Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 37

“Janganlah Berehat”

“Janganlah Berehat”

“Taburkanlah benih pada waktu pagi dan janganlah berehat sehingga waktu petang.”​—PKH. 11:6.

LAGU 68 Menabur Benih Kerajaan Tuhan

PENGENALAN *

1-2. Apakah kaitan Pengkhutbah 11:6 dengan kerja penyebaran?

DI SESETENGAH negara, orang biasanya sangat berminat tentang berita baik dan tidak sabar-sabar untuk mempelajari kebenaran. Di negara-negara lain pula, kebanyakan orang tidak berminat tentang Tuhan dan Bible. Bagaimana pula di negara anda? Tidak kira apa reaksi orang, Yehuwa ingin kita terus menginjil sehingga Dia berfirman bahawa kerja penyebaran sudah selesai.

2 Yehuwa sudah menentukan bila kerja penyebaran akan berhenti. Kemudian “akhir akan datang.” (Mat. 24:14, 36) Namun, sebelum masa itu tiba, bagaimanakah kita dapat mematuhi nasihat Bible supaya ‘jangan berehat’? *​—Baca Pengkhutbah 11:6.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Dalam rencana sebelum ini, kita telah membincangkan empat perkara yang perlu kita lakukan untuk menjadi “penjala manusia” yang mahir. (Mat. 4:19) Dalam rencana ini pula, kita akan membincangkan tiga cara untuk menguatkan tekad kita agar tetap menginjil dalam apa jua situasi, iaitu dengan (1) tetap berfokus, (2) bersabar, dan (3) memelihara iman yang kuat.

TETAP BERFOKUS

4. Mengapakah kita perlu tetap berfokus kepada tugas yang diberikan oleh Yehuwa?

4 Yesus menubuatkan bahawa keadaan dunia dan sikap orang pada hari-hari terakhir akan mirip dengan keadaan pada zaman Nuh. Sebagaimana keadaan pada zaman Nuh telah menyimpangkan perhatian orang sehingga mereka tidak mempedulikan amaran Nuh, keadaan dunia sekarang dapat menyimpangkan perhatian pengikut Kristus daripada menjalankan kerja penyebaran. (Mat. 24:37-39; 2 Ptr. 2:5) Oleh itu, Yesus memberikan nasihat ini: “Teruslah berjaga-jaga.” (Mat. 24:42) Ya, kita perlu berusaha agar tetap berfokus kepada tugas yang diberikan oleh Yehuwa.

5. Menurut Kisah 1:6-8, sejauh manakah kerja penyebaran akan dijalankan?

5 Yesus menubuatkan bahawa kerja penyebaran akan diteruskan dan berkembang maju selepas kematiannya. (Yoh. 14:12) Setelah Yesus dibunuh, ada antara muridnya yang menjadi nelayan semula. Namun, selepas Yesus dibangkitkan, dia membolehkan murid-muridnya menangkap banyak ikan secara mukjizat. Kemudian, dia menggunakan peristiwa itu untuk menekankan bahawa tugas mereka sebagai penjala manusia jauh lebih penting daripada mana-mana pekerjaan yang lain. (Yoh. 21:15-17) Tidak lama sebelum Yesus naik ke syurga, dia memberitahu murid-muridnya bahawa kerja penyebaran akan dijalankan, bukan sahaja di negeri Israel, tetapi juga sampai ke hujung bumi. (Baca Kisah 1:6-8.) Puluhan tahun kemudian, Yesus memberi Rasul Yohanes sebuah penglihatan untuk menunjukkan hal-hal yang akan terjadi “pada hari Tuan.” * Salah satu hal yang dilihat oleh Yohanes ialah satu malaikat yang mempunyai “berita baik yang kekal” untuk dikhabarkan kepada “setiap bangsa, suku, bahasa, dan kaum.” (Why. 1:10; 14:6) Jelaslah, Yehuwa menghendaki kita menginjil di serata dunia sehingga kerja ini selesai. Oleh itu, kita perlu memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada kerja penyebaran.

6. Bagaimanakah kita dapat tetap berfokus kepada kerja penyebaran?

6 Kita dapat tetap berfokus kepada kerja penyebaran jika kita merenungkan segala bantuan yang disediakan oleh Yehuwa untuk kita. Sebagai contoh, Dia memberikan makanan rohani yang berlimpah-limpah, seperti bahan bacaan dalam bentuk digital dan bercetak, rakaman audio dan video, dan program Siaran JW. Fikirkan, maklumat di laman web rasmi kita terdapat dalam lebih daripada 1,000 bahasa! (Mat. 24:45-47) Kita juga dapat merenungkan penghormatan kita untuk menyaksikan dan bahkan menjadi sebahagian daripada satu mukjizat zaman moden, iaitu perpaduan umat Tuhan. Dalam dunia yang berpecah belah kerana isu politik, agama, dan ekonomi, lebih daripada lapan juta orang hamba Tuhan menikmati perpaduan yang sejati. Misalnya, pada hari Jumaat, 19 April 2019, Saksi-Saksi di serata dunia telah menonton video yang membincangkan ayat harian. Pada malam itu, seramai 20,919,041 orang telah menghadiri Peringatan kematian Yesus. Apabila kita merenungkan mukjizat ini, kita akan terdorong agar tetap berfokus kepada kerja penyebaran.

