Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 39

Semasa Orang Tersayang Anda Meninggalkan Yehuwa

Semasa Orang Tersayang Anda Meninggalkan Yehuwa

“Betapa kerapnya mereka menyakiti hati-Nya.”​—MZM. 78:40.

LAGU 102 “Membantu Mereka yang Lemah”

PENGENALAN *

1. Apakah perasaan seseorang apabila orang tersayangnya disingkirkan?

ADAKAH orang tersayang anda telah disingkirkan? Hal itu pasti membuat anda hancur hati! Seorang saudari yang bernama Hilda berkata, “Apabila suami saya meninggal selepas 41 tahun berkahwin, saya sangka itulah rasa sedih yang paling menyakitkan. * Tetapi apabila anak lelaki saya meninggalkan sidang, isterinya, dan anak-anaknya, rasa sedih itu jauh lebih teruk.”

Yehuwa memahami betapa pedihnya hati anda semasa orang tersayang anda meninggalkan-Nya (Lihat perenggan 2-3) *

2-3. Menurut Mazmur 78:40, 41, apakah perasaan Yehuwa semasa hamba-hamba-Nya meninggalkan-Nya?

2 Bayangkan betapa sedihnya Yehuwa semasa sebilangan malaikat, yang merupakan ahli keluarga-Nya di syurga, meninggalkan-Nya! (Yud. 6) Bayangkan juga betapa pedihnya hati Yehuwa semasa orang Israel, iaitu umat-Nya yang dikasihi, berkali-kali memberontak terhadap-Nya. (Baca Mazmur 78:40, 41.) Jadi, Dia juga pasti berasa sedih semasa orang tersayang anda meninggalkan-Nya. Dia memahami kesedihan anda, dan Dia pasti memberi anda galakan dan sokongan yang anda perlukan.

3 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat menerima bantuan Yehuwa semasa orang tersayang kita meninggalkan-Nya. Kita juga akan mengkaji bagaimana kita dapat membantu saudara saudari yang menghadapi cabaran ini. Tetapi sebelum itu, mari kita membincangkan beberapa fikiran negatif yang mesti kita elakkan.

JANGAN SALAHKAN DIRI

4. Apakah perasaan banyak ibu bapa semasa anak mereka meninggalkan Yehuwa?

4 Semasa seorang anak meninggalkan Yehuwa, ibu bapanya sering tertanya-tanya jika mereka sudah berusaha dengan secukupnya untuk membantu anak itu berpegang pada kebenaran. Selepas anak lelakinya disingkirkan, seorang saudara yang bernama Luke mengaku, “Saya salahkan diri dan mengalami mimpi ngeri tentang peristiwa itu. Kadangkala, hati saya begitu pilu sehingga saya menangis.” Elizabeth, seorang saudari yang anaknya juga disingkirkan, sering berfikir, “Saya bukan ibu yang baik. Saya gagal menanamkan kebenaran dalam hati anak saya.”

5. Siapakah yang patut dipersalahkan semasa seseorang meninggalkan Yehuwa?

5 Kita mesti ingat bahawa Yehuwa telah memberi setiap orang kebebasan untuk memilih sama ada mereka ingin mentaati-Nya atau tidak. Sesetengah orang muda dibesarkan oleh ibu bapa yang bukan teladan baik, tetapi mereka memilih untuk menyembah Yehuwa dan tetap setia kepada-Nya. Yang lain pula dibesarkan oleh ibu bapa yang berusaha mengajar mereka untuk mengasihi Yehuwa, tetapi selepas mereka dewasa, mereka meninggalkan kebenaran. Jadi, keputusan untuk menyembah Yehuwa terletak dalam tangan setiap individu. (Yos. 24:15) Maka, ibu bapa sekalian, jika anda bersedih kerana anak anda meninggalkan kebenaran, janganlah berfikir bahawa apa yang berlaku ialah salah anda!

6. Apabila seorang ibu atau bapa meninggalkan Yehuwa, apakah kesannya terhadap anaknya?

6 Ada kalanya, seorang ibu atau bapa mungkin meninggalkan kebenaran dan bahkan meninggalkan keluarganya. (Mzm. 27:10) Hal ini akan membuat anaknya sangat hancur hati, terutamanya jika anak itu menganggapnya sebagai suri teladan. Esther, yang bapanya disingkirkan, berkata, “Saya sering menangis kerana saya sedar bapa saya bukan sekadar beransur-ansur meninggalkan kebenaran, tetapi sengaja memilih untuk meninggalkan Yehuwa. Saya sayang bapa saya, jadi semasa dia disingkirkan, saya selalu risau tentangnya. Saya bahkan mendapat serangan panik.”

