Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 35

Yehuwa Menghargai Hamba-Hamba-Nya yang Rendah Hati

Yehuwa Menghargai Hamba-Hamba-Nya yang Rendah Hati

“Yehuwa . . . akrab dengan orang yang rendah hati.”​—MZM. 138:6.

LAGU 48 Berjalan dengan Yehuwa Setiap Hari

PENGENALAN *

1. Apakah pandangan Yehuwa terhadap orang yang rendah hati?

YEHUWA mengasihi orang yang rendah hati, tetapi “Dia tidak ingin bersahabat dengan orang yang sombong.” (Mzm. 138:6) Kita semua ingin menggembirakan Yehuwa dan dikasihi-Nya. Memandangkan hanya orang yang benar-benar rendah hati dapat menikmati hubungan yang akrab dengan Yehuwa, kita ada sebab yang baik untuk memupuk sifat kerendahan hati.

2. Apakah yang akan kita bincang dalam rencana ini?

2 Dalam rencana ini, kita akan menjawab tiga soalan berikut: (1) Apakah itu kerendahan hati? (2) Mengapakah kita harus memupuk sifat itu? (3) Situasi apakah yang mungkin menguji kerendahan hati kita? Kita juga akan melihat bagaimana orang yang memupuk kerendahan hati akan menggembirakan Yehuwa dan meraih manfaat.​—Ams. 27:11; Yes. 48:17.

APAKAH ITU KERENDAHAN HATI?

3. Apakah maksud bersikap rendah hati?

3 Orang yang rendah hati tidak bersikap sombong atau angkuh, dan tidak menganggap diri lebih penting daripada orang lain. Bible menyatakan bahawa seseorang yang rendah hati akan sedar bahawa Tuhan Yehuwa jauh lebih agung daripada dirinya. Dia juga sedar bahawa semua orang lebih baik daripadanya dari segi tertentu.​—Flp. 2:3, 4.

4-5. Mengapakah kerendahan hati yang sejati tidak bergantung pada keperibadian kita?

4 Sesetengah orang hanya kelihatan seperti orang yang rendah hati. Mereka mungkin pendiam, atau bersikap hormat dan sopan kerana budaya dan latar belakang sendiri, padahal mereka sebenarnya sangat sombong. Lambat laun kesombongan mereka akan kelihatan.​—Luk. 6:45.

5 Pada masa yang sama, orang yang nampaknya yakin atau bercakap dengan terus terang pula tidak semestinya sombong. (Yoh. 1:46, 47) Namun, mereka perlu berjaga-jaga agar tidak bergantung pada kebolehan sendiri. Tidak kira apa keperibadian kita, kita semua mesti berusaha untuk memupuk kerendahan hati yang sejati.

Rasul Paulus tidak meninggikan diri (Lihat perenggan 6) *

6. Daripada 1 Korintus 15:10, apakah yang kita pelajari tentang Rasul Paulus?

6 Fikirkan contoh Rasul Paulus. Yehuwa telah memberinya tugas yang besar untuk menubuhkan sidang di banyak kota. Antara semua rasul Yesus Kristus, Paulus mungkin telah menginjil di paling banyak tempat. Meskipun begitu, dia tidak meninggikan diri. Sebaliknya dia mengaku, “Dalam kalangan para rasul, akulah yang paling tidak penting. Aku tidak layak dipanggil rasul, kerana aku pernah menganiaya sidang Tuhan.” (1 Kor. 15:9) Kemudian, Paulus mengatakan bahawa dia dapat memiliki hubungan yang baik dengan Yehuwa, bukan kerana sifat atau usahanya sendiri, tetapi kerana kebaikan hati Tuhan yang unggul. (Baca 1 Korintus 15:10.) Kerendahan hati Paulus memang wajar diteladani. Semasa menulis suratnya kepada sidang di Korintus, dia tidak membanggakan diri walaupun sesetengah ahli sidang mencuba membuktikan bahawa mereka lebih unggul daripadanya.​—2 Kor. 10:10.

