Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 37

Hendaklah Kita Rela Tunduk kepada Yehuwa

Hendaklah Kita Rela Tunduk kepada Yehuwa

“Tidakkah kita sepatutnya lebih rela tunduk kepada Bapa rohani kita?”​—IBR. 12:9.

LAGU 9 Yehuwa Raja Kita!

PENGENALAN *

1. Mengapakah kita patut tunduk kepada Yehuwa?

KITA patut tunduk * kepada Yehuwa kerana sebagai Pencipta kita, Dia berhak menentukan apa yang betul dan salah bagi kita. (Why. 4:11) Tetapi kita mempunyai satu lagi sebab yang baik untuk mentaati-Nya, iaitu kerana Dia memerintah dengan cara yang terbaik. Sepanjang sejarah, terdapat ramai manusia yang menjadi pemerintah. Namun, Yehuwalah Pemerintah yang paling bijaksana, pengasih, dan berbelas kasihan.​—Kel. 34:6; Rm. 16:27; 1 Yoh. 4:8.

2. Menurut Ibrani 12:9-11, mengapakah kita patut tunduk kepada Yehuwa?

2 Yehuwa tidak mahu kita mematuhi-Nya hanya kerana kita takut menyakiti perasaan-Nya. Dia ingin kita mentaati-Nya kerana kita mengasihi-Nya dan menganggap-Nya sebagai Bapa kita yang penyayang. Dalam buku Ibrani, Paulus menjelaskan bahawa kita patut “rela tunduk kepada Bapa” kita kerana Dia melatih kita “untuk kebaikan kita.”​—Baca Ibrani 12:9-11.

3. (a) Bagaimanakah kita tunduk kepada Yehuwa? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita jawab?

3 Kita tunduk kepada Yehuwa dengan berusaha sedaya upaya untuk mematuhi-Nya dalam segala sesuatu, dan dengan melawan kecenderungan untuk bergantung pada pengertian sendiri. (Ams. 3:5) Jika kita semakin mengenali sifat-sifat murni Yehuwa, kita akan berasa lebih senang untuk tunduk kepada-Nya, kerana sifat-sifat itu merupakan sebab di sebalik semua perbuatan Yehuwa. (Mzm. 145:9) Apabila kita semakin mengenali Yehuwa, kasih kita untuk-Nya pun akan semakin bertambah. Apabila kita mengasihi Yehuwa, kita tidak perlu senarai panjang tentang apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan. Kita akan berusaha mencintai apa yang baik dan membenci apa yang jahat. (Mzm. 97:10) Namun, mengapakah ada kalanya kita berasa susah untuk mentaati Yehuwa? Apakah yang dapat dipelajari oleh para penatua, bapa, dan ibu daripada contoh Gabenor Nehemia, Raja Daud, dan Maria ibu Yesus? Rencana ini akan menjawab soalan-soalan tersebut.

MENGAPAKAH TIDAK MUDAH UNTUK TUNDUK KEPADA YEHUWA?

4-5. Menurut Roma 7:21-23, mengapakah tidak mudah untuk tunduk kepada Yehuwa?

4 Salah satu sebab kita berasa susah untuk tunduk kepada Yehuwa adalah kerana kita semua tidak sempurna dan mewarisi dosa. Akibatnya, kita cenderung memberontak. Semasa Adam dan Hawa mengingkari Tuhan dan memakan buah larangan, mereka telah menentukan apa yang baik dan jahat bagi diri sendiri. (Kej. 3:22) Hari ini, kebanyakan orang juga tidak ingin mematuhi Tuhan. Seperti Adam dan Hawa, mereka ingin menentukan apa yang betul dan salah bagi diri sendiri.

5 Biarpun kita mengenali dan mengasihi Yehuwa, kita mungkin masih berasa susah untuk sentiasa tunduk kepada-Nya. Itulah cabaran yang dihadapi Rasul Paulus. (Baca Roma 7:21-23.) Seperti Paulus, kita ingin melakukan apa yang benar di mata Yehuwa. Namun, untuk berbuat demikian, kita mesti terus melawan keinginan yang jahat.

6-7. Apakah hal kedua yang dapat membuat kita berasa susah untuk tunduk kepada Yehuwa? Berikan contoh.

6 Satu lagi sebab kita berasa susah untuk tunduk kepada Yehuwa adalah kerana pengaruh budaya kita. Oleh sebab fikiran ramai orang di sekeliling kita bercanggah dengan kehendak Yehuwa, kita perlu terus berjuang agar tidak mengikut fikiran mereka. Perhatikan satu contoh.

