Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 35

Hargailah Warga Emas Kita yang Setia

Hargailah Warga Emas Kita yang Setia

Uban . . . bagaikan mahkota yang indah dan mulia.”​—AMS. 16:31.

LAGU 138 Uban Bagaikan Mahkota yang Mulia

PENGENALAN *

1-2. (a) Menurut Amsal 16:31, bagaimanakah kita patut memandang warga emas yang setia? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dijawab dalam rencana ini?

SEBUTIR berlian yang belum diproses tidak berkilauan dan tidak kelihatan menarik. Jadi, jika seseorang nampak berlian itu di atas tanah, dia mungkin tidak akan mempedulikannya kerana tidak menyedari nilainya.

2 Saudara saudari yang lanjut usia seperti berlian yang disebut tadi. Mereka sangat berharga, dan Firman Tuhan menyamakan uban mereka dengan mahkota yang indah. (Baca Amsal 16:31; 20:29) Namun, kita mungkin lupa betapa bernilainya mereka. Sebenarnya, jika orang yang lebih muda menghargai warga emas dalam kalangan mereka, mereka akan meraih sesuatu yang jauh lebih bernilai daripada berlian. Rencana ini akan menjawab tiga soalan yang berikut: Mengapakah warga emas yang setia berharga dalam mata Yehuwa? Apakah peranan penting mereka dalam organisasi Yehuwa? Bagaimanakah kita dapat belajar daripada teladan mereka?

MENGAPA WARGA EMAS YANG SETIA BERHARGA DALAM MATA YEHUWA

Warga emas yang setia berharga bagi Yehuwa dan umat-Nya (Lihat perenggan 3)

3. Selaras dengan Mazmur 92:12-15, mengapakah warga emas yang setia berharga bagi Yehuwa?

3 Warga emas yang setia sangat berharga bagi Tuhan Yehuwa. Dia mengetahui keperibadian mereka yang sebenar dan menghargai sifat-sifat baik mereka. Dia juga menghargai warga emas yang sudah lama berkhidmat kepada-Nya, yang sudi mengongsi kebijaksanaan yang mereka peroleh dengan generasi muda. (Ayb. 12:12; Ams. 1:1-4) Yehuwa juga menghargai ketabahan mereka. (Mal. 3:16) Biarpun mereka menghadapi pelbagai cabaran hidup, iman mereka terhadap Yehuwa tidak pernah goyah. Sebaliknya, harapan mereka lebih teguh sekarang berbanding pada masa mereka mula mempelajari kebenaran. Yehuwa juga mengasihi mereka kerana mereka terus menghebahkan nama-Nya, “bahkan pada masa tua.”​—Baca Mazmur 92:12-15.

4. Apakah ayat-ayat Bible yang dapat menggalakkan saudara saudari yang lanjut usia?

4 Jika usia anda sudah meningkat, ingatlah bahawa Yehuwa tidak melupakan segala kerja yang telah anda lakukan untuk-Nya. (Ibr. 6:10) Sejak dahulu lagi, anda menginjil dengan bersemangat, dan hal itu menggembirakan hati Bapa kita yang di syurga. Anda juga tabah menghadapi cubaan, termasuk cubaan yang membuat anda hancur hati. Selain itu, anda menjunjung piawaian Bible, memikul tanggungjawab yang berat dalam sidang, dan melatih orang lain. Anda juga berusaha menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan dalam organisasi Yehuwa, serta menggalakkan dan menyokong para pekhidmat sepenuh masa. Tuhan Yehuwa amat mengasihi anda kerana kesetiaan anda, dan Dia berjanji bahawa “Dia tidak akan meninggalkan umat-Nya yang setia”! (Mzm. 37:28) Dia memberi anda jaminan ini: “Aku akan tetap menjaga kamu sampai kamu beruban.” (Yes. 46:4) Meskipun anda sudah lanjut usia, janganlah menganggap diri anda tidak berguna. Sebenarnya, anda masih memainkan peranan yang penting dalam organisasi Yehuwa.