Karl F. Klein, seorang saudara yang rendah hati yang pernah berkhidmat sebagai ahli Badan Pimpinan (Lihat perenggan 7)

7. Bagaimanakah seorang saudara yang dikenali ramai menunjukkan kerendahan hati?

7 Ramai penyembah Yehuwa telah digalakkan oleh kisah hidup Saudara Karl F. Klein, seorang ahli Badan Pimpinan yang sangat rendah hati. Dalam kisah hidupnya, Saudara Klein telah bercerita tentang banyak kelemahan dan masalahnya. Contohnya, pada tahun 1920-an, dia berasa bahawa kerja penyebaran dari rumah ke rumah terlalu susah. Oleh itu, selepas mencuba sekali, dia tidak lagi keluar menginjil selama dua tahun. Kemudian, semasa berkhidmat di Bethel, dia berasa sakit hati buat suatu ketika terhadap seorang saudara yang telah menegurnya. Dia juga pernah terlalu tertekan sehingga mengalami masalah emosi. Memandangkan Saudara Klein memikul banyak tanggungjawab dalam organisasi dan dikenali ramai, dia pasti sangat rendah hati kerana rela mengakui kelemahan sendiri! Ramai saudara saudari masih ingat akan Saudara Klein dan kisah hidupnya yang jujur dan menarik. *

MENGAPAKAH KITA HARUS MEMUPUK KERENDAHAN HATI?

8. Bagaimanakah 1 Petrus 5:6 menunjukkan bahawa sikap rendah hati menggembirakan Yehuwa?

8 Sebab terpenting kita memupuk kerendahan hati adalah kerana sikap ini menggembirakan Yehuwa. Rasul Petrus telah menjelaskan hal ini. (Baca 1 Petrus 5:6.) Mengenai kata-kata Petrus, buku “Pengikutku” (“Come Be My Follower”) menyatakan, “Sikap sombong bagaikan racun yang amat berbahaya. Kesombongan dapat menyebabkan orang yang paling berbakat menjadi tidak berguna di sisi Tuhan. Namun, orang yang rendah hati sangat berguna bagi Yehuwa, biarpun dia hanya memiliki sedikit kemampuan. . . . Tuhan berasa gembira untuk memberi anda ganjaran jika anda rendah hati.” * Tidakkah kita ingin menggembirakan hati Yehuwa?​—Ams. 23:15.

9. Mengapakah orang lain suka bergaul dengan kita jika kita bersikap rendah hati?

9 Selain menyenangkan hati Yehuwa, terdapat manfaat lain sekiranya kita memupuk kerendahan hati. Jika kita bersikap rendah hati, orang lain akan suka bergaul dengan kita. Apakah sebabnya? Fikirkan hal ini: Kita tidak suka bergaul dengan orang yang selalu berkeras mengikut pandangan sendiri dan enggan mendengar cadangan orang lain. Sebaliknya, kita disegarkan ketika bergaul dengan rakan seiman yang “menunjukkan simpati, memiliki kasih sayang terhadap satu sama lain, berbelas kasihan, dan bersikap rendah hati.” (1 Ptr. 3:8) Jika kita suka bergaul dengan orang sedemikian, mereka pun akan suka bergaul dengan kita selagi kita bersikap rendah hati.​—Mat. 7:12.

10. Bagaimanakah kerendahan hati membantu kita menghadapi masalah dalam kehidupan?

10 Kerendahan hati juga dapat membantu kita menghadapi masalah dalam kehidupan. Dari masa ke masa, kita akan melihat atau mengalami perkara yang nampaknya tidak adil. Raja Salomo yang bijaksana berkata, “Aku telah melihat hamba menunggang kuda, sedangkan pembesar berjalan kaki seperti hamba.” (Pkh. 10:7) Orang yang cekap tidak selalunya dipuji, manakala mereka yang kurang cekap kadang-kadang mendapat banyak perhatian. Biarpun begitu, Salomo berkata bahawa adalah lebih baik untuk menerima hakikat daripada asyik memikirkan keadaan yang buruk. (Pkh. 6:9) Jika kita rendah hati, kita akan berasa lebih mudah untuk menerima hal-hal yang terjadi dalam hidup, bahkan hal yang kurang menyenangkan.

