Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 36

Sudahkah Anda Bersedia untuk Menjadi Penjala Manusia?

Sudahkah Anda Bersedia untuk Menjadi Penjala Manusia?

“Janganlah takut. Mulai sekarang kamu akan menjala orang yang hidup.”​—LUK. 5:10.

LAGU 73 Berilah Kami Keberanian

PENGENALAN *

1. Apakah jemputan yang diberikan oleh Yesus kepada empat orang nelayan? Apakah reaksi mereka?

“IKUTLAH aku, dan aku akan menjadikan kamu penjala manusia.” * Itulah jemputan yang diberikan oleh Yesus kepada empat orang nelayan, iaitu Petrus, Andreas, Yakobus, dan Yohanes. Apakah reaksi mereka? Bible menyatakan, “Dengan serta-merta, mereka meninggalkan jala lalu mengikutnya.” (Mat. 4:18-22) Keputusan mereka telah mengubah kehidupan mereka buat selama-lamanya. Sejak hari itu, mereka tidak lagi menjala ikan tetapi mula “menjala orang yang hidup.” (Luk. 5:10) Pada zaman ini, Yesus juga memberikan jemputan yang sama kepada orang yang mencintai kebenaran. (Mat. 28:19, 20) Sudahkah anda menerima jemputan Yesus dan menjadi penjala manusia?

2. Mengapakah anda harus berfikir masak-masak sebelum membuat keputusan untuk menjadi penjala manusia? Apakah yang dapat mendorong anda untuk membuat keputusan itu?

2 Anda mungkin sudah mempelajari Bible buat suatu jangka masa dan memperoleh banyak pengetahuan tentang Yehuwa dan Yesus. Anda telah membuat perubahan dalam kehidupan dan ingin terus maju secara rohani. Kini, anda perlu memutuskan sama ada anda ingin menjadi seorang penyiar atau tidak. Namun, anda mungkin teragak-agak untuk menerima jemputan Yesus kerana sedar bahawa keputusan ini amat penting. Jika anda berasa begitu, janganlah tawar hati. Sebenarnya, walaupun Bible menyatakan bahawa Petrus dan rakan-rakannya meninggalkan jala mereka “dengan serta-merta,” mereka tidak membuat keputusan itu tanpa berfikir panjang. Lebih daripada enam bulan sebelum itu, Petrus dan Andreas sudah mengenali Yesus dan mengakuinya sebagai Mesias. (Yoh. 1:35-42) Apakah yang telah membantu Petrus, Andreas, dan murid Yesus yang lain, membuat keputusan untuk menjadi penjala manusia?

3. Apakah sifat-sifat yang akan membantu anda untuk menjadi penyiar yang mahir?

3 Untuk menjadi nelayan yang berjaya, murid-murid Yesus perlu memiliki keinginan yang kuat untuk melakukan kerja mereka. Mereka juga perlu memiliki pengetahuan, keberanian, dan disiplin diri. Keempat-empat sifat itu juga telah membantu mereka menjadi penjala manusia yang mahir. Rencana ini akan membincangkan bagaimana anda dapat memupuk sifat-sifat itu agar anda juga dapat menjadi penyiar yang mahir.

MEMUPUK KEINGINAN UNTUK MENGINJIL

Petrus dan rakan-rakannya telah menjadi penjala manusia. Kerja yang penting ini masih dijalankan sehingga hari ini (Lihat perenggan 4-5)

4. Apakah yang mendorong Petrus untuk menjala ikan?

Petrus menjala ikan untuk mencari nafkah, tetapi dia juga sangat menyukai kegiatan ini. (Yoh. 21:3, 9-15) Pada kemudian hari, Petrus juga sangat menyukai kerja menjala manusia, dan Yehuwa telah membantunya menjadi penjala manusia yang sangat cekap.​—Kis. 2:14, 41.

5. Menurut Lukas 5:8-11, mengapakah Petrus berasa takut? Jika kita berasa takut untuk menjadi penjala manusia, apakah yang dapat kita lakukan?

5 Semasa menjemput Petrus untuk menjadi penjala manusia, Yesus berkata, “Janganlah takut.” (Baca Lukas 5:8-11.) Petrus bukannya takut akan cabaran yang mungkin dihadapinya setelah menjadi murid Yesus. Sebenarnya, Petrus berasa bahawa dia tidak layak untuk bekerja bersama Yesus, kerana Yesus baru sahaja membolehkan mereka menangkap banyak ikan secara mukjizat. Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda berasa takut semasa memikirkan tanggungjawab yang harus dipikul oleh murid Kristus? Jika demikian, berusahalah untuk memperdalam kasih anda terhadap Yehuwa, Yesus, dan orang lain. Dengan itu, anda akan terdorong untuk menerima jemputan Yesus dan menjadi penjala manusia. Ingatlah, sebab terpenting kita menginjil adalah kerana kita mengasihi Yehuwa. Kasih itu akan mendorong kita untuk menjadi penjala manusia biarpun kita berasa bahawa kita tidak layak atau tidak mampu melakukan kerja ini.​—Mat. 22:37, 39; Yoh. 14:15.

