Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 38

Kaum Muda​—Apakah Kehidupan yang Anda Inginkan?

Kaum Muda​—Apakah Kehidupan yang Anda Inginkan?

“Pengertian akan menjagamu.”—AMS. 2:11.

LAGU 135 Seruan Bapa Yehuwa, “Anakku, Jadilah Bijak”

PENGENALAN a

1. Apakah cabaran yang dihadapi oleh Yehoas, Uzia, dan Yosia?

 BAYANGKAN anda menjadi raja umat Tuhan semasa anda masih kecil atau remaja! Bagaimanakah anda akan menggunakan kekuasaan anda? Bible memberitahu kita tentang beberapa anak muda yang menjadi raja Yehuda. Contohnya, Yehoas berumur 7 tahun, Uzia berumur 16 tahun, dan Yosia berumur 8 tahun, semasa menjadi raja. Mereka pasti rasa tanggungjawab itu sangat berat! Walaupun begitu, Yehuwa dan orang lain telah membantu mereka untuk mengatasi cabaran dan melakukan hal yang baik.

2. Mengapakah kita patut mengkaji contoh Yehoas, Uzia, dan Yosia?

2 Kita bukanlah raja atau ratu, tetapi kita dapat belajar sesuatu daripada keputusan baik dan keputusan buruk yang dibuat oleh tiga orang watak Bible ini. Daripada contoh mereka, kita akan belajar pentingnya memilih sahabat yang baik, tetap bersikap rendah hati, dan terus mencari Yehuwa.

MEMILIH SAHABAT YANG BAIK

Kita dapat meniru teladan Yehoas dengan mendengar nasihat daripada sahabat yang baik (Lihat perenggan 3, 7) c

3. Bagaimanakah Yehoyada membantu Raja Yehoas membuat keputusan yang bijak?

3 Keputusan bijak Yehoas. Semasa muda, Raja Yehoas kehilangan bapanya, dan Imam Agung Yehoyada telah membesarkannya seperti anak sendiri dan mengajarnya tentang Yehuwa. Yehoas membuat keputusan yang bijak kerana mendengar nasihat Yehoyada. Hasilnya, Yehoas memilih untuk menjunjung ibadat sejati dan memimpin rakyat untuk menyembah Yehuwa. Dia bahkan mengaturkan kerja membaik pulih Rumah Tuhan.—2 Taw. 24:​1, 2, 4, 13, 14.

4. Apakah manfaatnya jika kita mengasihi dan mematuhi perintah Yehuwa? (Amsal 2:​1, 10-12)

4 Jika ada orang mengajar anda untuk mengasihi Yehuwa dan hidup menurut standard-Nya, anda sangat beruntung. (Baca Amsal 2:​1, 10-12.) Terdapat banyak cara ibu bapa dapat melatih anak. Perhatikan bagaimana bapa Saudari Katya melatihnya untuk membuat keputusan yang baik. Setiap hari semasa membawa Katya ke sekolah, dia akan membincangkan ayat harian bersama Katya. Katya berkata, “Perbincangan itu telah membantu saya menangani cabaran yang saya hadapi.” Namun, bagaimana pula jika ibu bapa anda membuat peraturan berdasarkan prinsip Bible, tetapi anda rasa peraturan itu menyekat kebebasan anda? Apakah yang dapat membantu anda mematuhi peraturan mereka? Saudari Anastasia mengingat kembali bagaimana ibu bapanya meluangkan masa untuk menjelaskan mengapa mereka membuat sesetengah peraturan. Dia berkata, “Hal itu membantu saya faham bahawa mereka bukannya mahu mengongkong kebebasan saya, tetapi mahu melindungi saya kerana mengasihi saya.”

5. Apakah kesan perbuatan anda terhadap ibu bapa anda dan Yehuwa? (Amsal 22:6; 23:​15, 24, 25)

5 Jika anda menerapkan nasihat Bible yang ibu bapa anda berikan, mereka pasti sangat gembira. Yang lebih penting, anda akan menggembirakan hati Tuhan dan dapat menjadi sahabat-Nya buat selama-lamanya. (Baca Amsal 22:6; 23:​15, 24, 25.) Bukankah ini sebab yang baik untuk meniru teladan Yehoas semasa dia muda?