SITUASI APAKAH YANG DAPAT MENGUJI KERENDAHAN HATI KITA?

Bagaimanakah situasi sebegini dapat menguji kerendahan hati kita? (Lihat perenggan 11-12) *

11. Mengapakah kita perlu rendah hati semasa ditegur?

11 Setiap hari, kita mempunyai banyak peluang untuk menunjukkan kerendahan hati. Fikirkan beberapa situasi. Semasa kita ditegur. Ingatlah bahawa jika seseorang meluangkan masa untuk menegur kita, kemungkinan besar kita tidak sedar betapa seriusnya kesilapan kita. Semasa ditegur, reaksi kita yang pertama mungkin adalah untuk menolak nasihat itu. Kita mungkin mencari kesilapan orang yang menegur kita, atau berkata bahawa cara dia memberikan nasihat tidak sesuai. Tetapi jika kita rendah hati, kita akan berusaha untuk menunjukkan sikap yang betul semasa ditegur.

12. Menurut Amsal 27:5, 6, mengapakah kita harus bersyukur semasa orang lain menegur kita? Berikan contoh.

12 Orang yang rendah hati akan bersyukur semasa ditegur. Bayangkan situasi ini di Dewan Perjumpaan: Setelah anda bersembang dengan beberapa orang saudara saudari, seorang rakan seiman menarik anda ke tepi dan memberitahu anda bahawa terdapat sisa makanan pada gigi anda. Sudah tentu anda akan berasa malu, tetapi tidakkah anda bersyukur kerana dia memberitahu anda tentang hal itu? Anda juga mungkin berfikir, “Kenapa orang lain tidak beritahu saya awal-awal lagi?” Begitu juga, kita harus rendah hati dan bersyukur apabila seorang rakan seiman memberanikan diri untuk memberi kita nasihat yang diperlukan. Anggaplah dia sebagai sahabat, bukan musuh.​—Baca Amsal 27:5, 6; Gal. 4:16.

Mengapakah kita harus rendah hati semasa orang lain diberi tugas dalam sidang? (Lihat perenggan 13-14) *

13. Bagaimanakah kita dapat bersikap rendah hati semasa orang lain diberi tugas dalam sidang?

13 Semasa orang lain diberi tugas dalam sidang. Seorang penatua yang bernama Jason berkata, “Semasa saya nampak orang lain diberi tanggungjawab istimewa, ada kalanya saya fikir, ‘Kenapa saya tidak dipilih?’” Pernahkah anda berasa sedemikian? Tiada salahnya jika kita ingin melakukan lebih banyak kerja untuk Yehuwa. (1 Tim. 3:1) Tetapi kita mesti menjaga fikiran sendiri. Jika tidak, keangkuhan mungkin mula bertumbuh dalam hati kita. Seorang saudara mungkin mula berfikir bahawa dialah yang paling layak memikul tanggungjawab tertentu, atau seorang saudari mungkin berfikir, “Suami saya lebih layak daripada saudara itu!” Jika kita benar-benar rendah hati, kita tidak akan melayan fikiran sebegitu.

14. Apakah yang kita pelajari daripada reaksi Musa semasa orang lain diberi tanggungjawab?

14 Kita dapat belajar daripada reaksi Musa semasa orang lain diberi tanggungjawab. Musa menghargai tugas sendiri untuk memimpin bangsa Israel, tetapi apakah reaksinya semasa Yehuwa memberi orang lain kebolehan untuk melakukan sesetengah tugasnya? Musa tidak cemburu. (Bil. 11:24-29) Sebaliknya, dia rendah hati dan rela mengagihkan tanggungjawabnya sebagai hakim kepada orang lain. (Kel. 18:13-24) Dengan itu, kes-kes orang Israel dapat dibicarakan dengan lebih cepat. Hal ini menunjukkan bahawa Musa lebih mengutamakan kepentingan orang lain daripada kedudukan sendiri. Teladan yang sungguh baik! Ingatlah, untuk menjadi berguna di sisi Yehuwa, kerendahan hati lebih penting daripada kebolehan. Bible menyatakan, “Meskipun Yehuwa begitu agung, Dia akrab dengan orang yang rendah hati.”​—Mzm. 138:6.

