Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Saya Diberkati kerana Bekerja Bersama Saudara yang Matang secara Rohani

Saya Diberkati kerana Bekerja Bersama Saudara yang Matang secara Rohani

PADA pertengahan tahun 1930-an, ibu bapa saya, iaitu James dan Jessie Sinclair, telah berpindah dari Scotland ke Bronx di Bandar Raya New York. Salah seorang sahabat baharu mereka ialah Willie Sneddon, yang juga berasal dari Scotland. Tidak lama selepas mereka berkenalan, mereka berkongsi cerita tentang keluarga mereka. Kisah ini berlaku beberapa tahun sebelum saya dilahirkan.

Ibu memberitahu Willie bahawa sebelum Perang Dunia Pertama, bapa dan abangnya telah lemas semasa bot mereka terlanggar periuk api di Laut Utara. Willie berkata, “Bapa kamu sudah masuk neraka!” * Willie sebenarnya seorang Saksi-Saksi Yehuwa, dan itulah kali pertama ibu saya mendengar kebenaran Bible yang mengejutkan.

Willie dan Liz Sneddon

Apa yang dikatakan Willie mengecewakan ibu kerana ibu tahu bahawa bapanya seorang yang baik. Kemudian Willie menambah, “Adakah kamu rasa Yesus pernah pergi ke neraka?” Ibu teringat doa di gereja yang menyatakan bahawa Yesus pergi ke neraka dan dibangkitkan pada hari ketiga. Maka dia berfikir, “Jika neraka ialah tempat untuk menyeksa orang jahat, kenapa pula Yesus pergi ke situ?” Minat ibu terhadap kebenaran berputik. Maka dia mula menghadiri perjumpaan di Sidang Bronx lalu dibaptis pada tahun 1940.

Bersama ibu semasa kecil, dan bersama bapa

Pada masa itu, ibu bapa Kristian tidak menerima galakan yang khusus untuk mengkaji Bible bersama anak-anak mereka. Semasa saya masih bayi, ayah saya akan menjaga saya semasa ibu menghadiri perjumpaan dan menginjil pada hujung minggu. Selepas beberapa tahun, saya dan ayah mula menghadiri perjumpaan bersama ibu. Ibu sangat giat menginjil dan dia mengadakan pembelajaran Bible dengan beberapa orang. Ada kalanya, ibu mengadakan pembelajaran secara berkumpulan sebab pelajar Biblenya tinggal berdekatan satu sama lain. Semasa cuti sekolah, saya menemani ibu untuk menginjil. Itulah caranya saya belajar Bible dan dilatih untuk mengajar orang tentang Bible.

Semasa kecil, saya tidak berapa berminat terhadap kebenaran. Tetapi apabila saya berusia 12 tahun, saya menjadi penyiar dan menginjil dengan tetap. Semasa berusia 16 tahun, saya membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis pada 24 Julai 1954 di konvensyen di Toronto, Kanada.

BERKHIDMAT DI BETHEL

Sesetengah saudara di sidang kami merupakan ahli Bethel atau bekas ahli Bethel. Mereka banyak mempengaruhi kehidupan saya. Saya kagum melihat cara mereka bercakap dan menjelaskan kebenaran Bible. Saya bermatlamat untuk pergi ke Bethel walaupun guru-guru di sekolah menggalakkan saya pergi ke universiti. Maka saya menghantar permohonan Bethel semasa konvensyen tahun 1954 di Toronto, dan semasa konvensyen tahun 1955 di Stadium Yankee, Bandar Raya New York. Semasa saya berumur 17 tahun, saya dijemput untuk berkhidmat di Bethel Brooklyn mulai 19 September 1955. Pada hari kedua di Bethel, saya mula bekerja di Bahagian Penjilidan di 117 Adams Street. Saya ditugaskan untuk mengendalikan mesin yang mengumpulkan bahagian-bahagian buku yang setiap satunya mengandungi 32 muka surat. Bahagian-bahagian itu kemudiannya dihantar ke mesin lain untuk dijilid menjadi buku.