6. Selepas Yehoyada meninggal, Yehoas mendengarkan nasihat siapa? Apakah akibatnya? (2 Tawarikh 24:​17, 18)

6 Keputusan buruk Yehoas. Selepas Yehoyada meninggal, Yehoas mula mendengar nasihat para pemimpin Yehuda yang tidak mengasihi Yehuwa. (Baca 2 Tawarikh 24:​17, 18.) Anda pasti setuju bahawa dia sepatutnya menjauhi kawan-kawan buruk itu. (Ams. 1:10) Semasa sepupunya Zakharia cuba membetulkannya, Yehoas mengarahkan agar Zakharia dibunuh. (2 Taw. 24:​20, 21; Mat. 23:35) Alangkah bodoh dan kejamnya perbuatan Yehoas! Pada mulanya Yehoas setia kepada Yehuwa, tetapi sayangnya dia menjadi murtad dan pembunuh pada kemudian hari. Akhirnya, dia dibunuh oleh hambanya sendiri. (2 Taw. 24:​22-25) Jika Yehoas terus mendengar cakap Yehuwa dan orang yang mengasihi Tuhan, kesudahannya pasti berbeza! Apakah pengajarannya bagi kita?

7. Anda harus memilih sahabat yang macam mana? (Lihat juga gambar.)

7 Daripada keputusan buruk Yehoas, kita belajar bahawa kita harus memilih sahabat yang akan memberi kita pengaruh baik, iaitu sahabat yang mengasihi Yehuwa dan yang ingin menggembirakan hati-Nya. Sahabat baik sebegini tidak semestinya sebaya dengan kita. Ingatlah, Yehoas jauh lebih muda daripada Yehoyada, tetapi dia meraih banyak manfaat daripada persahabatannya dengan Yehoyada. Semasa memilih kawan, tanyalah diri, “Adakah mereka menguatkan iman saya? Adakah mereka mendorong saya untuk hidup menurut standard Yehuwa? Adakah mereka suka bercakap tentang Yehuwa dan kebenaran Bible? Adakah mereka menghormati standard Tuhan? Adakah mereka hanya mengatakan apa yang saya suka dengar, atau adakah mereka berani menegur saya jika saya berbuat silap?” (Ams. 27:​5, 6, 17) Ingatlah, jika seseorang tidak mengasihi Yehuwa, dia tidak layak menjadi sahabat anda. Tetapi jika anda ada kawan-kawan yang mengasihi Yehuwa, jangan sesekali meninggalkan mereka, kerana inilah persahabatan yang akan membawa berkat seumur hidup.—Ams. 13:20.

8. Apakah yang patut kita fikirkan semasa menggunakan media sosial?

8 Dengan adanya media sosial, kita dapat berkomunikasi dengan keluarga dan sahabat kita. Namun, banyak orang menggunakan media sosial untuk menunjuk-nunjuk. Mereka suka memaparkan foto atau video tentang apa yang mereka beli atau buat. Jika anda menggunakan media sosial, tanyalah diri, “Adakah saya menggunakan media sosial untuk membanggakan diri? Adakah saya ingin menguatkan orang lain atau minta dipuji? Adakah fikiran, tutur kata, atau kelakuan saya, menjadi buruk kerana dipengaruhi pengguna media sosial yang lain?” Saudara Nathan Knorr, seorang ahli Badan Pimpinan, memberikan nasihat ini: “Janganlah cuba menggembirakan manusia, kerana akhirnya kamu tidak akan menggembirakan sesiapa pun. Gembirakanlah hati Yehuwa, dan semua orang yang mengasihi-Nya pun akan gembira.”

TETAP RENDAH HATI

9. Bagaimanakah Yehuwa memberkati Uzia? (2 Tawarikh 26:​1-5)

9 Keputusan baik Uzia. Semasa muda, Raja Uzia rendah hati, dan dia “takut kepada Tuhan yang benar.” Dia hidup selama 68 tahun, dan hampir seumur hidupnya dia diberkati Yehuwa. (Baca 2 Tawarikh 26:​1-5.) Uzia mengalahkan banyak musuh orang Israel dan menguatkan pertahanan Yerusalem. (2 Taw. 26:​6-15) Uzia pasti gembira kerana Tuhan memberinya kejayaan dalam banyak hal.—Pkh. 3:​12, 13.

10. Apakah yang berlaku kepada Uzia?

10 Keputusan buruk Uzia. Sebagai raja, perintah Uzia selalu dituruti rakyat. Adakah hal itu membuatnya berfikir bahawa dia berhak bertindak sesuka hati? Suatu hari, Uzia memasuki Rumah Yehuwa dan cuba membakar kemenyan di atas mazbah, sedangkan raja-raja tidak dibenarkan berbuat demikian. (2 Taw. 26:​16-18) Imam Agung Azarya cuba menasihatinya, tetapi Uzia naik marah pula. Sedihnya, setelah menyembah Tuhan dengan setia selama bertahun-tahun, Uzia melanggar perintah Tuhan. Akibatnya, Tuhan menyebabkannya dijangkiti penyakit kusta. (2 Taw. 26:​19-21) Jika Uzia tetap rendah hati, kesudahannya pasti sangat berbeza!

