Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 39

Siapakah “Kumpulan Besar Manusia” Itu?

Siapakah “Kumpulan Besar Manusia” Itu?

“Aku nampak kumpulan besar manusia yang jumlahnya tidak dapat dihitung oleh sesiapa pun. . . . Mereka berdiri di hadapan takhta dan di hadapan Anak Bebiri.”​—WHY. 7:9.

LAGU 60 Selamatkanlah Mereka

PENGENALAN *

1. Apakah keadaan Rasul Yohanes sekitar tahun 95 M?

SEKITAR tahun 95 M, Rasul Yohanes berada dalam keadaan yang amat mencabar. Dia sudah berumur dan dikurung di Pulau Patmos, dan kemungkinan besar, dialah rasul terakhir yang masih hidup. (Why. 1:9) Dia tahu bahawa golongan murtad sedang menyesatkan ahli sidang dan menyebabkan perpecahan. Nampaknya, orang Kristian sejati sudah hampir dilenyapkan.​—Yud. 4; Why. 2:15, 20; 3:1, 17.

Rasul Yohanes nampak “kumpulan besar manusia” yang memakai jubah putih sambil memegang pelepah palma di dalam tangan mereka (Lihat perenggan 2)

2. Menurut Wahyu 7:9-14, apakah penglihatan yang diterima oleh Yohanes? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

2 Dalam situasi itu, Yohanes telah menerima suatu penglihatan yang mendebarkan tentang masa depan. Dia nampak malaikat-malaikat disuruh menahan angin pembinasaan kesengsaraan besar sehingga sekumpulan hamba mendapat meterai yang terakhir. (Why. 7:1-3) Kumpulan itu terdiri daripada 144,000 orang yang akan memerintah bersama Yesus di syurga. (Luk. 12:32; Why. 7:4) Selepas itu, Yohanes nampak satu lagi kumpulan yang sangat besar. Dia berkata, “Aku nampak kumpulan besar manusia yang jumlahnya tidak dapat dihitung oleh sesiapa pun. Mereka datang daripada semua bangsa, suku, kaum, dan bahasa. Mereka berdiri di hadapan takhta dan di hadapan Anak Bebiri.” (Baca Wahyu 7:9-14.) Bayangkan betapa gembiranya Yohanes semasa mendapat tahu bahawa berjuta-juta orang akan memeluk ibadat sejati pada masa depan!

3. (a) Mengapakah penglihatan Yohanes patut menguatkan iman kita? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Penglihatan itu tentu menguatkan iman Yohanes. Namun, penglihatan itu pasti lebih menguatkan iman kita, kerana kita sedang hidup pada masa penglihatan itu menjadi kenyataan! Kini, jutaan penyembah Yehuwa telah dikumpulkan, dan mereka berpeluang untuk diselamatkan semasa kesengsaraan besar dan hidup selama-lamanya di bumi. Rencana ini akan membincangkan bagaimana Yehuwa menyingkapkan identiti kumpulan besar itu kepada umat-Nya lebih daripada 80 tahun yang lalu. Kemudian, kita akan meneliti dua ciri kumpulan tersebut: (1) Bilangan ahlinya yang banyak dan (2) ahlinya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Perbincangan ini akan meneguhkan iman semua orang yang ingin menyertai kumpulan besar itu.

KUMPULAN BESAR ITU AKAN TINGGAL DI MANA?

4. Apakah kebenaran Bible yang tidak diajarkan dalam gereja? Sebaliknya, apakah pemahaman Pelajar Bible berkenaan hal ini?

4 Kebanyakan gereja tidak mengajarkan kebenaran Bible bahawa manusia yang taat akan hidup kekal di bumi. (2 Kor. 4:3, 4) Sebaliknya, mereka mengajar bahawa semua orang baik akan pergi ke syurga. Namun, sekumpulan kecil Pelajar Bible * yang menerbitkan Watch Tower sejak tahun 1879 mempunyai pemahaman yang berbeza. Mereka faham bahawa Tuhan akan memulihkan bumi Firdaus, dan bahawa jutaan manusia yang taat akan hidup di bumi, bukannya di syurga. Tetapi, mereka memerlukan masa untuk memahami siapa sebenarnya manusia yang taat itu.​—Mat. 6:10.