7 Di sesetengah tempat, orang muda diberi tekanan untuk mencari banyak wang. Itulah cabaran yang dihadapi seorang saudari yang bernama Mary. * Sebelum mengenali Yehuwa, dia telah menuntut di salah sebuah sekolah yang paling terkemuka di negaranya. Keluarga Mary mendesaknya untuk mendapatkan pekerjaan yang dihormati dan yang bergaji tinggi, dan Mary juga menginginkan kerja sebegini. Namun, setelah mengenali dan mengasihi Yehuwa, Mary mengubah matlamatnya. Meskipun begitu, dia berkata, “Ada kalanya, saya mendapat peluang perniagaan yang sangat menguntungkan, tetapi yang akan mengganggu jadual rohani saya. Cara saya dibesarkan membuat saya berasa susah untuk menolak peluang atau permintaan orang lain. Maka saya perlu memohon bantuan Yehuwa agar saya dapat menolak godaan untuk menerima tawaran yang dapat menghalang saya daripada berkhidmat kepada-Nya.”​—Mat. 6:24.

8. Apakah yang akan kita perhatikan?

8 Kita meraih manfaat apabila kita tunduk kepada Yehuwa. Namun, mereka yang diberi kuasa, seperti para penatua, bapa, dan ibu, mempunyai satu lagi sebab untuk tunduk kepada arahan Tuhan: Ketundukan mereka dapat membawa manfaat kepada orang lain. Mari kita perhatikan contoh-contoh Bible yang menunjukkan bagaimana kita dapat menggunakan kuasa dalam cara yang menyenangkan hati Yehuwa.

NEHEMIA​—TELADAN BAGI PENATUA

Para penatua menyertai kerja yang dilakukan di Dewan Perjumpaan, sebagaimana Nehemia menyertai kerja membina semula Yerusalem (Lihat perenggan 9-11) *

9. Apakah cabaran yang dihadapi Nehemia?

9 Yehuwa memberi penatua tanggungjawab yang berat untuk menggembala umat-Nya. (1 Ptr. 5:2) Cara Nehemia melayan umat Tuhan merupakan teladan yang baik bagi para penatua. Selaku gabenor negeri Yehuda, dia memegang banyak kuasa. (Neh. 1:11; 2:7, 8; 5:14) Namun, perhatikan beberapa cabaran yang dihadapinya: Nehemia mendapati bahawa rakyat telah mencemari Rumah Tuhan, dan mereka tidak mematuhi hukum Yehuwa untuk memberikan sumbangan kepada orang Lewi. Mereka juga tidak mematuhi hukum Sabat, dan ada antara mereka yang mengahwini wanita asing. Apakah yang akan dilakukan Gabenor Nehemia?​—Neh. 13:4-30.

10. Bagaimanakah Nehemia menangani cabaran yang dihadapinya?

10 Nehemia tidak menggunakan kuasanya untuk memaksa umat Tuhan mengikut kehendaknya. Sebaliknya, dia berdoa dengan ikhlas untuk memohon bimbingan Yehuwa, dan dia mengajar rakyat tentang Hukum Yehuwa. (Neh. 1:4-10; 13:1-3) Dengan rendah hati, dia juga berganding bahu bersama rakyat untuk membina semula tembok Yerusalem.​—Neh. 4:15.

11. Menurut 1 Tesalonika 2:7, 8, bagaimanakah para penatua harus melayan ahli sidang?

11 Para penatua mungkin tidak akan menghadapi situasi yang dihadapi Nehemia, tetapi mereka masih dapat meniru teladannya. Sebagai contoh, mereka akan bekerja keras demi saudara saudari. Mereka juga tidak meninggikan diri kerana diberi kuasa. Sebaliknya, mereka melayan ahli sidang dengan lemah lembut. (Baca 1 Tesalonika 2:7, 8.) Kasih dan kerendahan hati mereka akan dinyatakan melalui cara mereka bercakap kepada orang lain. Andrew, seorang penatua yang berpengalaman, berkata, “Saya mendapati bahawa apabila penatua bersikap baik hati dan ramah, hal ini akan menyentuh hati saudara saudari dan mendorong mereka untuk bekerjasama dengan para penatua.” Tony, yang telah lama berkhidmat sebagai penatua, berkata, “Saya sentiasa berusaha menerapkan nasihat di Filipi 2:3 untuk menganggap orang lain lebih baik daripada diri saya. Dengan itu, saya tidak akan memaksa orang lain untuk mendengar cakap saya.”

12. Mengapakah para penatua mesti rendah hati?

12 Para penatua mesti rendah hati seperti Yehuwa. Walaupun Dia ialah Pemerintah Tertinggi di alam semesta, Dia “membongkokkan diri” untuk mengangkat “orang lemah dari debu.” (Mzm. 18:35; 113:6, 7) Yehuwa sangat membenci orang yang sombong dan angkuh.​—Ams. 16:5.