Yesus enggan membiarkan apa-apa pun menyimpangkan perhatiannya daripada kerja memberikan kesaksian (Lihat perenggan 7)

7. Bagaimanakah teladan Yesus membantu kita tetap berfokus?

7 Kita juga dapat tetap berfokus kepada kerja penyebaran jika kita mengikut teladan Yesus. Dia tidak membiarkan apa-apa pun untuk menyimpangkan perhatiannya daripada memberikan kesaksian tentang kebenaran. (Yoh. 18:37) Misalnya, dia tidak tergoda semasa Syaitan menawarkan “semua kerajaan dunia serta kegemilangannya.” (Mat. 4:8, 9) Dia juga tidak tergoda semasa orang ramai ingin menjadikannya raja. (Yoh. 6:15) Selain itu, dia tidak membiarkan keinginan untuk menjadi kaya membuatnya hilang fokus, dan dia tidak menjadi takut semasa menghadapi tentangan yang kuat. (Luk. 9:58; Yoh. 8:59) Semasa iman kita diuji, semoga kita meniru teladan Yesus, seperti yang dinasihatkan oleh Paulus. Dengan itu, kita dapat tetap berfokus dan “tidak menjadi letih lalu berputus asa.”​—Ibr. 12:3.

BERSABAR

8. Apakah itu kesabaran? Mengapakah sifat itu sangat penting, khasnya pada masa sekarang?

8 Kesabaran merupakan kebolehan untuk tetap tenang sementara menunggu kesusahan kita berakhir atau menunggu keinginan kita tercapai. Kita berharap agar Kerajaan Tuhan segera datang untuk melenyapkan kejahatan dan membawa dunia baharu. (2 Ptr. 3:13) Namun, Yehuwa sudah menentukan masa untuk bertindak, maka kita perlu menunggu dengan sabar. Sebenarnya, para penyembah Yehuwa pada masa lampau juga perlu menunggu dengan sabar. Contohnya, Nabi Habakuk perlu menunggu Yehuwa bertindak untuk mengakhiri keganasan di Yehuda. (Hab. 1:2) Murid-murid Yesus pula berharap agar Kerajaan Tuhan akan “muncul dalam sekelip mata” dan membebaskan mereka daripada penindasan Roma, tetapi hal itu tidak berlaku pada zaman mereka. (Luk. 19:11) Menunggu dengan sabar memang tidak mudah. Namun, perhatikan beberapa cara Yehuwa mengajar kita untuk bersabar.

9. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan kesabaran-Nya?

9 Yehuwa merupakan teladan yang sempurna dalam menunjukkan kesabaran. Contohnya, Dia memberi Nuh masa yang secukupnya untuk membina bahtera dan “menyebarkan apa yang benar di mata-Nya.” (2 Ptr. 2:5; 1 Ptr. 3:20) Dia juga mendengar dengan sabar apabila Abraham menanyakan banyak soalan tentang keputusan-Nya untuk membinasakan penduduk Sodom dan Gomora. (Kej. 18:20-33) Yehuwa juga bersabar dengan bangsa Israel yang derhaka untuk lebih daripada seribu tahun. (Neh. 9:30, 31) Hari ini, Yehuwa masih bersabar dan memberikan masa supaya orang yang ingin dipimpin-Nya untuk menjadi sahabat-Nya “berpeluang untuk bertaubat.” (2 Ptr. 3:9; Yoh. 6:44; 1 Tim. 2:3, 4) Melalui teladan-Nya, Yehuwa mengajar kita pentingnya bersabar semasa menginjil dan mengajar orang. Sekarang, mari kita lihat satu lagi cara Yehuwa mengajar kita untuk bersabar.

Seperti seorang petani yang rajin dan sabar, kita menantikan hasil usaha kita dengan sabar (Lihat perenggan 10-11)

10. Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh petani yang disebut di Yakobus 5:7, 8?

10 Baca Yakobus 5:7, 8. Yehuwa juga mengajar kita untuk bersabar dengan menggunakan contoh seorang petani yang menunggu hasil tanamannya. Sesetengah tanaman membesar dengan cepat, tetapi kebanyakan tanaman, khususnya tanaman yang menghasilkan buah, memerlukan masa yang lebih panjang untuk bertumbuh. Petani di Israel biasanya menabur benih selepas hujan musim luruh dan menuai hasilnya kira-kira enam bulan kemudian, iaitu selepas hujan musim bunga. (Mrk. 4:28) Sebagaimana petani perlu bersabar, kita juga perlu bersabar. Namun, hal itu tidak mudah.