Semasa berusia 17 tahun, saya mula berkhidmat di Bethel Brooklyn

Selepas sebulan di Bahagian Penjilidan, saya ditugaskan ke Bahagian Majalah kerana saya tahu menaip. Jika terdapat orang baharu yang melanggan majalah Menara Pengawal dan Sedarlah!, saudara saudari akan menaip alamat mereka pada stensil (kepingan logam kecil). Beberapa bulan kemudian, saya ditugaskan ke Bahagian Penghantaran. Klaus Jensen, penyelia bahagian itu, bertanya jika saya sudi menemani pemandu trak yang akan membawa kotak-kotak bahan bacaan ke pelabuhan untuk dihantar ke negara lain. Terdapat juga berguni-guni majalah yang perlu dihantar ke pejabat pos untuk dikirim ke sidang-sidang di Amerika Syarikat. Saudara Jensen berasa bahawa kerja fizikal sebegini bagus untuk saya, kerana pada masa itu, saya kurus seperti lidi dan berat badan saya hanya 57 kg. Perjalanan ke pelabuhan dan pejabat pos telah menguatkan badan saya. Saudara Jensen memang tahu apa yang bermanfaat bagi saya!

Bahagian Majalah juga mengurus permintaan majalah daripada sidang-sidang. Jadi saya dapat mengetahui bahasa-bahasa bagi majalah yang dicetak di Brooklyn dan yang kemudiannya dihantar ke serata dunia. Saya tidak pernah dengar tentang kebanyakan bahasa itu, tetapi saya gembira kerana beribu-ribu majalah dihantar bahkan hingga ke pelosok dunia. Ketika itu, saya tidak pernah bayangkan bahawa saya akan berpeluang untuk mengunjungi tempat-tempat itu suatu hari nanti.

Bersama Robert Wallen, Charles Molohan, dan Don Adams

Pada tahun 1961, saya ditugaskan ke Pejabat Bendahari yang berada di bawah jagaan Grant Suiter. Beberapa tahun kemudian, Nathan Knorr, yang memimpin kerja penyebaran sedunia pada masa itu, memberitahu saya bahawa seorang saudara yang bekerja di pejabatnya akan menghadiri Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik selama sebulan, lalu ditugaskan ke Bahagian Kerja Penyebaran. Saya diminta untuk menggantikan saudara itu dan bekerja bersama Don Adams. Don ialah saudara yang menerima permohonan Bethel saya semasa konvensyen pada tahun 1955. Dua orang saudara yang bekerja bersamanya ialah Robert Wallen dan Charles Molohan. Kami berempat telah bekerja bersama selama lebih daripada 50 tahun. Bekerja bersama saudara yang matang secara rohani memang menggembirakan!​—Mzm. 133:1.

Kunjungan penyelia zon saya yang pertama di Venezuela, tahun 1970

Bermula pada tahun 1970, saya ditugaskan untuk mengunjungi beberapa pejabat cawangan selama beberapa minggu dalam setiap satu atau dua tahun. Pada masa itu, kunjungan ini dipanggil kunjungan penyelia zon. Saya perlu melawat dan menggalakkan keluarga Bethel dan para mubaligh di serata dunia, serta memeriksa rekod pejabat cawangan. Saya gembira kerana dapat berjumpa dengan pelajar Sekolah Gilead yang masih berkhidmat dengan setia di negara asing! Memang suatu penghormatan untuk melawat lebih daripada 90 buah negara.

Saya gembira dapat melawat rakan seiman di lebih daripada 90 negara!

SAYA MENJUMPAI SEORANG TEMAN YANG SETIA

Semua ahli Bethel di Brooklyn ditugaskan ke sidang di kawasan Bandar Raya New York. Saya ditugaskan ke sidang di Bronx. Sidang pertama di kawasan itu telah berkembang dan dibahagikan. Sidang asal dipanggil Upper Bronx dan itulah sidang saya.

Pada pertengahan tahun 1960-an, sebuah keluarga Saksi dari Latvia yang menerima kebenaran di selatan Bronx, telah berpindah ke kawasan kami. Livija, anak perempuan sulung, menjadi perintis biasa setelah dia tamat sekolah. Beberapa bulan kemudian, dia berpindah ke Massachusetts untuk berkhidmat di tempat yang lebih memerlukan. Saya mula menulis surat kepadanya dan memberitahunya berita tentang sidang, dan dia akan membalas surat saya dengan menceritakan hasil kerja penyebarannya di Boston.