13. Mengapakah seorang penatua perlu “mengekang lidahnya dengan baik”?

13 Seorang penatua yang tunduk kepada Yehuwa perlu “mengekang lidahnya dengan baik.” Jika tidak, dia mungkin menjawab dengan kasar apabila orang lain tidak menghormatinya. (Yak. 1:26; Gal. 5:14, 15) Andrew, yang disebut tadi, berkata, “Ada kalanya, saya terasa ingin bercakap dengan kasar kepada saudara atau saudari yang nampaknya tidak menghormati saya. Tetapi saya merenungkan contoh watak-watak Bible yang setia, dan hal itu mengajar saya pentingnya bersikap rendah hati dan lemah lembut.” Para penatua tunduk kepada Yehuwa dengan menunjukkan kasih dan kebaikan hati semasa bercakap kepada ahli sidang, termasuk penatua yang lain.​—Kol. 4:6.

RAJA DAUD​—TELADAN BAGI BAPA

14. Apakah tugas yang diberikan Yehuwa kepada bapa, dan apakah yang diingini-Nya daripada mereka?

14 Yehuwa telah menugaskan bapa sebagai ketua keluarga, dan Dia ingin para bapa melatih dan mendisiplinkan anak-anak mereka. (1 Kor. 11:3; Ef. 6:4) Namun, kuasa bapa ada batasnya. Mereka bertanggungjawab kepada Yehuwa, kerana Dialah pengasas keluarga. (Ef. 3:14, 15) Para bapa tunduk kepada Yehuwa apabila mereka menggunakan kuasa sendiri dalam cara yang disenangi-Nya. Mereka dapat belajar daripada kisah hidup Raja Daud.

Doa seorang bapa harus mencerminkan kerendahan hatinya (Lihat perenggan 15-16) *

15. Mengapakah Raja Daud merupakan teladan yang baik bagi bapa?

15 Yehuwa melantik Daud, bukan sahaja sebagai ketua keluarga, tetapi juga sebagai pemerintah bangsa Israel. Daud pernah menyalahgunakan kuasanya sebagai raja dan melakukan kesalahan yang serius. (2 Sam. 11:14, 15) Tetapi dia tunduk kepada Yehuwa dengan rela menerima disiplin. Dia juga mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa melalui doa dan berusaha mentaati nasihat Yehuwa. (Mzm. 51:1-4) Selain itu, Daud juga rendah hati dan sudi menerima nasihat, bukan sahaja daripada lelaki, tetapi juga daripada wanita. (1 Sam. 19:11, 12; 25:32, 33) Daud belajar daripada kesilapannya dan menjadikan ibadat Yehuwa hal yang terpenting dalam hidupnya.

16. Apakah yang dapat dipelajari para bapa daripada Daud?

16 Apakah yang dapat dipelajari para bapa daripada Raja Daud? Janganlah menyalahgunakan kuasa yang diberikan Yehuwa. Akuilah kesilapan anda, dan terimalah nasihat Bible yang diberikan oleh orang lain. Jika anda berbuat demikian, keluarga anda akan menghormati anda kerana anda bersikap rendah hati. Semasa berdoa bersama keluarga, curahkanlah isi hati anda kepada Yehuwa, dan biarlah mereka dengar bahawa anda sangat bergantung pada-Nya. Yang terpenting, utamakanlah ibadat Yehuwa dalam kehidupan anda. (Ul. 6:6-9) Ingatlah, teladan baik anda merupakan salah satu hadiah yang paling bernilai bagi keluarga anda.

MARIA​—TELADAN BAGI IBU

17. Apakah peranan yang diberikan Yehuwa kepada para ibu?

17 Yehuwa telah memberi ibu peranan yang penting dalam keluarga, dan Dia memberi para ibu kuasa atas anak-anak dalam hal tertentu. (Ams. 6:20) Kata-kata dan perbuatan seorang ibu dapat mempengaruhi anaknya seumur hidup. (Ams. 22:6) Maka, para ibu dapat belajar daripada Maria, iaitu ibu Yesus.

18-19. Bagaimanakah para ibu dapat meniru teladan Maria?

18 Maria sangat mengenali Ayat-Ayat Suci. Dia amat menghormati Yehuwa dan sangat akrab dengan-Nya. Maria rela tunduk kepada kehendak Yehuwa, walaupun hal itu akan mengubah seluruh kehidupannya.​—Luk. 1:35-38, 46-55.

