Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 40

“Jagalah Apa yang Sudah Diamanahkan kepadamu”

“Jagalah Apa yang Sudah Diamanahkan kepadamu”

“Timotius, jagalah apa yang sudah diamanahkan kepadamu.”​—1 TIM. 6:20.

LAGU 29 Kami Menjunjung Nama-Mu

PENGENALAN *

1-2. Menurut 1 Timotius 6:20, apakah yang telah diamanahkan kepada Timotius?

MENGAMANAHKAN sesuatu kepada seseorang bermaksud mempercayakan sesuatu yang bernilai kepada orang itu untuk dijaga. Apabila kita mengamanahkan sesuatu kepada seseorang, kita berharap agar orang itu akan menjaga barang kita dengan baik. Sebagai contoh, apabila kita menyimpan wang dalam bank, kita berharap agar pihak bank akan menjaga wang kita dengan baik agar tidak hilang atau dicuri.

2 Baca 1 Timotius 6:20. Rasul Paulus mengingatkan Timotius bahawa Yehuwa telah mengamanahkan sesuatu yang amat bernilai kepadanya, iaitu pengetahuan yang tepat tentang tujuan Tuhan bagi manusia. Yehuwa juga telah mengamanahkan tanggungjawab yang penting kepada Timotius, iaitu tugas ‘mengkhabarkan firman Tuhan’ dan “melakukan kerja seorang penginjil.” (2 Tim. 4:2, 5) Paulus menggesa Timotius agar menjaga apa yang sudah diamanahkan kepadanya. Hari ini, Yehuwa juga mengamanahkan dua perkara yang bernilai kepada kita. Apakah perkara-perkara itu? Mengapakah kita mesti menjaganya dengan baik?

TUHAN MENGAMANAHKAN KEBENARAN KEPADA KITA

3-4. Mengapakah kebenaran Bible amat bernilai?

3 Yehuwa telah memberi kita penghormatan untuk memiliki pengetahuan yang tepat tentang kebenaran Bible. Kebenaran itu amat bernilai kerana membolehkan kita menjadi sahabat Yehuwa dan menikmati kebahagiaan yang sejati. Jika kita menerima kebenaran Bible dan menjadikannya pedoman hidup kita, kita akan dibebaskan daripada ajaran palsu dan amalan yang tidak bermoral.​—1 Kor. 6:9-11.

4 Satu lagi sebab kebenaran Bible begitu bernilai adalah kerana Yehuwa hanya menyingkapkan kebenaran Bible kepada orang yang rendah hati, yang “memiliki sikap yang diperlukan” untuk menerima kehidupan kekal. (Kis. 13:48) Orang yang rendah hati akan rela menerima ajaran daripada hamba yang setia dan bijaksana, yang digunakan oleh Yehuwa untuk menyalurkan kebenaran Bible pada hari ini. (Mat. 11:25; 24:45) Kita tidak dapat memahami kebenaran Bible dengan kebolehan kita sendiri. Maka, pengetahuan tentang kebenaran Bible sesungguhnya kurniaan yang tidak ternilai!​—Ams. 3:13, 15.

5. Apakah tugas yang diamanahkan oleh Yehuwa kepada kita?

5 Yehuwa juga mengamanahkan satu tugas yang penting kepada kita, iaitu tugas untuk mengajarkan kebenaran tentang-Nya dan tujuan-Nya. (Mat. 24:14) Kerja penyebaran merupakan kerja yang terpenting pada masa sekarang, kerana orang yang sudi mendengar mesej kita dapat menyertai keluarga Yehuwa dan berpeluang hidup selama-lamanya. (1 Tim. 4:16) Tidak kira berapa banyak masa dan tenaga yang dapat kita luangkan untuk menginjil, kita berbesar hati untuk menyokong kerja yang terpenting ini dan menjadi rakan sekerja Tuhan!​—1 Kor. 3:9; 1 Tim. 2:3, 4.

JANGAN KEHILANGAN APA YANG DIAMANAHKAN KEPADA ANDA!

