Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pupuklah Kawalan Diri

Pupuklah Kawalan Diri

“Buah daya aktif Tuhan ialah . . . kawalan diri.”GAL. 5:22, 23.

LAGU: 121, 36

1, 2. (a) Apakah masalah yang timbul kerana orang tidak mengawal diri? (b) Mengapakah kita perlu membincangkan topik kawalan diri?

 SIFAT kawalan diri berasal daripada Tuhan. (Gal. 5:22, 23) Yehuwa menunjukkan sifat itu dengan sempurna, tetapi manusia yang berdosa perlu berusaha keras untuk menunjukkannya. Sebenarnya, kekurangan kawalan diri telah menyebabkan banyak masalah hari ini, seperti amalan berlengah-lengah atau prestasi yang menurun di sekolah atau di tempat kerja. Mereka yang tidak mengawal diri juga sering mengucapkan kata-kata kesat dan terlibat dalam pemabukan, keganasan, perceraian, hutang yang tidak diperlukan, ketagihan, pemenjaraan, masalah emosi, penyakit kelamin, kehamilan yang tidak diingini, dan sebagainya.​—Mzm. 34:12-15.

2 Jelaslah, orang yang tidak tahu mengawal diri akan menyusahkan diri dan orang lain. Menurut kajian, kawalan diri dalam kebanyakan orang semakin berkurang. Hal ini tidak menghairankan kerana Bible sudah menubuatkan bahawa orang yang “tidak tahu mengawal diri” merupakan satu ciri “hari-hari terakhir.”​—2 Tim. 3:1-3.

3. Mengapakah kita perlu berusaha memupuk kawalan diri?

3 Mengapakah kita perlu berusaha memupuk kawalan diri? Terdapat dua sebab yang penting. Pertama, orang yang mampu mengawal diri dapat menghindari lebih banyak masalah. Mereka lebih stabil secara emosi, lebih mahir menjalin hubungan baik dengan orang lain, dan tidak begitu cepat marah, khuatir, atau tertekan berbanding orang yang selalu menurut kemahuan hati. Kedua, orang yang ingin mendapat perkenan Tuhan mesti melawan godaan dan mengawal nafsu yang berdosa, seperti yang dapat dilihat menerusi kegagalan Adam dan Hawa. (Kej. 3:6) Fikirkan juga kesan buruk yang harus ditanggung oleh orang yang gagal menunjukkan sifat itu.

4. Mengapakah orang yang berasa susah untuk mengawal diri tidak patut berputus asa?

4 Manusia yang berdosa tidak dapat mengawal diri dengan sempurna. Sebagai Sahabat yang pengasih, Yehuwa tahu akan pergelutan hamba-hamba-Nya. Dia tahu bahawa sesetengah orang ingin menyembah-Nya tetapi berasa susah untuk mengawal diri dalam sesetengah aspek kehidupan. Oleh itu, Dia ingin menggalakkan dan membantu mereka mengekang kecenderungan yang berdosa. (1 Raj. 8:46-50) Sekarang, kita akan melihat bagaimana Yehuwa menunjukkan kawalan diri dengan sempurna. Kemudian kita akan mengkaji contoh baik dan contoh buruk yang tercatat dalam Bible. Kita juga akan membincangkan cara-cara praktikal yang dapat memantapkan kawalan diri kita.

YEHUWA—TELADAN YANG SEMPURNA

5, 6. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kawalan diri?

5 Yehuwa sempurna dalam segala perkara, termasuk kawalan diri. (Ul. 32:4) Walaupun kita tidak sempurna, kita akan lebih memahami sifat kawalan diri dan dapat meniru Yehuwa dengan lebih baik apabila kita meneliti teladan-Nya. Apakah sesetengah peristiwa yang menonjolkan kawalan diri Yehuwa?