11. Mengapakah kita perlu bersabar dalam aktiviti penyebaran?

11 Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita biasanya ingin melihat hasil usaha kita dengan serta-merta. Namun, jika kita ingin tanaman kita mengeluarkan hasil, kita perlu mencurahkan usaha yang berterusan. Kita perlu menggemburkan tanah, menanam benih, mencabut rumput, dan menyiram tumbuhan. Begitu juga, untuk membantu pelajar kita menjadi murid Yesus, kita perlu meluangkan masa untuk mencabut sikap acuh tak acuh dan prasangka yang mungkin sudah berakar dalam hati mereka. Kesabaran dapat membantu kita agar tidak berputus asa apabila usaha kita nampaknya tidak membuahkan hasil. Biarpun pelajar Bible kita sangat berminat, kita masih perlu bersabar, kerana kita tidak dapat memaksanya bertumbuh secara rohani. Fikirkan contoh murid-murid Yesus. Setelah mengikut Yesus untuk suatu jangka masa, mereka masih belum memahami sesetengah ajarannya. (Yoh. 14:9) Jadi, ingatlah bahawa walaupun kita berusaha menanam dan menyiram, Tuhanlah yang menyebabkannya bertumbuh.​—1 Kor. 3:6.

12. Bagaimanakah kita dapat bersabar semasa memberikan kesaksian kepada ahli keluarga yang tidak seiman?

12 Kita mungkin berasa susah untuk bersabar semasa memberikan kesaksian kepada ahli keluarga yang tidak seiman. Jika demikian, prinsip di Pengkhutbah 3:7 dapat membantu kita: “Ada waktu untuk berdiam, dan ada waktu untuk bercakap.” Memang benar, kita dapat memberikan kesaksian dengan berkelakuan baik, tetapi kita juga mesti peka terhadap peluang untuk bercakap tentang kebenaran. (1 Ptr. 3:1, 2) Kita ingin menginjil dan mengajar dengan penuh semangat, tetapi ingatlah bahawa kita perlu bersabar terhadap semua orang, termasuk ahli keluarga kita.

13-14. Sebutkan beberapa contoh hamba Tuhan yang menunjukkan kesabaran.

13 Contoh hamba Tuhan yang setia pada zaman Bible dan zaman moden dapat mengajar kita untuk bersabar. Misalnya, Habakuk berharap agar kejahatan segera berakhir, tetapi dia menunjukkan kesabaran dengan berkata, “Aku akan tetap berdiri di menara pengawal.” (Hab. 2:1) Rasul Paulus ingin “menyelesaikan kerja suci” yang diberikan kepadanya dan menerima ganjarannya di syurga, tetapi dia bersabar dan berusaha “memberikan kesaksian yang menyeluruh tentang berita baik.”​—Kis. 20:24.

14 Perhatikan contoh sepasang suami isteri yang menghadiri Sekolah Gilead dan ditugaskan ke sebuah negara yang tidak mempunyai banyak Saksi. Kebanyakan penduduk di negara itu bukan orang Kristian, dan hanya sedikit orang yang berminat untuk mempelajari Bible. Rakan sekelas mereka di negara lain pula sering mengongsi pengalaman baik tentang pelajar Bible yang membuat kemajuan. Meskipun usaha mereka nampaknya tidak berhasil, pasangan itu tetap menginjil dengan sabar. Lapan tahun kemudian, mereka sangat bersukacita semasa salah seorang pelajar Bible mereka dibaptis. Apakah persamaan antara hamba Tuhan pada zaman Bible dengan hamba Tuhan pada zaman moden? Mereka bersabar dan terus berusaha dengan penuh semangat, dan Yehuwa telah memberkati mereka. Semoga kita meniru “contoh mereka yang mewarisi apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kerana mereka beriman dan bersabar.”​—Ibr. 6:10-12.

MEMELIHARA IMAN YANG KUAT

15. Bagaimanakah iman kita menguatkan azam kita untuk terus menginjil?

15 Kita percaya mesej yang kita khabarkan begitu bernilai, maka kita ingin menyebarkannya kepada sebanyak orang yang mungkin. (Mzm. 119:42; Yes. 40:8) Kita sudah melihat banyak nubuat Bible menjadi kenyataan dan bagaimana orang yang menerapkan nasihat Bible menikmati kehidupan yang lebih baik. Semua itu menguatkan iman kita bahawa janji Tuhan pasti ditunaikan dan bahawa semua orang perlu mendengar berita baik tentang Kerajaan Tuhan.