Timotius perlu berpegang teguh pada kebenaran sewaktu orang lain memilih untuk meninggalkan kebenaran (Lihat perenggan 6)

6. Apakah yang berlaku kepada sesetengah orang Kristian pada zaman Timotius?

6 Pada zaman Timotius, sesetengah orang Kristian tidak lagi menghargai penghormatan mereka untuk menjadi rakan sekerja Tuhan. Misalnya, Demas berhenti berkhidmat bersama Paulus kerana mencintai dunia. (2 Tim. 4:10) Figelus dan Hermogenes tidak lagi menginjil, barangkali kerana takut mereka juga akan dianiaya seperti Paulus. (2 Tim. 1:15) Himeneus, Aleksander, dan Filitus pula meninggalkan kebenaran kerana fikiran mereka diracuni ajaran orang murtad. (1 Tim. 1:19, 20; 2 Tim. 2:16-18) Semua orang yang disebut tadi pernah memiliki kerohanian yang teguh, tetapi mereka kemudiannya tidak lagi menghargai apa yang diamanahkan oleh Yehuwa kepada mereka.

7. Apakah beberapa taktik yang digunakan oleh Syaitan untuk menyerang kita?

7 Terdapat beberapa taktik yang digunakan oleh Syaitan untuk membuat kita kehilangan apa yang diamanahkan oleh Yehuwa kepada kita. Misalnya, dia menggunakan hiburan dan media massa untuk mempengaruhi fikiran dan kelakuan kita, supaya kita tidak lagi berpegang teguh pada kebenaran. Dia juga menggunakan tekanan rakan sebaya atau penganiayaan untuk menggertak kita supaya kita berhenti menginjil. Selain itu, dia cuba menggoda kita dengan “pengetahuan palsu” orang murtad supaya kita meninggalkan kebenaran.​—1 Tim. 6:20, 21.

8. Apakah yang dapat kita pelajari daripada pengalaman Daniel?

8 Jika kita tidak berwaspada, kita mungkin beransur-ansur meninggalkan kebenaran. Perhatikan contoh Daniel, * yang dahulunya sangat suka bermain permainan video. Dia berkata, “Saya mula main video game semasa saya berumur kira-kira 10 tahun. Pada mulanya, saya main game yang biasa-biasa saja, tetapi lama-lama, saya mula main game yang ganas dan yang ada unsur spiritisme.” Lama-kelamaan, Daniel menghabiskan kira-kira 15 jam setiap hari untuk bermain permainan video. Dia berkata, “Jauh di sudut hati saya, saya tahu bahawa jenis game yang saya pilih dan jumlah masa yang saya habiskan untuk main game sedang merosakkan hubungan saya dengan Yehuwa. Tetapi saya degil dan berfikir bahawa prinsip Bible tidak berkaitan dengan saya.” Ya, hiburan dapat mempengaruhi kita secara beransur-ansur sehingga kita tidak lagi berpegang teguh pada kebenaran. Maka kita perlu berhati-hati agar tidak kehilangan apa yang diamanahkan oleh Yehuwa kepada kita!

BAGAIMANA KITA DAPAT BERPEGANG TEGUH PADA KEBENARAN

9. Menurut 1 Timotius 1:18, 19, Paulus menyamakan Timotius dengan siapa?

9 Baca 1 Timotius 1:18, 19. Paulus menyamakan Timotius dengan seorang askar dan menggesanya agar “terus berjuang dalam perang yang baik.” Perang yang disebut oleh Paulus merupakan perang rohani, dan sebagai orang Kristian, kita semua terlibat dalam perang itu. Apakah persamaan antara orang Kristian dengan askar? Apakah sifat-sifat yang kita perlukan untuk menjadi askar Kristus yang baik? Mari kita perhatikan lima pengajaran daripada perumpamaan Paulus yang dapat membantu kita berpegang teguh pada kebenaran.

