RENCANA PEMBELAJARAN 37
Bergantunglah pada Yehuwa seperti Simson
“Ya Yehuwa, Tuhan Yang Berdaulat, tolonglah ingat akan aku. Tolonglah kuatkan aku.”—HAK. 16:28.
LAGU 30 Bapaku, Tuhanku, dan Kawanku
PENGENALAN a
1-2. Mengapakah kita patut mengkaji kisah Simson?
APAKAH yang terlintas di fikiran anda semasa mendengar nama Simson? Anda mungkin berfikir tentang seorang lelaki yang sangat kuat. Namun, Simson pernah membuat keputusan buruk yang membawa padah. Biarpun begitu, Yehuwa bertumpu kepada kesetiaan Simson, yang dicatatkan dalam Bible demi manfaat kita.
2 Yehuwa menggunakan Simson untuk melaksanakan hal-hal yang menakjubkan demi umat Israel. Berabad-abad selepas kematian Simson, Yehuwa mengilhami Rasul Paulus untuk mencatatkan nama Simson antara nama-nama orang yang beriman. (Ibr. 11:32-34) Teladan Simson dapat menggalakkan kita. Dia bergantung pada Yehuwa, bahkan pada masa yang mencabar. Dalam rencana ini, kita akan bincang apa yang dapat kita belajar daripada Simson dan bagaimana teladannya dapat menggalakkan kita.
SIMSON BERGANTUNG PADA YEHUWA
3. Apakah tugas yang diterima oleh Simson?
3 Semasa Simson dilahirkan, orang Filistin menguasai orang Israel dan menindas mereka. (Hak. 13:1) Akibatnya, orang Israel sangat menderita. Oleh itu, Yehuwa memilih Simson untuk “menyelamatkan orang Israel daripada tangan orang Filistin.” (Hak. 13:5) Tugas ini memang sungguh mencabar! Agar dapat berjaya, Simson perlu bergantung pada Yehuwa.
4. Bagaimanakah Yehuwa membantu Simson untuk membebaskan diri daripada orang Filistin? (Hakim-Hakim 15:14-16)
4 Perhatikan bagaimana Simson bergantung pada Tuhan. Pernah sekali, askar Filistin datang ke Lehi, yang mungkin terletak di Yehuda, untuk menangkap Simson. Orang Yehuda sangat takut, maka mereka membuat keputusan untuk menyerahkan Simson kepada musuh mereka. Bangsa Simson sendiri telah mengikatnya dengan dua utas tali yang baharu dan menyerahkannya kepada orang Filistin. (Hak. 15:9-13) Namun, “kuasa suci Yehuwa menyebabkan Simson menjadi kuat,” dan Simson memutuskan tali-tali itu. Kemudian, dia menjumpai seketul tulang rahang keldai yang belum kering, lalu menggunakannya untuk membunuh 1,000 orang Filistin!—Baca Hakim-Hakim 15:14-16.
5. Bagaimanakah cara Simson melawan musuh menunjukkan bahawa dia bergantung pada Yehuwa?
5 Biasanya, orang tidak akan menggunakan tulang rahang keldai sebagai senjata. Jadi, mengapakah Simson menggunakan tulang rahang keldai untuk melawan musuh? Dia tahu bahawa untuk berjaya, dia perlu bergantung pada Yehuwa dan bukannya pada senjata. Lelaki yang beriman ini telah menggunakan apa sahaja yang ada untuk melakukan kehendak Yehuwa. Oleh sebab dia bergantung pada Yehuwa, dia meraih kemenangan yang besar.
6. Apakah yang dapat kita belajar daripada kisah Simson tentang cara Yehuwa dapat membantu kita melaksanakan tugasan kita?
6 Yehuwa dapat memberi kita kekuatan untuk melaksanakan tugasan kita biarpun tugasan kita sangat mencabar. Dia bahkan dapat membantu kita dalam cara yang tidak kita jangkakan. Ingatlah, selagi anda bergantung pada Yehuwa, Dia pasti menguatkan anda sebagaimana Dia menguatkan Simson.—Ams. 16:3.
