Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 38

Bertindak dengan Bijak pada Masa yang Aman

Bertindak dengan Bijak pada Masa yang Aman

‘Negerinya aman dan bebas daripada perang selama beberapa tahun itu kerana Yehuwa mengurniakan keamanan kepadanya.’​—2 TAW. 14:6.

LAGU 60 Selamatkanlah Mereka

PENGENALAN *

1. Bilakah masa yang paling mencabar untuk menyembah Yehuwa?

BAGI anda, bilakah masa yang paling mencabar untuk menyembah Yehuwa? Adakah semasa anda menghadapi banyak masalah atau semasa kehidupan anda aman? Ketika kita dilanda masalah, memang mudah untuk bergantung pada Yehuwa. Tetapi semasa kehidupan kita aman, mungkinkah kita tersimpang daripada ibadat kita kepada Tuhan? Pada zaman lampau, Yehuwa telah mengingatkan orang Israel agar berhati-hati terhadap bahaya ini.​—Ul. 6:10-12.

Raja Asa memerangi ibadat palsu secara habis-habisan (Lihat perenggan 2) *

2. Bagaimanakah Raja Asa bertindak dengan bijak?

2 Mari kita perhatikan teladan baik Raja Asa. Sejak muda lagi, dia bertindak dengan bijak kerana dia bergantung sepenuhnya pada Yehuwa, bukan sahaja pada masa yang susah, tetapi juga pada masa yang aman. Asa “menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati” dan melenyapkan ibadat palsu di Yehuda. (1 Raj. 15:14) Bible menyatakan bahawa “dia menyingkirkan mazbah-mazbah tuhan asing dan tempat-tempat pemujaan, menghancurkan tugu-tugu suci, dan merobohkan tiang-tiang suci.” (2 Taw. 14:3, 5) Dia bahkan menyingkirkan neneknya Maakha daripada kedudukannya sebagai bonda ratu, kerana Maakha menggalakkan rakyat untuk menyembah berhala.​—1 Raj. 15:11-13.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Namun, Asa bukan sekadar menyingkirkan ibadat palsu. Dia juga berusaha memulihkan ibadat sejati dengan membantu rakyatnya kembali kepada Yehuwa. Yehuwa telah memberkati Asa dan orang Israel, dan mereka menikmati keamanan * selama 10 tahun. (2 Taw. 14:1, 4, 6) Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana Asa menggunakan masa yang aman dengan bijak. Kemudian, kita akan melihat bagaimana orang Kristian pada abad pertama juga menggunakan masa yang aman dengan bijak. Akhir sekali, kita akan menjawab soalan ini: Jika kita bebas beribadat di negara kita, bagaimanakah kita dapat menggunakan masa yang aman itu dengan bijak?

BAGAIMANA ASA MENGGUNAKAN MASA YANG AMAN

4. Menurut catatan di 2 Tawarikh 14:2, 6, 7, bagaimanakah Raja Asa menggunakan masa yang aman dengan bijak?

4 Baca 2 Tawarikh 14:2, 6, 7. Asa memberitahu rakyatnya bahawa Yehuwalah yang “mengurniakan kedamaian kepada [mereka].” Namun, dia tidak menganggap bahawa masa yang aman itu merupakan kesempatan untuk bersenang-lenang. Sebaliknya, dia mula membina kota-kota dan mendirikan tembok, menara, dan pintu gerbang yang berpalang. Asa juga memberitahu penduduk Yehuda, “Kita menguasai negeri ini.” Apa yang dimaksudkannya ialah bahawa rakyat bebas bergerak di negeri mereka dan dapat melakukan projek pembinaan tanpa tentangan musuh. Oleh itu, Asa menggalakkan mereka untuk menggunakan masa yang aman itu dengan sebaik-baiknya.

5. Mengapakah Asa menguatkan angkatan tenteranya?

5 Asa juga menggunakan masa yang aman itu untuk menguatkan angkatan tenteranya. (2 Taw. 14:8) Namun, adakah hal itu bermaksud dia tidak bergantung pada Yehuwa? Tidak. Asa tahu bahawa sebagai raja, dia bertanggungjawab untuk membantu rakyatnya bersedia menghadapi masalah yang mungkin timbul. Asa juga tahu bahawa kedamaian yang dinikmati penduduk Yehuda tidak akan berkekalan, dan hal itu memang benar.