16. Menurut Mazmur 46:1-3, bagaimanakah iman kita terhadap Yehuwa menguatkan azam kita untuk menginjil? Bagaimanakah iman kita terhadap Yesus juga membantu kita?

16 Kita juga beriman kepada Yehuwa, Sumber berita baik yang kita khabarkan. Kita yakin bahawa tidak kira apa yang terjadi, Yehuwa akan sentiasa menjadi tempat naungan dan kekuatan kita. (Baca Mazmur 46:1-3.) Kita juga beriman kepada Yesus, yang dilantik oleh Yehuwa sebagai Raja Kerajaan Tuhan. (Yoh. 14:1) Kita yakin bahawa Yesus sedang menggunakan kuasa yang diberikan oleh Yehuwa untuk memimpin kerja penyebaran dari syurga.​—Mat. 28:18-20.

17. Sebutkan satu pengalaman yang menunjukkan sebabnya kita perlu terus menginjil.

17 Iman kita menguatkan keyakinan kita bahawa Yehuwa akan memberkati usaha kita dan bahkan memberi kita ganjaran yang tidak kita jangkakan. (Pkh. 11:6) Fikirkan contoh rak kesaksian awam kita, yang dilihat ribuan orang setiap hari. Adakah kaedah menginjil ini berkesan? Sudah pasti! Perhatikan satu pengalaman dalam Kerja Teokratik Kita terbitan November 2014. Seorang pelajar universiti ingin menulis sebuah karangan tentang Saksi-Saksi Yehuwa. Dia tidak dapat mencari Dewan Perjumpaan, tetapi melalui rak kesaksian awam di kampus universitinya, dia mendapat bahan bacaan kita dan maklumat untuk karangannya. Akhirnya, pelajar itu menjadi saudari kita, dan kini dia seorang perintis biasa. Pengalaman sebegini menunjukkan bahawa masih ada orang yang ingin mendengar berita baik. Tidakkah hal ini mendorong kita untuk terus menginjil?

BERTEKAD UNTUK TERUS MENGINJIL

18. Mengapakah kita yakin bahawa kerja penyebaran pasti diselesaikan tepat pada masa yang ditentukan oleh Yehuwa?

18 Kerja penyebaran pasti diselesaikan tepat pada masanya. Mengapakah kita begitu yakin? Fikirkan Banjir pada zaman Nuh. Kira-kira 120 tahun sebelum Banjir melanda, Yehuwa sudah menentukan waktu untuk mendatangkan Banjir. Puluhan tahun kemudian, Yehuwa menyuruh Nuh untuk mula membina bahtera. Selama 40 atau 50 tahun, Nuh telah bekerja keras untuk membina bahtera dan memberikan amaran kepada orang lain. Meskipun orang lain tidak mempedulikan amarannya, dia terus bekerja keras sehingga Yehuwa menyuruhnya membawa binatang-binatang masuk ke dalam bahtera. Kemudian, “Yehuwa menutup pintu bahtera” tepat pada masa yang ditentukan-Nya.​—Kej. 6:3; 7:1, 2, 16.

19. Apakah berkat yang menantikan kita jika kita terus melakukan tugas yang diamanahkan oleh Tuhan?

19 Tidak lama lagi, Yehuwa akan berfirman bahawa kerja penyebaran sudah selesai. Kemudian, Dia akan mengakhiri sistem dunia Syaitan dan membawa dunia baharu yang aman. Sementara menantikan masa itu, marilah kita terus berusaha untuk melakukan tugas yang diamanahkan oleh Tuhan, seperti yang dilakukan oleh Nuh, Habakuk, dan hamba-hamba Tuhan yang lain. Semoga kita tetap berfokus, bersabar, dan memelihara iman yang kuat terhadap Yehuwa dan janji-janji-Nya.

LAGU 75 Ku Sudi, Utuslah Aku!

^ per. 5 Rencana sebelum ini menggalakkan pelajar Bible yang membuat kemajuan supaya menerima jemputan Yesus untuk menjadi penjala manusia. Rencana ini pula akan membincangkan tiga perkara yang dapat dilakukan oleh semua penyiar, tidak kira yang baharu atau yang berpengalaman, untuk menguatkan azam mereka supaya terus menginjil sehingga Yehuwa berfirman bahawa kerja penyebaran sudah selesai.

^ per. 2 MAKSUD UNGKAPAN: Dalam rencana ini, ungkapan “janganlah berehat” bermaksud kita harus bertekad untuk terus menyebarkan berita baik sehingga Yehuwa berfirman bahawa kerja penyebaran sudah selesai.

^ per. 5 “Hari Tuan” bermula pada tahun 1914 semasa Yesus menjadi Raja, dan berlangsung sehingga pemerintahan Yesus selama seribu tahun berakhir.