Anda Mengatasi Keraguan.”)

18 Kita semua akan mempunyai keraguan dari masa ke masa. Namun, seperti yang telah kita belajar, Bible dapat membantu kita mengatasinya. Maka berusahalah sedaya upaya untuk mengatasi keraguan anda, dan anda akan menjadi lebih yakin dan bersemangat. Ingatlah, Yehuwa mengambil berat terhadap anda sebagai seorang individu. Dia menghargai pengorbanan anda dan mahu memberkati anda. Yakinlah bahawa Dia mengasihi dan mengambil berat terhadap setiap hamba-Nya yang setia.

LAGU 111 Sebab-Sebab Kita Bersukacita

a MAKSUD UNGKAPAN: Keraguan yang dibincangkan dalam rencana ini berkaitan dengan perasaan bahawa kita tidak bernilai di mata Yehuwa atau bahawa pengorbanan kita demi Yehuwa tidak berbaloi. Keraguan ini berbeza daripada keraguan yang berpunca daripada kurangnya iman kepada Yehuwa dan janji-janji-Nya.

b Bible tidak memberitahu kita umur Daud semasa Yehuwa memilihnya sebagai raja. Namun kemungkinan besar, Daud masih remaja ketika itu.​—Lihat Menara Pengawal edisi umum terbitan No. 4, 2016, ms. 9.

c KETERANGAN GAMBAR: Seorang Saksi muda mencari Yehuwa dengan mengkaji nasihat-Nya dalam Bible.

d KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara membersihkan tingkap untuk menyara keluarganya, tetapi dia bertumpu kepada bumi Firdaus pada masa depan.