Daripada membanggakan diri atas pencapaian kita, kita harus menghalakan pujian kepada Yehuwa (Lihat perenggan 11) d

11. Apakah yang dapat membantu kita tetap rendah hati? (Lihat juga gambar.)

11 Semasa Uzia menjadi berkuasa, dia lupa bahawa Yehuwalah yang membantunya menjadi kuat dan makmur. Apakah pengajarannya? Kita harus ingat bahawa segala berkat dan tugasan yang kita nikmati dikurniakan oleh Yehuwa. Jadi, daripada membanggakan diri atas pencapaian kita, kita harus menghalakan pujian kepada Yehuwa. b (1 Kor. 4:7) Selain itu, kita mesti sedar bahawa kita tidak sempurna dan memerlukan disiplin. Seorang saudara yang berumur sekitar 60 tahun menulis, “Saya belajar untuk tidak tersinggung atau putus asa semasa orang lain membetulkan kesilapan saya. Apabila saya membuat kesilapan bodoh dan diberi disiplin, saya cuba bangun semula dan terus memberikan yang terbaik kepada Yehuwa.” Ingatlah, jika kita takut kepada Yehuwa dan tetap rendah hati, kita akan hidup bahagia.—Ams. 22:4.

TERUS MENCARI YEHUWA

12. Bagaimanakah Yosia mencari Yehuwa semasa muda? (2 Tawarikh 34:​1-3)

12 Keputusan baik Yosia. Yosia mula mencari Yehuwa semasa dia remaja. Dia ingin belajar tentang Yehuwa dan melakukan kehendak-Nya. Namun, raja yang muda ini menghadapi cabaran yang besar. Dia perlu mempertahankan ibadat sejati semasa ramai daripada rakyatnya menyembah dewa dewi palsu. Meskipun begitu, dia bertindak dengan berani! Sebelum mencecah umur 20 tahun, dia mula membasmi ibadat palsu.—Baca 2 Tawarikh 34:​1-3.

13. Bagaimanakah kehidupan anda akan berubah setelah anda membaktikan diri kepada Yehuwa?

13 Biarpun anda sangat muda, anda boleh meniru teladan Yosia dengan belajar tentang Yehuwa dan sifat-sifat-Nya. Dengan itu, anda akan terdorong untuk membaktikan diri kepada-Nya. Bagaimanakah keputusan itu akan mengubah kehidupan anda? Luke, yang dibaptis pada usia 14 tahun, berkata, “Mulai sekarang, saya akan mendahulukan khidmat kepada Yehuwa dan berusaha membuat-Nya gembira.” (Mrk. 12:30) Jika anda mempunyai hasrat yang sama, anda akan menikmati berkat yang melimpah!

14. Bagaimanakah sesetengah anak muda meniru teladan Raja Yosia? Berikan contoh.

14 Apakah cabaran yang mungkin dihadapi oleh anak muda yang ingin menyembah Yehuwa? Johan, yang dibaptis pada umur 12 tahun, berkata bahawa rakan sekelasnya memberinya tekanan untuk menggunakan rokok elektronik, atau vape. Untuk melawan tekanan itu, Johan mengingatkan diri bahawa vaping dapat merosakkan kesihatannya dan hubungannya dengan Yehuwa. Rachel, yang dibaptis pada umur 14 tahun, menjelaskan bagaimana dia mengatasi cabaran di sekolah. Dia berkata, “Saya cuba kaitkan apa yang saya lihat dan dengar dengan Bible atau Yehuwa. Contohnya, semasa kelas sejarah, saya akan teringat suatu kisah atau nubuat Bible. Semasa berbual dengan seseorang, saya akan fikirkan ayat Bible yang boleh saya kongsi dengannya.” Cabaran yang anda hadapi mungkin berbeza daripada cabaran yang dihadapi Raja Yosia. Namun, anda dapat menjadi bijak dan setia sepertinya. Jika anda belajar untuk mengatasi cabaran semasa muda, hal itu akan mempersiapkan anda untuk menghadapi cabaran yang lain pada masa depan.

15. Apakah yang membantu Yosia untuk menyembah Yehuwa dengan setia? (2 Tawarikh 34:​14, 18-21)

15 Semasa Raja Yosia menjadi dewasa, dia mengaturkan agar Rumah Tuhan dibaiki. Ketika projek itu berlangsung, ada orang menjumpai “kitab Hukum Yehuwa, yang diberikan kepada Musa.” Apabila kitab itu dibacakan, raja segera bertindak untuk mematuhi apa yang tertulis. (Baca 2 Tawarikh 34:​14, 18-21.) Anak-anak muda, inginkah anda membaca Bible secara tetap? Jika anda sedang melakukannya, adakah anda menikmatinya? Adakah anda mencatatkan ayat-ayat yang berguna bagi anda secara peribadi? Luke, yang disebut tadi, mempunyai buku nota untuk mencatatkan isi-isi menarik yang dijumpainya. Inginkah anda melakukan hal yang sama supaya anda dapat mengingat kembali ayat Bible atau poin yang anda suka? Apabila anda semakin mengenali dan mencintai Bible, anda akan semakin bertekad untuk menyembah Yehuwa. Seperti yang berlaku kepada Raja Yosia, Firman Tuhan akan mendorong anda untuk melakukan apa yang benar.

