Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tahukah Anda?

Tahukah Anda?

Seberapa pentingkah muzik pada zaman Israel kuno?

MUZIK sangat penting bagi orang Israel kuno. Bible sering menyebut tentang orang yang bernyanyi atau memainkan alat muzik. Sebenarnya, kira-kira satu persepuluh daripada Bible terdiri daripada lagu, contohnya buku Mazmur, Kidung Agung, dan Ratapan. Menurut buku Music in Biblical Life, Bible “menunjukkan bahawa muzik merupakan sebahagian penting dalam aktiviti harian orang Israel.”

Muzik dalam kehidupan seharian. Orang Israel memainkan muzik untuk mengungkapkan emosi mereka. (Yes. 30:29) Semasa raja ditabalkan, semasa perayaan disambut, atau semasa tentera meraih kemenangan, para wanita akan memainkan tamborin, bernyanyi, dan menari dengan penuh sukacita. (Hak. 11:34; 1 Sam. 18:​6, 7; 1 Raj. 1:​39, 40) Orang Israel juga menyanyikan lagu dengan sedih semasa berkabung. (2 Taw. 35:25) Menurut sebuah ensiklopedia yang ditulis oleh McClintock dan Strong, orang Israel dan muzik tidak dapat dipisahkan.

Muzik dalam istana. Raja-raja Israel menggemari muzik. Contohnya, Raja Saul menjemput Daud ke istana untuk memainkan muzik. (1 Sam. 16:​18, 23) Kemudian semasa Daud menjadi raja, dia menciptakan alat-alat muzik, menggubah lagu, dan mengaturkan para pemuzik untuk Rumah Yehuwa. (2 Taw. 7:6; Amo. 6:5) Raja Salomo juga mempunyai penyanyi lelaki dan wanita di istananya.—Pkh. 2:8.

Muzik dalam ibadat. Yang paling penting, orang Israel menggunakan muzik untuk menyembah Yehuwa. Sebenarnya, terdapat 4,000 orang yang memainkan alat muzik di Rumah Tuhan di Yerusalem. (1 Taw. 23:5) Mereka memainkan simbal, alat-alat muzik bertali, kecapi, dan trompet. (2 Taw. 5:12) Tetapi bukan mereka sahaja yang menggunakan muzik untuk menyembah Yehuwa. Nampaknya, banyak orang Israel menyanyikan Mazmur Orang yang Naik ke Kota semasa mengadakan perjalanan ke Yerusalem untuk menyambut perayaan setiap tahun. (Mzm. 120-134) Menurut tulisan orang Yahudi, orang Israel menyanyikan lagu Hallel a semasa jamuan Paska.

Hari ini, muzik masih merupakan sebahagian yang penting dalam hidup umat Tuhan. (Yak. 5:13) Kita bernyanyi untuk memuji Yehuwa. (Ef. 5:19) Muzik menyatupadukan kita dengan rakan seiman. (Kol. 3:16) Muzik juga menguatkan kita semasa kita menderita. (Kis. 16:25) Sememangnya, muzik ialah cara yang indah bagi kita untuk menunjukkan iman dan kasih kita kepada Yehuwa.

a Orang Yahudi merujuk kepada Mazmur 113 hingga 118 sebagai Hallel, yang dinyanyikan untuk memuji Yehuwa.