Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 41

LAGU 13 Kristus, Suri Teladan Kita

Pengajaran daripada 40 Hari Terakhir Yesus di Bumi

Pengajaran daripada 40 Hari Terakhir Yesus di Bumi

“Selama 40 hari, dia banyak kali menampakkan diri kepada mereka dan bercakap tentang Kerajaan Tuhan.”​—KIS. 1:3.

FOKUS

Mengkaji apa yang dilakukan oleh Yesus selama 40 hari terakhirnya di bumi dan cara kita dapat meniru teladannya.

1-2. Apakah yang berlaku semasa dua orang murid Yesus mengadakan perjalanan ke Emaus?

 PADA 16 Nisan, 33 Masihi, murid-murid Yesus sangat sedih dan takut. Dua orang murid Yesus mengadakan perjalanan ke Emaus, sebuah pekan yang terletak kira-kira 11 kilometer dari Yerusalem. Mereka berharap bahawa Mesias akan menyelamatkan mereka, tetapi harapan mereka nampaknya sudah hancur kerana Yesus telah dibunuh. Namun, kesedihan mereka bakal berubah.

2 Seorang lelaki yang tidak dikenali mendekati mereka dan mula berjalan bersama mereka. Semasa mereka memberitahunya apa yang terjadi kepada Yesus, lelaki itu memberitahu mereka sesuatu yang menarik. “Bermula dari kitab-kitab Musa dan Ajaran Para Nabi,” dia menjelaskan mengapa Mesias perlu menderita dan mati. Apabila mereka bertiga sampai di Emaus, dua orang murid itu sedar bahawa lelaki itu ialah Yesus. Betapa gembiranya mereka semasa mendapat tahu bahawa Mesias sudah dibangkitkan!​—Luk. 24:​13-35.

3-4. Apakah perubahan yang berlaku kepada murid-murid Yesus? Apakah yang akan kita belajar dalam rencana ini? (Kisah 1:3)

3 Selama 40 hari terakhirnya di bumi, Yesus menampakkan diri banyak kali kepada murid-muridnya. a (Baca Kisah 1:3.) Sepanjang masa itu, murid-murid Yesus yang sebelumnya sedih dan takut telah berubah menjadi penginjil dan pengajar berita baik yang gembira dan berani.

4 Kita dapat meraih manfaat dengan mengkaji apa yang dilakukan oleh Yesus selama 40 hari itu. Dalam rencana ini, kita akan melihat bagaimana Yesus menggunakan masa itu untuk (1) menggalakkan murid-muridnya, (2) membantu mereka lebih memahami Ayat-Ayat Suci, dan (3) melatih mereka untuk memikul lebih banyak tanggungjawab. Kita juga akan belajar cara untuk meniru teladan Yesus.

GALAKKAN ORANG LAIN

5. Mengapakah murid-murid Yesus memerlukan galakan?

5 Mengapakah murid-murid Yesus memerlukan galakan? Ada antara mereka yang telah meninggalkan rumah, keluarga, dan perniagaan mereka untuk mengikut Yesus. (Mat. 19:27) Yang lain pula dipulaukan kerana menjadi pengikut Yesus. (Yoh. 9:22) Mereka sanggup membuat pengorbanan sebegini kerana mereka percaya Yesus ialah Mesias yang dijanjikan. (Mat. 16:16) Tetapi semasa Yesus dihukum mati, harapan mereka hancur dan mereka hilang semangat.

6. Apakah yang dilakukan Yesus selepas dia dibangkitkan?

6 Yesus faham bahawa murid-muridnya bersedih bukan kerana mereka lemah secara rohani, tetapi kerana mereka telah hilang sahabat yang tersayang. Jadi pada hari dia dibangkitkan juga, dia mula menggalakkan murid-muridnya. Contohnya, dia menampakkan diri kepada Maria Magdalena yang menangis dekat makamnya. (Yoh. 20:​11, 16) Dia juga menampakkan diri kepada dua orang muridnya seperti yang disebut di awal rencana. Selain itu, dia berjumpa dengan Rasul Petrus. (Luk. 24:34) Apakah yang dapat kita belajar daripada teladan Yesus? Perhatikan apa yang berlaku semasa dia menampakkan diri buat kali pertama selepas dibangkitkan.

7. Seperti yang tercatat di Yohanes 20:​11-16, Yesus nampak Maria melakukan apa pada pagi 16 Nisan? Bagaimanakah Yesus menggalakkan Maria? (Lihat juga gambar.)