10. Mengapakah kita perlu memupuk kasih dan kesetiaan yang mendalam terhadap Tuhan?

10 Memupuk kasih dan kesetiaan yang mendalam terhadap Tuhan. Seorang askar yang baik selalu setia. Dia akan berjuang keras untuk melindungi orang yang disayanginya atau apa sahaja yang dihargainya. Paulus menggalakkan Timotius agar bermatlamat untuk mengabdikan diri kepada Tuhan. (1 Tim. 4:7) Apakah maksudnya? Timotius perlu memupuk kasih dan kesetiaan yang mendalam terhadap Tuhan. Hal ini penting kerana semakin dalam kasih dan kesetiaan kita terhadap Tuhan, semakin kuat azam kita untuk berpegang teguh pada kebenaran.​—1 Tim. 4:8-10; 6:6.

Selepas penat bekerja sehari suntuk, kita memerlukan disiplin diri untuk menghadiri perjumpaan. Tetapi jika kita berbuat demikian, kita akan diberkati! (Lihat perenggan 11)

11. Mengapakah kita memerlukan disiplin diri?

11 Memupuk disiplin diri. Seorang askar mesti memiliki disiplin diri. Dia perlu rajin berlatih supaya dia sentiasa bersedia untuk pertempuran. Timotius juga memerlukan disiplin diri untuk menang dalam perang rohani. Dia perlu melatih diri untuk memupuk sifat-sifat yang murni, bergaul dengan rakan seimannya, dan menjauhi nafsu yang berdosa. (2 Tim. 2:22) Kita juga memerlukan disiplin diri agar dapat terus melawan nafsu yang salah, menanggalkan keperibadian lama, dan mengenakan keperibadian baharu. (Rm. 7:21-25; Ef. 4:22, 24) Disiplin diri juga penting kerana kita mungkin perlu memaksa diri untuk menghadiri perjumpaan, khususnya jika kita berasa penat selepas bekerja sehari suntuk.​—Ibr. 10:24, 25.

12. Bagaimanakah kita dapat menggunakan Bible dengan mahir?

12 Jika seorang askar ingin menggunakan senjatanya dengan mahir, dia perlu berlatih secara kerap. Sebagai askar Kristus, kita ingin menggunakan Firman Tuhan dengan mahir. (2 Tim. 2:15) Jadi, selain menghadiri perjumpaan dan membaca Bible, kita perlu membuat pembelajaran peribadi secara tetap. Apabila kita sering membuat perenungan dan penyelidikan, iman kita akan dikuatkan, dan kita dapat memahami dan menjelaskan ayat-ayat Bible dengan tepat. (1 Tim. 4:13-15) Kemudian, semasa mengajar, kita bukan sahaja ingin membacakan ayat Bible, tetapi juga ingin menjelaskan maksudnya dan kaitannya dengan pendengar kita. Ya, dengan adanya tabiat pembelajaran peribadi yang baik, kita dapat menjadi pengajar Bible yang lebih mahir dan dapat meyakinkan orang lain bahawa kebenaran Bible memang amat bernilai.​—2 Tim. 3:16, 17.

13. Menurut Ibrani 5:14, mengapakah daya penilaian begitu penting?

13 Memupuk daya penilaian. Seorang askar perlu peka terhadap keadaan yang berbahaya dan berusaha mengelakkannya. Kita juga perlu peka terhadap keadaan yang dapat mengancam kerohanian kita dan berusaha mengelakkannya. (Ams. 22:3; baca Ibrani 5:14.) Sebagai contoh, kita akan memilih hiburan dan rekreasi dengan cermat, kerana rancangan TV dan wayang sekarang sering memaparkan perbuatan yang tidak bermoral. Perbuatan sebegini dibenci Yehuwa dan akan membawa akibat buruk. Sebagai askar Kristus, kita tidak mahu dihiburkan oleh apa-apa yang dapat menghakis kasih kita terhadap Yehuwa.​—Ef. 5:5, 6.

14. Bagaimanakah daya penilaian membantu Daniel?

14 Daya penilaian telah membantu Daniel, yang disebut tadi, untuk sedar bahawa permainan video yang ganas dan yang mempunyai unsur spiritisme sedang merosakkan hubungannya dengan Yehuwa. Maka dia mencari maklumat dalam Watchtower Library yang dapat membantunya mengatasi masalahnya. Apakah hasilnya? Daniel telah berhenti bermain permainan video yang buruk, membatalkan langganan permainan dalam talian, dan tidak lagi bergaul dengan pemain lain. Daniel berkata, “Daripada bermain video game, saya melakukan aktiviti di luar rumah atau bergaul dengan kawan-kawan dari sidang.” Kini, Daniel seorang perintis dan penatua.