6. Apakah hal lain yang dapat menguatkan keinginan kita untuk menginjil?

6 Terdapat hal lain yang dapat menguatkan keinginan kita untuk menginjil. Kita menginjil kerana ingin mematuhi perintah Yesus untuk membantu orang menjadi pengikutnya. (Mat. 28:19, 20) Kita juga menginjil kerana ramai orang “ditindas dan diabaikan,” dan mereka sangat perlu mendengar kebenaran tentang Kerajaan Tuhan. (Mat. 9:36) Kita ingin menginjil kerana Yehuwa menghendaki segala macam orang memperoleh pengetahuan yang tepat tentang kebenaran dan diselamatkan.​—1 Tim. 2:4.

7. Bagaimanakah Roma 10:13-15 menunjukkan pentingnya kerja penyebaran?

7 Kita juga akan terdorong untuk menginjil jika kita memikirkan bahawa kerja ini dapat menyelamatkan orang. Tidak seperti nelayan yang menangkap ikan untuk dijual atau dimakan, kita “menjala” orang untuk menyelamatkan nyawa mereka.​—Baca Roma 10:13-15; 1 Tim. 4:16.

MEMPERDALAM PENGETAHUAN ANDA

8-9. Nelayan perlu mengetahui apa, dan mengapa?

8 Pada zaman Yesus, nelayan di Israel perlu mengetahui jenis ikan yang boleh ditangkap. (Im. 11:9-12) Mereka juga perlu tahu di mana ikan sebegitu dapat ditemui, kerana ikan biasanya berada di kawasan yang keadaan airnya sesuai dan mempunyai banyak makanan. Bagaimana pula dengan waktu nelayan menjala ikan? Perhatikan apa yang berlaku di sebuah pulau di Lautan Pasifik. Seorang Saksi telah menjemput seorang mubaligh untuk pergi memancing, dan mubaligh itu berkata, “Baiklah, jumpa esok jam sembilan pagi.” Saksi itu menjawab, “Saudara, kamu perlu faham. Kita pergi memancing bila boleh dapat banyak ikan, bukan bila kita rasa senang.”

9 Seperti nelayan, penjala manusia pada abad pertama menginjil di tempat dan pada masa banyak orang dapat ditemui. Sebagai contoh, mereka menginjil di Rumah Tuhan, rumah ibadat, di tempat awam, dan dari rumah ke rumah. (Kis. 5:42; 17:17; 18:4) Seperti mereka, kita perlu mengetahui keadaan di kawasan penyebaran kita dan menyesuaikan jadual kita supaya dapat menginjil pada masa dan di tempat banyak orang dapat ditemui.​—1 Kor. 9:19-23.

NELAYAN YANG MAHIR . . . 1. menebarkan jala pada masa dan di tempat banyak ikan dapat ditangkap (Lihat perenggan 8-9)

10. Apakah peralatan yang disediakan oleh organisasi Yehuwa untuk kita?

10 Seorang nelayan memerlukan peralatan yang sesuai, dan dia perlu mengetahui cara untuk menggunakannya. Sebelum mengutus murid-muridnya untuk menginjil, Yesus memberitahu mereka apa yang harus dibawa, di mana mereka harus menginjil, dan apa yang harus dikatakan. (Mat. 10:5-7; Luk. 10:1-11) Pada zaman ini, kita juga memerlukan peralatan yang sesuai untuk menginjil, dan kita perlu mengetahui cara untuk menggunakannya. Organisasi Yehuwa telah memberi kita Bahan Utama untuk Mengajar, iaitu bahan bacaan dan video yang terbukti berkesan dalam aktiviti penyebaran. * Kita juga dilatih untuk menggunakan bahan-bahan tersebut supaya kita dapat menjalankan kerja penyebaran dengan cekap, mahir, dan yakin.​—2 Tim. 2:15.