Apabila seorang ibu berasa penat atau geram, dia mungkin perlu mencurahkan lebih banyak usaha untuk menunjukkan kasih kepada ahli keluarganya (Lihat perenggan 19) *

19 Para ibu, bagaimanakah anda dapat meniru teladan Maria? Pertama, jagalah hubungan anda dengan Yehuwa dengan mengkaji Bible dan berdoa secara peribadi. Kedua, hendaklah anda rela membuat perubahan dalam kehidupan sendiri untuk menggembirakan Yehuwa. Misalnya, anda mungkin dibesarkan oleh ibu bapa yang cepat marah dan bercakap kasar kepada anak-anak. Oleh itu anda mungkin berasa bahawa itulah cara yang biasa untuk membesarkan anak. Setelah mempelajari kehendak Yehuwa, anda mungkin masih berasa susah untuk bertenang dan bersabar dengan anak-anak anda, terutamanya jika mereka nakal semasa anda penat. (Ef. 4:31) Pada waktu sedemikian, amatlah penting untuk memohon bantuan Yehuwa. Seorang ibu yang bernama Lydia berkata, “Ada kalanya, saya harus berdoa dengan bersungguh-sungguh supaya saya tidak bercakap dengan kasar semasa anak saya tidak mahu mendengar cakap. Saya pernah berhenti semasa tengah bercakap lalu berdoa dalam hati untuk meminta bantuan Yehuwa. Doa membantu saya bertenang.”​—Mzm. 37:5.

20. Apakah cabaran yang dihadapi sesetengah ibu? Bagaimanakah cabaran itu dapat diatasi?

20 Satu lagi cabaran yang dihadapi sesetengah ibu ialah mereka berasa susah untuk menunjukkan kasih kepada anak-anak mereka. (Tit. 2:3, 4) Hal ini berlaku kerana semasa kecil, mereka pun jarang merasai kasih sayang daripada ibu bapa sendiri. Jika itulah latar belakang anda, ingatlah bahawa anda tidak perlu mengulangi kesilapan ibu bapa anda. Seorang ibu yang tunduk kepada kehendak Yehuwa mungkin perlu belajar untuk menunjukkan kasih kepada anak-anaknya. Memang tidak mudah untuk mengubah fikiran, perasaan, dan kelakuan sendiri. Namun, hal itu tidak mustahil, dan perubahan itu akan membawa manfaat kepada dirinya dan keluarganya.

TERUS TUNDUK KEPADA YEHUWA

21-22. Berdasarkan Yesaya 65:13, 14, apakah manfaatnya jika kita tunduk kepada Yehuwa?

21 Raja Daud sedar bahawa tunduk kepada Yehuwa itu bermanfaat. Dia menulis, “Peraturan Yehuwa itu adil dan menggembirakan hati; perintah Yehuwa itu murni dan memberikan pengertian. Penghakiman-Nya merupakan amaran bagi hamba-Nya. Orang yang menurut penghakiman-Nya akan diberkati dengan berlimpah-limpah.” (Mzm. 19:8, 11) Hari ini, kita dapat melihat perbezaan antara orang yang tunduk kepada Yehuwa dengan orang yang menolak nasihat-Nya. Mereka yang tunduk kepada Yehuwa “bersorak-sorai kerana hati mereka dipenuhi sukacita.”​—Baca Yesaya 65:13, 14.

22 Apabila para penatua, bapa, dan ibu sudi tunduk kepada Yehuwa, kehidupan mereka akan bertambah baik, keluarga mereka akan menjadi lebih bahagia, dan seluruh sidang akan lebih bersatu. Yang terpenting, mereka akan menggembirakan hati Yehuwa. (Ams. 27:11) Bukankah itu ganjaran yang cukup besar?

LAGU 123 Tunduk kepada Aturan Teokratik dengan Setia

^ per. 5 Rencana ini akan membincangkan sebabnya kita patut tunduk kepada Yehuwa. Kita juga akan belajar daripada contoh Gabenor Nehemia, Raja Daud, dan Maria ibu Yesus, tentang cara para penatua, bapa, dan ibu, harus menggunakan kuasa yang diberikan oleh Yehuwa.

^ per. 1 MAKSUD UNGKAPAN: Bagi mereka yang terpaksa mematuhi orang lain, perkataan tunduk dan ketundukan membawa erti yang buruk. Tetapi memandangkan umat Tuhan memilih untuk mematuhi-Nya, mereka tidak berasa bahawa ketundukan ialah hal yang buruk.

^ per. 7 Sesetengah nama dalam rencana ini telah diubah.

^ per. 62 KETERANGAN GAMBAR: Seorang penatua bekerja bersama anaknya untuk menjaga Dewan Perjumpaan, sebagaimana Nehemia bekerja bersama rakyat untuk membina semula tembok Yerusalem.

^ per. 64 KETERANGAN GAMBAR: Seorang bapa berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Yehuwa bagi pihak keluarganya.

^ per. 66 KETERANGAN GAMBAR: Seorang budak lelaki menghabiskan masa berjam-jam untuk permainan video, dan dia belum menyiapkan kerja rumah atau kerja sekolahnya. Ibunya sudah penat setelah pulang dari kerja, tetapi dia mendisiplinkan anak itu tanpa naik marah ataupun bercakap kasar.