6 Fikirkan bagaimana Yehuwa menunjukkan kawalan diri semasa Syaitan memberontak dan mencabar kedaulatan-Nya. Sudah pasti para malaikat yang setia kepada Tuhan akan berasa marah dan benci terhadap perbuatan Syaitan. Mungkin anda juga berasa begitu semasa memikirkan segala kesengsaraan yang disebabkan Syaitan. Namun, Yehuwa tidak bertindak dengan terburu-buru. Reaksi-Nya terhadap situasi itu amat terkawal dan sesuai. Dia tidak cepat murka dan sentiasa bertindak dengan adil. (Kel. 34:6; Ayb. 2:2-6) Yehuwa membiarkan masa berlalu kerana Dia tidak ingin sesiapa pun dibinasakan, tetapi Dia “ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat.”​—2 Ptr. 3:9.

7. Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh Yehuwa?

7 Melalui teladan Yehuwa, kita belajar bahawa kita patut berfikir masak-masak sebelum bercakap atau melakukan sesuatu. Maka, semasa berdepan dengan isu yang besar, janganlah bertindak melulu. Luangkan masa yang secukupnya untuk berdoa meminta kebijaksanaan, supaya anda dapat memilih kata-kata atau langkah yang betul. (Mzm. 141:3) Ingatlah, semasa kita tengah marah, amatlah mudah untuk melakukan atau mengatakan sesuatu yang akan membuat kita menyesal pada kemudian hari.​—Ams. 14:29; 15:28; 19:2.

CONTOH BAIK DAN CONTOH BURUK

8. (a) Dari manakah kita boleh melihat contoh-contoh baik tentang kawalan diri? (b) Apakah yang membantu Yusuf agar tidak menyerah kepada godaan isteri Potifar? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

8 Apakah contoh-contoh Bible yang menunjukkan pentingnya kawalan diri? Anda mungkin terfikir tentang beberapa watak Bible yang telah mengawal diri ketika dicubai. Misalnya, Yusuf anak Yakub menunjukkan sifat ini semasa dia berkhidmat di rumah Potifar, ketua pengawal istana. Isteri Potifar suka akan Yusuf yang “berbadan segak dan kacak,” dan berulang kali mencuba menggodanya. Namun, apakah yang menghalang Yusuf daripada menyerah kepada godaan? Sudah pasti, dia pernah memikirkan akibatnya jika dia tidak berjaga-jaga. Maka, apabila isteri Potifar menarik jubah Yusuf, dia segera berlari keluar. Dia berkata, ‘Bagaimana mungkin saya melakukan perbuatan sejahat itu dan berdosa terhadap Tuhan?’​—Kej. 39:6, 9; baca Amsal 1:10.

9. Apakah persiapan yang dapat membantu anda melawan godaan?

9 Apakah yang kita pelajari daripada Yusuf? Kita mungkin perlu melarikan diri ketika digoda untuk melanggar perintah Tuhan. Sebelum menjadi Saksi, sesetengah individu bergelut dengan masalah seperti makan atau minum berlebihan, merokok, mengambil dadah, perbuatan seks yang tidak bermoral, dan sebagainya. Selepas menjadi Saksi, dari masa ke masa mereka mungkin digoda untuk mengulangi tabiat lama. Jika hal ini berlaku kepada anda, teguhkanlah pendirian anda. Renungkan akibat buruk yang akan terjadi sekiranya anda tidak mengekang nafsu yang berdosa. Selain itu, fikirkan dahulu situasi yang menyebabkan anda senang digoda dan bagaimana anda dapat mengelakkan situasi sedemikian. (Mzm. 26:4, 5; Ams. 22:3) Jika anda digoda, mintalah bantuan Yehuwa supaya anda memiliki kebijaksanaan dan kawalan diri untuk melawannya.

10, 11. (a) Apakah godaan yang dihadapi banyak anak muda di sekolah? (b) Apakah yang dapat membantu kaum muda Kristian menolak godaan?

