Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 36

Armagedon​—Peristiwa yang Baik!

Armagedon​—Peristiwa yang Baik!

“Raja-raja itu dikumpulkan ke tempat yang disebut Armagedon.”​—WHY. 16:16.

LAGU 150 Carilah Tuhan agar Diselamatkan

PENGENALAN *

1-2. (a) Mengapakah Armagedon akan mendatangkan kebahagiaan kepada manusia? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

SESETENGAH orang percaya bahawa Armagedon ialah perang nuklear atau bencana alam yang akan memusnahkan bumi. Namun, Bible mengajar kita bahawa Armagedon merupakan suatu perang yang akan mendatangkan kebahagiaan! (Why. 1:3) Perang Armagedon tidak akan melenyapkan umat manusia, tetapi akan menyelamatkan mereka! Bagaimana?

2 Bible menyatakan bahawa perang Armagedon akan mengakhiri pemerintahan manusia dan melenyapkan orang jahat. Perang itu juga akan melindungi orang baik dan melindungi bumi agar tidak dirosakkan. (Why. 11:18) Untuk memahami ajaran-ajaran itu dengan lebih jelas, marilah kita perhatikan empat soalan ini: Apakah itu Armagedon? Apakah hal-hal yang akan terjadi sejurus sebelum Armagedon? Apakah yang harus kita lakukan agar terselamat? Bagaimanakah kita dapat tetap setia apabila Armagedon semakin dekat?

APAKAH ITU ARMAGEDON?

3. (a) Apakah maksud istilah “Armagedon”? (b) Bagaimanakah Wahyu 16:14, 16 menunjukkan bahawa Armagedon bukanlah sebuah tempat yang sebenar?

3 Baca Wahyu 16:14, 16. Perkataan “Armagedon” hanya muncul satu kali dalam Bible, dan diambil daripada istilah Ibrani yang bermaksud “Gunung Megido.” (Why. 16:16; nota kaki) Megido ialah sebuah kota di negeri Israel kuno. (Yos. 17:11) Tetapi Armagedon bukanlah sebuah tempat yang sebenar. Istilah ini merujuk kepada keadaan apabila “raja-raja di seluruh bumi” berkumpul untuk menentang Yehuwa. (Why. 16:14) Namun, dalam rencana ini, istilah “Armagedon” juga merujuk kepada perang yang akan tercetus sejurus selepas raja-raja di bumi berkumpul. Bagaimanakah kita tahu bahawa Armagedon bukanlah sebuah tempat yang sebenar? Pertama, Gunung Megido tidak wujud. Kedua, kawasan di sekitar kota Megido tidak cukup besar untuk mengumpulkan “raja-raja di seluruh bumi,” angkatan tentera mereka, dan senjata mereka. Ketiga, seperti yang akan kita bincang nanti, perang Armagedon akan bermula semasa “raja-raja” dunia menyerang umat Tuhan. Memandangkan umat Tuhan tinggal di serata bumi, perang itu tidak mungkin berlaku di satu tempat sahaja.

4. Mengapakah Yehuwa mengaitkan perang besar-Nya dengan Megido?

4 Mengapakah Yehuwa mengaitkan perang besar-Nya dengan Megido? Pada zaman Bible, banyak perang telah berlaku di Megido dan Lembah Yizreel yang berdekatan dengannya. Ada kalanya, Yehuwa telah campur tangan dan memberikan kemenangan kepada umat-Nya. Sebagai contoh, “dekat mata air Megido,” Tuhan telah membantu Hakim Barak mengalahkan tentera Kanaan yang diketuai Sisera. Selepas itu, Barak dan Debora, seorang nabi wanita, telah mengucapkan syukur kepada Yehuwa. Mereka bernyanyi, “Dari angkasa, bintang-bintang berjuang . . . melawan Sisera. Aliran deras Sungai Kison menghanyutkan musuh-musuh.”​—Hak. 5:19-21.

5. Apakah perbezaan besar antara perang Armagedon dengan perang pada zaman Barak?

5 Nyanyian Barak dan Debora berakhir dengan kata-kata ini: “Ya Yehuwa, semoga semua musuh-Mu lenyap dengan cara sedemikian, tetapi semoga orang yang mengasihi-Mu menjadi seperti matahari yang terbit dan bersinar terang.” (Hak. 5:31) Begitu juga, semasa Armagedon, musuh-musuh Tuhan akan lenyap, manakala orang yang mengasihi Tuhan akan diselamatkan. Namun begitu, terdapat satu perbezaan besar antara perang Armagedon dengan perang pada zaman Barak: Semasa perang Armagedon, umat Tuhan tidak perlu berjuang. Sebenarnya, mereka tidak akan memiliki senjata apa pun! Mereka hanya perlu ‘bertenang dan percaya kepada Yehuwa’ dan angkatan tentera-Nya di syurga.​—Yes. 30:15; Why. 19:11-15.