15. Apakah perubahan yang dihadapi ramai saudara saudari?

15 Semasa kehidupan kita berubah. Belakangan ini, ramai saudara saudari yang telah berkhidmat selama puluhan tahun telah diberi tugasan baharu. Contohnya, pada tahun 2014, para penyelia distrik dan isteri mereka telah menerima tugasan baharu. Pada tahun yang sama, saudara-saudara yang mencecah umur 70 tahun tidak lagi berkhidmat sebagai penyelia litar, dan penatua yang berumur 80 tahun dan ke atas tidak lagi menjadi koordinator badan penatua. Selain itu, ramai ahli Bethel telah ditugaskan sebagai perintis, dan sebilangan pekhidmat khas sepenuh masa terpaksa berhenti kerana masalah kesihatan, tanggungjawab keluarga, dan sebab-sebab lain.

16. Bagaimanakah saudara saudari kita menunjukkan kerendahan hati semasa menghadapi perubahan?

16 Ramai saudara saudari tersebut memang berasa susah untuk membiasakan diri dengan perubahan itu. Setelah menerima tugasan baharu, ada yang berasa sedih kerana sangat merindui tugasan lama yang dipikul selama bertahun-tahun. Namun, mereka berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan baharu. Mengapa? Kerana mereka mengasihi Yehuwa. Mereka tahu bahawa mereka membaktikan diri kepada Tuhan, bukannya kerja, gelaran, atau tugasan. (Kol. 3:23) Mereka rendah hati dan rela berkhidmat kepada Yehuwa dalam apa jua cara. Mereka juga ‘melemparkan segala kekhuatiran mereka kepada Tuhan,’ kerana yakin bahawa Dia mengambil berat tentang mereka.​—1 Ptr. 5:6, 7.

17. Apakah manfaatnya jika kita mengikut nasihat Bible untuk memupuk kerendahan hati?

17 Tidakkah kita bersyukur kerana Firman Tuhan menggalakkan kita untuk memupuk kerendahan hati? Apabila kita memupuk sifat yang mulia ini, kita membawa manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Kita dapat menghadapi cabaran hidup dengan lebih baik. Penting sekali, sifat ini membolehkan kita menghampiri Yehuwa. Alangkah gembiranya kita kerana tahu bahawa meskipun Bapa kita ialah “Tuhan Yang Maha Tinggi,” Dia mengasihi dan menghargai hamba-hamba-Nya yang rendah hati!​—Yes. 57:15.

LAGU 45 Renungan Hatiku

^ per. 5 Sifat kerendahan hati amat penting. Apakah itu kerendahan hati? Mengapakah kita harus memupuknya? Bagaimanakah perubahan dalam kehidupan dapat menguji kerendahan hati kita? Rencana ini akan menjawab soalan-soalan tersebut.

^ per. 7 Lihat rencana “Yehuwa Telah Berbuat Baik Kepadaku” dalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan tahun 1984.

^ per. 8 Lihat bab 3, per. 23.

^ per. 53 KETERANGAN GAMBAR: Semasa di rumah seorang saudara, Rasul Paulus menunjukkan kerendahan hati dengan sudi bergaul bersama orang lain, termasuk kanak-kanak.

^ per. 57 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara menerima nasihat yang berdasarkan Bible, yang diberikan oleh seorang saudara yang lebih muda.

^ per. 59 KETERANGAN GAMBAR: Saudara yang lebih tua itu tidak berasa cemburu ketika saudara yang lebih muda itu diberi tanggungjawab dalam sidang.