Bersama Livija

Beberapa tahun kemudian, Livija dilantik sebagai perintis khas. Dia ingin meluaskan khidmatnya kepada Yehuwa, jadi dia memohon untuk berkhidmat di Bethel dan dia dijemput pada tahun 1971. Nampaknya itu tanda daripada Yehuwa! Pada 27 Oktober 1973, kami berkahwin dan Saudara Knorr menyampaikan ceramah perkahwinan kami. Amsal 18:22 berkata, ‘Orang yang mendapat isteri, mendapat sesuatu yang baik. Hal ini bermakna Yehuwa memperkenan orang itu.’ Saya dan Livija telah berkhidmat di Bethel selama lebih daripada 40 tahun. Kami juga terus menyokong sidang di kawasan Bronx.

BERGANDING BAHU BERSAMA SAUDARA KRISTUS

Saya amat berbesar hati kerana dapat bekerja dengan Saudara Knorr. Dia sangat rajin dan amat menghargai mubaligh di serata dunia yang kebanyakannya merupakan Saksi pertama di tempat tugasan mereka. Sedihnya Saudara Knorr menghidapi kanser pada tahun 1976. Pernah sekali, semasa dia sakit tenat, dia meminta saya membacakan beberapa bahan yang akan dicetak. Dia menyuruh saya memanggil Frederick Franz untuk mendengar bersamanya. Kemudian, barulah saya tahu bahawa Saudara Franz mempunyai masalah penglihatan dan dahulu Saudara Knorr selalu membacakan bahan bacaan kepadanya.

Membuat kunjungan penyelia zon bersama Daniel dan Marina Sydlik, tahun 1977

Saudara Knorr meninggal pada tahun 1977, tetapi mereka yang mengenali dan mengasihinya berasa lega kerana dia tetap setia sepanjang hayatnya di bumi. (Why. 2:10) Selepas itu, Saudara Franz mengambil pimpinan.

Pada masa itu, saya menjadi setiausaha Milton Henschel, yang telah bekerja bersama Saudara Knorr selama berpuluh-puluh tahun. Saudara Henschel kemudiannya memberitahu saya bahawa tugas utama saya sekarang adalah untuk membantu Saudara Franz. Saya perlu membacakan untuknya bahan bacaan yang akan diterbitkan. Saudara Franz mempunyai ingatan yang kuat dan dapat bertumpu sepenuhnya kepada apa yang sedang dibacakan. Saya bersukacita kerana dapat membantunya sehingga dia menghabiskan hayatnya di bumi pada Disember 1992!

124 Columbia Heights, tempat saya bekerja selama bertahun-tahun

Sudah 61 tahun saya berkhidmat di Bethel dan masa berlalu dengan cepat. Ibu bapa saya telah meninggal, dan saya menantikan masanya kami bertemu lagi di dunia baharu. (Yoh. 5:28, 29) Tiada apa pun dalam sistem dunia ini dapat menandingi penghormatan yang saya nikmati semasa berkhidmat bersama saudara saudari yang setia. Sepanjang masa saya dan Livija berkhidmat, ‘kesukaan yang diberikan oleh Yehuwa telah menguatkan kami.’​—Neh. 8:10.

Kerja menyebarkan kebenaran akan terus berkembang dan tidak bergantung pada sesiapa pun dalam organisasi Yehuwa. Saya bersukacita dan berbesar hati kerana dapat bekerja bersama banyak saudara saudari yang setia. Saya telah bekerja bersama banyak orang Kristian terurap, dan kebanyakan antara mereka sudah naik ke syurga. Walaupun demikian, saya bersyukur kerana dapat berkhidmat kepada Yehuwa bersama mereka yang matang secara rohani.

^ per. 5 Kata asal iaitu Sheol dan Hades terdapat dalam Bible dan merujuk kepada kuburan umum umat manusia. Namun, sesetengah terjemahan Bible menggunakan ungkapan “neraka.”