7. Apakah perasaan Yehuwa terhadap orang muda yang ibu atau bapa mereka disingkirkan?

7 Anak-anak muda, jika ibu atau bapa anda telah disingkirkan, kami tumpang sedih untuk anda. Yakinlah bahawa Yehuwa amat memahami kesedihan anda. Dia mengasihi anda dan menghargai kesetiaan anda, begitu juga dengan kami, saudara saudari anda. Ingatlah bahawa anda tidak bertanggungjawab atas keputusan ibu atau bapa anda. Seperti yang disebut tadi, Yehuwa telah memberi setiap orang kebebasan untuk memilih. Jadi, setiap orang yang sudah membaktikan diri dan dibaptis mesti “memikul tanggungjawab masing-masing.”​—Gal. 6:5, nota kaki.

8. Apakah yang dapat dilakukan oleh ahli keluarga yang setia sementara menunggu orang tersayang mereka untuk kembali kepada Yehuwa? (Lihat juga kotak “ Kembalilah kepada Yehuwa.”)

8 Jika orang tersayang anda meninggalkan Yehuwa, sudah tentu anda berharap agar dia akan kembali kepada Yehuwa suatu hari nanti. Apakah yang dapat anda lakukan sementara menunggu hal itu berlaku? Jagalah kerohanian anda. Dengan itu, anda dapat menjadi teladan yang baik untuk ahli keluarga yang lain, bahkan untuk orang tersayang yang disingkirkan itu. Selain itu, anda akan mendapat kekuatan untuk berdepan dengan kesedihan anda. Mari kita lihat beberapa cara untuk menjaga kerohanian anda.

CARA UNTUK MENJAGA KEROHANIAN ANDA

9. Bagaimanakah anda dapat dikuatkan secara rohani? (Lihat juga kotak “ Jika Orang Tersayang Anda Meninggalkan Yehuwa, Ayat-Ayat Ini Dapat Melegakan Anda.”)

9 Pastikan anda mempunyai tabiat rohani yang baik supaya iman anda dan ahli keluarga lain terus dikuatkan. Kekalkan tabiat membaca dan merenungkan Bible, dan hadiri perjumpaan secara tetap. Joanna, yang bapa dan kakaknya meninggalkan kebenaran, berkata, “Saya rasa tenang semasa membaca tentang watak Bible seperti Abigail, Ester, Ayub, Yusuf, dan Yesus. Contoh mereka mengisi hati dan minda saya dengan hal-hal yang positif dan mengurangkan rasa sedih saya. Saya juga dapat banyak galakan daripada lagu asal kita.”

10. Menurut Mazmur 32:6-8, apakah yang perlu kita lakukan semasa kita susah hati?

10 Luahkan kekhuatiran anda kepada Yehuwa. Semasa anda susah hati, janganlah berhenti berdoa. Sebaliknya, rayulah kepada Tuhan kita yang pengasih supaya Dia membantu anda memandang situasi anda dari sudut pandangan-Nya. Selain itu, mintalah Dia untuk ‘memberi anda pengertian dan mengajar anda jalan yang harus ditempuh.’ (Baca Mazmur 32:6-8.) Semasa meluahkan perasaan anda kepada Yehuwa, hati anda mungkin berasa sangat pilu. Namun, ingatlah bahawa Yehuwa benar-benar memahami kepedihan anda. Dia amat mengasihi anda, dan Dia menjemput anda untuk mencurahkan isi hati anda kepada-Nya.​—Kel. 34:6; Mzm. 62:7, 8.

11. Menurut Ibrani 12:11, mengapakah kita harus yakin bahawa aturan disiplin Yehuwa menunjukkan kasih-Nya? (Lihat juga kotak “ Penyingkiran​—Bukti akan Kasih Yehuwa.”)

11 Sokong keputusan para penatua. Ingatlah bahawa penyingkiran ialah aturan Yehuwa yang menunjukkan kasih-Nya, dan aturan ini adalah demi manfaat semua orang, termasuk orang yang disingkirkan. (Baca Ibrani 12:11.) Jika anda mendengar ada orang mengkritik keputusan para penatua, ingatlah bahawa orang itu mungkin tidak menceritakan segala-galanya yang terjadi. Sebenarnya, kita juga tidak mempunyai semua butiran tentang apa yang berlaku. Maka, adalah lebih bijak untuk percaya bahawa para penatua yang mengambil tindakan disiplin telah berusaha untuk mengikut prinsip Bible dan menghakimi “atas nama Yehuwa.”​—2 Taw. 19:6.