7. Mengapakah penting untuk mencari bimbingan Yehuwa? Berikan contoh.
7 Banyak saudara saudari yang menyertai projek pembinaan menunjukkan kepercayaan mereka kepada Yehuwa. Dulu, kebanyakan Dewan Perjumpaan dan bangunan teokratik yang lain direka dan dibina oleh saudara saudari kita. Namun, oleh sebab semakin ramai orang menyertai organisasi Yehuwa, aturan itu perlu diubah. Saudara-saudara yang mengambil pimpinan telah mencari bimbingan Yehuwa dan mencuba kaedah yang baharu, seperti membeli bangunan yang sedia ada dan mengubahsuainya. “Pada mulanya, perubahan ini mencabar bagi sesetengah orang,” kata Robert, yang terlibat dalam banyak projek pembinaan di serata dunia sejak beberapa tahun yang lalu. Dia menyambung, “Kaedah baharu ini sangat berbeza, tetapi saudara saudari sudi menyesuaikan diri, dan kami nampak bukti bahawa Yehuwa sedang memberkati kami.” Ini hanya salah satu contoh yang menunjukkan bagaimana Yehuwa membimbing umat-Nya untuk melaksanakan kehendak-Nya. Dari masa ke masa, kita semua perlu menanya diri, “Adakah saya mencari bimbingan Yehuwa dan sudi membuat penyesuaian dalam khidmat kepada-Nya?”
SIMSON MEMANFAATKAN BANTUAN YEHUWA
8. Apakah yang dilakukan Simson semasa dia sangat haus?
8 Anda mungkin pernah membaca tentang hal-hal lain yang dilakukan Simson. Contohnya, selepas membunuh seekor singa, dia pergi ke Askelon dan membunuh 30 orang lelaki Filistin di situ. (Hak. 14:5, 6, 19) Simson tahu bahawa dia tidak mungkin dapat melakukan semua itu seorang diri tanpa bantuan Yehuwa. Pernah sekali, selepas mengalahkan 1,000 orang Filistin, dia berasa sangat haus. Namun, daripada bergantung pada diri sendiri untuk mencari air, dia berseru meminta bantuan Yehuwa.—Hak. 15:18.
9. Bagaimanakah Yehuwa menjawab seruan Simson? (Hakim-Hakim 15:19)
9 Yehuwa menjawab seruan Simson dengan “membuka satu lubang” secara mukjizat, dan air mula keluar daripadanya. Selepas meminum air itu, Simson “menjadi kuat dan segar semula.” (Baca Hakim-Hakim 15:19.) Nampaknya, tempat itu masih wujud bertahun-tahun kemudian semasa Nabi Samuel menulis buku Hakim-Hakim. Orang Israel yang nampak tempat itu mungkin diingatkan bahawa Yehuwa akan membantu penyembah-Nya yang setia semasa mereka menghadapi kesusahan.
10. Apakah yang perlu kita lakukan untuk menerima bantuan Yehuwa? (Lihat juga gambar.)
10 Kita harus mencari bantuan Yehuwa biarpun kita sangat berbakat, cekap, atau sudah melakukan banyak kerja dalam khidmat kepada Yehuwa. Kita perlu rendah hati dan mengaku bahawa kita hanya dapat berjaya dengan bergantung pada Yehuwa. Sepertimana Simson mendapat semula tenaganya apabila dia meminum air yang disediakan oleh Yehuwa, kita juga akan dikuatkan secara rohani apabila kita memanfaatkan segala bantuan yang disediakan oleh Yehuwa.—Mat. 11:28.