7 Baca Yohanes 20:​11-16. Pada pagi 16 Nisan, beberapa orang wanita yang setia pergi ke makam Yesus. (Luk. 24:​1, 10) Mari kita lihat apa yang berlaku kepada salah seorang daripada mereka, iaitu Maria Magdalena. Semasa Maria tiba di makam Yesus, dia mendapati bahawa makam itu kosong. Maka dia berlari untuk memberitahu Petrus dan Yohanes lalu mengikut mereka kembali ke makam. Selepas Petrus dan Yohanes melihat makam Yesus kosong, mereka pun pulang. Tetapi Maria masih berdiri di luar makam sambil menangis. Yesus tersentuh semasa melihat Maria menangis. Maka, dia menampakkan diri kepada Maria dan melakukan sesuatu untuk menggalakkannya. Dia bercakap kepada Maria dan memberinya satu tugasan yang penting, iaitu memberitahu murid-muridnya bahawa dia sudah dibangkitkan.​—Yoh. 20:​17, 18.

Tirulah teladan Yesus dengan bersikap prihatin terhadap kesusahan orang lain dan berusaha untuk melegakan mereka (Lihat perenggan 7)


8. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yesus?

8 Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yesus? Kita dapat menggalakkan saudara saudari kita untuk terus menyembah Yehuwa jika kita prihatin terhadap kesusahan mereka dan bersikap empati semasa bercakap dengan mereka. Perhatikan pengalaman seorang saudari yang bernama Jocelyn. Adik perempuannya telah meninggal akibat kemalangan yang dahsyat. Jocelyn berkata, “Selama berbulan-bulan, saya sangat sedih.” Namun seorang saudara dan isterinya menjemput Jocelyn ke rumah mereka. Mereka mendengar luahan hatinya dan meyakinkannya bahawa dia berharga di mata Tuhan. Jocelyn berkata, “Saya rasa seperti hampir lemas dalam laut yang bergelora. Tetapi Yehuwa menggunakan mereka untuk menarik saya masuk ke dalam bot penyelamat. Mereka bantu saya bersemangat semula untuk menyembah Yehuwa.” Seperti pasangan itu, kita mahu mendengar luahan rakan seiman kita dengan teliti dan mengucapkan kata-kata yang melegakan kepada mereka. Dengan itu, kita dapat menggalakkan mereka untuk terus menyembah Yehuwa.​—Rm. 12:15.

BANTU ORANG LAIN MEMAHAMI PRINSIP BIBLE

9. Apakah cabaran yang dihadapi oleh murid-murid Yesus? Bagaimanakah Yesus membantu mereka?

9 Murid-murid Yesus mempercayai Firman Tuhan dan berusaha menerapkannya. (Yoh. 17:6) Namun, mereka tidak faham mengapa Yesus perlu mati di tiang seksaan sebagai penjenayah. Yesus tahu bahawa murid-muridnya beriman dan mengasihi Yehuwa , tetapi pemahaman mereka tentang Ayat-Ayat Suci belum cukup mendalam. (Luk. 9:​44, 45; Yoh. 20:9) Perhatikan bagaimana dia menjelaskan Ayat-Ayat Suci kepada dua orang muridnya yang dalam perjalanan ke Emaus.

10. Bagaimanakah Yesus meyakinkan murid-muridnya bahawa dia ialah Mesias? (Lukas 24:​18-27)

10 Baca Lukas 24:​18-27. Perhatikan bahawa Yesus tidak terus memberitahu dua orang muridnya itu bahawa dia ialah Mesias. Sebaliknya, dia menanya mereka soalan. Mengapa? Dia mahu mendengar luahan mereka. Selepas mereka memberitahunya bahawa mereka sangka Yesus akan menyelamatkan orang Israel daripada penindasan orang Roma, Yesus menggunakan Ayat-Ayat Suci untuk menjelaskan bahawa apa yang berlaku sebenarnya memenuhi nubuat Bible tentang Mesias. b Kemudian pada petang itu, Yesus menjelaskan hal yang sama kepada murid-muridnya yang lain. (Luk. 24:​33-48) Apakah yang dapat kita belajar daripada kisah ini?

11-12. (a) Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yesus semasa membantu pelajar Bible? (Lihat juga gambar.) (b) Bagaimanakah guru Bible Nortey membantunya?

11 Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yesus? Pertama, tanyalah soalan yang sesuai supaya anda dapat memahami fikiran dan perasaan pelajar Bible anda. (Ams. 20:5) Setelah memahami perasaan mereka, ajarlah mereka cara untuk mencari ayat Bible yang berkaitan dengan situasi mereka. Janganlah memberitahu mereka apa yang harus mereka buat. Sebaliknya, tanyalah soalan-soalan supaya mereka dapat merenungkan prinsip Bible dan cara untuk menerapkannya. Perhatikan pengalaman Nortey, seorang saudara di Ghana.