PERANAN WARGA EMAS DALAM ORGANISASI TUHAN

5. Apakah yang patut diingat oleh saudara saudari yang lanjut usia?

5 Saudara saudari yang lanjut usia dapat menyumbang kepada organisasi Yehuwa dalam banyak cara. Walaupun tubuh mereka tidak sekuat dahulu, mereka sangat berpengalaman dan masih dapat berkhidmat kepada Yehuwa dalam pelbagai cara. Mengenai hal ini, mari kita lihat beberapa contoh daripada zaman Bible dan zaman moden.

6-7. Sebutkan contoh-contoh hamba Tuhan yang lanjut usia, yang diberkati kerana kesetiaan mereka.

6 Bible mengandungi contoh hamba-hamba Yehuwa yang setia, yang masih berkhidmat kepada Yehuwa walaupun mereka sudah lanjut usia. Contohnya, Musa berumur kira-kira 80 tahun semasa dia dilantik sebagai nabi dan pemimpin bangsa Israel. Daniel pula masih berkhidmat sebagai jurucakap Yehuwa semasa dia berumur 90-an. Rasul Yohanes juga berumur kira-kira 90 tahun semasa dia diilhami untuk menulis buku Wahyu.

7 Terdapat banyak lagi hamba-hamba Yehuwa yang lain, yang tidak begitu dikenali. Meskipun kita mungkin tidak terfikir tentang mereka, Yehuwa memperhatikan usaha mereka dan memberkati mereka kerana kesetiaan mereka. Misalnya, Simeon ialah “seorang yang takut akan Tuhan dan melakukan apa yang benar.” Meskipun Bible tidak mengandungi banyak maklumat tentang Simeon, Yehuwa mengenalinya dan memberinya penghormatan untuk melihat Yesus semasa Yesus masih seorang bayi. Yehuwa juga memberinya penghormatan untuk mengucapkan nubuat tentang Yesus dan Maria. (Luk. 2:22, 25-35) Fikirkan juga Hana, seorang nabi wanita yang sudah menjadi balu. Dia berumur 84 tahun, tetapi “sentiasa hadir di Rumah Tuhan.” Oleh itu, Yehuwa memberkati usahanya dan juga memberinya peluang untuk melihat Yesus semasa Yesus seorang bayi. Jelaslah, Simeon dan Hana berharga dalam mata Yehuwa.​—Luk. 2:36-38.

Saudari Didur kini berusia 80-an dan masih berkhidmat dengan setia (Lihat perenggan 8)

8-9. Bagaimanakah seorang saudari yang telah menjadi balu terus berkhidmat dalam organisasi Yehuwa?

8 Pada zaman moden, terdapat banyak saudara saudari yang lanjut usia, yang merupakan teladan yang baik bagi orang yang lebih muda. Fikirkan contoh Saudari Lois Didur. Dia baru berumur 21 tahun semasa dia mula berkhidmat sebagai perintis khas di Kanada. Selepas dia dan suaminya John melakukan kerja lawatan selama beberapa tahun, mereka berkhidmat di Bethel Kanada untuk lebih daripada 20 tahun. Kemudian, semasa Lois berumur 58 tahun, dia dan John dijemput untuk berkhidmat di Ukraine. Adakah mereka menolak tugasan itu kerana berfikir bahawa mereka sudah terlalu tua untuk berpindah ke negara lain? Tidak, mereka sudi berpindah, dan John telah dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Cawangan Ukraine. Tujuh tahun kemudian, John telah meninggal, tetapi Lois memutuskan untuk terus berkhidmat di Ukraine. Kini, pada usia 81 tahun, Lois masih berkhidmat dengan setia sebagai ahli keluarga Bethel Ukraine, dan dia amat dikasihi oleh saudara saudari di situ.

9 Sesetengah saudari seperti Lois mungkin sering diperhatikan orang semasa suami mereka masih hidup dan memikul banyak tanggungjawab dalam organisasi. Namun, selepas suami mereka meninggal, mereka mungkin kurang mendapat perhatian berbanding dahulu. Meskipun begitu, mereka tetap bernilai di mata Yehuwa. Setelah menyokong suami mereka selama bertahun-tahun, mereka terus berkhidmat kepada Yehuwa dengan setia dan memberikan galakan kepada orang muda. (1 Tim. 5:3) Yehuwa sangat menghargai saudari-saudari sebegini!