NELAYAN YANG MAHIR . . . 2. tahu peralatan yang betul dan cara menggunakannya (Lihat perenggan 10)

MEMUPUK KEBERANIAN

11. Mengapakah penjala manusia harus bersikap berani?

11 Nelayan perlu bersikap berani kerana keadaan di laut tidak menentu. Mereka sering bekerja pada waktu malam dan mungkin dilanda ribut secara tiba-tiba. Begitu juga, para penjala manusia perlu bersikap berani. Apabila mereka mula menginjil dan memperkenalkan diri sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, mereka juga mungkin dilanda “ribut.” Sebagai contoh, mereka mungkin menghadapi tentangan daripada ahli keluarga, ejekan daripada sahabat mereka, dan sambutan yang dingin semasa menginjil. Namun, hal itu tidak menghairankan kerana Yesus telah menyatakan bahawa murid-muridnya akan menginjil kepada orang yang menentang mereka.​—Mat. 10:16.

12. Menurut Yosua 1:7-9, bagaimanakah kita dapat memupuk keberanian?

12 Bagaimanakah anda dapat memupuk keberanian? Pertama, anda mesti percaya bahawa Yesus sedang membimbing kerja penyebaran dari syurga. (Yoh. 16:33; Why. 14:14-16) Kedua, anda perlu meneguhkan iman anda bahawa Yehuwa pasti menjaga anda. (Mat. 6:32-34) Apabila iman anda semakin teguh, keberanian anda pun akan semakin bertambah. Petrus dan rakan-rakannya menunjukkan iman yang teguh semasa mereka meninggalkan kerja mereka sebagai nelayan dan menjadi pengikut Yesus. Seperti mereka, anda sebenarnya sudah mula menunjukkan iman dan keberanian. Misalnya, anda telah memberitahu keluarga dan sahabat anda bahawa anda sedang mempelajari Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa dan menghadiri perjumpaan mereka. Anda juga telah membuat banyak perubahan agar kelakuan dan cara hidup anda selaras dengan prinsip Yehuwa. Maka, teruslah membina keberanian anda, dan yakinlah bahawa Yehuwa, Tuhan anda, akan menyertai anda ke mana sahaja anda pergi.​—Baca Yosua 1:7-9.

NELAYAN YANG MAHIR . . . 3. berani menghadapi keadaan yang tidak menentu (Lihat perenggan 11-12)

13. Bagaimanakah doa dan perenungan dapat membantu anda memupuk keberanian?

13 Satu lagi cara untuk memupuk keberanian adalah dengan berdoa. (Kis. 4:29, 31) Apabila anda berdoa, Yehuwa pasti akan memberi anda keberanian, dan Dia akan terus menyokong anda. Selain itu, anda dapat merenungkan bagaimana Yehuwa telah menyelamatkan hamba-Nya pada masa lalu, contohnya peristiwa semasa Dia menyelamatkan umat-Nya di Laut Merah. (Kel. 14:13) Renungkan juga bagaimana Dia telah membantu anda mengatasi masalah dan memberi anda kekuatan untuk membuat perubahan dalam kehidupan anda. Perenungan sebegini akan menguatkan keyakinan anda bahawa Yehuwa pasti dapat membantu anda menjadi murid Kristus. Ya, dengan berdoa dan membuat perenungan, anda akan menjadi seperti penulis mazmur yang berkata, “Aku tidak takut kerana Yehuwa berada di pihakku. Apakah yang dapat dilakukan manusia terhadapku?”​—Mzm. 118:6.

14. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Masae dan Tomoyo?

14 Anda juga dapat memupuk keberanian dengan melihat bagaimana Yehuwa telah membantu orang yang pemalu untuk menjadi berani. Perhatikan pengalaman Masae, seorang saudari yang pemalu. Dia berasa bahawa menginjil kepada orang yang tidak dikenali adalah seperti tembok tinggi yang mustahil direntasinya. Jadi, Masae berusaha untuk memperdalam kasihnya terhadap Tuhan dan orang lain. Dia juga merenungkan hakikat bahawa akhir semakin dekat dan berdoa agar Tuhan menguatkan keinginannya untuk menginjil. Hasilnya, Masae berjaya mengatasi rasa takutnya dan bahkan menjadi perintis biasa. Yehuwa juga dapat membantu penyiar yang baharu untuk menjadi berani. Fikirkan contoh Saudari Tomoyo. Apabila dia mula menginjil dari rumah ke rumah, penghuni rumah pertama yang ditemuinya berteriak, “Saya tidak mahu cakap dengan Saksi-Saksi Yehuwa!” dan menutup pintu dengan kuat. Adakah Tomoyo berasa takut? Tidak. Dia memberitahu rakannya, “Tengok, saya belum cakap apa-apa, tetapi dia sudah tahu bahawa saya seorang Saksi. Saya sangat gembira!” Kini, Tomoyo seorang perintis biasa.