15. Mengapakah cerita palsu berbahaya?

15 Seperti Timotius, kita mesti berhati-hati terhadap maklumat palsu yang disebarkan oleh golongan murtad. (1 Tim. 4:1, 7; 2 Tim. 2:16) Mereka mungkin menyebarkan cerita palsu tentang saudara saudari kita atau organisasi Yehuwa. Namun, ingatlah bahawa golongan murtad ialah “orang yang rosak fikirannya dan yang tidak lagi memahami kebenaran,” dan niat mereka hanyalah untuk membangkitkan “pertikaian dan perdebatan.” (1 Tim. 6:4, 5) Maklumat yang disebarkan oleh mereka dapat melemahkan iman kita dan membuat kita mencurigai saudara saudari kita dan organisasi Yehuwa. Maka kita mesti berhati-hati agar tidak mempercayai dusta mereka.

16. Apakah hal-hal yang dapat menyimpangkan perhatian kita?

16 Tetap berfokus. Sebagai “askar Kristus Yesus yang baik,” Timotius perlu berfokus kepada aktiviti penyebaran dan bukannya bertumpu kepada harta benda atau hal-hal lain. (2 Tim. 2:3, 4) Seperti Timotius, kita mesti menjauhi keinginan untuk menjadi kaya, kerana “tipu daya kekayaan” dapat menyebabkan kita tidak lagi mengasihi Yehuwa, tidak lagi menghargai Firman-Nya, dan tidak lagi ingin menginjil. (Mat. 13:22) Kita mesti hidup sederhana dan menggunakan masa dan tenaga kita untuk “sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan.”​—Mat. 6:22-25, 33.

17-18. Bagaimanakah kita dapat mengelakkan bahaya rohani?

17 Sentiasa bersedia untuk bertindak. Seorang askar perlu merancang terlebih dahulu bagaimana dia dapat melindungi dirinya apabila bahaya timbul. Begitu juga, untuk menjaga apa yang telah diamanahkan oleh Yehuwa kepada kita, kita perlu merancang terlebih dahulu apa yang akan kita lakukan apabila keadaan yang berbahaya timbul.

18 Fikirkan contoh berikut: Sebelum program untuk suatu acara bermula, hadirin biasanya diminta mengetahui kedudukan pintu keluar yang terdekat, supaya mereka dapat beredar dengan segera jika berlakunya kecemasan. Begitu juga, awal-awal lagi, kita perlu memikirkan “pintu keluar” yang akan kita gunakan sekiranya sesuatu yang lucah, ganas, atau yang mengandungi maklumat daripada golongan murtad, muncul di Internet, wayang, atau rancangan TV. Dengan membuat persiapan terlebih dahulu, kita akan sentiasa bersedia untuk lari daripada bahaya rohani dan tetap murni di mata Yehuwa.​—Mzm. 101:3; 1 Tim. 4:12.

19. Apakah berkat yang akan kita nikmati jika kita berusaha menjaga apa yang diamanahkan oleh Yehuwa kepada kita?

19 Yehuwa telah memberi kita penghormatan besar untuk mengetahui kebenaran Bible dan mengajarkannya kepada orang lain. Apabila kita berusaha untuk menjaga apa yang diamanahkan oleh Yehuwa kepada kita, kita akan memiliki hati nurani yang bersih, menikmati kehidupan yang bermakna, dan menuai sukacita kerana dapat membantu orang lain mengenali Yehuwa. Ya, dengan adanya bantuan Yehuwa, kita dapat menjaga apa yang sudah diamanahkan kepada kita.​—1 Tim. 6:12, 19.

LAGU 127 Bagaimana Seharusnya Hidupku

^ per. 5 Yehuwa telah memberi kita penghormatan besar untuk mengetahui kebenaran dan mengajarkannya kepada orang lain. Rencana ini akan menjelaskan apa yang dapat kita lakukan supaya kita tidak sekali-kali kehilangan penghormatan itu.

^ per. 8 Nama telah diubah.