10. Apakah teladan baik yang ditunjukkan oleh Tony?

10 Saudara saudari yang lanjut usia, yang tinggal di pusat jagaan orang tua, juga berharga di mata Yehuwa. Perhatikan contoh Saudara Tony yang kini tinggal di pusat jagaan orang tua. Dia dibaptis di Pennsylvania, A.S., pada Ogos 1942 semasa dia berumur 20 tahun. Tidak lama kemudian, dia dipenjarakan selama dua tahun setengah kerana isu keneutralan. Selepas berkahwin, dia dan isterinya Hilda membesarkan dua orang anak mereka dalam kebenaran. Dalam kehidupannya, Tony telah berkhidmat dalam tiga buah sidang dan memikul tanggungjawab yang kini dikenali sebagai koordinator badan penatua. Dia pernah berkhidmat sebagai penyelia perhimpunan, dan dia juga pernah melawat penjara untuk mengendalikan perjumpaan dan pembelajaran Bible. Kini, Tony sudah berumur 98 tahun. Namun, dia tidak pernah berfikir untuk berhenti berkhidmat kepada Yehuwa. Sebaliknya, dia terus berusaha memberikan apa yang terbaik kepada Yehuwa bersama saudara saudari di sidangnya.

11. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai saudara saudari yang lanjut usia, tidak kira mereka tinggal bersama keluarga mereka atau di pusat jagaan?

11 Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai saudara saudari yang lanjut usia, tidak kira mereka tinggal bersama keluarga yang tidak seiman atau di pusat jagaan? Para penatua dapat membantu mereka menyertai kegiatan sidang dengan sekerap yang mungkin. Kita pula dapat menunjukkan keprihatinan terhadap mereka dengan melawat mereka, atau menghubungi mereka menerusi panggilan video. Saudara saudari yang lanjut usia, yang tinggal jauh dari sidang, memerlukan perhatian khusus kerana kita lebih mudah melupakan mereka. Semasa bercakap dengan mereka, kita mungkin mendapati bahawa ada antara mereka yang pemalu atau berasa bahawa mereka tidak patut bercerita tentang diri mereka. Tetapi jika kita meluangkan masa untuk menanya mereka soalan, dan mendengar mereka menceritakan sukacita mereka dalam organisasi Yehuwa, kita akan meraih manfaat yang besar.

12. Mengapakah kita patut mengenali saudara saudari yang lanjut usia dalam sidang kita?

12 Kita mungkin tidak sedar bahawa dalam sidang kita sendiri, terdapat warga emas yang merupakan contoh yang baik. Perhatikan contoh Harriette, seorang saudari yang berkhidmat kepada Yehuwa dengan setia selama puluhan tahun dalam sidangnya di New Jersey, A.S. Kemudian, dia berpindah ke tempat lain untuk tinggal bersama anak perempuannya. Saudara saudari di sidang baharunya meluangkan masa untuk berkenalan dengannya, dan mereka sangat digalakkan dengan pengalamannya. Sebagai contoh, dia menceritakan bagaimana dia menginjil semasa dia mula mempelajari kebenaran pada tahun 1920-an. Pada masa itu, dia sentiasa membawa berus gigi semasa keluar menginjil, kerana dia mungkin ditangkap dan dipenjarakan. Sebenarnya pada tahun 1933, dia pernah ditangkap dan dipenjarakan selama seminggu, dan hal ini berlaku sebanyak dua kali dalam tahun itu. Semasa dia dipenjarakan, suaminya yang tidak seiman terus menyokongnya dengan menjaga tiga orang anak kecil mereka. Sememangnya, warga emas yang setia seperti Harriette patut dihargai.

13. Mengapakah saudara saudari yang lanjut usia amat berharga bagi Yehuwa dan organisasi-Nya?

13 Saudara saudari kita yang lanjut usia amat berharga bagi Yehuwa dan organisasi-Nya. Mereka telah menyaksikan bagaimana Yehuwa menggunakan pelbagai cara untuk memberkati organisasi-Nya, dan mereka sendiri pernah merasai berkat-Nya. Mereka juga telah belajar daripada kesilapan mereka. Oleh itu, luangkanlah masa untuk mengenali mereka. Dengan itu, iman anda akan dikuatkan, dan anda akan dapat mempelajari sesuatu daripada kebijaksanaan dan pengalaman mereka.​—Ams. 18:4.