5. Apakah yang dipercayai para Pelajar Bible tentang 144,000 orang?

5 Para Pelajar Bible juga belajar daripada Firman Tuhan bahawa sekumpulan orang akan “dibeli dari bumi” untuk memerintah bersama Yesus di syurga. (Why. 14:3) Kumpulan itu akan terdiri daripada 144,000 orang Kristian yang telah membaktikan diri kepada Tuhan. Semasa di bumi, mereka berkhidmat kepada-Nya dengan setia dan bersemangat. Bagaimana pula dengan kumpulan besar?

6. Apakah yang dipercayai para Pelajar Bible tentang kumpulan besar itu?

6 Dalam penglihatan Yohanes, kumpulan besar itu “berdiri di hadapan takhta dan di hadapan Anak Bebiri.” (Why. 7:9) Oleh itu, para Pelajar Bible menyimpulkan bahawa kumpulan besar akan tinggal di syurga, seperti 144,000 orang Kristian terurap. Jika begitu, apakah perbezaan antara dua kumpulan itu? Pelajar Bible berfikir bahawa kumpulan besar terdiri daripada orang Kristian yang tidak taat sepenuhnya kepada Tuhan semasa di bumi. Mereka mungkin mematuhi prinsip moral Bible, tetapi masih merupakan ahli gereja. Mereka mungkin mengasihi Tuhan, tetapi kasih mereka tidak cukup mendalam. Jadi, kumpulan besar itu tidak dapat duduk di atas takhta dan memerintah bersama Yesus. Mereka hanya akan berada di syurga di hadapan takhta.

7. Menurut Pelajar Bible, siapakah yang akan tinggal di bumi semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus? Apakah yang dipercayai mereka tentang orang setia zaman kuno yang mati sebelum kematian Kristus?

7 Jadi, siapakah yang akan tinggal di bumi? Pelajar Bible percaya bahawa selepas 144,000 orang Kristian terurap dan kumpulan besar dibawa ke syurga, jutaan manusia yang lain akan berpeluang untuk hidup di bumi dan menikmati berkat sepanjang Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Jutaan manusia itu tidak menyembah Yehuwa sebelum Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, tetapi mereka akan diajar tentang Yehuwa semasa seribu tahun itu. Pada akhir seribu tahun itu, mereka yang mematuhi piawaian Yehuwa akan dikurniai kehidupan kekal di bumi, manakala mereka yang memberontak akan dibinasakan. Pelajar Bible juga menyangka bahawa pada akhir seribu tahun itu, sebilangan “penguasa” di bumi mungkin dibawa ke syurga. Dalam kalangan “penguasa” itu, terdapat orang setia zaman kuno, iaitu hamba Tuhan yang mati sebelum kematian Kristus.​—Mzm. 45:16.

8. Menurut Pelajar Bible, manusia akan dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan apa?

8 Maka, Pelajar Bible berpendapat bahawa terdapat tiga kumpulan ini: (1) Sebanyak 144,000 orang yang akan memerintah bersama Yesus di syurga; (2) kumpulan besar orang Kristian yang kurang setia, iaitu mereka yang akan pergi ke syurga dan berdiri di hadapan takhta Yesus; dan (3) jutaan orang di bumi yang akan diajar tentang Yehuwa semasa Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. * Tetapi kemudian, pada waktu yang ditentukan oleh Yehuwa, cahaya kebenaran mula bersinar dengan lebih terang.​—Ams. 4:18.