BAGAIMANA ORANG KRISTIAN ABAD PERTAMA MENGGUNAKAN MASA YANG AMAN

6. Bagaimanakah orang Kristian abad pertama menggunakan masa yang aman dengan bijak?

6 Meskipun orang Kristian abad pertama sering dianiaya, mereka menikmati kedamaian dari masa ke masa. Bagaimanakah mereka menggunakan masa yang aman itu? Buku Kisah menyatakan bahawa mereka sentiasa “takut akan Yehuwa” dan terus berusaha menyebarkan berita baik. Oleh sebab mereka menginjil dengan bersemangat pada masa yang aman, “bilangan murid terus bertambah.” Jelaslah bahawa Yehuwa memberkati usaha mereka.​—Kis. 9:26-31.

7-8. Apakah yang dilakukan Paulus dan orang Kristian lain apabila peluang untuk menginjil terbuka? Jelaskan.

7 Pengikut Yesus pada abad pertama menggunakan setiap kesempatan yang ada untuk menyebarkan berita baik. Sebagai contoh, apabila Paulus sedar bahawa dia “mempunyai banyak peluang untuk menjalankan kerja penyebaran” di Efesus, dia terus tinggal di kota itu dan menginjil dengan bersemangat.​—1 Kor. 16:8, 9.

8 Peluang lain untuk menginjil terbuka kepada Paulus dan orang Kristian lain semasa isu sunat diselesaikan pada tahun 49 M. (Kis. 15:23-29) Setelah keputusan tentang hal itu dimaklumkan kepada sidang-sidang, para murid Yesus berusaha sedaya upaya untuk mengumumkan “berita baik tentang firman Yehuwa.” (Kis. 15:30-35) Apakah hasilnya? Bible melaporkan bahawa ‘iman orang di sidang-sidang semakin teguh, dan setiap hari, bilangan mereka semakin bertambah.’​—Kis. 16:4, 5.

MENGGUNAKAN MASA YANG AMAN DENGAN BIJAK PADA HARI INI

9. Bagaimanakah keadaan umat Yehuwa di banyak negara dewasa ini? Apakah soalan yang dapat kita fikirkan?

9 Hari ini, umat Yehuwa di banyak negara dapat menginjil dengan bebas. Bagaimana pula di negara anda? Adakah anda bebas untuk beribadat? Jika ya, tanyalah diri, “Adakah saya menggunakan kebebasan yang saya nikmati sekarang dengan bijak?” Sepanjang hari-hari terakhir ini, organisasi Yehuwa menjalankan kempen menginjil dan mengajar yang terbesar dalam sejarah. (Mrk. 13:10) Jadi, kita mempunyai banyak peluang untuk menyokong kerja ini.

Banyak penyiar menikmati berkat yang melimpah kerana berkhidmat di luar negara atau menginjil kepada orang yang berbahasa asing (Lihat perenggan 10-12) *

10. Apakah nasihat di 2 Timotius 4:2?

10 Bagaimanakah anda dapat menggunakan masa yang aman dengan bijak? (Baca 2 Timotius 4:2.) Periksalah kehidupan anda dan lihatlah jika anda atau salah seorang ahli keluarga anda dapat merintis atau meluangkan lebih banyak masa untuk menginjil. Ingatlah, sekarang bukan masanya untuk mengumpulkan harta atau kekayaan, kerana harta benda tidak dapat melindungi kita semasa kesengsaraan besar.​—Ams. 11:4; Mat. 6:31-33; 1 Yoh. 2:15-17.

11. Apakah yang dilakukan banyak penyiar untuk membantu lebih banyak orang mendengar berita baik?

11 Banyak penyiar telah mempelajari bahasa baharu supaya mereka dapat membantu lebih banyak orang mengenali Yehuwa. Organisasi Tuhan menyokong usaha mereka dengan menyediakan bahan terbitan yang berdasarkan Bible dalam semakin banyak bahasa. Misalnya, pada tahun 2010, bahan bacaan kita disediakan dalam kira-kira 500 bahasa. Tetapi sekarang, bahan bacaan kita terdapat dalam lebih daripada 1,000 bahasa!