10 Hari ini, banyak kaum muda Kristian menghadapi godaan yang sama seperti Yusuf. Contohnya, Kimberly mempunyai banyak rakan kelas yang mengamalkan seks bebas, dan mereka biasanya bermegah tentang pengalaman seks mereka yang terkini. Memandangkan Kimberly tiada pengalaman sebegini untuk diceritakan, ada kalanya dia berasa “sunyi dan dipinggirkan,” dan rakan-rakan sebayanya menganggapnya bodoh kerana dia tidak mempunyai teman lelaki. Namun, Kimberly sebenarnya bijak kerana dia tahu bahawa banyak orang muda digoda untuk mengadakan hubungan seks. (2 Tim. 2:22) Oleh sebab dia sering ditanya sama ada dia masih dara atau tidak, dia berpeluang menjelaskan sebabnya dia tidak mengadakan hubungan seks. Kita bangga akan anak muda yang menolak godaan seks, begitu juga dengan Yehuwa!

11 Bible juga mencatatkan contoh individu yang gagal mengawal diri dalam soal seks dan akibat buruk yang terjadi. Mereka yang menghadapi situasi yang dihadapi Kimberly dapat merenungkan contoh pemuda bodoh yang tercatat di Amsal bab 7. Mereka juga dapat memikirkan tindakan Amnon dan kesudahannya yang menyedihkan. (2 Sam. 13:1, 2, 10-15, 28-32) Ibu bapa dapat membantu anak mereka memupuk kawalan diri dan kebijaksanaan dalam soal hubungan romantik dengan membincangkan kisah-kisah tadi semasa penyembahan keluarga.

12. (a) Bagaimanakah Yusuf mengawal perasaannya semasa berhadapan dengan saudara-saudaranya? (b) Bilakah kita harus mengawal perasaan kita?

12 Yusuf juga menunjukkan kawalan diri yang baik dalam situasi lain. Semasa saudara-saudaranya datang ke Mesir untuk membeli makanan daripadanya, dia menyembunyikan identitinya agar dapat mengetahui isi hati mereka. Apabila dia tidak dapat mengawal perasaannya, dia pergi ke suatu tempat untuk menangis. (Kej. 43:30, 31; 45:1) Jika rakan seiman atau orang yang tersayang menyinggung perasaan anda, tirulah teladan Yusuf dengan tidak bertindak dengan terburu-buru. (Ams. 16:32; 17:27) Jika ada saudara-mara anda yang disingkirkan, anda mungkin perlu mengawal perasaan supaya tidak mencari peluang untuk menghubungi mereka. Tidak senang untuk mengawal diri dalam situasi sebegini, namun hal ini akan menjadi lebih mudah jika kita sedar bahawa kita sedang meniru Yehuwa dan bertindak selaras dengan nasihatnya.

13. Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh Daud?

13 Bible juga mencatatkan teladan Raja Daud. Apabila Saul dan Simei cuba membangkitkan kemarahan Daud, dia tidak menggunakan kuasanya untuk melawan mereka. (1 Sam. 26:9-11; 2 Sam. 16:5-10) Namun, Daud juga pernah gagal mengawal diri. Contohnya, dia pernah berdosa dengan Batsyeba dan ingin membunuh Nabal yang tamak. (1 Sam. 25:10-13; 2 Sam. 11:2-4) Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh Daud? Pertama, para penyelia dalam kalangan umat Tuhan harus menunjukkan kawalan diri agar tidak menyalahgunakan kuasa mereka. Kedua, tiada seorang pun yang patut berfikir bahawa dia tidak akan terjerat oleh godaan.​—1 Kor. 10:12.

LANGKAH-LANGKAH PRAKTIKAL

14. Apakah pengalaman seorang saudara? Mengapakah reaksi kita dalam keadaan sebegini amat penting?

14 Apakah yang dapat anda lakukan untuk memantapkan kawalan diri? Fikirkan kisah benar ini: Seorang lelaki telah melanggar belakang kereta Luigi. Meskipun lelaki itu yang bersalah, dia memaki Luigi dan mencuba berlawan dengannya. Luigi berdoa meminta Yehuwa membantunya untuk bertenang, dan dia juga mencuba menenangkan lelaki tersebut. Apabila usahanya gagal, Luigi mencatatkan maklumat yang diperlukan untuk tuntutan insurans dan meninggalkan lelaki yang masih berteriak-teriak itu. Seminggu kemudian, semasa Luigi membuat kunjungan kembali kepada seorang wanita, dia mendapati bahawa lelaki itu ialah suaminya! Lelaki itu malu lalu meminta maaf. Dia mengatakan bahawa dia akan menghubungi syarikat insurans supaya proses tuntutan Luigi dapat dipercepat. Dia juga menyertai perbincangan Bible mereka dan menghargai isi perbualan itu. Selepas peristiwa itu, Luigi sedar betapa pentingnya bersikap tenang. Jika dia naik berang selepas kemalangan itu, akibatnya mungkin amat menyedihkan.​—Baca 2 Korintus 6:3, 4.