CAHAYA KEBENARAN BERSINAR DENGAN LEBIH TERANG

Semasa konvensyen pada tahun 1935, ramai orang yang mempunyai harapan untuk hidup di bumi telah dibaptis (Lihat perenggan 9)

9. (a) Bagaimanakah kumpulan besar di bumi berdiri “di hadapan takhta dan di hadapan Anak Bebiri”? (b) Mengapakah penjelasan ini masuk akal?

9 Pada tahun 1935, Saksi-Saksi Yehuwa memahami dengan jelas siapa sebenarnya kumpulan besar dalam penglihatan Yohanes. Mereka sedar bahawa kumpulan besar itu berdiri “di hadapan takhta dan di hadapan Anak Bebiri” secara kiasan. Maka, biarpun kumpulan besar itu tidak dibawa ke syurga, mereka berdiri “di hadapan takhta” dengan mengakui pemerintahan Yehuwa dan tunduk kepada-Nya. (Yes. 66:1) Mereka berdiri “di hadapan Anak Bebiri” dengan beriman kepada korban tebusan Yesus. Terdapat ayat Bible lain yang dapat membantu kita faham bahawa gambaran di Wahyu 7:9 membawa erti kiasan. Dalam Matius 25:31, 32, Yesus “duduk di atas takhtanya yang agung,” dan “semua bangsa,” termasuk orang jahat, “dikumpulkan di hadapannya.” Orang jahat pasti tidak akan pergi ke syurga, maka semua bangsa itu tentu berada di bumi, bukan di syurga. Penjelasan ini masuk akal, kerana Bible tidak pernah menyebut bahawa kumpulan besar manusia akan dibawa ke syurga. Hanya satu kumpulan yang akan hidup kekal di syurga, iaitu 144,000 orang yang akan “memerintah sebagai raja atas bumi” bersama Yesus.​—Why. 5:10.

10. Mengapakah kumpulan besar manusia perlu diajar tentang piawaian Yehuwa sebelum Pemerintahan Seribu Tahun Kristus?

10 Sejak tahun 1935, Saksi-Saksi Yehuwa faham bahawa kumpulan besar dalam penglihatan Yohanes terdiri daripada orang Kristian yang setia, yang mempunyai harapan untuk hidup kekal di bumi. Untuk diselamatkan semasa kesengsaraan besar, mereka perlu diajar tentang piawaian Yehuwa sebelum Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Kumpulan besar itu perlu menunjukkan iman yang teguh agar dapat ‘diselamatkan daripada semua hal yang mesti berlaku’ sebelum seribu tahun itu.​—Luk. 21:34-36.

11. Mengapakah sesetengah Pelajar Bible berpendapat bahawa sebilangan orang mungkin dibawa ke syurga pada akhir seribu tahun?

11 Bagaimana pula dengan pandangan bahawa sebilangan orang yang setia di bumi mungkin dibawa ke syurga pada akhir seribu tahun? The Watch Tower terbitan 15 Februari 1913 pernah menyebut tentang hal itu. Pandangan itu wujud kerana sesetengah orang berfikir, “Mengapakah orang setia zaman kuno hanya dapat hidup di bumi padahal orang Kristian yang kurang setia dapat hidup di syurga?” Namun, pandangan itu tidak betul, kerana dipengaruhi oleh dua andaian yang salah: (1) Kumpulan besar akan tinggal di syurga dan (2) kumpulan besar itu terdiri daripada orang Kristian yang kurang setia.

12-13. Apakah yang disedari oleh orang Kristian terurap dan kumpulan besar manusia?