11. Bagaimanakah kita dapat memanfaatkan bantuan Yehuwa dengan sepenuhnya? Berikan contoh.
11 Perhatikan contoh Aleksey, seorang saudara dari Rusia yang dianiaya dengan teruk. Apakah yang membantunya tetap tabah? Dari dahulu lagi, dia dan isterinya berusaha mengekalkan rutin rohani yang baik. Aleksey berkata, “Saya membaca Bible setiap hari dan membuat pembelajaran peribadi secara tetap. Setiap pagi, kami juga bincang ayat harian dan berdoa bersama-sama.” Apakah pengajarannya bagi kita? Kita tidak patut bergantung pada diri sendiri. Sebaliknya, kita harus bergantung pada Yehuwa dan membina iman kita dengan sering mengkaji Bible dan melakukan aktiviti rohani yang lain. Jika kita berbuat demikian, Yehuwa akan memberkati kita dengan melimpah. Dia telah menguatkan Simson, dan Dia pasti dapat menguatkan kita.
SIMSON TIDAK BERPUTUS ASA
12. Apakah keputusan buruk yang dibuat oleh Simson? Bagaimanakah hubungan Simson dengan Delila berbeza daripada hubungannya dengan wanita lain?
12 Seperti kita, Simson juga tidak sempurna, jadi ada kalanya dia membuat keputusan yang buruk. Salah satu keputusannya telah membawa kesudahan yang menyedihkan. Selepas Simson berkhidmat sebagai hakim buat suatu jangka masa, dia “jatuh cinta dengan seorang perempuan yang bernama Delila, yang tinggal di Lembah Sorek.” (Hak. 16:4) Sebelum ini, Simson pernah bertunang dengan seorang wanita Filistin, tetapi keputusannya itu “dibimbing oleh Yehuwa,” kerana Tuhan “sedang mencari peluang untuk menentang orang Filistin.” Selain itu, Simson pernah tinggal di rumah seorang pelacur di Gaza, sebuah kota orang Filistin. Di situ, Tuhan memberi Simson kekuatan untuk mencabut pintu gerbang kota dan melemahkan pertahanan kota itu. (Hak. 14:1-4; 16:1-3) Namun, Delila mungkin ialah seorang wanita berbangsa Israel. Jadi Yehuwa tidak menggunakan Delila untuk membantu Simson melawan orang Filistin.
13. Apakah yang dilakukan Delila terhadap Simson?
13 Orang Filistin memberi Delila sejumlah wang yang besar sebagai bayaran untuk mengkhianati Simson. Mengapakah Simson tidak sedar bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan Delila? Adakah dia dibutakan oleh cinta? Kita tidak tahu. Namun, setelah Delila merengek-rengek dan mendesaknya hari demi hari, Simson akhirnya mengalah dan memberitahu Delila rahsia kekuatannya. Kesilapan Simson menyebabkan dirinya kehilangan kekuatannya dan perkenan Yehuwa buat suatu ketika.—Hak. 16:16-20.
14. Apakah yang terjadi kepada Simson kerana mempercayai Delila?
14 Daripada mempercayai Yehuwa, Simson mempercayai Delila. Akibatnya dia ditimpa malapetaka. Orang Filistin telah menangkapnya, membutakannya, dan membawanya ke Gaza. Sebelum itu, dia pernah mencabut pintu gerbang kota Gaza, tetapi sekarang dia dipenjarakan di situ dan dipaksa mengisar gandum. Kemudian, orang Filistin mengadakan pesta untuk Dagon, dewa mereka. Mereka mempersembahkan banyak korban kerana percaya Dagon telah menyerahkan Simson ke dalam tangan mereka. Selepas itu, mereka membawa Simson keluar untuk mengejeknya dan menghiburkan orang ramai.—Hak. 16:21-25.
15. Bagaimanakah Simson menunjukkan bahawa dia bergantung pada Yehuwa sekali lagi? (Hakim-Hakim 16:28-30) (Lihat gambar pada muka depan majalah.)
15 Simson telah melakukan kesilapan yang besar, tetapi dia tidak berputus asa. Dia masih mencari peluang untuk menjalankan tugas yang diberikan oleh Tuhan, iaitu melawan orang Filistin. (Baca Hakim-Hakim 16:28-30.) Simson merayu kepada Yehuwa, “Biarlah aku membalas dendam terhadap orang Filistin.” Tuhan telah mengabulkan permintaan Simson dan memulihkan kekuatannya yang luar biasa. Hasilnya, Simson telah membunuh lebih ramai orang Filistin pada masa itu berbanding masa sebelumnya.