16. Mengapakah Yosia melakukan kesilapan yang serius? Apakah pengajarannya bagi kita?

16 Keputusan buruk Yosia. Semasa Yosia berumur kira-kira 39 tahun, dia mempercayai dirinya sendiri dan tidak mencari bimbingan Yehuwa. Akibatnya, dia membuat kesilapan yang menyebabkan nyawanya terkorban. (2 Taw. 35:20-25) Apakah pengajarannya? Tidak kira berapa umur kita atau berapa lama kita sudah mempelajari Bible, kita mesti terus mencari Yehuwa. Maksudnya kita perlu selalu berdoa meminta bimbingan-Nya, mengkaji Firman-Nya, dan mendengar nasihat daripada saudara saudari yang matang. Dengan itu, kita dapat mengelakkan banyak kesilapan yang serius dan akan lebih gembira.—Yak. 1:25.

ANAK-ANAK MUDA—ANDA DAPAT HIDUP BAHAGIA

17. Apakah pengajaran penting yang kita peroleh daripada kisah tiga orang raja Yehuda?

17 Zaman muda ialah zaman keemasan. Kisah Yehoas, Uzia, dan Yosia menunjukkan bahawa orang muda dapat membuat keputusan yang bijak dan menjalani kehidupan yang menyenangkan hati Yehuwa. Memang benar, permulaan yang baik tidak semestinya menjamin kesudahan yang baik, seperti yang kita pelajari daripada kisah mereka. Namun, jika segala yang baik kita jadikan teladan, dan segala yang buruk kita jadikan sempadan, kita akan hidup bahagia.

Daud menghampiri Yehuwa semasa muda. Dia mendapat perkenan Tuhan dan menikmati kehidupan yang bermakna (Lihat perenggan 18)

18. Apakah contoh Bible yang menunjukkan bahawa anda juga dapat menikmati kehidupan yang bermakna? (Lihat juga gambar.)

18 Bible mengandungi kisah orang muda lain yang menghampiri Yehuwa, mendapat perkenan-Nya, dan menikmati hidup yang bermakna. Satu contoh ialah Daud. Sejak umur yang muda, dia memilih untuk menyembah Yehuwa, dan kemudiannya dia telah menjadi seorang raja yang setia. Biarpun dia pernah membuat beberapa kesilapan dalam hidupnya, secara keseluruhan Tuhan senang hati dengannya. (1 Raj. 3:6; 9:​4, 5; 14:8) Semasa anda mengkaji kisah hidup Daud dan belajar bagaimana dia berkhidmat kepada Tuhan, anda pasti digalakkan dan didorong untuk mengikut teladannya. Selain itu, anda boleh membuat projek pembelajaran tentang Markus atau Timotius. Mereka juga telah menyembah Yehuwa sejak muda, meraih perkenan-Nya, dan menikmati hidup yang bermakna.

19. Apakah kehidupan yang dapat anda nikmati sekarang?

19 Cara anda menggunakan kehidupan anda sekarang akan menentukan masa depan anda. Jika anda bergantung pada Yehuwa dan bukannya pengertian diri sendiri, Dia akan membimbing jalan hidup anda, dan sekarang pun anda akan menikmati kehidupan yang bermakna dan bahagia. (Ams. 20:24) Yehuwa pasti menghargai usaha anda untuk berkhidmat kepada-Nya. Ingatlah, apabila anda menyembah Yehuwa, anda sedang menjalani hidup yang terbaik!

LAGU 144 Tataplah Pahala!

a Anak-anak muda, Bapa anda yang di syurga tahu bahawa ada kalanya, anda berasa susah untuk melakukan apa yang betul dan menjaga persahabatan anda dengan-Nya. Bagaimanakah anda dapat membuat keputusan bijak yang menggembirakan hati Yehuwa? Kita akan mengkaji contoh tiga orang anak muda yang menjadi raja negeri Yehuda dan belajar daripada keputusan yang dibuat oleh mereka.

b Lihat kotak “Hindarilah Sikap Berpura-Pura Rendah Hati” dalam rencana di jw.org yang bertajuk, “Pentingkah untuk Menjadi Popular di Media Sosial?”

c KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari yang matang memberikan nasihat yang baik kepada seorang saudari muda.

d KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudari yang mempunyai tugasan semasa perhimpunan bergantung pada Yehuwa dan menghalakan pujian kepada-Nya.