12. Apakah manfaat yang diraih sesetengah orang apabila mereka menyokong aturan disiplin Yehuwa?

12 Jika anda menyokong keputusan para penatua untuk menyingkirkan orang tersayang anda, anda mungkin dapat membantunya kembali kepada Yehuwa. Elizabeth, yang disebut tadi, mengaku, “Memang sangat susah untuk memutuskan hubungan kami dengan anak lelaki kami yang sudah dewasa. Tetapi selepas dia kembali kepada Yehuwa, dia mengaku bahawa dia memang patut disingkirkan. Kemudian, anak lelaki kami berkata bahawa dia menghargai pengajaran yang diperolehnya. Hal ini mengajar saya bahawa cara Yehuwa memberikan disiplin selalu betul.” Suaminya Mark menambah, “Beberapa lama selepas anak kami kembali, dia beritahu kami bahawa salah satu sebab dia ingin kembali adalah kerana kami langsung tidak bergaul dengannya. Saya sangat bersyukur Yehuwa membantu kami mentaati-Nya.”

13. Apakah yang dapat anda lakukan sewaktu berasa sedih dan sunyi?

13 Luahkan isi hati anda kepada sahabat-sahabat yang memahami perasaan anda. Selain itu, bergaullah dengan orang Kristian yang matang, yang dapat membantu anda tetap bersikap positif. (Ams. 12:25; 17:17) Joanna, yang disebut tadi, berkata, “Saya rasa sunyi, tetapi apabila saya bercakap dengan kawan-kawan yang dapat dipercayai, hal itu sangat membantu.” Namun, bagaimana pula jika sesetengah orang di sidang mengatakan sesuatu yang membuat anda lebih susah hati?

14. Mengapakah kita perlu ‘terus bersabar terhadap satu sama lain dan saling mengampuni’?

14 Bersabarlah dengan saudara saudari anda. Ingatlah bahawa kita semua tidak sempurna dan akan berbuat silap dalam tutur kata kita. (Yak. 3:2) Maka janganlah hairan jika orang lain tidak tahu apa yang harus dikatakan atau terlanjur kata dan membuat kita sakit hati. Ingatlah nasihat Rasul Paulus: “Teruslah bersabar terhadap satu sama lain dan saling mengampuni dengan rela hati, biarpun kamu ada alasan untuk berasa tersinggung.” (Kol. 3:13) Seorang saudari yang anaknya disingkirkan berkata, “Ada rakan seiman yang cuba menggalakkan saya tetapi menyakiti hati saya pula kerana mereka tidak sempurna. Yehuwa telah membantu saya untuk memaafkan mereka.” Sekarang, mari kita bincangkan bagaimana saudara saudari dalam sidang dapat membantu ahli keluarga yang setia.

SIDANG DAPAT MEMBANTU

15. Jika seseorang disingkirkan, bagaimanakah kita dapat membantu ahli keluarganya yang setia?

15 Sambutlah ahli keluarga yang setia dengan ramah. Seorang saudari yang bernama Miriam mengaku bahawa selepas adik lelakinya disingkirkan, dia berasa takut untuk menghadiri perjumpaan. Dia berkata, “Saya takut orang lain akan cakap hal yang bukan-bukan. Tetapi ada banyak saudara saudari yang tumpang sedih dengan saya, dan mereka tidak bercakap buruk tentang adik saya. Kerana mereka ada di sisi saya, saya tidak berasa bahawa saya sahaja dalam sidang yang bersedih.” Seorang lagi saudari berkata, “Selepas anak lelaki kami disingkirkan, kawan-kawan dalam sidang datang untuk melegakan kami. Ada yang mengaku mereka tidak tahu apa yang harus dikatakan, tetapi mereka menangis bersama saya atau tulis surat untuk menggalakkan saya. Saya sangat menghargai bantuan mereka!”

16. Bagaimanakah sidang dapat terus memberikan sokongan kepada ahli keluarga yang setia?

16 Teruslah memberikan sokongan kepada ahli keluarga yang setia. Mereka memerlukan kasih dan galakan anda, terutamanya pada waktu sebegini. (Ibr. 10:24, 25) Ada kalanya, ahli keluarga kepada orang yang disingkirkan berasa bahawa mereka seolah-olah juga disingkirkan, kerana saudara saudari di sidang tidak lagi bercakap dengan mereka. Janganlah membuat mereka berasa begitu! Orang muda yang ibu bapa mereka telah disingkirkan khususnya memerlukan galakan dan pujian. Perhatikan bagaimana saudara saudari telah membantu Maria setelah suaminya disingkirkan dan meninggalkan keluarganya. Maria berkata, “Mereka datang ke rumah dan membantu saya untuk memasak dan belajar Bible bersama anak-anak saya. Mereka menyelami perasaan saya dan menangis bersama saya. Mereka juga mempertahankan saya semasa orang lain menyebarkan khabar angin tentang saya. Saya benar-benar berasa digalakkan!”​—Rm 12:13, 15.