12 Namun, seperti yang telah kita pelajari, sejak tahun 1935, Saksi-Saksi Yehuwa faham dengan jelas bahawa orang yang terselamat semasa Armagedon ialah kumpulan besar manusia dalam penglihatan Yohanes. Kumpulan inilah yang akan “selamat mengharungi kesengsaraan besar” di bumi. Mereka bukanlah orang yang kurang setia, kerana Bible menyatakan bahawa mereka “terus berseru dengan suara yang lantang, ‘Penyelamatan datang daripada Tuhan kita yang duduk di atas takhta dan daripada Anak Bebiri.’” (Why. 7:10, 14) Saksi-Saksi Yehuwa juga faham bahawa orang setia zaman kuno akan hidup kekal di bumi, kerana Bible menyatakan bahawa orang yang dibangkitkan ke syurga mendapat “sesuatu yang lebih baik” berbanding orang setia zaman kuno. (Ibr. 11:40) Setelah memahami hal itu, saudara saudari kita mula menjemput orang dengan bersemangat untuk menyembah Yehuwa dan menantikan harapan kehidupan kekal di bumi.

13 Ahli-ahli kumpulan besar amat gembira kerana diberi harapan ini. Mereka faham bahawa Yehuwalah yang menentukan sama ada penyembah-Nya yang setia akan berkhidmat di syurga atau di bumi. Orang Kristian terurap dan kumpulan besar manusia sedar bahawa mereka hanya dapat menikmati ganjaran ini kerana Tuhan telah menunjukkan kebaikan hati-Nya yang unggul melalui korban tebusan Yesus Kristus.​—Rm. 3:24.

BILANGAN AHLINYA YANG BANYAK

14. Selepas tahun 1935, mengapakah ramai orang tertanya-tanya bagaimana nubuat tentang kumpulan besar akan menjadi kenyataan?

14 Setelah memperoleh pemahaman yang lebih jelas pada tahun 1935, ramai antara umat Yehuwa masih tidak faham bagaimana orang yang akan hidup di bumi akan menjadi kumpulan yang besar. Misalnya, Ronald Parkin berumur 12 tahun semasa identiti kumpulan besar dijelaskan. Mengenang kembali masa itu, dia berkata, “Ada kira-kira 56,000 orang penyiar di serata dunia, tetapi kebanyakan antara mereka ialah kaum terurap. Jadi kumpulan besar itu nampaknya tidak begitu besar.”

15. Bagaimanakah bilangan orang dalam kumpulan besar itu semakin bertambah?

15 Dalam puluhan tahun yang berikutnya, mubaligh telah dihantar ke banyak negara. Hasilnya, bilangan Saksi-Saksi Yehuwa semakin bertambah. Pada tahun 1968, kita mula menggunakan buku “Kebenaran” (The Truth That Leads to Eternal Life) untuk mengadakan pembelajaran Bible. Buku itu menjelaskan kebenaran Bible dengan mudah, dan dalam masa empat tahun, lebih daripada setengah juta orang telah dibaptis. Selain itu, apabila pengaruh Gereja Katolik di Amerika Latin dan negara-negara lain semakin berkurang, dan apabila kerja kita di Eropah Timur dan sesetengah negara Afrika tidak lagi disekat, jutaan orang telah dibaptis. (Yes. 60:22) Beberapa tahun belakangan ini, organisasi Yehuwa telah menghasilkan alat-alat lain untuk mengajar orang tentang kebenaran Bible. Hasilnya, kumpulan besar itu kini mempunyai lebih daripada lapan juta orang.

AHLI DARIPADA PELBAGAI LATAR BELAKANG

16. Ahli-ahli kumpulan besar berasal dari mana?

16 Yohanes menulis bahawa kumpulan besar itu akan datang daripada “semua bangsa, suku, kaum, dan bahasa.” Nabi Zakharia pernah menubuatkan hal yang sama. Dia menulis, “Pada masa itu, 10 orang daripada semua bangsa dan bahasa akan memegang jubah seorang Yahudi dengan erat sambil berkata, ‘Kami hendak pergi bersama-samamu, kerana kami sudah mendengar bahawa Tuhan menyertai kamu.’”​—Za. 8:23.