6. Bagaimanakah Yehuwa akan menewaskan musuh-Nya semasa Armagedon?

6 Bagaimanakah Yehuwa akan menewaskan musuh-Nya semasa Armagedon? Dia boleh menggunakan pelbagai cara. Misalnya, Dia boleh menggunakan gempa bumi, hujan batu, dan kilat. (Ayb. 38:22, 23; Yeh. 38:19-22) Dia juga boleh membuat musuh-Nya saling membunuh. (2 Taw. 20:17, 22, 23) Atau Dia boleh mengutus malaikat untuk membinasakan orang jahat. (Yes. 37:36) Tidak kira apa cara yang digunakan Tuhan, kita yakin bahawa Dia pasti menang. Semua musuh-Nya akan dilenyapkan, dan semua orang baik akan diselamatkan.​—Ams. 3:25, 26.

APAKAH YANG AKAN TERJADI SEJURUS SEBELUM ARMAGEDON?

7-8. (a) Menurut 1 Tesalonika 5:1-6, apakah pengumuman yang akan dibuat oleh para pemimpin dunia? (b) Mengapakah pengumuman itu ialah dusta yang berbahaya?

7 Orang akan berkata, “Damai dan selamat” sebelum “hari Yehuwa” tiba. (Baca 1 Tesalonika 5:1-6.) “Hari Yehuwa” yang disebut di 1 Tesalonika 5:2 merujuk kepada “kesengsaraan besar.” (Why. 7:14) Apakah tanda bahawa kesengsaraan besar akan bermula? Bible memberitahu kita bahawa para pemimpin dunia akan mengumumkan bahawa semuanya “damai dan selamat.”

8 Mengapakah para pemimpin dunia akan berbuat demikian? Adakah pemimpin-pemimpin agama akan turut serta? Kita tidak pasti. Namun, kita tahu bahawa pengumuman ini hanyalah dusta yang berasal daripada roh-roh jahat. Dusta ini sangat berbahaya, kerana membuat orang berasa selamat padahal kesengsaraan yang paling dahsyat dalam sejarah manusia bakal bermula. “Kebinasaan akan tiba-tiba menimpa mereka seperti sakit yang dialami oleh seorang wanita yang hampir bersalin.” Bagaimana pula dengan hamba-hamba Yehuwa yang setia? Mereka mungkin terkejut semasa hari Yehuwa tiba-tiba bermula, tetapi mereka sudah bersedia.

9. Bagaimanakah Tuhan akan melenyapkan dunia Syaitan?

9 Yehuwa tidak akan melenyapkan seluruh dunia Syaitan sekali gus, seperti yang berlaku pada zaman Nuh. Sebaliknya, pembinasaan itu akan berlaku dalam dua peringkat. Mula-mulanya, Babilon Besar, iaitu semua agama palsu, akan dimusnahkan. Kemudian, semasa Armagedon, Tuhan akan melenyapkan bahagian dunia Syaitan yang selebihnya, termasuk sistem politik, ketenteraan, dan perdagangan. Mari kita perhatikan dua peringkat itu dengan lebih terperinci.

10. Menurut Wahyu 17:1, 6 dan 18:24, mengapakah Yehuwa akan memusnahkan Babilon Besar?

10 “Hukuman yang dijatuhkan kepada pelacur besar.” (Baca Wahyu 17:1, 6; 18:24.) Babilon Besar telah merosakkan nama baik Tuhan, misalnya dengan menyebarkan ajaran palsu tentang Tuhan. Seperti seorang pelacur, dia tidak setia kepada Yehuwa dan bersekutu dengan para penguasa dunia. Babilon Besar juga menggunakan kuasa dan pengaruhnya untuk menindas dan mengaut keuntungan daripada para pengikutnya. Selain itu, dia telah menumpahkan darah banyak orang, termasuk hamba-hamba Tuhan. (Why. 19:2) Bagaimanakah Yehuwa akan memusnahkan Babilon Besar?

11. “Binatang buas yang berwarna merah marak” melambangkan apa? Bagaimanakah Tuhan akan menggunakannya untuk menghukum Babilon Besar?