16. Apakah yang dapat kita belajar daripada kesilapan Simson?
16 Walaupun Simson mendapat padah akibat kesilapannya, dia masih berusaha melakukan kehendak Yehuwa. Apakah pengajarannya bagi kita? Biarpun kita perlu dibetulkan atau kehilangan tanggungjawab kerana kesilapan kita, janganlah berputus asa. Ingatlah bahawa Yehuwa juga tidak berputus asa terhadap kita. (Mzm. 103:8-10) Walaupun kita melakukan kesilapan, kita masih dapat digunakan oleh Yehuwa seperti Simson.
17-18. Bagaimanakah pengalaman Michael menggalakkan anda? (Lihat juga gambar.)
17 Fikirkan contoh seorang saudara muda yang bernama Michael. Dia sangat sibuk dalam khidmatnya sebagai pembantu sidang dan perintis biasa. Sedihnya, dia tersilap langkah lalu kehilangan semua tanggungjawab di sidang. Michael berkata, “Sebelum itu, saya melakukan kegiatan rohani dengan kelajuan penuh, tetapi tiba-tiba saya rasa seperti terlanggar tembok besar. Saya yakin Yehuwa tidak akan meninggalkan saya, tetapi saya tertanya-tanya jika hubungan saya dengan-Nya akan pulih, atau jika saya akan dapat berkhidmat dalam sidang seperti dahulu.”
18 Namun, Michael tidak berputus asa. Dia berkata, “Saya bertumpu untuk membaiki hubungan saya dengan Yehuwa. Saya sentiasa berdoa, mengkaji Bible, dan membuat perenungan.” Beberapa lama kemudian, Michael dapat berkhidmat semula dalam sidang. Kini, dia seorang penatua dan perintis biasa. Dia berkata, “Sokongan dan galakan yang saya terima, terutamanya daripada para penatua, bantu saya sedar bahawa Yehuwa masih mengasihi saya. Sekali lagi, saya dapat berkhidmat dalam sidang dengan hati nurani yang bersih. Pengalaman ini mengajar saya bahawa Yehuwa akan mengampuni sesiapa sahaja yang benar-benar bertaubat.” Begitu juga, biarpun kita pernah berbuat silap, selagi kita berusaha untuk membaiki kesilapan kita dan terus bergantung pada Yehuwa, Dia pasti memberkati kita dan memberi kita peluang untuk berkhidmat kepada-Nya.—Mzm. 86:5; Ams. 28:13.
19. Bagaimanakah teladan Simson menguatkan anda?
19 Dalam rencana ini, kita telah membincangkan beberapa peristiwa menarik dalam hidup Simson. Simson tidak sempurna dan telah melakukan keputusan yang tidak bijak berkenaan Delila. Biarpun begitu, Simson tidak berputus asa dan terus menyembah Yehuwa. Yehuwa juga tidak berputus asa dengan Simson. Dia masih menganggap Simson sebagai seorang lelaki yang beriman dan menyenaraikan namanya bersama lelaki dan wanita yang setia di Ibrani bab 11. Kita sangat digalakkan kerana menyembah Tuhan yang begitu pengasih dan ingin menguatkan kita terutamanya apabila kita lemah. Maka seperti Simson, semoga kita berseru kepada Yehuwa, “Tolonglah ingat akan aku. Tolonglah kuatkan aku.”—Hak. 16:28.
LAGU 3 Engkaulah Sumber Kekuatan, Harapan, dan Keyakinan
a Ramai orang pernah dengar nama Simson, termasuk orang yang tidak begitu mengenali Bible. Kisah hidup lelaki yang beriman ini pernah muncul dalam lakonan teater, lagu, dan wayang. Namun, kisah hidupnya bukan sekadar cerita, tetapi juga mengandungi pengajaran penting bagi kita.