Pertanyaan Pembaca
Seberapa tinggikah anjung di Rumah Tuhan yang dibina oleh Salomo?
Anjung di Rumah Tuhan merupakan sebahagian daripada laluan masuk ke Bilik Suci. Menurut Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu yang diterbitkan sebelum tahun 2023, di Rumah Tuhan “ada sebuah anjung yang tingginya berukuran 120 hasta dan lebarnya berukuran 20 hasta.” (2 Taw. 3:4) Terjemahan lain juga menyatakan bahawa tinggi anjung itu ialah “120 hasta,” atau 53 meter tinggi!
Namun, menurut Terjemahan Dunia Baharu cetakan 2023, tinggi anjung itu “berukuran 20 hasta,” atau kira-kira 9 meter. a Perhatikan beberapa sebab perubahan ini dibuat.
Ketinggian anjung itu tidak disebut di 1 Raja-Raja 6:3. Di ayat ini, Yeremia mencatatkan panjang dan lebar anjung Rumah Tuhan tetapi bukan tingginya. Kemudian, dalam bab berikutnya, dia mencatatkan perincian tentang ciri-ciri lain di Rumah Tuhan, seperti Laut Tembaga, 10 buah pedati, dan dua batang tiang tembaga yang terletak di luar anjung Rumah Tuhan. (1 Raj. 7:15-37) Seandainya tinggi anjung Rumah Tuhan ialah 53 meter, anjung itu pasti jauh lebih tinggi daripada semua bahagian Rumah Tuhan yang lain. Jika ketinggiannya begitu menonjol, mengapakah Yeremia tidak mencatatkannya? Para penulis Yahudi yang hidup ratusan tahun kemudian pun menulis bahawa anjung itu bukanlah bahagian yang tertinggi dalam Rumah Tuhan yang dibina oleh Salomo.
Para pakar percaya dinding Rumah Tuhan tidak cukup tebal untuk menampung anjung yang tingginya 120 hasta. Pada zaman kuno, struktur tinggi yang dibina dengan batu dan bata, seperti gerbang kuil di Mesir, sangat luas di bahagian tapak dan semakin kecil di bahagian atas. Tetapi reka bentuk Rumah Tuhan tidak seperti itu. Pakar percaya bahawa tebal dindingnya hanya sekitar 6 hasta, atau 2.7 meter. Theodor Busink, seorang pengkaji reka bentuk zaman kuno, menyimpulkan, “Berdasarkan tebal dinding [laluan masuk ke Rumah Tuhan], tidak mungkin anjung itu berukuran 120 hasta [tinggi].”
Ayat di 2 Tawarikh 3:4 mungkin silap disalin. Sesetengah manuskrip kuno mencatatkan tinggi anjung itu sebagai “120” dalam ayat ini. Namun, manuskrip lain yang lebih tepat, seperti Kodeks Aleksandrinus dari abad kelima dan Kodeks Ambrosianus dari abad keenam, mencatatkan tinggi anjung itu sebagai “20 hasta.” Mengapakah ada perbezaan yang begitu besar? Dalam bahasa Ibrani, tulisan untuk “seratus” dan “hasta” agak mirip. Jadi semasa menyalin, jurutulis mungkin mencatatkan “hasta dua puluh” sebagai “seratus dua puluh.”
Butiran sebegini memang penting untuk membantu kita mempunyai gambaran yang tepat tentang Rumah Tuhan yang dibina oleh Salomo. Namun yang lebih penting, kita mahu berfokus kepada apa yang dilambangkan oleh bangunan itu, iaitu Rumah Rohani Tuhan. Alangkah bersyukurnya kita kerana Yehuwa menjemput semua hamba-Nya untuk beribadat di Rumah Rohani-Nya!—Ibr. 9:11-14; Why. 3:12; 7:9-17.
a Nota kaki bagi ayat Bible ini menjelaskan bahawa “sesetengah naskhah kuno mencatatkan angka ‘120,’ manakala naskhah lain dan sesetengah terjemahan mencatatkan angka ‘20 hasta.’”