Cara kita mengawal reaksi sendiri dapat mempengaruhi kerja penyebaran kita secara langsung atau tidak langsung (Lihat perenggan 14)

15, 16. Bagaimanakah pembelajaran Bible dapat membantu anda dan ahli keluarga untuk memupuk kawalan diri?

15 Orang Kristian yang ingin memupuk kawalan diri perlu rajin mengkaji Bible. Tuhan memberitahu Yosua, “Kajilah kitab itu siang dan malam; pastikanlah supaya engkau mentaati segala yang tertulis di dalamnya. Dengan demikian engkau akan makmur dan berjaya.” (Yos. 1:8) Bagaimanakah pembelajaran Bible dapat membantu anda memupuk kawalan diri?

16 Kita telah mengkaji kisah-kisah Bible yang menunjukkan bagaimana sifat kawalan diri membawa manfaat dan bagaimana orang yang tidak mengawal diri ditimpa masalah. Yehuwa memuatkan semua itu dalam Bible demi kebaikan kita. (Rm. 15:4) Maka, bacalah, kajilah, dan renungkanlah catatan itu. Fikirkan pengajarannya bagi anda dan keluarga anda. Mintalah bantuan Yehuwa untuk menerapkan nasihat daripada Firman-Nya. Jika anda menyedari bahawa anda kekurangan kawalan diri dalam aspek tertentu, akuilah kelemahan anda. Kemudian, berdoalah tentangnya, dan berusahalah untuk membuat kemajuan. (Yak. 1:5) Selidikilah bahan bacaan Kristian kita untuk mencari cadangan yang praktikal.

17. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak-anak memupuk kawalan diri?

17 Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak-anak memupuk kawalan diri? Orang muda tidak memiliki sifat itu secara semula jadi. Oleh itu, ibu bapa perlu mengajar mereka melalui teladan sendiri. (Ef. 6:4) Sekiranya anda dapati anak anda kekurangan sifat tersebut, tanyalah diri sama ada anda sedang menunjukkan teladan yang baik atau tidak. Apabila anda menginjil, menghadiri perjumpaan, dan mengadakan penyembahan keluarga secara tetap, teladan anda dapat meninggalkan kesan yang mendalam kepada anak anda. Selain itu, janganlah takut untuk menolak permintaan anak anda yang tidak sesuai! Ingatlah bahawa Yehuwa menetapkan batasan untuk Adam dan Hawa supaya mereka belajar menghormati kekuasaan-Nya. Begitu juga, disiplin dan teladan daripada ibu bapa dapat mengajar anak untuk mengawal diri. Apabila anda membantu anak mengasihi kekuasaan Tuhan dan menghormati piawaian-Nya, anda sedang menyemai sifat yang amat bernilai dalam diri anak anda.​—Baca Amsal 1:5, 7, 8.

18. Mengapakah kita perlu memilih pergaulan dengan bijak?

18 Tidak kira anda bergelar ibu bapa atau tidak, anda perlu memilih pergaulan dengan bijak. Carilah mereka yang akan menggalakkan anda untuk mengejar matlamat yang bernilai dan mengelakkan masalah. (Ams. 13:20) Rakan-rakan yang berfikiran rohani akan mempengaruhi anda secara positif dan mendorong anda untuk memupuk kawalan diri seperti mereka. Pada masa yang sama, kelakuan baik anda juga akan menggalakkan mereka. Apabila kita semua memupuk kawalan diri, kita dapat menjalani kehidupan yang diperkenankan Tuhan dan menikmati masa yang bahagia dengan orang tersayang.