MEMUPUK DISIPLIN DIRI

15. Apakah itu disiplin diri? Mengapakah orang Kristian memerlukan sifat ini?

15 Nelayan yang berjaya perlu memiliki disiplin diri supaya mereka dapat bangun awal, terus bekerja sehingga tugas mereka selesai, dan tidak putus asa biarpun menghadapi cuaca yang buruk. Disiplin diri merupakan keupayaan untuk mendorong diri sendiri supaya melakukan tugas yang perlu diselesaikan. Kita perlu memiliki disiplin diri supaya kita dapat tetap tabah dan menyelesaikan tugas kita.​—Mat. 10:22.

16. Apakah yang dapat membantu kita memupuk disiplin diri?

16 Kita tidak memiliki disiplin diri secara semula jadi. Biasanya, kita cenderung mencari jalan yang paling mudah untuk melakukan sesuatu. Untuk memiliki disiplin diri, kita memerlukan kawalan diri. Yehuwa dapat menggunakan kuasa suci-Nya untuk membantu kita memupuk kawalan diri dan melatih kita untuk melakukan hal-hal yang mencabar bagi kita.​—Gal. 5:22, 23.

17. Menurut 1 Korintus 9:25-27, apakah yang dilakukan oleh Paulus untuk memupuk disiplin diri?

17 Rasul Paulus memiliki disiplin diri, tetapi dia mengaku bahawa untuk melakukan apa yang benar, dia perlu “memukuli” tubuhnya. (Baca 1 Korintus 9:25-27.) Paulus menggalakkan orang Kristian agar berusaha memupuk disiplin diri supaya dapat melakukan segala sesuatu “dengan baik dan teratur.” (1 Kor. 14:40) Kita juga perlu berusaha keras untuk memupuk disiplin diri supaya dapat melakukan kegiatan rohani, termasuk menginjil dan mengajar orang, secara tetap.​—Kis. 2:46.

JANGAN BERLENGAH-LENGAH

18. Apakah yang harus kita lakukan untuk berjaya dalam pandangan Yehuwa?

18 Kejayaan seorang nelayan diukur berdasarkan hasil tangkapannya. Tetapi kejayaan kita tidak diukur berdasarkan jumlah orang yang kita bantu untuk menjadi penyembah Yehuwa. (Luk. 8:11-15) Dalam pandangan Yehuwa, jika kita terus berusaha menginjil dan mengajar orang, kita sudah berjaya. Mengapa? Kerana kita sedang mematuhi arahan Yehuwa dan Anak-Nya.​—Mrk. 13:10; Kis. 5:28, 29.

19-20. Mengapakah kita ingin menginjil tanpa berlengah-lengah?

19 Di sesetengah negara, nelayan hanya dibenarkan menjala ikan pada bulan-bulan tertentu. Jadi, apabila musim menjala hampir tamat, para nelayan di negara sebegini akan menggandakan usaha untuk menangkap ikan. Sebagai penjala manusia, kita sudah kesuntukan masa kerana akhir dunia jahat ini sudah sangat dekat. Jadi, kita ingin menyebarkan berita baik tanpa berlengah-lengah. Kita tidak mahu menunggu sehingga memiliki keadaan yang sempurna barulah kita menyertai kerja ini yang dapat menyelamatkan orang.​—Pkh. 11:4.

20 Maka, bertindaklah sekarang untuk menguatkan keinginan anda untuk menginjil dan memperdalam pengetahuan anda tentang Bible. Berusahalah untuk memupuk keberanian dan disiplin diri. Lakukanlah kerja menjala manusia bersama lebih daripada lapan juta orang rakan seiman anda, dan anda pasti merasai sukacita daripada Yehuwa. (Neh. 8:10) Selain itu, bertekadlah untuk terus melakukan kerja ini dengan sedaya upaya sehingga Yehuwa mengatakan bahawa kerja ini sudah selesai. Rencana seterusnya akan membincangkan tiga cara untuk menguatkan azam kita supaya kita terus menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan dengan tabah.

LAGU 66 Sebarkan Berita Baik

^ per. 5 Yesus telah menjemput nelayan yang rendah hati dan rajin untuk menjadi murid-muridnya. Hari ini, dia juga menjemput orang yang memiliki sifat sebegini untuk menjadi penjala manusia. Namun, sesetengah pelajar Bible mungkin teragak-agak untuk menerima jemputan Yesus. Rencana ini akan menjelaskan apa yang dapat dilakukan oleh mereka supaya terdorong untuk mengambil langkah yang penting ini.

^ per. 1 MAKSUD UNGKAPAN: Istilah “penjala manusia” merujuk kepada semua orang yang menyebarkan berita baik dan mengajar orang lain untuk menjadi murid Kristus.

^ per. 10 Lihat rencana “Mengajarkan Kebenaran” dalam Menara Pengawal terbitan Oktober 2018, ms. 11-16.