12. Apakah manfaatnya jika orang mendengar berita baik dalam bahasa ibunda mereka? Berikan contoh.

12 Apakah kesannya apabila orang dapat mendengar kebenaran Bible dalam bahasa ibunda mereka? Perhatikan pengalaman seorang saudari yang menghadiri konvensyen serantau di Amerika Syarikat. Konvensyen itu diadakan dalam bahasa Kinyarwanda, iaitu bahasa utama negara Rwanda, Congo (Kinshasa), dan Uganda. Selepas menghadiri konvensyen tersebut, saudari yang berbahasa Kinyarwanda itu berkata, “Inilah kali pertama saya dapat memahami program konvensyen dengan sepenuhnya sejak saya berpindah ke Amerika Syarikat 17 tahun yang lalu.” Ya, saudari itu tersentuh semasa mendengar program rohani dalam bahasa ibundanya. Di kawasan penyebaran anda, adakah sesetengah orang akan lebih sudi mendengar berita baik jika anda menginjil dalam bahasa ibunda mereka? Jika keadaan anda mengizinkan, dapatkah anda mempelajari bahasa baharu untuk membantu mereka? Jika anda berusaha berbuat demikian, anda akan menuai sukacita yang besar.

13. Bagaimanakah saudara saudari di Rusia menggunakan masa yang aman dengan bijak?

13 Bukan semua saudara saudari kita menikmati kebebasan untuk menginjil kerana sesetengah kerajaan menyekat kerja penyebaran kita. Sebagai contoh, fikirkan rakan seiman kita di Rusia. Setelah dianiaya selama berpuluh-puluh tahun, pihak kerajaan telah memberi mereka kebebasan untuk beribadat pada Mac 1991. Ketika itu, terdapat kira-kira 16,000 orang penyiar di Rusia. Dua puluh tahun kemudian, bilangan penyiar di situ telah meningkat kepada lebih daripada 160,000 orang! Peningkatan itu membuktikan bahawa saudara saudari kita telah menggunakan masa yang aman dengan bijak. Mereka menginjil dengan bersungguh-sungguh semasa mereka mempunyai kebebasan untuk berbuat demikian. Kini, walaupun situasi mereka sudah berubah, mereka terus menyembah Yehuwa dengan bersemangat dan melakukan apa yang mereka mampu untuk memajukan ibadat sejati.

MASA YANG AMAN TIDAK AKAN BERKEKALAN

Setelah Raja Asa berdoa dengan bersungguh-sungguh, Yehuwa membolehkan tentera Yehuda mengalahkan angkatan tentera musuh yang besar dan kuat (Lihat perenggan 14-15)

14-15. Bagaimanakah Yehuwa telah menggunakan kuasa-Nya untuk membantu Asa?

14 Pada zaman Asa, masa yang aman bagi penduduk Yehuda berakhir apabila angkatan tentera Etiopia yang berjumlah sejuta orang menyerang Yehuda. Zerah, iaitu ketua angkatan tentera itu, sangat yakin bahawa dia pasti dapat mengalahkan tentera Yehuda. Meskipun begitu, Raja Asa bergantung pada Yehuwa, Tuhannya. Dia berdoa, “Ya Yehuwa, Tuhan kami, bantulah kami kerana kami bergantung pada-Mu. Demi nama-Mu, kami datang menentang angkatan tentera yang besar ini.”​—2 Taw. 14:11.

15 Walaupun bilangan askar Etiopia adalah dua kali ganda lebih banyak daripada askar Yehuda, Asa tahu bahawa Yehuwa amat berkuasa dan mampu bertindak bagi pihak umat-Nya. Adakah Yehuwa menghampakannya? Tidak, kerana Yehuwa telah menyebabkan tentera Etiopia kalah teruk.​—2 Taw. 14:8-13.

16. Bagaimanakah kita tahu bahawa keamanan yang dinikmati umat Tuhan sekarang tidak akan berkekalan?

16 Kita tidak tahu secara terperinci apa yang akan terjadi kepada setiap seorang daripada kita pada masa depan. Namun, kita sedar bahawa keamanan yang dinikmati umat Tuhan sekarang tidak akan berkekalan. Yesus sudah menubuatkan bahawa pada hari-hari terakhir, murid-muridnya akan “dibenci oleh semua bangsa.” (Mat. 24:9) Rasul Paulus juga menyatakan bahawa ‘semua orang yang mahu mengabdikan diri kepada Tuhan dan hidup bersatu dengan Kristus Yesus akan dianiaya.’ (2 Tim. 3:12) Ingatlah, Syaitan sudah turun ke bumi dengan “kemarahan yang besar.” (Why. 12:12) Jika kita berfikir bahawa kita dapat melepaskan diri daripada bahang kemarahannya, kita sedang menipu diri.