Sidang dapat menunjukkan kasih dengan membantu ahli keluarga orang yang disingkirkan (Lihat perenggan 17) *

17. Bagaimanakah para penatua dapat melegakan rakan seiman mereka?

17 Para penatua, anda memikul tanggungjawab yang penting untuk melegakan rakan seiman anda apabila orang tersayang mereka meninggalkan Yehuwa. (1 Tes. 5:14) Maka carilah peluang untuk menguatkan ahli keluarga yang setia. Contohnya, anda boleh mengambil inisiatif untuk menggalakkan mereka sebelum dan selepas perjumpaan. Selain itu, lawatlah mereka dan berdoalah bersama mereka. Anda juga boleh menginjil bersama mereka, atau menjemput mereka untuk menyertai penyembahan keluarga anda dari masa ke masa. Sebagai gembala rohani, anda perlu menunjukkan belas kasihan, kasih, dan keprihatinan kepada biri-biri Yehuwa yang bersedih.​—1 Tes. 2:7, 8.

JANGAN HILANG HARAPAN, DAN TERUSLAH PERCAYA KEPADA YEHUWA

18. Menurut 2 Petrus 3:9, apakah yang diingini Tuhan?

18 Yehuwa “tidak ingin seorang pun dibinasakan,” tetapi “ingin agar semua orang berpeluang untuk bertaubat.” (Baca 2 Petrus 3:9.) Walaupun seseorang melakukan dosa yang serius, nyawanya tetap berharga di mata Tuhan. Fikirkan hal ini: Yehuwa telah membayar harga yang tinggi, iaitu nyawa Anak kesayangan-Nya, untuk menyelamatkan orang yang berdosa. Yehuwa sentiasa mencuba membantu orang yang telah meninggalkan-Nya agar mereka kembali kepada-Nya. Cerita Yesus tentang anak yang sesat menunjukkan bahawa Yehuwa menanti-nantikan kepulangan mereka. (Luk. 15:11-32) Ramai orang yang meninggalkan kebenaran telah kembali kepada Bapa mereka yang pengasih dan disambut oleh sidang dengan tangan terbuka. Elizabeth, yang disebut tadi, berasa sangat gembira semasa anak lelakinya diterima kembali ke dalam sidang. Dia berkata, “Saya amat bersyukur kerana ramai saudara saudari menggalakkan kami agar tidak hilang harapan.”

19. Mengapakah kita dapat sentiasa percaya kepada Yehuwa?

19 Kita dapat sentiasa percaya kepada Yehuwa, kerana segala arahan-Nya bermanfaat untuk kita. Selain itu, Dia ialah Bapa yang murah hati dan berbelas kasihan, dan Dia memiliki kasih yang mendalam terhadap semua penyembah-Nya yang mengasihi-Nya. Yakinlah bahawa Yehuwa akan terus memberi anda “kuasa luar biasa,” dan Dia tidak akan meninggalkan anda pada saat-saat yang sukar. (2 Kor. 4:7; Ibr. 13:5, 6) Mark, yang disebut tadi, berkata, “Yehuwa tidak pernah meninggalkan kami. Dia sentiasa di sisi kami semasa kami menghadapi kesusahan.” Maka, percayalah bahawa anda dapat tetap setia dan tidak hilang harapan, bahkan semasa orang tersayang anda meninggalkan Yehuwa.

LAGU 44 Doa Orang yang Patah Semangat

^ per. 5 Kita berasa sangat sedih semasa orang tersayang kita meninggalkan Yehuwa! Rencana ini akan membincangkan perasaan Tuhan kita semasa hal ini berlaku. Kita juga akan melihat apa yang dapat dilakukan oleh ahli keluarga yang setia untuk mengatasi kesedihan dan tetap kuat secara rohani. Rencana ini juga akan membincangkan bagaimana semua orang dalam sidang dapat memberikan kelegaan dan sokongan kepada ahli keluarga yang setia.

^ per. 1 Sesetengah nama dalam rencana ini telah diubah.

^ per. 79 KETERANGAN GAMBAR: Semasa seorang saudara meninggalkan keluarganya dan Yehuwa, isteri dan anak-anaknya menderita.

^ per. 81 KETERANGAN GAMBAR: Dua orang penatua memberikan galakan kepada sebuah keluarga dalam sidang mereka.