11 Yehuwa akan menggunakan seekor “binatang buas yang berwarna merah marak” dan ‘10 tanduknya’ untuk memusnahkan “pelacur besar” itu. Binatang buas itu melambangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), manakala 10 tanduknya melambangkan kuasa-kuasa politik yang menyokong PBB. Pada waktu yang ditentukan Tuhan, kuasa-kuasa dunia dan PBB akan menyerang Babilon Besar. Mereka akan “membinasakannya dan membuatnya telanjang.” Maksudnya, mereka akan merampas hartanya dan mendedahkan kejahatannya. (Why. 17:3, 16) Pembinasaan itu akan berlaku dengan cepat, seolah-olah dalam sehari. Semua penyokong Babilon Besar akan terkejut melihatnya, kerana sejak dahulu lagi Babilon Besar selalu berkata, “Aku duduk sebagai ratu, dan aku bukan seorang balu. Tidak mungkin aku akan meratap.”​—Why. 18:7, 8.

12. Yehuwa tidak akan membenarkan bangsa-bangsa melakukan apa? Mengapa?

12 Tuhan tidak akan membenarkan bangsa-bangsa memusnahkan umat-Nya. Umat Tuhan menyandang nama-Nya dan mematuhi arahan-Nya untuk keluar daripada Babilon Besar. (Kis. 15:16, 17; Why. 18:4) Mereka juga bekerja keras untuk membantu orang lain keluar daripada Babilon Besar, maka mereka tidak akan “menerima sebahagian daripada tulah-tulahnya.” Namun, iman mereka akan dicubai.

Tidak kira di mana mereka berada, umat Tuhan akan bergantung pada-Nya semasa mereka diserang (Lihat perenggan 13) *

13. (a) Siapakah Gog? (b) Menurut Yehezkiel 38:2, 8, 9, bilakah perang Armagedon akan bermula?

13 Serangan Gog. (Baca Yehezkiel 38:2, 8, 9.) Setelah semua agama palsu dibinasakan, hanya umat Yehuwa yang akan tinggal. Hal itu tentu membuat Syaitan mengamuk. Dia akan menggunakan roh-roh jahat untuk menyebarkan “pernyataan najis,” iaitu maklumat palsu, agar bangsa-bangsa di bumi bersekutu untuk menyerang penyembah Yehuwa. (Why. 16:13, 14) Gabungan bangsa-bangsa itu dipanggil “Gog dari tanah Magog.” Apabila mereka melancarkan serangan, perang Armagedon akan bermula.​—Why. 16:16.

14. Apakah yang akan disedari Gog?

14 Gog akan bergantung pada “kekuatan manusia,” iaitu kuasa tentera mereka. (2 Taw. 32:8) Kita pula akan bergantung pada Yehuwa, Tuhan kita. Dalam pandangan Gog, tindakan kita bodoh. Mengapa? Babilon Besar yang begitu berkuasa menyembah banyak tuhan, tetapi tuhan-tuhannya tidak dapat menyelamatkannya daripada serangan “binatang buas” itu dan ‘10 tanduknya.’ (Why. 17:16) Gog akan menyangka bahawa mereka dapat melenyapkan umat Tuhan dengan mudah, lalu menyerang umat Tuhan “seperti awan yang meliputi tanah.” (Yeh. 38:16) Tetapi seperti Firaun di Laut Merah, mereka akan terperangkap dan sedar bahawa mereka sedang melawan Yehuwa.​—Kel. 14:1-4; Yeh. 38:3, 4, 18, 21-23.

15. Apakah yang akan dilakukan Yesus semasa Armagedon?

15 Kristus dan angkatan tenteranya di syurga akan mempertahankan umat Tuhan, dan menghancurkan Gog dan konco-konconya. (Why. 19:11, 14, 15) Bagaimana pula dengan Syaitan, musuh ketat Yehuwa yang menipu bangsa-bangsa untuk menyerang umat Tuhan semasa Armagedon? Yesus akan melemparkannya dan roh-roh jahat ke dalam jurang yang dalam dan mengurung mereka selama seribu tahun.​—Why. 20:1-3.

BAGAIMANAKAH ANDA DAPAT DISELAMATKAN SEMASA ARMAGEDON?

16. (a) Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita “mengenal Tuhan”? (b) Semasa Armagedon, apakah yang akan berlaku kepada orang yang mengenal Tuhan?