17. Bagaimanakah iman kita mungkin diuji?

17 Tidak lama lagi, “akan berlakunya kesengsaraan besar yang tidak pernah berlaku semenjak permulaan dunia sehingga sekarang.” (Mat. 24:21) Pada masa itu, iman kita semua akan diuji. Ahli keluarga kita mungkin mengkhianati kita, dan kerja penyebaran kita mungkin diharamkan. (Mat. 10:35, 36) Apabila hal ini berlaku, adakah kita akan bergantung pada bantuan dan perlindungan Yehuwa, seperti yang dilakukan oleh Asa?

18. Menurut Ibrani 10:38, 39, apakah yang kita perlukan untuk menghadapi cubaan pada masa depan?

18 Yehuwa sedang membantu kita agar kita bersedia menghadapi cubaan pada masa depan. Dia membimbing “hamba yang setia dan bijaksana” untuk menyediakan makanan rohani “pada masa yang sesuai” agar kita dapat tetap teguh. (Mat. 24:45) Namun, kita masing-masing harus berusaha untuk membina iman yang kuat terhadap Yehuwa.​—Baca Ibrani 10:38, 39.

19-20. Setelah membaca 1 Tawarikh 28:9, apakah soalan-soalan yang harus kita tanya diri? Mengapakah soalan-soalan itu penting?

19 Seperti Raja Asa, kita perlu ‘mencari Yehuwa.’ (2 Taw. 14:4; 15:1, 2) Kita mula mencari Yehuwa semasa kita belajar tentang-Nya dan dibaptis. Namun, kita perlu terus berusaha memperdalam kasih kita kepada Yehuwa. Adakah kita menggunakan setiap peluang untuk berbuat demikian dengan sebaik-baiknya? Untuk mengetahui jawapannya, tanyalah diri, “Adakah saya menghadiri perjumpaan secara tetap?” Kita akan dikuatkan secara rohani dan menikmati pergaulan yang membina jika kita menghadiri perjumpaan yang disediakan oleh organisasi Yehuwa. (Mat. 11:28) Kita juga dapat memikirkan soalan-soalan seperti: “Adakah saya mengkaji Bible secara tetap? Jika saya tinggal bersama ahli keluarga, adakah kami menetapkan masa untuk penyembahan keluarga setiap minggu? Jika saya tinggal seorang diri, adakah saya mengekhaskan masa untuk pembelajaran peribadi? Selain itu, adakah saya bergiat dengan sepenuhnya dalam kerja menginjil dan menjadikan orang murid Yesus?”

20 Mengapakah soalan-soalan itu penting? Bible menyatakan bahawa Yehuwa menyelidiki fikiran dan isi hati kita. (Baca 1 Tawarikh 28:9.) Jadi kita harus memeriksa diri untuk memastikan agar fikiran dan isi hati kita menyenangkan hati Yehuwa. Jika kita mendapati bahawa matlamat, sikap, atau fikiran kita perlu diubah, kita mahu memohon bantuan Yehuwa untuk membuat perubahan yang diperlukan. Sekaranglah masanya untuk bertindak supaya kita bersedia menghadapi cubaan yang bakal melanda! Maka gunakanlah masa yang aman sekarang dengan bijak!

LAGU 62 Lagu Baharu

^ per. 5 Adakah anda bebas menyembah Yehuwa di negara anda? Jika ya, bagaimanakah anda menggunakan masa aman yang anda nikmati sekarang? Rencana ini akan membincangkan bagaimana anda dapat meniru teladan Raja Asa dari Yehuda dan orang Kristian abad pertama yang menggunakan masa yang aman dengan bijak.

^ per. 3 MAKSUD UNGKAPAN: Perkataan Ibrani untuk “keamanan” bukan sahaja bermaksud keadaan tanpa perang, tetapi juga membawa maksud kesihatan yang baik dan keadaan yang selamat dan sejahtera.

^ per. 57 KETERANGAN GAMBAR: Raja Asa menyingkirkan neneknya daripada kedudukannya kerana dia menggalakkan rakyat untuk menyembah berhala. Para penyokong Asa mengikut teladan Asa dan menghancurkan berhala.

^ per. 59 KETERANGAN GAMBAR: Sepasang suami isteri menyederhanakan kehidupan mereka supaya mereka dapat berkhidmat di tempat yang memerlukan lebih banyak penyiar.