12 Nortey mula belajar Bible semasa berumur 16 tahun. Tidak lama kemudian, keluarganya menentangnya. Apakah yang membantunya tidak berputus asa? Awal-awal lagi, guru Biblenya telah menggunakan Matius bab 10 untuk menjelaskan bahawa orang Kristian sejati akan dianiaya. “Jadi semasa saya ditentang, saya yakin bahawa saya sudah menemui kebenaran,” kata Nortey. Guru Biblenya juga menggunakan Matius 10:16 untuk membantu Nortey faham bahawa dia harus berhati-hati dan bersikap hormat semasa menjelaskan kepercayaannya kepada keluarganya. Selepas dibaptis, Nortey ingin menjadi perintis, tetapi bapanya mahunya pergi ke universiti. Daripada memberitahu Nortey apa yang harus dilakukannya, guru Biblenya menggunakan soalan untuk membantunya memikirkan prinsip-prinsip Bible. Akhirnya, Nortey memutuskan untuk merintis, dan bapanya telah menghalaunya dari rumah. Apakah perasaan Nortey? Dia berkata, “Saya yakin bahawa inilah keputusan yang betul.” Jika kita meluangkan masa untuk membantu orang lain merenungkan prinsip Bible, kita sedang membantu mereka untuk menjadi orang Kristian yang matang dan teguh.​—Ef. 3:​16-19.

Tirulah teladan Yesus dengan membantu orang lain memahami prinsip Bible (Lihat perenggan 11) e


BANTU PARA SAUDARA MENJADI “KURNIA BERUPA MANUSIA”

13. Apakah yang dilakukan oleh Yesus supaya kerja penyebaran dapat diteruskan selepas dia kembali ke syurga? (Efesus 4:8)

13 Semasa di bumi, Yesus melaksanakan kerja yang diamanahkan oleh Bapanya dengan sempurna. (Yoh. 17:4) Namun Yesus tidak berfikir bahawa dia sahajalah yang layak melaksanakan kehendak Tuhan. Sebaliknya, sepanjang tiga tahun setengah, dia melatih orang lain, termasuk mereka yang berumur sekitar 20 tahun, untuk melakukan kerja Bapanya. Sebelum kembali ke syurga, dia memberi murid-muridnya yang setia dan rajin tanggungjawab untuk menjaga biri-biri Yehuwa dan mengambil pimpinan dalam kerja menginjil dan mengajar. (Baca Efesus 4:8.) Bagaimanakah Yesus menggunakan 40 hari terakhirnya di bumi untuk melatih mereka agar layak menjadi “kurnia berupa manusia”?

14. Bagaimanakah Yesus menggunakan 40 hari terakhirnya di bumi untuk membantu murid-muridnya? (Lihat juga gambar.)

14 Yesus memberi murid-muridnya nasihat yang terus terang, tetapi didorong oleh kasih. Contohnya, semasa dia memerhatikan bahawa ada muridnya yang cenderung berasa ragu-ragu, dia menasihati mereka. (Luk. 24:​25-27; Yoh. 20:27) Dia juga mengajar mereka pentingnya bertumpu kepada kerja penggembalaan dan bukannya kepada kerja sekular. (Yoh. 21:15) Selain itu, dia mengingatkan mereka agar jangan membandingkan tugasan rohani mereka dengan orang lain. (Yoh. 21:​20-22) Dia juga membetulkan pemikiran salah mereka tentang Kerajaan Tuhan dan membantu mereka berfokus kepada kerja penyebaran. (Kis. 1:​6-8) Para penatua, apakah yang dapat anda belajar daripada teladan Yesus?

Tirulah teladan Yesus dengan melatih para saudara untuk memikul lebih banyak tanggungjawab (Lihat perenggan 14)


15-16. (a) Bagaimanakah penatua dapat meniru teladan Yesus? (b) Bagaimanakah nasihat seorang penatua membantu Patrick?

15 Bagaimanakah penatua dapat meniru teladan Yesus? Mereka mesti melatih para saudara, termasuk saudara yang muda, agar layak memikul lebih banyak tanggungjawab. c Mereka tidak mengharapkan kesempurnaan daripada saudara yang mereka latih. Sebaliknya, mereka memberikan nasihat dengan penuh kasih supaya saudara-saudara yang muda dapat menimba pengalaman dan belajar pentingnya bersikap rendah hati, setia, dan sudi berkhidmat kepada orang lain.​—1 Tim. 3:1; 2 Tim. 2:2; 1 Ptr. 5:5.