16 Tidak kira kita sudah lama mengetahui kebenaran atau tidak, jika kita ingin diselamatkan semasa Armagedon, kita mesti menunjukkan bahawa kita “mengenal Tuhan” dan “mentaati berita baik tentang Yesus.” (2 Tes. 1:7-9) “Mengenal Tuhan” bermaksud kita mengetahui piawaian-Nya dan apa yang disukai atau dibenci-Nya. Kita juga perlu mengasihi dan mentaati-Nya, serta menyembah-Nya sahaja. (1 Yoh. 2:3-5; 5:3) Dengan berbuat demikian, kita akan “dikenal oleh-Nya,” iaitu mendapat perkenan-Nya, dan diselamatkan semasa Armagedon!​—1 Kor. 8:3.

17. Apakah maksud “mentaati berita baik tentang Yesus”?

17 “Berita baik tentang Yesus” merangkumi semua ajaran Yesus yang terkandung dalam Firman Tuhan. Kita mentaati berita baik itu dengan menerapkan ajaran Yesus dalam kehidupan sendiri. Hal itu bermaksud kita akan mengutamakan Kerajaan Tuhan, hidup menurut piawaian-Nya, dan menyebarkan berita tentang Kerajaan-Nya. (Mat. 6:33; 24:14) Kita juga akan menyokong saudara-saudara terurap Kristus yang diberi tanggungjawab yang berat.​—Mat. 25:31-40.

18. Bagaimanakah orang Kristian terurap akan membalas kebaikan hati biri-biri lain?

18 Tidak lama lagi, orang Kristian terurap akan membalas kebaikan hati “biri-biri lain.” (Yoh. 10:16) Bagaimana? Semua orang Kristian terurap yang masih di bumi akan dibawa ke syurga sebelum perang Armagedon tercetus. Kemudian, kesemua 144,000 orang Kristian terurap dan angkatan tentera di syurga akan menghancurkan Gog dan menyelamatkan “kumpulan besar manusia.” (Why. 2:26, 27; 7:9, 10) Kumpulan besar biri-biri lain itu pasti sangat bersyukur kerana berpeluang untuk menyokong orang Kristian terurap semasa mereka masih berada di bumi!

BAGAIMANAKAH KITA DAPAT TETAP SETIA APABILA AKHIR SEMAKIN DEKAT?

19-20. Tidak kira apa kesusahan yang kita hadapi sekarang, bagaimanakah kita dapat tetap setia apabila Armagedon semakin dekat?

19 Sepanjang hari-hari terakhir yang mencabar ini, ramai antara umat Yehuwa menghadapi kesusahan. Bagaimanakah kita dapat menghadapi cubaan dengan tabah dan sukacita? (Yak. 1:2-4) Kita mesti sentiasa berdoa dengan bersungguh-sungguh. (Luk. 21:36) Selain berdoa, kita juga mesti mengkaji dan merenungkan Firman Tuhan setiap hari, termasuk nubuat-nubuat tentang apa yang bakal terjadi. (Mzm. 77:12) Apabila kita berbuat demikian dan bergiat dengan sepenuhnya dalam kerja penyebaran, iman kita akan tetap kuat dan harapan kita akan tetap membara!

20 Fikirkan betapa terujanya anda setelah Babilon Besar dilenyapkan dan perang Armagedon berakhir! Lebih penting lagi, bayangkan perasaan anda apabila semua orang menghormati nama Tuhan dan hak-Nya untuk memerintah! (Yeh. 38:23) Ya, Armagedon merupakan peristiwa yang baik bagi orang yang mengenali Tuhan, mentaati Anak-Nya, dan bertahan sampai akhir!​—Mat. 24:13.

LAGU 143 Terus Berkhidmat, Berjaga-jaga, dan Menanti

^ per. 5 Umat Yehuwa sudah lama menunggu kedatangan Armagedon. Rencana ini akan membincangkan apa itu Armagedon, hal-hal yang akan terjadi sejurus sebelum Armagedon, dan cara kita dapat tetap setia apabila akhir semakin dekat.

^ per. 71 KETERANGAN GAMBAR: Peristiwa yang mendebarkan yang bakal terjadi. Kita akan (1) menginjil selama yang mungkin, (2) terus mengkaji Bible, dan (3) tetap yakin bahawa Tuhan akan melindungi kita.

^ per. 85 KETERANGAN GAMBAR: Pihak polis bersedia untuk menyerbu rumah sebuah keluarga Kristian. Keluarga itu percaya bahawa Yesus dan para malaikatnya sedang memerhatikan apa yang berlaku.