17. Apakah usaha yang dicurahkan untuk membantu orang daripada segala bangsa dan bahasa?

17 Saksi-Saksi Yehuwa sedar bahawa untuk mengumpulkan orang daripada pelbagai bahasa, berita baik harus disebarkan dalam banyak bahasa. Kita sudah menterjemahkan bahan bacaan Bible untuk lebih daripada 130 tahun, tetapi kini kita melakukan kerja terjemahan yang paling meluas dalam sejarah, yang merangkumi lebih daripada 900 bahasa. Jelaslah, hal ini merupakan mukjizat Yehuwa pada zaman moden, kerana orang daripada pelbagai bangsa telah dijemput oleh-Nya untuk menyertai kumpulan besar itu. Dengan adanya makanan rohani dalam semakin banyak bahasa, kumpulan besar yang berbilang bahasa dan bangsa itu dapat menyembah Yehuwa dengan bersatu padu. Saksi-Saksi dikenali kerana menginjil dengan bersemangat dan saling mengasihi. Tidakkah iman kita dikuatkan setelah menyaksikan hal itu?​—Mat. 24:14; Yoh. 13:35.

MAKNA PENGLIHATAN ITU UNTUK KITA

18. (a) Menurut Yesaya 46:10, 11, bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa memang dapat memenuhi nubuat tentang kumpulan besar? (b) Mengapakah mereka yang diberi harapan untuk hidup di bumi tidak berasa bahawa mereka kehilangan berkat Tuhan?

18 Kita amat teruja setelah mengetahui nubuat tentang kumpulan besar manusia! Yehuwa telah memenuhi nubuat itu dalam cara yang menakjubkan, dan kita tahu bahawa Dia memang dapat berbuat demikian. (Baca Yesaya 46:10, 11.) Ahli-ahli kumpulan besar bersyukur atas harapan yang diberikan Yehuwa. Walaupun mereka tidak dipilih untuk berkhidmat bersama Yesus di syurga, mereka tidak berasa bahawa mereka kehilangan berkat Tuhan. Dalam Bible, terdapat banyak lelaki dan wanita yang beriman dan yang hidup menurut bimbingan kuasa suci Tuhan. Namun, ramai antara mereka, seperti Yohanes Pembaptis dan Raja Daud, bukanlah sebahagian daripada 144,000 orang Kristian terurap. (Mat. 11:11; Kis. 2:34) Mereka dan jutaan orang yang lain akan dibangkitkan di bumi firdaus. Bersama kumpulan besar manusia, mereka akan berpeluang untuk membuktikan kesetiaan mereka kepada Yehuwa dan pemerintahan-Nya.

19. Setelah memahami bahawa penglihatan Yohanes tentang kumpulan besar manusia sedang menjadi kenyataan, apakah yang harus kita lakukan?

19 Tuhan telah mengumpulkan jutaan orang daripada semua bangsa untuk menyembah-Nya. Hal ini tidak pernah berlaku dalam sejarah. Tidak kira kita berpeluang untuk hidup di syurga atau di bumi, marilah kita membantu seberapa ramai orang yang mungkin untuk menyertai kumpulan besar manusia yang terdiri daripada “biri-biri lain.” (Yoh. 10:16) Tidak lama lagi, Yehuwa akan mendatangkan kesengsaraan besar untuk membinasakan semua kerajaan dan agama yang menindas manusia. Selepas itu, semua ahli kumpulan besar itu akan diberi penghormatan yang besar untuk berkhidmat kepada Yehuwa di bumi buat selama-lamanya!​—Why. 7:14.

LAGU 139 Bayangkan Dirimu di Dunia Baharu

^ per. 5 Rencana ini akan membincangkan penglihatan Yohanes tentang “kumpulan besar manusia” yang memiliki harapan yang cerah. Nubuat itu pasti akan menguatkan iman semua orang yang tergolong dalam kumpulan tersebut.

^ per. 4 Nama Saksi-Saksi Yehuwa dahulu.

^ per. 8 Lihat buku “Pemberita” dalam bahasa Indonesia, ms. 159-163.