MERAIH MANFAAT DARIPADA TELADAN WARGA EMAS

Sebagaimana Elisa meraih manfaat daripada pergaulannya dengan Elia, saudara saudari dapat meraih manfaat daripada pengalaman rakan seiman yang sudah lama menyembah Yehuwa (Lihat perenggan 14-15)

14. Ulangan 32:7 menggalakkan orang muda untuk melakukan apa?

14 Ambillah inisiatif untuk bercakap dengan warga emas. (Baca Ulangan 32:7.) Memang benar, mata mereka mungkin sudah kabur, pergerakan mereka mungkin sudah lambat, dan suara mereka juga mungkin sudah menjadi perlahan. Namun, mereka masih berjiwa muda, dan mereka mempunyai “nama yang baik” di mata Yehuwa. (Pkh. 7:1) Maka, ingatlah mengapa Yehuwa menghargai mereka, dan teruslah menghormati mereka. Jadilah seperti Elisa yang ingin tetap berada di sisi Elia. Pada hari terakhir dia bersama dengan Elia, sebanyak tiga kali dia memberitahu Elia, “Aku tidak akan meninggalkan tuan.”​—2 Raj. 2:2, 4, 6.

15. Apakah soalan-soalan yang dapat kita tanya kepada warga emas?

15 Tunjukkanlah bahawa anda mengambil berat terhadap warga emas dengan menanyakan soalan-soalan yang sesuai. (Ams. 1:5; 20:5; 1 Tim. 5:1, 2) Contohnya, anda boleh bertanya, “Semasa anda muda, apakah yang meyakinkan anda bahawa anda telah menemui kebenaran?” “Bagaimanakah hal yang telah anda lalui telah membuat anda berasa lebih rapat dengan Yehuwa?” “Apakah rahsia anda untuk terus berkhidmat dengan sukacita kepada Yehuwa?” (1 Tim. 6:6-8) Kemudian, dengarlah kisah mereka dengan teliti.

16. Apakah manfaat yang diraih oleh orang muda dan orang yang lanjut usia apabila mereka berbual dengan satu sama lain?

16 Apabila seorang yang lanjut usia berbual dengan seorang yang lebih muda, mereka berdua akan meraih manfaat. (Rm. 1:12) Orang yang lebih muda akan berasa lebih yakin bahawa Yehuwa pasti menjaga hamba-Nya yang setia. Orang yang lebih tua pula akan berasa dikasihi, dan dia juga akan berasa gembira semasa menceritakan bagaimana Yehuwa telah memberkatinya.

17. Mengapakah Yehuwa memandang orang yang setia kepada-Nya makin tua, makin cantik?

17 Kecantikan luaran seseorang akan pudar seraya usianya meningkat. Tetapi bagi Yehuwa, orang yang setia kepada-Nya makin tua, makin cantik. (1 Tes. 1:2, 3) Mengapa? Hal ini demikian kerana mereka telah mengizinkan kuasa suci Tuhan untuk melatih dan membantu mereka memupuk sifat-sifat yang terpuji. Oleh itu, jika kita semakin mengenali saudara saudari kita yang lanjut usia dan belajar daripada mereka, kita akan semakin menghormati dan menghargai mereka.

18. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

18 Sebuah sidang akan menjadi kukuh bukan sahaja semasa orang muda menghargai orang yang lanjut usia, tetapi juga semasa orang yang lanjut usia menghargai orang muda. Rencana seterusnya akan membincangkan bagaimana orang yang lanjut usia dapat menunjukkan bahawa mereka menghargai orang muda dalam sidang.

LAGU 144 Tataplah Pahala!

^ per. 5 Saudara saudari kita yang lanjut usia amat berharga. Rencana ini akan memperdalam penghargaan kita terhadap mereka, dan menjelaskan bagaimana kita dapat meraih manfaat daripada kebijaksanaan dan pengalaman mereka. Rencana ini juga akan meyakinkan saudara saudari yang lanjut usia bahawa mereka memainkan peranan yang penting dalam organisasi Tuhan.