16 Perhatikan bagaimana nasihat seorang penatua telah membantu Patrick. Semasa Patrick lebih muda, dia bersikap kasar dan melayan orang lain, bahkan para saudari, dengan buruk. Seorang penatua yang matang telah memberi Patrick nasihat yang terus terang tentang kelemahannya. Patrick berkata, “Saya sangat menghargai nasihatnya. Dulu, semasa saudara lain mendapat tanggungjawab yang saya mahu, saya rasa sangat kecewa. Tetapi nasihat penatua itu membantu saya sedar bahawa fokus saya sepatutnya berkhidmat kepada saudara saudari dengan rendah hati, bukannya mengejar tanggungjawab atau kedudukan dalam sidang.” Hasilnya, Patrick telah dilantik sebagai penatua semasa dia berumur 23 tahun.​—Ams. 27:9.

17. Bagaimanakah Yesus menunjukkan keyakinannya terhadap murid-muridnya?

17 Yesus bukan sahaja menyuruh murid-muridnya untuk menginjil, tetapi juga untuk mengajar. (Lihat nota pembelajaran bagi “ajarlah mereka” dalam Alkitab Edisi Pelajaran bahasa Indonesia untuk Matius 28:20.) Murid-muridnya mungkin berasa bahawa mereka tidak layak memikul tanggungjawab itu. Namun Yesus yakin bahawa mereka mampu melakukannya. Dia begitu yakin terhadap mereka sehingga berkata, “Sebagaimana Bapa mengutus aku, aku juga mengutus kamu.”​—Yoh. 20:21.

18. Bagaimanakah penatua dapat meniru teladan Yesus?

18 Bagaimanakah penatua dapat meniru teladan Yesus? Penatua yang berpengalaman rela memberikan tanggungjawab kepada saudara lain. (Flp. 2:​19-22) Sebagai contoh, para penatua dapat meminta saudara muda untuk membantu membersihkan dan menyelenggarakan Dewan Perjumpaan. Selepas memberi mereka tugas, penatua akan melatih mereka dan menunjukkan keyakinan bahawa mereka dapat menyelesaikan tugas itu dengan baik. Seorang penatua baharu yang bernama Matthew berkata bahawa dia menghargai para penatua yang melatihnya dengan bersungguh-sungguh. Mereka memberinya tugasan dalam sidang dan yakin dia mampu menyelesaikannya. Dia berkata, “Semasa saya buat silap, mereka bantu saya lihat bagaimana saya dapat belajar daripadanya dan buat dengan lebih baik lagi pada masa depan.” d

19. Apakah sepatutnya tekad kita?

19 Yesus menggunakan 40 hari terakhirnya di bumi untuk menggalakkan, mengajar, dan melatih orang lain. Semoga kita bertekad untuk mengikut jejaknya dengan teliti. (1 Ptr. 2:21) Yesus pasti membantu kita berjaya, kerana dia sudah berjanji, “Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga penghujung sistem ini.”​—Mat. 28:20.

LAGU 15 Sambutlah Putera Yehuwa!

a Buku Matius, Markus, Lukas, Yohanes, dan buku-buku lain, melaporkan bahawa Yesus menampakkan diri banyak kali kepada murid-muridnya selepas dia dibangkitkan. Contohnya, dia menampakkan diri kepada Maria Magdalena (Yoh. 20:​11-18); kepada wanita-wanita lain (Mat. 28:​8-10; Luk. 24:​8-11); kepada 2 orang muridnya (Luk. 24:​13-15); kepada Petrus (Luk. 24:34); kepada para rasul kecuali Tomas (Yoh. 20:​19-24); kepada para rasul termasuk Tomas (Yoh. 20:26); kepada 7 orang muridnya (Yoh. 21:​1, 2); kepada lebih daripada 500 orang muridnya (Mat. 28:16; 1 Kor. 15:6); kepada adiknya Yakobus (1 Kor. 15:7); kepada semua rasul (Kis. 1:4); dan kepada para rasul dekat Betania. (Luk. 24:​50-52) Peristiwa-peristiwa lain mungkin tidak dicatatkan.​—Yoh. 21:25.

b Untuk senarai nubuat tentang Mesias, lihat rencana “Adakah Yesus Mesias yang Dinubuatkan?” di jw.org.

c Ada kalanya, saudara-saudara muda yang berumur antara 25 hingga 30 tahun mungkin dilantik sebagai penyelia litar. Namun mereka harus sudah menjadi penatua untuk beberapa waktu.

d Bagi cadangan tambahan tentang cara untuk membantu saudara muda agar layak memikul tanggungjawab di sidang, lihat Menara Pengawal terbitan Ogos 2018, ms. 11-12, per. 15-17, dan juga terbitan 15 April 2015, ms. 3-13.

e KETERANGAN GAMBAR: Selepas guru Bible membantu pelajarnya memahami prinsip Bible, pelajar itu membuang barang-barang perhiasan Krismasnya.